MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Silaturrahim : Jalan Lain Ke Syurga

November 19, 2009

"Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (Surah An-Nur 24 : 22)

Bila terbaca ayat Al-Quran dari Surah An-Nur 24, ayat 22 ni, saya teringat huraian Ustaz Mohd Faisal Abdul Hamid (Pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, UM) masa kuliah beliau di akhir Ramadhan yang lalu.

Ustaz kupaskan betapa pentingnya menjaga hubungan silaturrahim. 

Silaturrahim maksudnya hubungan dengan orang yang ada pertalian darah dengan kita - keluarga. 

Khabar Ifki

Ayat Quran tu sebenarnya adalah teguran Allah S.W.T kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq berikutan peristiwa Khabar Ifki (Berita Palsu) kerana Allah sayangkan beliau.

Berita palsu tu disampaikan oleh sepupu Abu Bakar kepada Abdullah bin Ubai (Bapa Munafiq).

Dan kemudian, Abdullah Bin Ubai sebarkan berita palsu tu bahawa isteri Nabi S.A.W. Aisyah r.a yang juga anak Abu Bakar r.a. telah berzina. Sedangkan Abu Bakar lah yang sara hidup sepupunya sekeluarga yang hidup miskin di Madinah.

Apabila sepupu beliau tengok unta Aisyah di heret oleh sahabat Nabi bernama Sofwan, dia ceritakan kepada Abdullah Bin Ubai bahawa Aisyah telah berzina. 

Sayangnya Allah Pada Abu Bakar r.a.

Lepas 40 hari, akhirnya turunlah ayat yang mengatakan Aisyah tak berzina.

Lepas buat siasatan, Abu Bakar dapat tahu yang sepupunyalah punca fitnah tersebut. Maka beliau bersumpah atas nama Allah yang beliau tak akan lagi tolong (hentikan bantuan) sepupunya tersebut. 

Malam tu juga Allah turunkan ayat Quran di atas (yang menyentuh tentang menjaga silaturrahim), iaitu lebih cepat dari ayat yang membersihkan nama Aisyah sedangkan ayat Quran yang membersihkan nama Aisyah hanya turun lepas 40 hari.

Bila Abu Bakar potong bantuan, Allah terus tegur. Sebab apa? Allah nak Abu Bakar masuk syurga, yang sepupu dia tu biarlah masuk neraka.

Bila kita jaga hubungan silaturrahim, beri bantuan kepada keluarga kita yang susah, bukan nak mereka balas, tetapi kita nak janji Syurga dari Tuhan. 

Buat Baik Pada Ibubapa & Menjaga Silaturrahim

Hari tu, Ustaz Faisal ada huraikan pesanan Nabi S.A.W yang bermaksud;

Daripada Anas r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang mahu dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menyambungkan silaturrahim (hubungan kekeluargaan)” (HR Bukhari no. 2067, 5986), (HR Muslim no. 2557), [Riyadhus Solihin no. 319]

Menurut Ustaz Faisal, dua perkara yang Allah balas "cash" di dunia iaitu buat baik pada ibubapa dan menghubungkan silaturrahim.

Kalau buat baik pada ibubapa dan menjaga silaturrahim, balasnya terus Allah bagi di dunia lagi, tak payah tunggu Akhirat.

Kalau derhaka pada ibubapa, dan memutuskan silaturrahim, azabnya juga Allah bagi "cash" di dunia lagi. 

Kunci Bahagia...

Sebab tu, kalau nak bahagia dan berjaya dalam hidup, kena betul-betul jaga hubungan terutamanya dengan ibubapa dan mertua.

Jangan sampai pergi melancong sana sini dua tiga kali setahun, sedangkan balik jenguk orang tua cuma sekali setahun! Itupun tunggu raya puasa jer. 

Berbelanja mewah itu dan ini boleh, tapi nak hulur duit pada mereka pun rasa tak cukup duit! Oh... nauzubillah... Orang begitu tak akan rasa bahagia...

Apa yang saya tahu, kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup kita tak akan dapat, hatta kita cari hingga ke hujung dunia sekalipun selagi hubungan kita dengan orang tua kita bermasalah. Hidup tak berkat dan sentiasa 'melarat'.

Bila tak berkat, harta banyak mana sekalipun tetap tak bahagia! Hidup ni akan ada saja benda yang tak kena... 

Kebajikan: Utamakan Keluarga dan Saudara-mara

Dan pasal silaturrahim pulak, Ustaz pesan, kalau nak buat kebajikan, nak keluarkan zakat atau sedekah, utamakan keluarga kita dulu. Tengok dulu kalau-kalau keluarga kita lebih memerlukan.

Mungkin kita ada adik beradik dan sepupu-sepapat yang susah di kampung. Jadi, utamakanlah mereka dulu. 

Soal mereka tak balas atau tak berterima kasih itu soal mereka. Tak ada kena mengena dengan kita. Yang kita nak bukan balasan dari mereka, tapi kita nak janji Syurga dan kasih sayang dari Tuhan.

Bila Tuhan sayang, hidup kita akan cukup segalanya... Serba serbi akan jadi cukup walaupun mungkin mengikut kiraan matematik, ianya tak cukup... 

Wallahu a'lam. 

Zulkifli
Damansara Damai 
18 November 2009
30 Zulkaedah 1430H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>