Tuesday, April 28, 2009

Niat Tiada 'Khilaf'

Amalan boleh jadi betul, boleh jadi tersalah (dengan syariat). Tapi niat mesti sentiasa betul - kerana Allah.
Fiqh Solat - Muwafiq & Masbuq
Kuliah maghrib Masjid Damansara Damai malam tadi bincang pasal Fiqh Solat oleh Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir. Saya pergi sekadar menadah telinga - tak bawa pen dan buku catatan. Sekadar pergi dengar.
Tak boleh fokus sangat sebab Aisyah dan Amal ikut sekali. Amal baru 3 tahun, belum pandai duduk diam dalam majlis. Walaupun begitu, saya bawa juga untuk biasakan mereka dengan masjid dan majlis ilmu - suasana yang solehah.

Kisah Sahabat Nabi Mengejar Rakat
Dalam apa yang disampaikan oleh Ustaz tentang muwafiq dan masbuq, satu perkara yang menarik perhatian saya iaitu peristiwa di mana Nabi S.A.W menegur seorang sahabat yang ingin mengejar fadhilat takbir pertama. Sahabat tersebut sampai lewat, iaitu ketika Nabi yang mengimamkan solat berjemaah sedang rukuk.

Untuk mendapat rakaat tersebut, beliau terus rukuk sebelum masuk ke dalam saf kerana syarat mendapat rakaat bagi yang masbuq ialah dapat rukuk bersama imam. Setelah rukuk, beliau berjalan dalam solat untuk masuk ke dalam sof.
Nabi S.A.W sedar peristiwa tu dan memanggil sahabat tersebut. Nabi memuji niatnya baik untuk mendapat rakaat tetapi Nabi ingatkan jalan ulang lagi cara begitu. Beliau dapat rakaat, tetapi cara itu tak tepat.
Iktibar Dari Peristiwa
Daripada peristiwa itu, Ustaz Nizam huraikan dua iktibar yang kita boleh ambil iaitu:

  1. Pertama, Nabi memuji dulu baru menegur. Memuji dengan maksud menghargai niat dan usaha yang baik sahabat tersebut. Dan kita juga sepatutnya permurah dengan pujian, berbanding cercaan yang menjadi kebiasaan ramai orang.

  2. Kedua, Ustaz bacakan hadis Nabi yang mafhumnya "Niat seorang mukmin itu lebih baik dari amalannya". Maksudnya, niat yang baik itu lebih utama berbanding amalan. Amalan kita boleh jadi betul (dengan syariat), dan boleh jadi tak betul terutamanya dalam hal khilaf. Tapi niat tak boleh tak betul. Ia mesti betul kerana Allah. Macam sahabat Nabi tadi, beliau buat cara begitu sebab nak dapat kelebihan rakaat, cuma amalannya tak betul dan Nabi menegur.

Bila Ustaz sentuh bab ni, saya teringat tentang pengebom bali dan yang dikatakan kumpulan militan. Jenazah-jenazah mereka yang dijatuhkan hukuman bunuh dikatakan terdapat tanda-tanda mati syahid. Foto-foto jenazah mereka yang tersenyum telah tersebar di internet.

Niat Tak Boleh 'Khilaf'

Pendapat para ulama' mengatakan cara mereka tak betul, tapi mungkin itulah cara yang mereka faham untuk membela Islam. Niat mereka ikhlas kerana Allah sehinggakan sanggup mengorbankan nyawa sendiri. Kalau mereka itu pengganas, tak mungkin mereka sanggup letupkan diri sendiri. Mungkin niat ikhlas mereka itu ada nilaian besar di sisi Tuhan.

Pokoknya, buat apapun, niat mesti betul - kerana Allah. Dan sentiasalah cari jalan supaya amalan kita tepat mengikut kehendak Allah dan Rasul. InsyaAllah.

Zulkifli
Damansara Damai
28 April 2009

Saturday, April 25, 2009

Membentuk Keluarga Mukmin

Memilih calon isteri yang beragama merupakan langkah awal membentuk sebuah keluarga mukmin kerana isterilah yang lebih berperanan di rumah (mendidik anak-anak) berbanding suami.
(Sambungan artikel Negara Rumah Tangga)

Halaqah Pemuda minggu lalu (16 April 2009) sempat kami bincang tajuk "Membentuk Keluarga Mukmin". Sahabat kami, Anuar bentangkan apa yang dia study dan kongsikan pengalamannya membentuk keluarga sendiri.
Memilih Calon Isteri
Membentuk keluarga sebenarnya bermula daripada memilih calon isteri. Isteri yang taat pada Allah, akan taat pada suami. Nasihat untuk sahabat yang masih bujang, pilihlah yang beragama. Walaupun kriteria tu banyak (rupa, harta, keturun dan agama), tapi Nabi S.A.W suruh utamakan agama kerana isterilah yang akan didik anak-anak jadi soleh atau sebaliknya. Tugas kita didik isteri, dan tugas isteri didik anak-anak kerana suami banyak berperanan di luar rumah - cari nafkah, dan berperanan dalam masyarakat.
Isteri Lebih Berperanan Di Rumah
Memang benar apa yang Nabi pesan tu. Saya benar-benar realise benda ni. Saya cuma ada dua hari seminggu untuk anak-anak. Lima hari lagi kebanyakkannya hilang untuk kerja dan masyarakat. Keluar (kerja) pagi, balik menjelang malam. Waktu malam pulak, kena keluar rumah kalau ada mesyuarat atau program.

Masa untuk anak-anak biasanya hujung minggu. Itu pun kadang-kadang terpaksa berprogram di hujung minggu. Maka, peranan membentuk anak-anak, banyak terpikul pada isteri. Dan memang isteri sayalah yang banyak berperanan selama ni dalam keluarga kami.

Islah Cawangan
Pasal fenomena terlepas pandang islah keluarga dikalangan aktivis Islam kebanyakan berlaku pada mereka yang tak ditarbiyah. Masalah kurangnya kefahaman agama. Untuk rawat masalah ni di peringkat Cawangan, Azfar (Ketua Pemuda) berpendapat, dua perkara mesti dilaksanakan;
  1. mendoakan sahabat-sahabat serta keluarganya; dan
  2. mengukuhkan ikatan ukhuwah sesama keluarga sahabat dengan mengadakan program yang melibatkan keluarga ahli dengan lebih kerap kerana dalam persahabatan ada bekalan (iman).
Tips Bentuk Keluarga
Beberapa tips lagi yang sempat kami bincangkan antaranya tentang;
  1. Kombinasi doa, usaha dan tawakkal dalam membentuk keluarga;
  2. Didikan ketika waktu makan bersama keluarga;
  3. Memaanfaatkan minda separa sedar (sub-concious mind) anak-anak dengan menerap dan membudayakan perkara yang baik sejak kecil; dan
  4. Banyak bermonolog dengan Tuhan - hati sentiasa bercakap-cakap dan merintih dengan Tuhan supaya dipelihara diri kita dan keluarga.

Meraikan Sahabat Baru

Kali ni, kami meraikan kehadiran dua sahabat yang pertama kali datang ke Halaqah Pemuda iaitu Akhi Nasir dan Akhi Syafei (Apai). Penyertaan mereka bersama kami insyaAllah akan mengukuhkan lagi gerak kerja dakwah di sini. Akhi Nasir berpengalaman kendalikan Unit Amal, manakala Apai ada ramai 'geng' dikalangan remaja dan belia di sini - untuk digembelingkan tenaga nanti, insyaAllah.

Zulkifli
Damansara Damai
22 April 2009

Tuesday, April 21, 2009

Perfectionist Membuang Masa

Kerja yang bersifat 'accessories' sepatutnya kita kena bersikap berlebih kurang. Yang penting, matlamat utama tercapai dalam masa yang ada.
Idealist dan Perfectionist
Dulu saya pernah buat kerja cara idealist dan perfectionist. Semuanya nak terbaik, perfect. Kalau buat kerja, semua nak cantik dan paling baik hinggakan pada sekecil-sekecil perkara. Tapi rupa-rupanya sifat idealist dan perfectionist ni membuang masa. Nak dapat perfect, tapi ia memakan masa.
Kesilapan Dulu
Masa kendalikan sebuah persatuan di universiti dulu, saya cuba siapkan sebuah manhaj (guideline) tapi akhirnya tak siap hingga saya tamat belajar. Disebabkan terlalu banyak fikir dan mengkaji untuk dapat hasil yang perfect. Masa mula-mula masuk kerja pun begitu. Disebabkan nak buat terbaik, hasil kerja tak dapat siap dalam jangka waktu yang ditetapkan.
Capai Matlamat Utama Sudah Memadai
Sebenarnya, dalam buat kerja kita kena tahu matlamat. Asalkan matlamat utama tercapai, itu dah kira cemerlang. Semua kerja-kerja yang bersifat 'accessories' sepatutnya kita kena bersikap berlebih kurang. Contohnya, masa diberi cuma 3 hari. Saya sepatutnya buat apa yang terbaik untuk siap dalam tempoh 3 hari. Memang tak akan perfect, tapi ia dianggap sudah cukup perfect dalam waktu 3 hari.
Kalau bos bagi kerja contohnya, yang penting kena siap dalam waktu. Kualiti? Buatlah apa yang termampu dalam tempoh yang diberi. Itu dah memadai.

Zulkifli
Damansara Heights
21 April 2009

Sunday, April 19, 2009

Kuliah – Kesempurnaan Hidup

Catatan Kuliah Ilmu - Sekadar apa yang sempat saya catat pagi tadi.

Masjid Damansara Damai
Kuliah Subuh – 19 April 2009
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir


  1. AKAL tak jadi baik (tak sempurna) tanpa sifat WARA’ – otak cerdik tanpa sifat wara’ tak ada nilai di sisi Allah.
  2. AMALAN tak sempurna tanpa ILMU – Surah Al-‘Alaq (Iqra); Tuhan suruh bacalah dengan nama Tuhan maksudnya membaca dan belajar ilmu yang bermanfaat, yang Tuhan suka. Baca benda tak berfaedah tak termasuk dalam suruhan Tuhan. Amalan kita jadi ahsanu ‘amala bila ada (1) Ikhlas dan ( 2) Betul dengan syariat. Amalan jadi tak berfaedah/ sempurta tanpa ilmu. Beramallah dengan ilmu yang kita ada terutamanya bila berhadapan dengan khilaf (takut confuse), sehinggalah datang pada kita ilmu yang mengesahkan apa yang kita buat tak betul/ tepat.
  3. KEJAYAAN hidup tak bermakna tanpa RASA TAKUT pada Allah – kata Nabi S.A.W, tak akan masuk neraka orang yang menangis kerana takutkan Allah (termasuk datang rasa rindu para Rasulullah S.A.W) hinggalah masuk semula susu ke dalam kantongnya - maksudnya mustahil masuk neraka.
  4. Tak sempurna KEGEMBIRAAN tanpa rasa AMAN daripada ketakutan (Surah Quraisy, perkaitan dengan Surah Al-Fiil)
  5. Tak sempurna KEKUASAAN tanpa diiringi sifat ‘ADIL. Kekuasaan tak ada nilai disisi Allah tanpa melaksananya secara adil.
  6. Tak sempurna KEKAYAAN harta tanpa sifat PEMURAH (Syukur). Sebaik-baik sifat orang kaya adalah pemurah sebagai tanda syukur kepada Allah.
  7. Tak sempurna KEMISKINAN tanpa diiringi sifat QANA’AH – sebaik-baik sifat apabila diuji dengan kemiskinan, kesempitan harta ialah rasa cukup, dan berpada-pada dengan apa yang ada (Sabar).
  8. Tak sempurna KELEBIHAN (kehebatan yang kita miliki) tanpa ADAB – kisah orang ulama Iraq bernama Amir yang diminta untuk mengadap Gabenor di istana. Beliau dibaling dengan kasut oleh seorang Sheikh serta anak muridnya bila beliau menegur dalam majlis ilmu atas kesilapan hadis yang dibaca oleh Sheikh tersebut.

Zulkifli
Damansara Damai
19 April 2009

Thursday, April 16, 2009

Negara Rumahtangga

“Membentuk Keluarga Mukmin”

Itulah tajuk diskusi Halaqah Pemuda malam ni, insyaAllah. Tajuk malam ini sedikit kelainan daripada biasa. Saya cadangkan tajuk ini memandangkan akhir-akhir ini, saya perasan, ada kelemahan dari sudut Keluarga Muslim untuk jemaah Damansara Damai.

Negara Islam

Si ayah terlibat dengan program-program islah dan dakwah. Sentiasa berfikir untuk memenangkan Islam, menerapkan nilai-nilai Islam dalam negeri dan negara. Tetapi Islam tak ditegakkan dalam rumah sendiri, sedangkan sesebuah Negara Islam itu diasaskan dengan pembentukkan individu muslim, keluarga muslim dan masyarakat muslim.

Isteri, anak menantu terlupa untuk di islahkan. Isteri dan anak perempuan masih tak bertudung, atau auratnya masih tak ditutup sempurna. Anak lelaki pun masih berseluar pendek. Itu yang zahir, amalannya pulak macam mana? Solatnya, Qurannya, mungkin juga bermasalah.

Negara Rumahtangga

Kita mengejar kuasa untuk ditegakkan Islam dalam sebuah negara, sedangkan ‘kuasa’ Negara Rumahtangga yang telahpun ditangan kita belum lagi digunakan untuk Islam – membawa manusia kembali pada Tuhan.

Malam ni, saya minta sahabat kami, Saudara Hairol Anuar Ijoh buat sedikit pembacaan dan kongsikan dengan sahabat-sahabat. Seterusnya dibuka sessi perbincangan. Mudah-mudahan kami semua dapat bertukar-tukar ilmu, dan idea untuk diamalkan, insyaAllah.

Wallahu a’alam.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [At Tahrim 66: 6]


Zulkifli
Damansara Damai
16 April 2009


Peringkat pembentukkan negara Islam;

1. Individu muslim.

2. Keluarga muslim.

3. Masyarakat muslim.

4. Negara Islam.

5. Khilafah Islam.

Tuesday, April 14, 2009

Pertama Kali Main Paintball

Staff Breakaway 2009 (Group 4) di AnCasa Allsuits Resorts & Spa, Port Dickson.
Dah lama nak try, tapi bulan lepas baru dapat rasa main paintball (alhamdulillah). Sebelum ni memang ada kawan-kawan ajak, tapi tak berpeluang main free!

Riadah Free

Nak main paintball berbayar mahal la pulak. RM50 – RM100 sekali main. Daripada habis duit untuk main (riadah) dan keluar peluh, last-last kira jogging pusing Damansara Damai dah la. Keluar peluh juga, dan yang penting jimat duit.

Memang saya tak gemar beriadah yang perlu keluar duit ni. Rugi, sebab banyak lagi alternatif lain yang lebih murah. Kalau kawan-kawan ajak main futsal berbayar, ah, saya tak pernah join lagi setakat ni.

Kalau main futsal free di court terbuka macam kat Kg. Melayu Sg. Buloh, dan kat Paya Jaras Sg. Buloh, barulah saya pertimbangkan untuk join. Kalau tak, lebih baik habiskan duit bagi anak-anak dan isteri makan yang special sikit.

Staff Breakaway

Bulan lepas company hantar pergi Staff Breakaway (team-building) kat Ancasa Allsuits Resort & Spa, Port Dickson. Lebih kurang 40 staff yang kena pergi. Program dua hari satu malam. 18 – 19 Mac 2009.

Teambuiding ni macam pergi main atau bercuti jer la. Sesekali keluar dari pejabat. Program belajar sambil releks, dan santai. Dikendalikan oleh Learning Edge Consultants.

Aktiviti paintball di lapangan paintball Corus Hotel.

Paintball

Dalam banyak-banyak aktiviti, yang paling bestnya ialah paintball. Dalam ramai-ramai peserta, cuma dua orang jer yang pernah main. Yang lain semua tak pernah – termasuk saya.

Masa briefing session tu rasa macam ‘takut’ jer. Terkejut bunyi kuat senapang (“Marker” – istilah paintball) dia. Tapi bila dah main, memang tak ingatnyer. Kena tembak pun rasa tak sakit sebab masing-masing excited.

Bila lepas main, tu dia. Lenguh rasanya kaki dan peha. Cek seluruh badan, ada 4 kesan lebam. Dua kat bahu, satu kat siku, dan satu lagi kat betis. Yang kat betis sampai keluar darah – pecah kulit sebab kena tembak dari jarak kurang 2 meter. Rasanya parut tu akan kekal.

Mendengar taklimat dari ketua marshal/ pengadil (berbaju belang putih).

Komando “Green Baret”

Dalam team building ni, kami dibahagikan kepada 4 kumpulan. Saya dan kumpulan namakan kami “Green Baret”. Nama bagi kumpulan komando. Saja jer letak nama tu, sebab nampak macam gah. Tak tahupun nanti ada main paintball.

Bila tiba main paintball, memang kumpulan kami benar-benar menonjol ‘sehebat’ Green Baret (komando). Ceehh… perasan pulak. Rekod tak pernah kalah - lawan 3 kumpulan lain.

Fuh memang penat. Saya dapat main 8 game. Setiap game, 4 orang sebelah. Misi kita ialah ambik bendera kat sebelah pihak lawan, dan bawak balik ke base (markaz) kita. Sebelum ambik bendera, kena tembak semua musuh dulu.

Bahaya, tapi seronok. Semua excited.
Final Game

Final game, kami lawan kumpulan Black Hawk. Team ni bahaya sikit sebab sorang player dia (Nasarudin) main cara kamikaze. Kalau lalai, tetiba jer dia dah duduk (tembak) kat belakang kita.

Final game main 3 round. First round kami kalah. Tak sampai seminit dah habis team kitaorang kena tembak kat si Nasa ni. Second game, kami main strategi “cross” sebab dah tahu cara Nasa. Masing-masing akan backup kawan-kawan. Second game, third game, kami menang! Alhamdulillah.

Ingatkan dah habis. Lepas jadi juara, team marshal (pengadil Paintball) bergabung dengan Learning Edge Consultant lawan juara. Hah… cuak jugak sebab team marshal ni memang berpengalaman. ‘Uniform’ diorang pun lengkap. Kalau kena tembak taklah sakit sangat.

Saya dan rakan-rakan, pakai biasa jer. Memang tak bersedia. Baju lengan pendek dan seluar track jer. Kalau seluar jeans okay jugak. Lepas main, tengok badan lebam-lebam. Sorang kawan cakap, “ish, kalau kena tembak anu macam mana!?”. Aa, aa.. saya tak terpikir pulak masa main. Excited punya pasal tak ingat pulak risikonya.

Bersiap sedia sebelum bertempur team Marshall. Dari kiri; Shazee (kapten), Nasa (import dari Black Hawk), Faizul, dan saya.

Dosa Besar

Game ni sebenarnya bahaya. ‘Dosa besar’ dalam paintball ialah buka mask (topeng) dalam kawasan perlawanan. Mana-mana team yang bukak mask dalam kawasan ‘perang’, dikira kalah walaupun dia dah menang.

Nampak macam tak adil tapi sebenarnya itu syarat keselamatan. Kalau tertembak mata, hampir confirm akan buta! Sebab tu ia jadi rule paling penting dalam paintball.

Main Perang-perang

Main paintball ni, teringat pulak main perang-perang dengan kawan-kawan (kampung boy) masa kecik-kecik dulu. Kitaorang main dalam kebun abah. Guna getah dan kertas yang dilipat-lipat. Kalau kena memang sakit. Kekadang kami guna “bedil ghocoh” – pakai buloh kecil. Peluru dia pakai buah “nnera” – buah hutan saiz kecil.

Actually, dari kecil lagi teringin nak belajar menembak sebab dulu selalu ikut abah pergi latihan dan pertandingan kat lapang sasar. Kekadang ikut abah menebak burung kat sawah, dan tupai dalam kebun. Tapi sampai hari ni tak berkesampaian.

Masa sekolah menengah saya join Kadet Bersatu, tapi cuma dapat belajar kawad bersenjata jer – guna M16. Kat universiti masuk Askar Wataniah, tapi tak sempat pergi rekrut. Nak pergi rekrut masa tu, tapi naqib ajak pergi tamrin (kursus). So, hajat tak kesampaian.

Tentera Berkuda

Sebenarnya, belajar ilmu peperangan ni memang disuruh Tuhan. Tuhan suruh orang mukmin persiap kekuatan perang dengan apa yang termampu. Dalam Quran disebut tentera berkuda sebab itulah pasukan tentera yang paling digeruni pada zaman Nabi S.A.W. Zaman sekarang, mungkin tentera udara ataupun senjata nuklear.

Nabi pun suruh orang mukmin belajar berkuda (berkenderaan), memanah (menembak), dan berenang. Semua tu antara persiapan orang mukmin untuk berhadapan dengan musuh Islam sekiranya diperangi.

‘Ulik’ Anak-anak Dengan Letupan

Saya pernah terbaca buku tulisan Asy-Syahid Dr. Abdullah Azzam, pemimpin mujahideen Afganistan yang berjaya menyatukan kumpulan-kumpulan mujahideen dan seterusnya berjaya mengusir tentera penjajah Rusia dari bumi Afghanistan.

Beliau menasihatkan para ibu-ibu supaya ‘uliklah’ anak-anak kecil dengan bunyi bom, dan letupan. Supaya anak-anak yang membesar dalam negara perang itu lasak, dan kuat untuk berhadapan dengan penjajah kuffar.

Dalam konteks kita, mungkin biasakan anak-anak dengan aktiviti lasak. Jangan terlalu dimanjakan. Kalaulah negara kita dijajah, kita tak akan menyerah diri bulat-bulat untuk disembelih oleh kuffar. Berpantang maut sebelum ajal…

Zulkifli
Damansara Damai
15 April 2009

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)” – Al- Anfaal 8: 60

Friday, April 3, 2009

Selamat Di Universiti

Dalam persahabatan soleh, ada bekalan (iman)

“Em, nak mintak nasihat abang-abang, macam mana nak pastikan kami semua ‘selamat’ di universiti (nanti)?”
Antara persoalan yang diajukan oleh seorang sahabat – adik lepasan SPM ketika usrah di rumah Riyadh (sahabat saya Pemuda Subang) di Sungai Buloh.

Kebetulan kami ada mesyurat Liga Futsal Pemuda Subang, saya sampai ke rumah Riyadh bersama Azfar ketika usrah masih berjalan. Lepas usrah, kami ada mesyuarat.

Usrah Bersama Lepasan SPM

Soalan adik lepasan SPM itu sangat baik dan penting. Persoalan itulah yang nak saya kongsikan dengan adik-adik yang bakal ke universiti.

Adik-adik usrah (malam itu) rasa bertuah kerana Allah memilih mereka menjadi kaki surau/ masjid, dan hadir ke majlis-majlis ilmu seperti malam itu. Dari situ, mereka dapat panduan, dan dorongan supaya jadi baik (soleh).

Tapi kat universiti pulak macammana? Macam mana nak make sure mereka tak ‘tergelincir’? Kalau kita dengar saban hari di dada-dada akhbar sangat merisaukan. Macam-macam kes pelajar universiti. Kes seks luar nikah (tepatnya ZINA) dah jadi perkara biasa.

Isu Sosial di Universiti Dulu

Kalau zaman saya di universiti dulu, isu zina belum lagi satu kebiasaan. Masih lagi terpencil dan ‘terkejut beruk’ kalau dengar ada kes zina di kampus. Zaman dulu cuma couple, dan mungkin ringan-ringan, tapi sekarang dah makin berani. Jadi pelacur, GRO dari kalangan siswi bukan lagi benda pelik.

Dulu banyak juga isu pelajar universiti, tapi isu-isu versi lama – tak solat, tengok gambar lucah, bercouple dll. Tapi isu sekarang adalah versi upgrade. Dulu tengok gambar lucah, sekarang ni ‘buat’ perkara lucah!

Itulah yang merisaukan saya tentang adik-adik yang akan ke universiti. Sebabnya gejala begitu tak habis di situ, tapi ia juga beri kesan pada prestasi akademik – kantoi exam, kena reject. Kalau lulus universiti pun kesannya mungkin akan terbawa-bawa ke luar universiti. Gagal dalam kerjaya, rumahtangga ataupun kehidupan umumnya.

Serigala Manusia

Berbalik kepada persoalan adik tu tadi, macam mana nak selamat dari gejala di universiti, saya teringat akan pesanan Nabi S.A.W. Kata Nabi, syaitan bagi manusia, umpama serigala bagi kambing. Kambing yang terkeluar dari kumpulan, itulah yang akan dibaham serigala. Begitulah juga nasib manusia yang terkeluar dari kumpulan orang mukmin. Imannya berisiko tinggi untuk dibaham oleh syaitan.

Jadi nasihat saya, joinlah kumpulan usrah di universiti.

Usrah bukan suatu majlis, tetapi suatu ikatan hati antara individu mukmin yang berkasih-sayang kerana Allah. Usrah adalah kelompok muslim yang mukmin yang sentiasa berpesan-pesan pada kebaikan.

Usrah Bukan Majlis Ilmu

Usrah adalah istilah bahasa Arab. Kalau bahasa Melayunya dipanggil “keluarga”. Hubungan keluarga kita kuat kerana adanya ikatan hati (kasih-sayang). Jadi, kelompok usrah adalah unit keluarga kedua selepas keluarga (kandung).

Kalau di rumah, kita ibubapa dan adik beradik yang pedulikan kita. Sentiasa ada yang bagi nasihat dan teguran kalau ada yang tak kena dengan kita. Tetapi kalau di universiti macam mana? Siapa peduli kalau kita tak solat? Siapa peduli kalau kita bercouple, mengendong anak dara orang ke sana ke mari? Siapa peduli?

Pelihara Iman Dengan Persahabatan Soleh

Di situlah pentingnya usrah di universiti. Usrah atau apa sahaja namanya (seperti Quranic Group, Halaqah) adalah antara cara yang berkesan untuk jaga iman kita. Kata Ustaz Mustafa Masyhur, dalam persahabatan yang soleh ada bekalan (iman).

Selain dari didikan ibubapa dan keluarga, Allah membentuk siapa saya hari ini juga adalah melalui pengaruh rakan-rakan yang soleh. Sejak sekolah menengah rendah (SMKA Falahiah) saya diperkenalkan dengan usrah. Dan hingga ke hari ini saya hampir tak pernah sunyi daripada kumpulan usrah. Rakan-rakan usrah inilah yang banyak mempengaruhi diri saya untuk jadi orang yang lebih baik.

Mencari Usrah

Seterusnya, macam mana nak cari usrah?

Caranya mudah, jadilah kaki surau dan masjid. Di sana nanti insyaAllah, Allah akan pertemukan kita dengan orang yang soleh. Dan insyaAllah ada lah nanti orang yang jemput kita ke usrah.

Bukan sahaja di universiti, di luar universiti pun begitu juga. Masa saya mula-mula pindah ke Damansara Damai pun begitu. Saya jumpa rakan-rakan usrah hari ini seperti Azfar, Anuar, Zainan, Ridhuan, Izudin dan lain-lain semuanya di surau dan masjid.

Mula-mula dulu memanglah kami sekadar berjumpa dan berkenalan. Lama-kelamaan hubungan makin kukuh, dan kami bina kumpulan yang kami ikatkan ia seperti sebuah keluarga –Usrah.

Zulkifli
Damansara Damai
3 April 2009