Tuesday, January 27, 2009

Kelahiran Baru: Awasi Penyakit Kuning

Rawatan fototerapi untuk bayi yang terkena penyakit kuning - jaundis (foto hiasan)

“Maaf encik. Anak encik kena tahan sebab bacaan kuningnya terlalu tinggi. Kalau bacaannya terus naik, mungkin darahnya terpaksa ditukar!”

Terkejut.

Berita Aisyah (anak pertama) terkena penyakit kuning (jaundis) membuatkan hati kami risau dan gundah. Belum seminggu bergelar ayah/ ibu, kini anak kami terpaksa dimasukkan ke wad – di Hospital Kuala Terengganu pada tahun 2004.

Tak Tahu Penyakit Kuning

Sakit kuning katanya. Ish, saya tak berapa tahu penyakit itu. Masa bersalin, doktor dan jururawat bersalin tak pernah beritahu dan ingatkan kami tentang langkah-langkah penjagaannya. Dan tak ada sesiapa yang ‘ingatkan’ kami tentang risikonya pada bayi.

Dua tiga hari pertama kelahiran anak pertama kami sungguh keletihan. Waktu tidur dan rehat tak menentu. Kami memang tak biasa berjaga malam. Aisyah pula agak kuat menangis – mungkin juga kerana lapar. Susu ibu tak banyak, dan kami tak guna susu botol kerana bajet.

Bahaya: Banyak Tidur, Kurang Menyusu

Kalau Aisyah tidur, itulah peluang untuk kami tidur. Kalau lama dia tidur, lama jugalah kami berpeluang merehatkan diri. Sedangkan, bayi yang terlalu banyak tidur dan kurang menyusu, sangat berisiko untuk terkena sakit kuning. Malangnya, kami tak tahu akan risikonya pada ketika itu.

Aisyah nampak kekuningan, tapi kami tak bawa berjumpa doktor sebab matanya tak berapa kuning lagi sedangkan kuning pada mata adalah petanda kuningnya pada tahap kronik!

Pengalaman Pertama Sebagai Ayah/ Ibu

Pengalaman pertama sebagai ayah dan ibu, kami banyak belajar melalui kesilapan. Satu persatu kesilapan. Mangsanya adalah Aisyah! Oh, apabila memikirkan tentang kesilapan itu, kami rasa sangat bersalah pada Aisyah kerana tak betul-betul bersedia menyambut kelahirannya. Kurang ilmu, dan kurang membaca (belajar).

Tips Pengawasan

Ketika menyambut kelahiran Amal (anak kedua kami), kami agak bersedia. Jururawat dan kaunselor di Pusat Perubatan An-Nisa Kota Bharu memberi input yang cukup baik tentang pengawasan penyakit itu. Antara tipsnya:

1. Pastikan bayi menyusu setiap dua jam. Paling baik susu ibu. Jangan biarkan dia banyak tidur. Kalau tidur, kejutkan dia. Dia menangis tak apa, sebab bayi beriadah dengan menangis.

2. Sentiasa awasi kekuningan pada bayi. Tekan-tekan pipi atau dadanya. Kalau kulitnya kelihatan kuning dan lambat kembali merah, bawa jumpa doktor. Mungkin dia perlukan rawatan fototerapi.

3. Daftarkan ke klinik desa kalau duduk di kampung. Jururawat akan datang ke rumah secara berkala untuk awasinya disamping berkongsi teknik menjaga bayi. Kalau di bandar, bawalah bayi ke klinik untuk pemeriksaan terutamanya pada hari ke-3 atau ke-4 kelahiran.

4. Tak perlu jemur bayi di bawah matahari. Ia boleh memudaratkan kesihatan yang disebabkan sinaran UV – ozon nipis.

5. Jangan bagi susu kambing. Ia tak membantu bahkan boleh memudaratkan bayi – tak sesuai untuk bayi.

Tentang Penyakit Kuning

Penyakit ini sebenarnya berisiko pada 7 hari pertama kelahiran. Lepas minggu pertama, insyaAllah dah kurang berisiko sebab badan (hati) bayi mempunyai daya tahan untuk mengeluarkan kuning (bilirubin dalam darah). Lebih kurang 50 peratus bayi baru lahir hari ini terkena penyakit ini.

Tapi jangan pandang remeh. Bayi boleh menjadi pekak, dan kemungkinan kerosakkan otak disebabkan jaundis!

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
16 Januari 2009


Untuk ibu bapa yang bakal sambut kelahiran baru, studylah sikit sebanyak tentang penyakit jaundis. Supaya kita lebih bersedia…

Wednesday, January 21, 2009

Nasihat Sesama Teman - Alumni PMI

Kenangan HAMCA 2005 di Cameron Highland
CA ini persatuan kita i.e. alumni PMI. Keluarga kita. Kita yang buat dia. Kalau ada idea yang baik untuk menjayakan CA, buatlah. InsyaAllah sahabat-sahabat lain akan sokong. Realisasikanlah apa yang difikirkan baik untuk sahabat.

Fungsi CA – Kelab Alumni

Saya nampak, memang terlalu sukar untuk jadikan CA sebagai ‘badan dakwah’ yang mentarbiyyah ahli. Saya secara peribadi gagal mencari formula ideal itu untuk CA.

Yang saya nampak, CA adalah medan bertemu sesama sahabat. Bertemu secara fizikal, mahupun di alam siber. Moga dalam pertemuan itu juga adalah tarbiyyah. Solehnya sahabat-sahabat dapat memberi kesan kepada kita. Kerana dalam persahabatan (yang soleh) itu juga ada bekalan (iman) kata Kak Ani.

Usrah Alumni

Pasal usrah ni, saya agak buntu. Keluarga CA yang semakin membesar membuatkan usrah cara konvensional dah tak relevan lagi. Rumah kita yang sempit, memang tak lagi sesuai untuk pertemuan usrah.

Tambahan pula, ahli-ahli kita yang sudah beranak-pinak, memang tak sesuai membuat pertemuan lebih daripada satu jam. Bukan 1 jam, bahkan mungkin setengah jam pun anak-anak kecil kita dah mula boring dan meragam untuk menunggu lebih lama.

Usrah Siber?

Em, saya pun tak tahu macam mana usrah yang ideal bagi CA. Saya nampak, jalan mengislah sesama sahabat ialah dengan bertemu dan berbual di alam siber, dan saling berziarah yang mana termampu. Menulis blog, dan berziarah di blog-blog sahabat juga satu cara untuk kita mengekalkan ukhuwwah sesama sahabat.

Nak berkumpul semua? Tunggulah HAMCA atau Hari Keluarga peringkat Zon masing-masing. Ataupun lain-lain gathering yang sama waktu dengannya.

Hidup Tanpa Jamaah

Kalau rasa gersang dari pengisian, saya pernah kongsikan tipsnya di artikel "Kembali Beriltizam Bila Iman Dibangunkan" dalam blog saya. Itulah nasihat saya untuk diri sendiri dan sahabat.

Pentingnya pengisian, dan juga sentiasa hidup berjemaah bukan untuk jemaah, tetapi untuk diri sendiri. Hidup tanpa berjemaah dan tak bergaul dengan masyarakat adalah hidup yang sangat membosankan. Bahkan boleh membahayakan iman kita. Syaitan-syaitan jin dan manusia mudah benar 'membaham' orang begini kata Nabi S.A.W.

Paksa Sampai Rasa Selesa

Nasihat saya juga, paksalah diri untuk jadi kaki surau dan masjid. Paksa diri ke majlis ilmu. Paksa, paksa dan paksa sampai dah rasa SELESA. Bahkan mungkin sampai rasa terseksa kalau tak dapat ke surau, masjid dan majlis ilmu. Kerana tempat-tempat itu ramai orang soleh. Moga wangian iman dan taqwa orang soleh itu juga terlekat pada kita.

Bila selalu ke surau dan masjid, dan bergaul dengan orang yang soleh, insyaAllah kita tak akan gersang dari pengisian. Hidup jadi bahagia dan lebih gembira insyaAllah.

Kejar Akhirat, Ingat Dunia

"Carilah Dunia, tapi jangan lupa akhirat" adalah ungkapan yang kurang tepat kata seorang sahabat. Yang betulnya ialah "carilah Akhirat, tapi jangan lupa dunia" kerana Akhirat tempat kekal kita. Akhirat tempat tuju, dunia tempat singgah.

Ish, cukuplah berceloteh. Cakap memang senang. Takut-takut tak terbuat apa yang saya cakap. Sekadar memperingati diri sendiri yang selalu alpa.

Wallahu a'lam.

Zulkifli
Damansara Damai
8 Oktober 2008

Resolusi HAMCA 2005 di Cameron Highland; tiga komitmen setiap alumni PMI iaitu:
1- Infaq Bulanan RM10 secara berterusan kepada PMI;
2- Hadir usrah berkala zon masing-masing apabila dianjurkan; dan
3- Hadir HAMCA setiap kali di anjurkan.

Kalau setiap Alumni komited dengan yang no. 1, saya raya itu sudah cukup baik dari sudut peranan kita sebagai alumni PMI.

Thursday, January 15, 2009

Bersalin: Jangan Lupa Sijil Nikah


“Maaf encik, kami tak boleh daftarkan kelahiran anak encik tanpa sijil nikah?”

“Kenapa tak boleh? Saya nak daftar anak ke-4? Bukan ke rekod JPN boleh cek yang saya dah daftar tiga orang anak sebelum ni? Masa daftar anak kedua saya dulu, pegawai tu kata tak perlu sijil nikah sebab JPN dah ada rekod daftar anak pertama”

“Boleh tu memang boleh cek (dalam sistem). Tapi mulai tahun ni, sijil nikah wajib kena ada (tunjukkan dan beri satu salinan) walaupun daftar anak ke-10 sekalipun!?”

“Ish… kenapa susah sampai macam tu?”

“Memang ini kehendak ISO kami. Encik boleh jumpa pegawai kami kalau nakkan penjelasan”


Antara perbualan saya dengan kakitangan JPN Kota Bharu pagi tadi. Sulit sekali kerana sijil nikah saya tertinggal di KL.

Ke Jabatan Pendaftaran Negara

Agak kecewa pagi tadi. Sejam lebih menunggu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Pasir Mas untuk daftar anak ke-4 kami. Tapi talian tetap off-line.

Tak tahu bila masalah talian akan selesai, saya terus ke JPN Kota Bharu di Wisma Persekutuan. Nak selesaikan urusan pendaftaran secepat mungkin.

Wah, agak sesak JPN di sini. Ruang pejabat pun sangat sempit. Sangat jauh bezanya dengan JPN Pasir Mas - yang luas, lapang dan tak ramai ‘pengunjung’.

Kesulitan disebabkan ISO?!

Sudahlah sesak, saya dikecewakan dengan prosedur yang menyusahkan atas alasan ISO. ISO? Saya juga tahu apa itu ISO kerana hampir setiap tahun saya mengaudit syarikat tentang kepatuhan terhadap ISO!

Berdasarkan penjelasan pegawai JPN itu, saya rasa perlaksana prosedur ISO itu tak benar-benar memahami kehendak ISO. Kerana ISO bukan menyulitkan begitu. Saya cuma mendengar penjelasan, dan terimanya dengan rasa terkilan. Cakap banyak pun tak guna sebab pegawai itu bukanlah penggubal prosedur. Dia cuma ikut saja dengan lurus bendul.

Matlamat ISO – Kecekapan Operasi, Kepuasan Pelanggan

ISO. Matlamat akhir ISO ialah kepuasan pelanggan yang terhasil daripada kecekapan operasi. Semua proses yang tak perlu, perlu diubah atau dibuangkan sama sekali untuk memudahkan pelanggan! Kalau ada 4 daripada 10 langkah dalam proses itu yang tak perlu, atau redundant, ia mesti ubah…

Kalau ikutkan pada matlamat ISO, anak ke-4 saya sepatutnya boleh didaftarkan tanpa sijil nikah kerana rekod JPN telah mengesahkan saya telah berkahwin, dan mempunyai 3 orang anak! Jadi apa perlunya lagi salinan sijil nikah! Sudah tiga salinan sijil nikah saya telah tersimpan di JPN – ketika pendaftaran anak pertama, kedua dan ketiga!

Terkilan di Pagi Hari

Terkilan, sijil nikah saya tertinggal di KL! Dan anak saya tak boleh didaftarkan hari ini. Sedangkan pendaftaran cuma boleh dibuat di Kelantan atau Putrajaya sahaja. Di KL/ Selangor tak boleh sebab kelahiran di Kelantan…

Ikut pada jadual, saya akan balik KL pada 12 Januari, dan entah bila akan balik semula ke Kelantan. Kalau daftar di Putrajaya, maksudnya, bila balik KL, saya mesti ambil satu hari cuti semata-mata untuk urusan pendaftaran. Sedangkan saya tengah bercuti panjang ni! Oh, ruginya bazirkan cuti sebegitu…

Tempoh Pendaftaran: 15, dan 42 Hari!

Kakitangan JPN menasihatkan supaya daftarkan dalam masa 15 hari kelahiran atau dikenakan denda atas kelewatan. Atau setidak-tidaknya, jangan lebih 42 hari kerana lepas tempoh itu, prosedurnya amat sukar sekali. Kena angkat sumpah dsb…

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Pasir Mas, Kelantan
4 Januari 2009

(diedit pada 15 Januari 2009)

Untuk makluman, JPN hanya terima sijil nikah (asal dan salinan) sahaja. Kad nikah tak diterima. Dan satu lagi, jangan lupa bawa kad pra-natal (pemeriksaan mengandung) sekali. Peringatan ini penting bagi mereka yang merancang untuk balik bersalin di kampung.