Friday, June 27, 2008

Ayat-Ayat Cinta The Movie


Kali Pertama Ke Pawagam

Alhamdulillah… saya baru saja tengok movie Ayat-Ayat Cinta. Tengok bersama rakan-rakan sepejabat di Mid Valley tadi. Tayangan bermula jam 8.40, habis lebih kurang jam 10.50 tadi. Hajatnya dulu, nak tengok bersama isteri, tapi disebabkan kekangan anak-anak, saya terpaksa menonton dengan kawan-kawan saja.

Dan hari ini, saya pecahkan rekod – pertama kali jejakkan kaki ke pawagam dalam hidup! Dan baru saya tahu macam mana rupanya pawagam.

“Man, memang dia tak tutup lampu ker dalam pawagam ni?”

“Oh! Jap lagi (masa tayangan) dia tutup la lampu... Masa iklan ni memang dia buka lampu…”

Hah… memang saya tak pernah masuk ke pawagam... (“,)

Memang dah lama saya teringin nak tonton cerita AAC ni, iaitu sebaik saja khatam membaca novelnya. Saya memang terlalu “excited” untuk menontonnya kerana novelnya sangat terkesan pada diri saya.

Dan yang sangat membuatkan saya begitu hargai novel ini, kerana jalan ceritanya mempunyai “sentimental value” pada diri saya. Ia bukan sekadar cerita Fahri, tetapi mengingatkan saya tentang cerita saya

Menonton Untuk Merasainya

Tayangan tadi, tak ramai penonton. Saya rasa dalam 10% saja penonton berbanding seat yang ada. Mungkin kerana kurangnya promosi agaknya. Walauapapun, saya berpuas hati dengan tayangan tadi. Novelnya saya dah nak khatam untuk kali keduanya. Bila tengok movienya, bertambah la lagi “feel” pada Novel Ayat-Ayat Cinta.

Saya tahu, movienya tak seIslamik novelnya. Saya menontonnya bukan kerana nak membandingkan novel dan movienya, tetapi untuk MERASAINYA. Saya sangat hargai usaha Saudara Hanung Bramantyo (pengarah filem) dan team penerbit. Ia boleh diberikan pujian. Ia patut diteruskan, tetapi syariat Tuhan mesti diperbaiki dalam proses pembikinan filem supaya ia benar-benar memberi kesan pada penonton.

Pada saya, bukan mudah menterjemahkan tulisan (novel) ke dalam bentuk tayangan filem. Memang banyak babak penting tak dimasukkan ke dalam filem – mungkin kerana masa 2 jam terlalu pendek untuk memuatkan novel ke dalam filem. Jalan ceritanya juga banyak yang diubah, tetapi tak jauh dari novelnya.

Filem Berjaya Tetapi Hilang Roh Asalnya

Saya rasa, tujuan asal Ustaz Habiburrahman, penulis Novel Ayat-Ayat Cinta - untuk menyampaikan dakwah - juga kurang berjaya disampaikan melalui filem ini, jika mahu dibandingkan dengan novel. Memang, sesiapa saja membaca novelnya pasti terkesan, dan sedikit sebanyak mendidik para pembaca dalam beberapa aspek kehidupan.

Novel AAC ditulis untuk mendidik pembaca supaya kembali kepada Tuhan. Manakala Movie AAC ini pula lebih kepada cerita Cinta. Konflik Cinta merupakan subjek paling utama dalam filem ini. Walaupun ianya tentang Cinta, ia jauh lebih baik daripada movie-movie cinta yang lain – yang tak Islamik.

Best tu, memang la best... Penonton perempuan nampaknya betul-betul ‘terkesan’. Ada yang keluar pawagam dengan linangan air mata. Masa tayangan pun ada yang bunyinya macam teresak-esak. Ketabahan dan pengorbanan Aisha cukup menyentuh hati para penonton. Yang lelaki pun mungkin juga ‘terkesan’, tapi cover-cover la kot… kena jaga macho…. (“.)



Aisha – Watak Paling Dominan dan Berjaya

Tentang watak, nampaknya watak Aisha dan Noura sahaja yang berjaya dihidupkan. Dua watak ini berjaya dihidupkan sebagaimana novelnya, bahkan mungkin watak Aisha lebih baik daripada novel. Watak Aisha adalah watak yang paling dominan. Fahri pula nampaknya tak semacho novelnya. Ia kelihatan agak mentah, dan tak berjaya menjadi lelaki ‘role-model’ sebagaimana Fahri di dalam novel.

Berilah Sokongan Pada Filem Islamik

Walau apapun kekurangannya, saya sangat menyokong penerbitan filem ini. Saya galakkan sahabat menontonnya – supaya dapat “feel” apa yang ditulis dalam novel. Kalau nak beli VCD, jangan beli yang cetak rompak. Belilah yang original. Berilah sokongan. Moga usaha menerbitkan filem Islamik ini dapat disemarakkan lagi. Moga ia juga dapat dicontohi oleh penggiat-penggiat filem di Malaysia supaya memperbanyakkan lagi filem-filem yang Islamik.

Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah pada Saudara Hanung Bramantyo bersama team pelakon, krew dan penerbit filem ini. Saya mendoakan moga mereka semua ditambahkan hidayah dan kebahagiaan oleh Allah S.W.T. Moga-moga mereka juga benar-benar menjadi watak sebagaimana yang mereka bikinkan dan lakonkan, insyaAllah…

Wallahu ‘alam.

Zulkifli
Damansara Damai
23 Jun 2008, 12.44 malam



Inilah foto ‘Fahri’, ‘Aisha’ dan anak-anak di dunia nyata.


Pada saya, watak Fahri dan Aisha dalam Novel AAC adalah Ustaz Habiburrahman (penulis) dan isterinya. Kerana bukan mudah menghasilkan tulisan yang berkesan kalau dia sendiri tak merasainya.

Monday, June 23, 2008

'Tikus' Perosak Generasi Kita

"Kelantan hanyalah seperti sebidang tanah sawah. Kalau dijaga tanah kita pun, tikus-tikus dari sawah sebelah pastinya akan datang merosakkan padi kita"

Penangan Dadah Pada Masyarakat Kampung
Balik kampung bulan lau, satu perkara yang amat merisaukan saya. Menurut ayah saya, anak-anak muda di kampung terlalu ramai yang terkena dadah. Bukan hanya budak-budak nakal, tapi anak tok imam pun ada yang kena. Boleh dibilang dengan jari, keluarga mana yang belum terkena dadah. Satu persatu keluarga di kampung terkena penangan dadah termasuk rakan-rakan sepermainan saya sewaktu kecil.

Modus Operandi Memerangkap Anak Gadis

Menurutnya lagi, ada seorang budak perempuan yang ada rupa (cantik) dan baik akhlaknya, tapi sekarang dah rosak. Akibat ubat khayal yang disuntik ke dalam air kotak, kemudian diberi minum pada budak perempuan tu. Bila dah khayal, masa itulah budak lelaki ambik kesempatan merogol. Kesian betul...
Sekarang, budak perempuan tu dah tak berminat untuk belajar sebab dah ketagih seks. Dibawa lelaki ke sana ke mari. Oh, cukup merisaukan saya sebagai seorang ayah yang sedang membesarkan anak-anak.
Kelantan Umpama Sebidang Sawah
Saya bertanya pada Hafizi, sahabat saya yang mengikuti perkembangan kerajaan Kelantan tentang apakah langkah kerajaan negeri membendung gejala sosial? Menurutnya, bukan mudah tanganinya kerana walaupun kerajaan Islam memerintah, Kelantan hanyalah seperti sebidang tanah sawah. Kalau dijaga tanah kita pun, tikus-tikus dari sawah sebelah pastinya akan datang merosakkan padi kita. Kita boleh jaga, tapi sawah sebelah yang terbiar tetap memberi kesan langsung pada kita.
Negeri Kelantan bukan saja terkesan dengan polisi kerajaan Pusat yang membenarkan hiburan tanpa batasan untuk anak-anak muda melalui media massa, malah Kelantan juga terkesan oleh 'tikus-tikus' dari Thailand. Tak kurang juga penangan internet dan telefon bimbit yang membolehkan mereka mendapat akses terhadap perkara yang tak bermoral. Gelapnya hati, maka rosaklah akhlaknya.
Terlepas Pandang Dakwah Kerana Siasah?

Turut merisaukan juga fenomena pengerak dakwah dibidang siasah yang terkadang terlepas pandang dengan tanggungjawab dakwah. Kerana disibukkan dengan urusan politik, peranan dakwah jadi terabai. Khabarnya, dulu banyak juga kempen-kempen dakwah di billboard Kota Bharu, tapi hanya beberapa bulan saja telah bertukar wajah kepada kempen bersifat komersial. Apakah kerana iklan-iklan komersil menawarkan habuan yang lebih lumayan berbanding iklan-iklan dakwah? Entahlah, itu cuma sangkaan saya...
Manfaatkan Ruang Yang Kita Ada
Saya amat berharap, penggerak dakwah memanfaatkan sebaik mungkin ruang-ruang yang kita ada untuk mengajak manusia kepada Tuhan. Manfaatkan semaksimum mungkin supaya ia boleh jadikan alasan untuk menguasai Malaysia dengan matlamat dakwah.
Ada baiknya Tuhan berikan kemenangan satu-persatu negeri untuk ditegakkan Islam di dalamnya berbanding satu Malaysia sekaligus tanpa para pendakwah bersedia menerimanya. Saya sekadar berperanan dalam ruang lingkup yang saya ada, di Damansara Damai khususnya.
Wallahu 'alam.
Zulkifli
Damansara Damai
8 Jun 2008, 5.35 petang

Thursday, June 19, 2008

Hutang Merintih Kemiskinan

Tabiat berhutang sering kali menjadikan kita lebih miskin.

Mungkin saya salah seorang yang sangat tak berminat dengan hutang. Walaupun apapun namanya – ansuran, skim bayaran mudah, kad kredit – bagi saya ia tetap hutang!

Tawaran membuat hutang, kita boleh dapati di mana saja hinggakan nak beli barangan ‘kecil’ sekalipun. Beli kereta tak payah cerita la. Beli perabot, beli barangan elektrik, hatta nak masuk bisnes MLM pun ada yang menawarkan hutang! Hah ha… (“,)

Tabiat Berhutang Menjadikan Kita Miskin

Ish… saya cukup tak berminat dengan semua ni. Bukan kerana kaya, tapi tak mahu menjadi lebih miskin! Pada pemerhatian saya, trend orang berhutang hari ini, kebanyakkannya bukan kerana miskin, tapi kerana tak mahu kelihatan miskin – mahu lebih bergaya. Tapi akhirnya menjadikan dia lebih miskin.

Kenapa ia menjadikan kita lebih miskin? Pertama, kita perlu bayar lebih – interest. Kedua, kita cenderung untuk berbelanja lebih dari apa yang sebenarnya kita mampu. Berbelanja diluar kemampuan. Jadi, salah satu strategi untuk jimat berbelanja, dan mahu jadi lebih kaya, elakkan beli secara hutang!

Kumpul Dulu Baru Beli
Kalau nak beli juga, kumpul la duit dulu. Nanti dah cukup, beli la. Tapi satu ‘perangai’ pula yang akan timbul, yang akan membuatkan kita lebih kaya iaitu sayang untuk berbelanja. Dah penat kumpul duit, takkan nak habiskan sekelip mata? Hm, inilah bagusnya tabiat simpan dulu, baru beli. Dan inilah juga yang selalu saya alami sejak amalkan prinsip ini.

Kami sering menangguh-nangguh untuk membeli barang yang bukan benar-benar jadi keperluan. Peti ais di rumah contohnya, setahun lebih kami tangguh untuk membeli peti ais baru. Kerana peti ais sedia ada agak kecik, dan susah sebab dua minggu sekali nak kena cuci. Bukan kerana tak ada duit, tetapi kerana ianya bukan benar-benar menjadi keperluan yang mendesak untuk kami beli sekarang.

Bebaloikah Setiap Sen Dibelanjakan?

Sebagai persiapan menerima anak ke-3, akhirnya kami bersepakat untuk membelinya. Supaya makanan di rumah boleh disimpan dengan lebih banyak untuk mudah dihangatkan semula dengan microwave, dan memandangkan saya makin sibuk dengan aktiviti luar, maka kami beli peti ais bersaiz 470 liter! (Terkejut juga kami bila peti ais tu dihantar ke rumah. Sangka kami, 470 liter tu saiz sederhana sebab kat kedai banyak lagi yang lebih besar. Tapi bila balik rumah, masyaallah, besarnya…)

Ketika saya sibuk, saya akan stokkan makanan dalam peti ais, dan isteri saya boleh pilih untuk memasak, ataupun hangatkan makan yang saya belikan – terutamanya bila anak-anak meragam. Saya tak perlu lagi terkejar-kejar balik ke rumah semata-mata menghantar makanan, atau bahan-bahan untuk memasak. Alhamdulillah, peti ais yang lebih besar banyak memudahkan kami. Bagi kami, memang berbaloi setiap sen yang kami keluarkan untuk peti ais baru.

Wallahu ‘alam.
Zulkifli

Sunday, June 15, 2008

Anak Kecil Hanya Tahu Dirinya

Amal Hayati, anak kedua kami genap berumur 2 tahun pada 6 Jun 2008.
Makan Keropok Atas Tilam

“Amal, meh makan kat bawah ni, sayang. Tak nak makan atas tilam tu, nanti tumpah”
Amal yang berumur 2 tahum belum benar-benar faham apakah akibat makanan tumpah atas tilam. Susah mamanya mengemas tak ada kena mengena dengan dirinya. Dia belum ada keupayaan melihat sesuatu dari prespektif orang lain. Yang dia tahu hanyalah dirinya sendiri.

“Amal, meh sini. Cuba Amal tengok tu, semut makan keropok yang jatuh atas lantai. Kalau keropok tu jatuh atas tilam, nanti semut gigit Amal papa tak tahu…”
Saya cuba fahamkan Amal Hayati supaya dia turun dari tempat tidur, dan makan di bawah.

“Amal duduk sini” katanya sambil makan keropok.

Amal Hayati akur. Dan terus makan sambil duduk atas lantai setelah melihat serpihan keropok dikelilingi oleh semut.

“Baguuus anak papa” Jawab saya sebagai penghargaan (ganjaran) kerana mendengar nasihat saya.

Anak Kecil Hanya Tahu Dirinya

Salah satu tips yang saya belajar tentang keibubapaan – anak kecil hanya fikir tentang dirinya sahaja. Dia tak dapat berfikir dari perspektif orang lain. Mahu saja berleter pada anak-anak, tetapi anak kecil sebenarnya sukar faham apa sepatutnya dia buat, dan kenapa kita melarangnya.

Kalau kita ceritakan susahnya kita, amat sukar mereka memahaminya. Apabila berebut barang mainan sebagai contohnya, mereka tak dapat bayangkan betapa sedihnya adik, apabila dirampas mainan dari tangannya.

Yang lebih berkesan bila berhadapan dengan 'konflik' anak kecil ialah, menceritakan akibat ke atas dirinya sendiri, sebab setiap orang mudah memahami dirinya sendiri dan pentingkan diri sendiri. Apapun yang dia buat, dia akan fikirkan apa manfaat pada dirinya. Em, bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa pun begitu juga sebenarnya.

Leteran Tak Bermanfaat Untuk Anak

Berleter pada anak-anak selalunya sekadar memuaskan emosi kita sahaja, tetapi tak bermanfaat untuk mereka. Kerana anak kecil sukar melihat sesuatu dari perspektif orang lain. Memang itulah keupayaan anak kecil.

Berleter, ditambah dengan hukuman ditakuti berlaku zalim pada anak kecil kerana mereka di hukum atas apa yang mereka belum mampu fahaminya. Yang ditakuti, anak kecil ini menganggap kita benci padanya kerana mereka sebenarnya belum memahami kaitan antara hukuman dan kesalahannya.

Hm, berteori memang la senang, tapi bila dikuasai oleh emosi, kami juga sukar menjadi ibu dan bapa yang cool

Wallahu ‘alam.

Zulkifli
Damansara Damai
7 Jun 2008, 7.21 pagi

Wednesday, June 11, 2008

Sukhoi – Pemusnah Yang Hebat


Alhamdulillah, semalam kami sekeluarga dapat bersantai di Hari Terbuka TUDM Subang. Wah… kami cukup teruja dapat melihat (dan menyentuh) pesawat-pesawat TUDM dari jarak yang dekat.

Helikopter Nuri Yang Disayangi

Dalam banyak-banyak jet pejuang, Sukhoi lah yang paling nampak gah berbanding “fighter jet” yang lain seperti MIG, Hornet, Hawk dsb. Sukhoi - buatan Rusia - adalah jet terbaru yang dimiliki oleh Malaysia. Boleh dikatakan semua pesawat TUDM dipamerkan, hinggakan pesawat zaman 70-an pun ada. Dari yang paling kecil dan paling lama, hinggalah paling besar dan paling baru.
Berhampiran pintu masuk ke pameran, dua jenis helikopter dipamerkan. Satunya Helikopter Nuri, dan satu lagi helikopter kecil - entah apa namanya. Sempat juga saya berbual dengan “steward” helikopter Nuri bernama John – orang Sabah atau Sarawak kalau ikutkan slangnya.

“Berapa umur helikopter ni Encik?”

“56 tahun”

“Ha? Woi, dah tua betul yer helikopter ni?”

“Aa.. aa… tapi kami memang ‘feel’ dengan helikopter ni?”

“Apa yang istimewanya?”

“Haa… helikopter ni senang… masa terbang, kami boleh tengok ke bawah… memang seronok… nak landing pun senang… ada ruang sikit pun dah boleh landing… kalau kami nak singgah makan nasi kat rumah pun boleh”
Begitu teruja sekali Encik John tentang Helikoper Nuri (Sikorsky). Rungutan orang politik tentang helikopter Nuri yang sudah berusia seolah-olah tak pernah dirisaukannya.

Sukhoi – Pemusnah Yang Hebat

Saya bersama isteri dan anak-anak pusing ke semua pesawat-pesawat yang dipamerkan. Sukhoi, memang membuat kami dan para hadirin teruja. Khabarnya, Malaysia memiliki 18 buah kesemuanya – kalau tak silap. Cuma 6 sahaja yang baru siap dipasang. Semua Sukhoi ini ditempatkan di Gong Kedak, Kelantan. (Memang betullah telahan saya bahawa jet yang kelihatan terapung-apung itu adalah Sukhoi – ketika perjalanan dari KT ke KB bulan lalu)

Menurut sahabat karib saya yang kerjanya service kapal terbang di TUDM Subang, Sukhoi sangat hebat berbanding fighter jet yang lain. Ia boleh terapung-apung di udara, boleh ‘flip’ dengan cepat untuk counter attack jet musuh sekiranya diserang dari belakang. Katanya lagi, Sukhoi adalah jet pejuang yang kedua terbaik setelah F-16 buatan Amerika.

Musnahnya Dunia Angkara Tangan Manusia

Melihat pada Sukhoi yang begitu hebat, terdetik kerisauan. Dengan hanya ‘seekor’ Sukhoi boleh membunuh jutaan manusia hanya beberapa minit jika ia dilengkapi dengan Bom Nuklear! Bukan sahaja membunuh, tetapi merosakkan keturunan manusia hingga beberapa generasi lamanya.

Lihat saja apa nasib Nagasaki dan Hiroshima. Nuklear yang ada sekarang khabarnya lebih 10 kali ganda kekuatannya berbanding Bom Atom yang dijatuhkan di Nagasaki dan Hiroshima.

Mungkin itulah sebabnya Amerika sangat takut jika negara Islam memiliki senjata Nuklear. Saya fikir, mungkin inilah juga jalan Tuhan mengingatkan kita bahawa dunia ini bakal musnah disebabkan tangan-tangan manusia.

Wallahu ‘alam.

Zulkifli
Damansara Heights
2 Jun 2008, 1.47 tengahari



Tuesday, June 10, 2008

Episod Kegawatan Telahpun Bermula


Pasaran saham dah mula merosot. Construction company dah mula bermasalah. Kadar faedah pinjaman bank dah mula dinaikkan. Profit forecast syarikat-syarikat swasta dah mula menunjukkan tanda-tanda negatif. Mungkin tak ada bonus untuk tahun depan.

Episod baru kegawatan ekonomi telahpun bermula. Bukan hanya untuk Malaysia, tetapi juga kepada dunia umumnya.

Berjimat-cermatlah dari sekarang. Simpanan kita jangan mudah diboroskan. Mungkin 2008 adalah tahun paling banyak untuk kita buat simpanan, demi hadapi 2-3 tahun akan datang.

Sekadar nasihat menasihati sesama teman.

Wallahu 'alam.

Zulkifli
Damansara Heights
10 Jun 2008


Di bawah ini adalah coretan saya pada bulan lalu, sebagai peringatan pada sahabat yang sedang “excited” untuk melabur di bidang hartanah. Coretan di bawah, saya kongsikan dalam yahoogroups sebelum episod kegawatan ekonomi belum benar-benar ‘bermula’.

-----------------------------------------------

Menghitung Hari Kegawatan Ekonomi


Bagus betul PLAN sahabat tentang cadangan pelaburan hartanah. Hartanah, antara pelaburan yang agak selamat. Orang kaya yang bijak, biasanya akan buat 'simpanan' dengan cara membeli hartanah. Orang Cina cukup suka beli hartanah, tetapi orang Melayu paling suka jual tanah tertutamanya tanah pusaka.

Saya sekadar nak maklum pada sahabat.

Kegawatan Setiap 10 Tahun

Menurut spekulasi yang saya terima, sekarang Malaysia dan dunia umumnya sedang menghitung hari untuk KEGAWATAN ekonomi.

Tempoh 10 tahun telahpun berlalu. Kegawatan akan datang setiap 10 tahun.

Petandanya, tengoklah keadaan ekonomi sekarang. Kononnya ekonomi sedang meletup-letup, tapi rakyat makin dilanda kebimbangan dengan kenaikan harga barang.

Persediaan Sebelum Gawat

Untuk hadapi kegawatan, kita semua perlukan TUNAI. Kalau boleh, langsaikan semua hutang sebelum gawat terutamanya hutang mudarat.

Di saat gawat, orang paling beruntung ialah mereka yang mempunyai Tunai. Ketika itu pasaran saham akan merudum ke tahap paling rendah. Pasaran hartanah pun turut senasib tapi tak separah saham.

Untungnya Mereka Yang Ada TUNAI

Ketika itulah, masa paling sesuai untuk membeli hartanah bagi sesiapa yang mempunyai TUNAI. Harga hartanah merudum, permintaannya sangat rendah kerana kadar faedah pinjaman ketika itu cukup tinggi.

Masa sekarang, semua pelabur mesti melabur dengan cara yang sangat berhati-hati. Kurangkan melabur dalam instrument yang berisiko tinggi.

Sekadar pandangan. Wallahu 'alam.

Zulkifli
Damansara Heights
12 Mei 2008

Monday, June 9, 2008

Bersemuka Dengan Media - TV1


Satu diskusi menarik akan diadakan dalam rancangan "Bersemuka Dengan Media" tentang isu kenaikan harga minyak.
Ahli panel ialah YB Salahuddin Ayub (PAS) dan YB Dato' Shahrir Abdul Samad (Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna).

Saksikan pada hari Selasa, 10 Jun 2008, di TV1, jam 9.30 malam.

Harap maklum.

Sunday, June 8, 2008

Kekayaan Negara Untuk Siapa?


Apakah Benar Malaysia Tertekan?

Minyak, oh minyak... Hm, saya tak faham kenapa kerajaan kita begitu tertekan dengan kenaikan harga minyak dunia. Semasa kenaikan dulu, saya pernah membuat coretan tentang isu ini dalam yahoogroups.

Kenaikan harga minyak dunia bukan disebabkan KOS PENGELUARAN, tetapi disebabkan SPEKULASI. Kenaikan minyak dunia sepatutnya menggembirakan seluruh rakyat Malaysia kerana negara kita adalah pengeksport bersih. Maksudnya, kita ada lebihan minyak di Malaysia.

Kenaikan Minyak Menguntungkan Malaysia

Kenaikan harga minyak dunia, bermaksud menjadikan PETRONAS untung berlipat kali ganda! Tak pecaya, tengoklah tahun lalu - PETRONAS mencatatkan "record profit" tak silap saya lebih kurang RM76 bilion, iaitu keuntungan paling tinggi dalam sejarahnya. Saya yakin, keuntungan tahun ini akan mencecah RM100 billion!

Em, siapalah diri saya nak komen pasal ekonomi. Tetapi pandangan yang pernah saya lontarkan dalam yahoogroups tahun lalu ada persamaannya dengan pandangan Tun Dr. Mahathir dalam artikelnya yang terkini di www.chedet.com.

Komen Tun Dr. Mahathir

"Mampukah Kerajaan terus beri subsidi? Saya “penasihat” Petronas tetapi saya tahu sedikit sahaja berkenaannya dan tidak lebih daripada apa yang dilaporkan dalam akaunnya yang diumumkan. Apa yang saya tahu mungkin tidak begitu tepat tetapi cukup untuk saya membuat beberapa penilaian.

Malaysia mengeluar lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kita guna 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong di export.

Tiga tahun lalu minyak mentah dijual pada kadar USD30 satu tong. Hari ini ianya USD130 – kenaikan sebanyak USD100. Hampir tiada peningkatan di dalam kos pengeluaran oleh itu lebihan USD100 boleh dianggap untung bersih.

250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi kita pulangan 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (Dua puluh tujuh bilion Ringgit).

Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik Kerajaan. Kerajaan ini melimpah dengan wang." - Tun Dr. Mahathir, 5 Jun 2008

Dikejar Secupak, Rugi Segantang...

Mungkin ada benarnya Anwar Ibrahim boleh berjanji kepada rakyat sewaktu kempen PRU-12 bahawa harga minyak RUNCIT - untuk penggunaan rakyat Malaysia - akan diturunkan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah. Saya percaya, kenaikan harga petrol domestik kepada RM2.70 hanyalah jalan kerajaan untuk mengaut untung secupak, tetapi akhirnya rugi segantang.

Mungkin saya akan coretkan andaian saya bagaimana kerajaan akan lebih rugi dengan kenaikan ini di artikel akan datang. Saya bukanlah pakar ekonomi, tetapi isu ekonomi menarik minat saya untuk mengikutinya.

Wallahu 'alam.

Zulkifli
Damansara Damai
6 Jun 2008, 8.17 pagi

Thursday, June 5, 2008

Antara 2 Cinta


“Cinta, cinta, cinta. Ah! Aku bosan dengan cerita “Cinta” (manusia) ni. Cinta Tuhan lagi bagus kerana orang yang cintakan Tuhan tak pernah kecewa”

Mungkin itulah keluhan orang yang pernah kecewa dalam bercinta, dan sedang memburu cinta Tuhan.

Cinta Tuhan, Cinta Manusia. Istilahnya sama, hakikatnya berbeza. Cintailah manusia, tetapi cinta manusia dengan maksud cintakan Tuhan. Menyintai manusia dengan meninggalkan Tuhan adalah cinta yang diajar oleh Bollywood dan Hollywood.

Cinta adalah Buah Keimanan

Mencintai manusia disuruh Allah. Ia adalah BUAH IMAN. Kerana iman dan kasih sayang adalah berkadar terus. Ia tak boleh dipisahkan. Kalau tak kasihkan manusia, itu tandanya IMAN belum lagi beres (sempurna). Cinta pada manusia terhasil dari kecintaan kepada Allah. Mencintai manusia kerana Allah.

Tugas Hamba, Tugas Khalifah

Mencintai Allah mesti benar-benar diusahakan kerana ia tugas bersifat “verticle” (Peranan HAMBA). Hubungan HAMBA dengan Tuhannya. Mencintai makhluk Tuhan, itu tugas bersifat “horizontal” (KHALIFAH). Hubungan makluk sesama makhluk. Lagi kuat kecintaan kepada Tuhan, lagi kuat cintanya pada manusia. Itulah pesanan Nabi S.A.W kepada para sahabat apabila ditanya siapa yang lebih cintanya kepada orang lain dari kalangan mereka.

Jalan Bahagia Melayari Cinta

Ramai manusia (remaja) cenderung mencintai manusia dengan meninggalkan Tuhan. Sebabtu BAHAGIA yang dicari-cari (melalui cinta) tak dapat-dapat. Akibat dari tak kenal diri dan tak kenal Tuhan.

Sebagai ‘pendakwah’, kita mesti berusaha menyintai Tuhan, dalam masa yang sama beri panduan pada manusia bagaimana nak dapat BAHAGIA dalam bercinta. Tak lain tak bukan, mesti kembali kepada Tuhan yang menjadikan cinta dan memberikan BAHAGIA yang manusia cita.

Dah Beres ke Iman Kita?

Em... Satu lagi, tugas HAMBA dan KHALIFAH mesti berjalan serentak. Kalau kita dakwa cinta Tuhan, tapi tak kisah sesama manusia, itu tandanya ada benda yang tak beres pada iman kita. Itulah pesan Nabi S.A.W pada kita. (“Tak beriman seseorang itu sehinggalah mereka menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri” – Maksud Hadis)

Nabi S.A.W dan para sahabat benar-benar cintakan Tuhan. Dari kecintaan pada Tuhan, terbitnya cinta sesama manusia. Kerana cinta, mereka keluar kepada manusia untuk kongsikan (dakwah) betapa nikmatnya bercinta dengan Tuhan. Supaya manusia lain dapat nikmati sama. Supaya manusia selamat di dunia, selamat di akhirat. Itulah tanda cinta sejati Nabi. S.A.W kepada ummatnya.

Cintanya Nabi S.A.W pada Kita

Em.. kalau kita tengok cerita dalam TV, memang jadi kebiasaan, orang yang nak mati akan sebut-sebutkan nama orang yang dicintainya. Dia akan beri pesanan terakhir untuk insan tercinta.

Begitu jugalah dengan Nabi S.A.W. Disaat nazak Nabi ingatkan kita. Nabi risaukan kita. "Ummati, ummati, ummati" (Ummatku, ummatku, ummatku). Oh! betapa cintanya Nabi kepada kita semua. Baginda risaukan keselamatan kita sebagai ummatnya.

Allahumma solli ‘ala Muhammad, wa ‘ala aalihi wasohbihi ajma'iin. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi, dan ikutlah jejak langkah Nabi S.A.W. Moga di hari manusia berebut-berebut mendapat syafaat Nabi (di Akhirat), Nabi ‘ingat’ akan kita sebagai ummatnya.

Insyaallah.

Wallahu 'alam.

Zulkifli
Damansara Damai
9 April 2007


Cintailah mereka yang menyintai kita, insyaallah akan dapat BAHAGIA - Allah, Rasul, Ibubapa, Suami/ Isteri, Keluarga dan Sahabat.

Bertuahnya sesiapa yang dapat menyintai Tuhan, kerana cinta Tuhan tiada kecewa. Cintanya Tuhan pada kita, Dia menjadikan kita tanpa diminta. Dia MEMBERI (rezeki) tanpa berkira. Subhanallah…

Sunday, June 1, 2008

Menulis Dengan Hati



“Salam... ni first time berkunjung ke blog akhi. TAHNIAH atas penulisan yg bernas & berkesan. semoga terus istiqomah. Bagaimana cara nak bagi penulisan menyentuh hati & mcm mana nak grab idea utk tulis sesuatu artikel?”
Komen seorang sahabat tentang blog ini.
­­­­­­­-----------------------------------------------------

Menulis Dengan Hati

Em, saya terlalu mentah untuk bagi panduan tentang penulisan. Ia lebih sesuai dijawab oleh penulis berpengalaman. Cuma apa yang boleh saya kongsikan ialah tulislah dengan hati.

Saya tulis, sekadar perkongsian dari hati ke hati bersama kenalan terdekat yang kami sayangi. Kerana mahukan kebaikan sesama sendiri, saya menulis – sebagai jalan untuk saling menasihati.

Oleh kerana ia perkongsian sesama kenalan, so tak perlulah gunakan gaya bahasa yang formal. Janji pembaca dapat mesej yang nak disampaikan, kira jadilah.

Menulis Untuk Berkongsi

“Yang, Abang dah create blog kita. Kalau ada apa-apa nak kongsikan pada sahabiah, meh Abang tolong postkan”

“Ish, Ayang nak tulis apa? Ayang suri rumah jer”

“Ala, kongsi la apa-apa pun yang bermanfaat... Kan Ayang suka kongsikan pasal pregnancy tu kat kawan-kawan? Kalau postkan kat blog, mungkin lagi ramai orang dapat manfaat”

Kedua, saya menulis untuk berkongsi. Berkongsi apa yang kami ada, dan topik yang benar-benar kami “feel” tentangnya, terutamanya tentang “pelajaran hidup” yang kami perolehi. Ia mungkin berbentuk kefahaman melalui pengajian dan pemerhatian, mahupun kesilapan yang amat sukar kami lupakan.

Setiap orang, pengalamannya berbeza. Setiap pengalaman, pastinya terdapat pelajaran baru untuk kita. Berk0ngsi tentang apa yang kita lalui, mungkin juga bermanfaat kepada orang lain. Setiap orang yang ambil manfaat, pastinya ada saham pahala untuk kita – kalau ikhlas.

Blog: Jalan Mencari Pahala

Pesan Nabi, sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain. Menulis blog, boleh jadi jalan untuk menyahut seruan Nabi. Ramai orang dapat akses penulisan kita pada bila-bila masa, dan di mana sahaja.

Orang yang banyak beri manfaat, hidupnya pasti bahagia. Memang itu janji Tuhan untuk kita. Dan itulah juga tugas kita sebagai Khalifah di dunia - memberi manfaat kepada diri, sesama manusia, dan kepada dunia seluruhnya.

Kata Ustaz Hasrizal di saifulislam.com, “MEMBERI adalah syarat untuk MENERIMA”. Beri dulu baru diberi (menerima).

Koreksi Diri Melalui Penulisan

Tapi, kalau tulis semata-mata untuk orang baca, kita akan kecewa. Lebih baik tulis sekadar nota buat diri. Untuk ingatkan diri sendiri. Suatu hari nanti, tulisan kita boleh jadi bahan muhasabah diri.

Kita boleh kenal siapa kita 2, 3 tahun lalu dengan baca semula tulisan lama. Bagaimana amalan kita, emosi kita, kefahaman kita, sikap kita dsb, boleh kita cek balik dengan merujuk tulisan lama. Sebab itulah saya arkibkan tulisan-tulisan lama dari cintaalam@yahoogroups.com ke dalam blog. Supaya senang dirujuk semula.

Menulis Untuk Mengukuhkan Ilmu

Harta, kalau dikongsikan akan habis, tetapi ilmu, makin dikongsi makin bertambah. Sebab tu lah salah satu sebab kenapa Sayyidina Ali k.w. pilih ilmu berbanding dengan harta apabila disuruh pilih antara satu.

Maka, satu lagi manfaat menulis ialah mengukuhkan ilmu dan kefahaman yang kita ada. Banyak ilmu dan kefahaman saya yang lalu, hilang begitu sahaja kerana tak dikongsikan.

Jangan Menulis Ketika Marah

Em, mungkin satu lagi tips untuk hasilkan tulisan yang baik ialah menulis ketika hati tenang dan damai. Elakkan menulis ketika marah, atau jiwa resah gelisah kerana pastinya ia tertumpah ke dalam penulisan kita. Pada saya, kita dapat baca emosi seseorang juga melalui penulisannya.

Wallahu ‘alam. Sekadar berkongsi.

Selamat menulis, selamat menjadi blogger! (“,)

Zulkifli
Kuala Terengganu
19 Mei 2008, 9.20 pagi

Saya suka ikuti blog sahabat dan kenalan, kerana melalui blog, kita boleh kenalinya lebih dari sekadar nama – sikapnya, emosinya, minat dan kecenderungannya, kefahaman dan pemikirannya, dan mungkin juga aktivitinya.

Saya galakkan setiap sahabat ada blog sendiri, supaya kita saling mengenali. Tapi ingat, jangan biarkan blog jadi satu lagi ‘beban’ dalam hidup… ingat tu… (“,)