MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Apabila ‘Zikrullah’ di Tinggalkan

July 17, 2008

Zikr
Pelbagai ujian datang bertimpa. Hati rasa gundah gulana. Fikiran jadi bercelaru. Jarang sekali dapat ujian sebegitu. Kalau diuji pun, biasanya Tuhan masih berikan kekuatan untuk hadapinya secara “cool”. Tapi kali ini tak begitu. Untuk dapat kekuatan, kali ini saya cuma ‘bertongkat’ dengan tazkirah dan nasihat dari sahabat. Hati rasanya seperti dipukul gelombang yang besar. Terhuyung-hayang dibuatnya. Entah kenapa, saya pun tak tahu apa puncanya.

Baca Quran biasanya sedikit sebanyak memberikan motivasi. Tetapi malang kerana membaca Quran juga hilang khusyuknya. “Ayat-ayat Cinta dari Tuhan” itu hanya dibaca dimulut, tapi tak dapat membelai jiwa yang sedang kacau bilau. Wirid lepas solat pun senasib. Mulut menyebut, tetapi hati dan fikiran melayang kepada masalah yang sedang melanda. Solat juga jauh dari khusyuk.

 

Oh, deritanya hidup ketika itu…

Bukan Sibuk, Tetapi Tuhan Campakkan RASA Sibuk

Puas memikirkan, di mana puncanya. Apabila memuhasabah diri, akhirnya Tuhan membuka jalan (alhamdulillah).


Pertamanya, saya semakin kurang ke “majlis ilmu”, iaitu majlis yang mengingatkan saya kepada Tuhan. Apabila terlupa akan Tuhan, mana mungkin hati menjadi tenang. Kerana kesibukan kerja dan aktiviti, kuliah-kuliah di surau dan masjid agak saya kesampingkan. Alasan “standard” ialah S.I.B.U.K – iaitu alasan yang sesiapa pun tak berani membantah…

Keduanya, saya telah meninggalkan Ma’thuraat iaitu wirid yang dipetik dari Hadis Nabi dan Quran oleh Asy-Syahid Hassan Al-Banna, yang diajarkan oleh Nabi kepada kita semua. Sedangkan dalam Ma’thuraat itu mengandungi pelbagai doa dan harapan untuk diluahkan kepada Tuhan. Ia doa-doa dan zikir yang sangat baik untuk seorang hamba meluahkan segalanya kepada Tuhannya.

Membelai Jiwa Dengan Mengingati Tuhan

Ma’thuraat pernah menjadi rutin harian saya. Iaitu diamalkan setiap pagi ketika perjalanan ke tempat kerja. Sambil bermotosikal di Lebuhraya Utara Selatan yang membelah semenanjung itu, dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, dengan pemandangan hutan dan bukit bukau yang indah dan mendamaikan, serta udara pagi yang dingin, saat yang sangat indah untuk mengungkapkan “kata-kata Cinta” kepada Tuhan - berzikrullah.

Tetapi malangnya, disaat ujian bertimpa, saya biarkan saat indah itu berlalu tanpa diisi apa-apa.

Ma’thuraat, mengandungi zikir-zikir dan doa-doa yang diajarkan Tuhan (Quran) dan Nabi (Hadis) kepada kita. Rugi benar kalau dikesampingkan zikir ini. Antara doa di dalamnya, meminta supaya; Allah hindarkan dari rasa resah dan bimbang, tak diuji lebih dari apa yang termampu, dilindungkan dari kejahatan manusia dan segala makhluknya, dan terlalu banyak khasiatnya yang lain, kalau kita semak hadis-hadis Nabi.

Ruginya Melupakan Tuhan

Di saat menghadapi ujian, betapa ruginya terlepas pandang akan zikrullah. Sedangkan “zikrullah” itu, Allah selalu sebutkan perkataan “kathiira” di hujungnya – bermaksud “banyak” [Al-Ahzab 33:41]. Allah suruh kita ingatkan Dia banyak-banyak sebab kita selalu lupa dan mudah lupa. Solat, Quran, wirid, dan majlis ilmu. Itu semuanya jalan untuk ingatkan kita akan Dia banyak-banyak. Bila ingatkan Dia, insyaAllah kita tak akan hilang punca. Yang susah akan menjadi mudah…

Manusia yang ingatkan Tuhan, dia akan ingat sesama manusia.

Suami yang ingatkan Tuhan, dia akan ingatkan isterinya. Dia akan ingat akan tanggungjawab terhadap isterinya. Anak yang ingat akan Tuhan, dia akan ingat ibubapanya. Jasa dan pengorbanan ibu akan sentiasa diingatinya, lantas dia berbuat baik kepada mereka. Itulah sebagai contoh, betapa pentingnya kita memperbanyakkan mengingati Tuhan.

Wallahu ‘alam.

Zulkifli

Damansara Heights
7 Julai 2008

“Ingatlah kepada Allah banyak-banyak, mudah-mudahan kamu berjaya” [Al-Jumu’ ah 62: 10]

“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati akan menjadi tenteram.” [Ar-Ra’d 13: 28]

“Dan sesungguhnya mengingati Allah (dengan solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain)” [Al-Ankabuut 29: 45]

 

 

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • terima kasih atas pesanan dan perkongsian tuan.

    Kadang-kadang kita lupa atau “lost”

    Bila kembali mengingat Allah,

    Kita rasa tenang dan kembali on the track.

    Semoga saya terus kekal beristiqamah

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >