Beri Peluang Anak Terokai Alam

by on July 25, 2008

Anis pertama kali (dalam hidupnya) menyentuh rumput. Kami biarkan dia terokai rumput – memegangnya, menariknya, dan merangkak di atasnya. Kotor tak apa, asalkan tak membahayakan dirinya.

Belajar Dengan Bermain

Anak kecil banyak belajar dengan bermain dengan persekitarannya. Bermain, maksudnya mereka belajar. Bermain puzzle, menyanyikankan lagu alif ba ta dan ABC, bermain dengan pensel warnanya, menconteng-conteng di atas kertas, mengoyak-ngoyak kertas, semuanya adalah proses pembelajaran bagi anak kecil.

Bagi anak kecil di bawah umur 2 tahun sebagai contohnya, mereka suka mendengar bunyi kertas dikoyak. Dia bukan mahu merosakkan, tetapi mahukan pelajaran. Ia satu pelajaran baru untuk mereka.

Berilah Mereka Peluang Belajar

Kekadang, dia nak makan sendiri dan sesekali bermain dengan makanannya. Habis comot mukanya bila makan, disusuli dengan sepahan makanan. Kita ibubapa kekadang tak selesa kerana kotor, dan penat mengemas. Tak habis-habis mengemas rumah. Mengemas di sini, anak menyepah (bermain) di sana. Pendek kata, kalau mereka tidur, barulah rumah betul-betul kemas.

Tapi itulah yang mesti dilakukan. Terlalu banyak menghalang anak kecil buat itu dan ini akan membantutkan perkembangannya. Apatah lagi kalau dimarahi. Ia bukan saja membantutkan proses pembelajarannya, bahkan ia akan mengganggu perkembangan emosinya. Dia akan hilang keyakinan diri, dan takut untuk mencuba serta meneroka alam sekelilingnya.

Zulkifli
Damansara Damai

10 Julai 2008, 10.20 malam

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

Previous post:

Next post: