Tuesday, March 24, 2009

Hari Keluarga Haji Sidek 2009

Panorama Pantai Indah Seaview Resort dari tingkat enam
Alhamdulillah,

Lastweek (7 – 9 Mac 2009) kami dapat join Hari Keluarga Haji Sidek & Hajjah Munirah. Actually, Haji Sidek & Hajjah Munirah ni moyang saya sebelah emak. Berasal dari Muar, Johor.

Saya pun tak sempat jumpa Haji Sidek dan Hajjah Munirah. Cuma sekadar doa, moga roh mereka di cucuri rahmat oleh Allah S.W.T, dan ditempatkan bersama para solihin.

Hari Keluarga Kedua

Kali ni, adalah Hari Kelurga Ke-2 yang dianjurkan. Tahun lepas, buat masa raya Cina kat Pangsun. Tahun ni, kami buat kat Pantai Indah Seaview Resort, Kuala Selangor.

Pengarah Program ialah Datuk Zaidon Asmuni, Ketua Pengarah RELA Malaysia, sepupu mama, dan dibantu oleh Haji Omar Haji Hassan, abang sulong mama. Mereka berdualah yang berkerja keras untuk pastikan himpunan keluarga kali ni berjaya.

Program ni menarik dan sangat bermanfaat especially mama dan adik beradik serta sepupu mama ramai dah beranak cucu.

Himpunan Keluarga 15 Tahun Dulu

Dulu, kalau musim raya aidil fitri kami semua akan berkumpul kat rumah Atuk (nenek) dan arwah Yaie (datuk) kat Kg. Sungai Pulau, Muar, Johor. Tapi sejak arwah Yaie sakit, sekitar tahun 1996, kami dah jarang berkumpul pada hari raya coz Atuk & Yaie berpindah menyewa di Gombak. Rumah dan tanah kat kampung dah jual.

So, raya kat KL tak best macam raya kat kampung. Kalau kat kampung, setiap kali musim raya, memang seronok. Gotong royong memasak, bersih rumah kami buat sama-sama dengan pakcik, makcik, dan sepupu.

Aktiviti sampingan sebelum menjelang raya ialah memancing, menembak burung dan ayam hutan – hobi abah dan pakcik.

Hari raya pulak, biasanya kitaorang akan bergerak secara rombongan ziarah sanak saudara dan jiran-jiran. Kekadang ziarah sampai ke Jambi, Batu Pahat. Dan aktiviti yang paling best ialah ikut rombongan marhaban. Bermula dari laut ke darat.

Dapat jumpa ramai sepupu di Hari Keluarga Haji Sidek

Pelbagai Latarbelakang

Tapi bila mama, pakcik dan makcik masing-masing dah bercucu-cicit, program macam Hari Keluarga lah yang dapat kumpulkan kami semua – 4 generasi keluarga Hj. Sidek.

Bila berkumpul ramai-ramai, barulah tahu betapa besarkan keluarga Hj. Sidek. Kerjaya dan latarbelakang pun pebagai. Rupa-rupanya ada 2, 3 orang pakcik sepupu bertitle “Dato”. Tapi berpangkat datuk dan nenek memanglah ramai… Yang bertaraf doktor pun ada. Kekadang keluar juga dalam TV, tapi sebelum ni memang tak berapa ingat pakcik sepupu coz memang lama sangat tak berjumpa.

Senaman pagi sebelum breakfast dan sukaneka

Tazkirah Abah

Antara aktiviti Hari Keluarga ialah Makan Malam, Riadhah, Sukaneka, Tahlil dan Tazkirah dan acara bebas. Kebetulan hari kedua tu Maulid Nabi, abah diminta bagi tazkirah berkenaan Maulid Nabi. Bidang terjun.

Best juga dengan tazkirah magrib abah. Dah lama betul tak dengar abah bagi pengisian dalam program formal sebegitu. Yang ingatnya, masa zaman kecik-kecik dulu, masa sekolah rendah ikut abah pergi program. Masa tu, abah jadi ustaz di Sekolah Menengah Bunut Susu, Pasir Mas.

Banyak mutiara ilmu yang abah curahkan malam tu yang sangat bermanfaat tapi malangnya, saya tak bawa kertas dan pen untuk dicatit. Banyak juga hadis Nabi dan ayat Quran yang abah kupas yang tak pernah saya hafal. Antaranya hadis yang mafhumnya “Wanita (ibu) adalah sekolah awal bagi kanak-kanak”.

Aisyah dan Amal main air bersama Zulaikha, dua pupu mereka

Layan Anak-anak

Program menarik, tapi saya tak dapat ikut sepenuhnya coz nak kena layan anak-anak. Masa makan, kena cepat-cepat makan. Selebihnya layan anak-anak makan. Anis pulak sangat aktif ke sana ke mari. Tak boleh lepas, mesti dia explore kawasan sekitar. Penat mengejar Anis.

Aisyah, dan Amal pulak asyik gesa nak turun ke swimming pool. Anis pun nak ikut sama. So, layan jer lah. Bagi peluang diorang main air puas-puas. Kalau kat rumah, main air dalam toilet jer lah…

Program kali ni kosnya sangat minimum, sebab kos makanan semuanya disponsor oleh Pak Long (Hj. Umar – abang sulung mama). Pak Long memang adik beradik paling loaded. Dia kontraktor. Tapi sebelum kaya tu, memang dia gigih jatuh bangun dengan bisnes batu ukir dia kat Sungai Buloh.

Orang Kaya Lebih Berperanan

Saya pun teringin nak jadi kaya macam Pak Long tu sebab orang kaya nampaknya lebih berperanan dalam keluarga dan masyarakat. Dengan kekayaan, dia dapat lebih masa untuk fikir perkara yang utama dalam hidup, bukan saja fikir cari makan. Dia dapat bagi lebih manfaatkan untuk menghubungkan silaturrahim berbanding orang yang siang malam dok perah masa, fikiran dan tenaga untuk cari duit.

Saya tak banyak membantu untuk Hari Keluarga ni. Komitmen saya cuma pastikan saya dan keluarga mama hadir ke program. Berapa bayarannya, saya tak kisah coz saya tahu, orang yang handle program lagi banyak nak kena fikir dan keluarkan duit.

Moga Allah merahmati Pakcik Idin (Dato’ Zaidon Asmuni), Pak Long serta seluruh jawatankuasa yang menjayakan Hari Keluarga Haji Sidek & Hajah Munirah Tahun 2009!

Tetamu VVIP

Oh, satu lagi lupa nak kongsikan. Tetamu paling istimewa pastinya anak-anak Haji Sidek iaitu atuk saya (Hajah Juriah - Sungai Pulai) dan atuk Joned (Haji Joned - Sungai Kemudi), atuk sedara. 6 orang dah meninggal dunia. Mereka dilayan VVIP.

Memang begitulah hidup. Bila kita dah tua nanti, tak ada yang akan memuliakan kita melainkan anak-anak dan cucu cicit kita. Atuk telah didik anak-anaknya dengan agama. Akhirnya Allah memuliakan atuk melalui anak-anak dan cucu cicitnya.

Itulah penting didikan agama. Hanya anak-anak yang dididik dengan agama saja yang akan memuliakan orang tuanya

Zulkifli
Damansara Damai
11 Mac 2009

Monday, March 16, 2009

Result SPM dan Hakikat Kejayaan


“Mama, Hafiz dapat berapa SPM?”

“Em, Apit tak ambik lagi result dia. Dia pun tak nak tahu. Dia nak ambik sendiri. Tapi Abah tanya kawan Abah, katanya dapat 9A! 7 1A, 2 2A, dan 1B...”

“Alhamdulillah… apa yang B tu Ma?”

“Bio (biologi)… memang dia rasa tak sedap dah hari tu”

“Ooooo”


Antara perbualan saya dengan mama pagi tu. Tahniah pada adik bongsu saya yang dapat cemerlang. Walaupun dia sedikit terkilan tak dapa 10A seperti kawan-kawannya, tapi result tu dah cukup baik.

Hakikat PMR dan SPM

Saya teringat masa dia dapat result PMR dulu. Memang dia sedih sangat-sangat bila result 7A 1B!…

Hm, saya cuba yakinkan dia supaya dia lebih tenang. Result PMR, SPM adalah nothing sebenarnya.

PMR cuma syarat nak pilih aliran kelas ke tingkatan 4. Kalau dapat aliran yang kita nak, kita dah kira berjaya. Masuk saja hari pertama tingkatan 4, semuanya start balik dengan 0-0. Yang dapat 8A pun kena balik pada 0! Bezanya, sapa dapat 8A, dia famouslah sikit. Famous pun sekejap jer…

SPM pun sama. Ia cuma syarat nak pilih bidang pengajian masa universiti. Kalau dah cukup syarat untuk masuk ke bidang pilihan kita, itu dah dikira berjaya. Masuk saja hari pertama di IPT, semuanya kembali kepada kosong. 0-0. Episod baru akan bermula.

“Jangan risau, dapat 9A pun dah cukup baik. Asalkan kita ada agama, jaga solat, insyaAllah. Akhir sekali kita berjaya juga.”

Saya cuba yakinkan Hafiz.

“Tapi kalau dapat 10 A pun, tak solat, tak berakhlak, tak beragama, akhirnya kita akan gagal juga…”

Saya cuba nampakkan perspektif sebenar berjaya atau gagal dalam kehidupan. Ye lah, mana ada orang hidup bahagia tanpa agama. Dapat SELESA adalah, tapi BAHAGIA tak dapat kalau tak beragama.

Selasa Belum Tentu Bahagia

Tuhan jadikan manusia ni ada tubuh rohani, ada tubuh jasmani. Tubuh jasmani yang dikelilingi oleh harta dan material memanglah selesa hidupnya, tapi tubuh rohani perlukan Tuhan. Ia perlu dekat dengan Tuhan baru dia bahagia. Baru dia RASA cukup segala-galanya…

Orang yang dekat dengan Tuhan, orang pun suka. Dia baik depan manusia, mahupun belakang manusia. Kalau dia bekerja, dia tak akan menyelewang. Kalau dia berniaga, dia tak akan tipu pelanggan.

Semalam, sepagi saya keluar cari pomen nak service dan repair kereta saya bersama Abah. Abahlah yang lebih tahu workshop mana yang bagus di Pasir Mas atau Kota Bharu.

Workshop Bertaqwa Disukai Pelanggan

Dan memang saya lebih gemar service kereta di Kelantan berbanding di KL kerana lebih mudah dapat workshop yang saya boleh percaya (berintegriti). Dia buat kerja betul-betul, caj harga yang sederhana dan lebih mesra pelanggan. Dan saya yakin, apa yang disyorkan oleh pomen, adalah apa yang terbaik untuk SAYA, bukannya yang terbaik untuk DIA.

Kat KL ni risau sikit, sebabnya rosak sikit asyik nak tukar jer. Benda yang boleh repair pun nak ditukar baru. Matlamat dia (workshop) adalah duit, duit, dan duit. Habis duit kita kena kikis – kena tipu sebab tak berapa reti pasal kereta.

Tapi di Kelantan lain sikit. Lebih mudah dapat workshop berintegriti. Walaupun duduk di KL, saya lebih gemar cari pomen di sana.

Moralnya, orang yang berintegriti ni disukai oleh manusia. Semua orang suka. Kalau berniaga, perniagaannya akan maju sebab orang pecaya pada dia dan semua orang akan cari dia.

Integriti, dalam bahasa agamanya adalah TAQWA. Orang bertaqwa, jangan risau. Allah dah janji kejayaan bagi dia. Dapat result exam lebih kurang pun, tak apa. Yang penting kita dah buat (usaha) terbaik, dan kita ambik berat pasal agama. Asalkan kita sentiasa cari jalan untuk bertaqwa, insyaAllah Tuhan akan permudahkan jalan untuk berjaya.

Jangan risau...

Zulkifli
Damansara Damai
16 Januari 2009

Wednesday, March 4, 2009

Kalau Sayangkan Si Dia...

“Yang (Sayang), kalau tengok amalan Abang tak terjaga (Quran tak terbaca, solat tak ‘terjaga’, surau tak pergi, majlis ilmu tak hadir, wirid pun tak ada masa), itu tandanya Abang akan ‘bermasalah’ (dengan keluarga)”
Antara pesanan saya kepada isteri. Harapkan teguran daripada dia kalau saya terleka.

Virus 3M Memudaratkan Keluarga

Risau, keluarga akan bermasalah jika saya (ketua keluarga) ‘bermasalah’. Apabila hubungan dengan Tuhan bermasalah, hubungan dengan keluarga – sesama manusia - juga akan ‘bermasalah’. RASA cinta, sayang, dan ihsan kepada isteri dan anak-anak berkurangan apabila amalan-amalan mendekatkan diri kepada Tuhan itu berkurangan – jauh dari Tuhan. Ia berkadar terus.

Ini bukan saya belajar, tapi berdasarkan pengalaman yang saya lalui. Apabila hati ‘bermasalah’, saya jadi kurang sabar dan malas melayan ragam atau kerenah anak-anak ataupun isteri. Penyakit yang saya nisbahkan sebagai 3M - ‘marah’, ‘malas’ dan ‘maksiat’ - mudah sangat datang ketika itu. Mungkin itu simptom kepada nafsu yang semakin subur.

Isteri pun sama. Kalau isteri tak terjaga amalannya, dia pun akan kena penyakit yang sama. Dia akan kurang sabar dengan anak-anak, dan kurang mesra dengan suami.

Tegur Tanda Dia Sayang

Itulah pentingnya tegur menegur dalam rumahtangga. Apabila isteri terkurang, kita tegur. Kalau kita terkurang, isteri juga kena menegur. Pada saya, teguran isteri sangat bermakna, kerana dialah orang paling rapat dengan kita. Kalau dia menegur, itu tandanya dia sayang dan ambik berat tentang kita.

Saya teringatkan pesanan Ustaz Mohd Nasir Zakaria, sebelum beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Padang Terap, ketika kuliah maghribnya di Surau Apartment Indah, Damansara Damai katanya:

“Kalau nak tahu kita ni ahli Syurga ke tidak, tanyalah isteri!”

Pelik bunyinya, tetapi kiasan beliau itu ada benarnya. Isteri kita tahu segala-galanya tentang kita. Dia tahu ‘tembelang’ kita. Depan orang boleh berlakon baik dan tampak hebat. Tetapi depan isteri, tak boleh. Dia benar-benar kenal siapa kita.

Beragama, Moga Isteri Turut Beragama

Sebab itulah mendidik isteri bukan mudah. Kita mungkin boleh bercakap berdegar-degar tentang agama, tetapi isteri kita melihat sejauh mana kita beragama! Bagaimana perilaku kita, itulah juga didikan untuk isteri dan juga anak-anak kita.

Mesejnya, perbaikilah hubungan dengan Tuhan, moga Tuhan perbaiki hubungan kita sesama manusia. Dan didiklah diri dengan agama, semoga isteri dan anak-anak kita turut beragama.

Kalau ada agama, InsyaAllah, bahagia yang kita cita akan menanti di sana…

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
2 Mac 2009