.jpg)
Pagi Ahad lalu, ketika berusrah dengan adik-adik di KSKB, ada yang bertanya persoalan riba dalam muamalat - ekonomi. Kebetulan tajuk yang kami bincangkan masa tu ialah “Islam Sebagai Ad-Deen”.
Syawal, salah seorang sahabat (anggota usrah) kongsikan ilmu yang pernah dia belajar katanya;
“kalau kita bagi pinjam motor, tapi bagi syarat kena isi minyak penuh, itu pun dah dikira riba!” - SyawalYer, memang betul. Itulah riba yang sangat realiti dengan pelajar kampus. Beri pinjam, dengan syarat dapat keuntungan itu dikira riba. Seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini, tak ada konsep untung dalam memberi hutang/ pinjaman, kerana ia adalah konsep ta’aawun – tolong menolong.
Cara Terbaik Membayar Hutang
Walaupun begitu, Tuhan itu Maha Adil. SyariatNya tak membenarkan kita kaut untung bila beri hutang. Walaupun begitu, Dia mengajar kita melalui Nabi S.A.W supaya orang yang berhutang langsaikan hutang dengan cara yang paling baik supaya si pemberi pinjam juga 'tak rugi' iaitu;
Pertama, bayar lebih dari nilai kita pinjam.
Bayar lebih ini tak boleh disyaratkan semasa aqad (persetujuan) pinjaman. Ia adalah atas dasar sukarela si penerima pinjaman ketika nak bayar hutang sebagai membalas jasa baik si pemberi hutang yang menolongnya.
Kalau si peminjam secara ikhlas mahu membayar lebih (sebagai membalas budi) ketika aqad pinjaman, ia tetap riba (haram). Riba tak boleh terhapus kerana "ikhlas".
Ikutkan pengalaman, saya akan bayar balik kepada orang yang memberi hutang lebih dari nilai yang saya pinjam - sebagai balasan atas jasa baiknya membantu saya. Nilai "lebih" tersebut saya kira berdasarkan berapakah keuntungan yang boleh dia dapat kalau duit itu dilaburkan dalam Tabung Haji.
Alasannya, saya biasanya simpan duit dalam Tabung Haji kalau tak digunakan dan nilai pulangannya agak konsisten dan sederhana - tak begitu rendah, tak begitu tinggi.
Kedua, bayar secepat mungkin sebaik sahaja ada kemampuan. Jangan bertangguh-tangguh.
Selesaikan hutang lebih awal daripada tempohnya bukan sahaja dapat pahala, bahkan hidup kita jadi lebih ceria. Seperti terangkat satu bebanan yang memberatkan hidup kita.
Alhamdulillah, setakat ini, pinjaman pelajaran, pinjaman kereta, dan semua hutang-hutang lain, semuanya Allah permudahkan saya untuk langsaikan jauh lebih awal dari tempohnya. Memang lega benar rasanya…
Dua cara ini adalah iktibar yang kita boleh dapat daripada hadis Nabi S.A.W;
“Yang terbaik di kalangn kamu ialah orang terbaik melunaskan hutangnya” (H.R. Muslim)
Hadis ini bersempena dengan kisah Abu Raafi’ yang diminta oleh Nabi S.A.W supay menyerahkan unta kepada seorang lelaki yang telah meminjamkan seekor unta muda kepada Nabi S.A.W. Nabi meminta Abu Raafi’ mengambil unta (milik Nabi S.A.W) untuk diberikan kepada lelaki tadi sebagai bayaran hutang unta tersebut.
Abu Raafi’ memberi tahu Nabi S.A.W bahwa unta muda sebagaimana yang dipinjamkan oleh lelaki tadi tidak ada, tetapi yang ada hanya unta terbaik dan terpilih. Nabi memerintahkan Abu Raafi’ supaya memberikan unta yang terbaik lagi terpilih tersebut kepada lelaki tadi dan menyatakan sabda di atas.
Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. telah berhutang dengannya dan Nabi S.A.W. telah membayar hutang tersebut dengan memberikan tambahan. (Hadis Riwayat Bukhari, Mulim, dan Ahmad)
Berbalik kepada contoh awal tadi, bagi pinjam motor, kalau nak dapat ‘keuntungan’, caranya bukan bagi pinjam, tetapi bagi SEWA. Sewakanlah motor dengan nilai “isi minyak penuh”, barulah ia tak jadi riba.
Sekadar berkongsi. Wallahu a’lam.
24 Februari 2009
Damansara Damai
Artikel berkaitan:
Beri Hutang - Bukan Jalan Mendapat Untung
Beri Hutang – Antara Gagal & Berjaya
.jpg)
.jpg)