Wednesday, August 26, 2009

Ramadhan: Khatam 30 Juzu'

Sejak 3 tahun lalu, saya tangguhkan target khatam Quran setiap kali Ramadhan. Alasannya, dah banyak kali khatam. Dan azam saya masa tu, biarlah khatam kali ini khatam dengan cara yang lebih bermakna iaitu khatam baca Quran serta terjemahannya sekali.
APABILA TAK ADA TARGET...
Tapi, ada sikit masalah apabila tak ada target bila nak khatam. Quran terus saya baca setiap pagi secara rutin, tapi kurang berdisiplin. Kekadang tu ulang baca ayat yang sama beberapa kali tanpa beralih ke ayat-ayat lain. Alasannya, belum baca terjemahannya, jadi belum 'layak' untuk beralih ke ayat-ayat yang lain (seterusnya). Lambat...
Amalan khatam Quran setiap kali Ramadhan ni pernah jadi rutin saya sejak belajar di KISAS. Tak sempurna rasanya Ramadhan tanpa khatam Quran. Selalu rasa ada yang tak 'sempurna' sambut Aidil Fitri bila tak khatam.
AZAM 30 JUZUK DALAM RAMADHAN
Fikir punya fikir, akhirnya saya buat azam, Ramadhan kali ni saya nak khatam 30 juzuk. Rutin baca Quran serta terjemahan akan saya sambung balik bila habis Ramadhan nanti. Alasannya, supaya Ramadhan kali ini disibukkan dengan membelek Quran secara berdisliplin.
Untuk sahabat semua, jom la kita pakat-pakat khatam sama. Moga Ramadhan kali ni terasa lebih bermakna, InsyaAllah.
CARA MUDAH KHATAM QURAN 30 HARI
Nak khatam 30 juzuk bukan susah sebenarnya. Cukuplah baca 4 muka surat setiap kali lepas solat fardhu. InsyaAllah sehari akan habis 1 juzuk, dan sebelum menjelang Syawal nanti kita akan habis 30 juzuk. InsyaAllah...
Saya start hari tu masa hari kedua puasa. Maksudnya, saya terlewat sehari. Hari ni dah 5 Ramadhan, tapi baru khatam 4 juzuk. InsyaAllah, weekend nanti nak kena kejar satu juzuk yang tertinggal.
Mudah-mudahan Ramadhan kali ini akan lebih bermakna, dan kita semua dapat sambut Aidil Fitri dengan penuh kemenangan, insyaAllah.
Zulkifli
Damansara Heights
26 Ogos 2009

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan: Peluang Kembali Kepada Fitrah

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas dirimu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa” [Al-Baqarah 2: 183]

Alhamdulillah, sempat bertemu Ramadhan sekali lagi.

Untuk semua sahabat, kami ucapkan selamat berpesta ibadah di bulan Ramadhan. Mudah-mudahan, kita semua dapat menjadi graduan Ramadhan yang bertaqwa. Dan dengan pakej-pakej ibadah di dalamnya, mudah-mudahan dapat membantu kita kembali kepada fitrah yang suci bersih di Aidil Fitri nanti.

PAKEJ RAMADHAN

Zaman kanak-kanak dulu, saya ingat bulan Ramadhan ni bulan puasa jer. Tapi rupa-rupanya bukan begitu. Puasa cuma satu daripada banyak offer yang ada dalam bulan Ramadhan.

Ramadhan rupa-rupanya bulan berpesta ibadah bagi orang mukmin. Di dalamnya ada puasa, ada terawih (qiamullai), ada lailatul qadar, ada tadarus, ada iktikaf, ada sedekah dan semua pahalanya dilipat gandakan.

Pakej-pakej yang Tuhan tawarkan dalam Ramadhan, kalau kita grab semuanya, mampu membuatkan syaitan terduduk! Terbelengu kata Nabi... Bahkan kalau kita lalui Ramadhan dengan penuh keimanan, Tuhan akan ampunkan semua dosa kita seolah-olah kita kembali semula kepada fitrah kita yang suci bersih dari dosa.

HARI RAYA FITRAH

Sebab tu hari raya tu di panggil Aidil Fitri iaitu kembali kepada fitrah. Setiap manusia lahir dalam keadaan fitrah. Hatta anak orang kafir pun lahir dalam keadaan fitrah. Tak ada apa-apa dosa. Belum dikira dosa pahala hinggalah mereka mencapai umur mukallaf.

Jadi, setiap tahun, Tuhan bagi peluang pada kita untuk 'overhaul' diri. Mencuci semula diri untuk kembali muda! Maksudnya, kembali kepada asal kita yang suci bersih dari dosa setelah tempuhi 'dosa' dalam 11 bulan sebelum ini, dan moga ia menjadi bekalan untuk 11 bulan yang mendatang.

ORANG CELAKA LALUI RAMADHAN

Ruginya orang yang tak dapat apa-apa dari Ramadhan. Ramadhan datang dan pergi, tapi sebelum dan selepas Ramadhan sama saja dirinya. Tak ada perubahan. Orang beginilah yang didoakan 'celaka' oleh malaikat Jibril, dan diaminkan oleh Nabi S.A.W ketika baginda melangkah menaiki mimbar khutbah. Apa taknya, bermacam-macam offer Tuhan bagi, satu pun dia tak grab!

Nauzubillah...

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini dapat mengembalikan kita kepada fitrah yang suci bersih, insyaAllah.

Zulkifli
Damansara Damai
22 Ogos 2009


Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu’anhuma berkata:

Nabi SAW naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.

Para sahabat bertanya. “Kenapa engkau berkata ‘Amin, amin, amin, Ya Rasulullah?”

Nabi SAW bersabda,

“Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak berselawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.

Kemudian Jibril berkata lagi, ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.

Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin”. [HR Bukhari]

Thursday, August 20, 2009

Jom Daftar Haji!

"You muda lagi ni pergi haji cepat-cepat. Masa anak kecik-kecik ni la senang. Pasal duit, don't worry brother. Duit you tak akan berkurang sikit pun. Bahkan Tuhan tambah lagi rezeki you kalau pergi haji."
Antara nasihat En. Akhter (Senior Manager) kepada saya lepas sama-sama makan dan sambil bersembang dengan penceramah (Ustaz Nizam). Beliau menambah lagi motivasi yang diberikan oleh penceramah.
Saya Daftar Haji
Alhamdulillah. Pagi tadi sempat saya daftarkan haji untuk diri saya bersama isteri di Kaunter Tabung Haji di Maju Junction.
Sekejap jer prosesnya. Tak payah isi borang pun. Cuma kena bawa buku Tabung Haji, dan pastikan baki semasanya tak kurang dari RM1,300.
Dulu, tak fikir pun nak daftar haji. Ingatkan tunggu duit cukup baru nak daftar. Tapi lepas ikuti Kuliah Haji Bersiri (18 siri) anjuran surau syarikat, disampaikan oleh Ustaz Mohd Nizam, rasa bersemangat nak pergi haji. Banyak dapat motivasi, dan ilmu tentang perlaksanaan haji.
Masa tengah daftar haji tadi, saya cek slip pendaftaran haji. Hah! Terkejut tengok tahun haji. Confuse sekejap.
Tahun 2027!
Eh, ini tahun hijrah ke masihi. Otak saya bercelaru sekejap sebab tengok tahunnya terlalu jauh. Saya ingatkan dapat pergi sebelum 2020. Rupa-rupanya 2027. Maksudnya umur saya 47 tahun ketika tu. 
Pegawai tu bagi tahu, kalau nak awal boleh. Tapi kena buat surat rayuan selepas 5 tahun berdaftar. Kalau nasib baik, boleh la cilok. Kot-kot ada orang cancel ker tahun tu. 
Jom Daftar Haji
So, moral of the story, jomlah pakat daftar awal-awal. Duit belum cukup pun tak apa. Janji baki minimum RM1,300. Duit tu tak hangus.
Kalau nak keluarkan (gunakan) pun boleh. Tapi kalau baki terkurang, pendaftaran akan terbatal. Maksudnya, kena daftar semula la. Dan ambik nombor giliran baru! Lagi lewat la pergi haji...
Kalaupun tak sempat pergi haji (i.e. mati awal), sekurang-kurangnya kita dah buktikan kesungguhan pada Tuhan bahawa kita benar-benar berazam untuk tunaikan haji. Dengan mendaftarkan diri, dan mula menyimpan secara berdisiplin. InsyaAllah.
Wallahu a'lam.
Zulkifli
Damansara Damai
17 Ogos 2009

Sunday, August 16, 2009

Software Pirates Tak Berkat


Tersentak juga bila terbaca tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman bertajuk "Barang Cetak Rompak & Fotokopi Buku". Dah lama betul dah pakai software cetak rompak ni. Nak beli, tapi harganya agak mahal. Tak berbaloi sebab jarang-jarang pakai.
Lepas baca artikel tu, insaf rasanya. Risau juga takut tak ada keberkatan atas kerja-kerja yang menggunakan software cetak rompak, terutamanya Microsoft Office.
Software Alternatif Percuma
Bila cek, rupanya banyak software alternatif kepada software yang kita selalu pakai. Alternatif Microsoft Office, tapi kita boleh download percuma iaitu OpenOffice bagi yang guna Windows OS. Bagi yang guna Mac, boleh guna NeoOffice. Fungsinya tetap sama macam Microsoft Office. Tapi mungkin kita perlu sedikit masa untuk biasakan diri dengan software baru ni.
Saya dah start dah guna FREE Software. Seboleh-bolehnya, nak dah tak nak pakai dah software cetak rompak. InsyaAllah. Takut tak berkat...
Zulkifli
Damansara Damai
11 Ogos 2009

Tuesday, August 11, 2009

H1N1: Tingkatkan Sistem Imun

Petang tadi dengar taklimat persediaan hadapi Wabak H1N1 oleh syarikat. Ni taklimat rasmi kedua yang dianjurkan syarikat. Dua bulan lalu taklimat oleh seorang doktor, wakil Kementerian Kesihatan. Ni sedikit coretan sekadar apa yang saya ingat untuk dikongsikan dengan sahabat semua.

Kenapa H1N1 Bahaya?

Sebenarnya, virus selsema di dunia ni ada 3 jenis iaitu Human (manusia), Avian (burung), dan Swine (babi). Human Flu ni yang biasa berjangkit dengan manusia.Avian Flu ni yang biasanya berjangkit dengan burung, ayam dan yang sama waktu dengannya. Swine Flu pada asasnya berjangkit pada babi.

Virus 3 Dalam 1

Tapi bahaya H1N1 ni sebab virus ni boleh berjangkit bukan hanya kepada babi, tetapi kepada ketiga-tiga kumpulan ni - burung, babi dan manusia. Sebab tu virus ni tak berapa sesuai dinamakan SELSEMA BABI sebab dia kombinasi SELSEMA MANUSIA, BABI DAN BURUNG. 3 DALAM 1...

Golongan Paling Berisiko

Golongan yang paling berisiko ialah mereka yang LEMAH SISTEM IMUN BADAN - lemah daya tahan melawan penyakit. Kelompok yang berpotensi berhadapan dengan maut biasanya 5 golongan ini:
  1. Bayi dan Kanak-kanak.
  2. Warga emas terutamanya berumur 65 tahun ke atas.
  3. Ibu mengandung dan baru lepas bersalin.
  4. Mereka yang selalu sakit dan mudah kena penyakit e.g. demam, selsema dan batuk.
  5. Mereka yang berpenyakit kronik seperti jantung, paru-paru dll.

Kelima-lima golongan ini adalah mereka yang LEMAH SISTEM IMUN.

Cara Tingkatkan Sistem Imun

Berdasakan pembacaan, dan bersembang dengan mereka yang terlibat dalam bidang perubatan dan pemakanan, langkah menguatkan sistem imun badan (daya tahan dari jangkitan penyakit) yang dicadangkan antaranya:
  1. RIADHAH 15 - 30 setiap hari. Riadah dapat keluarkan toksin dari tubuh dan bantu kuatkan imun sistem.
  2. Ambik MADU berkualiti seperti Madu Yaman, Madu Manuka dll. Madu berkualiti ni dapat tingkatkan imun sistem dengan berkesan. Mungkin boleh dapatkan di farmasi. Ambik 2 kali sehari.
  3. Makan VITAMIN C berkualiti. Dos sekitar 1,500 mg sehari. Vitamin berkualiti biasanya dikombinasikan bersama Flavonoid. Ia dapat tingkatkan imun sistem dengan lebih berkesan, dan mencegah dari jangkitan. Pengalaman saya, kalau amalkan Vitamin C, kalau demam atau selsema memang cepat baik. Kalau kena pun tak teruk sangat. Try cek di farmasi.
  4. Ambil suplemen Herba ECHINACEA dan bawang putih. Herba ni adalah booster kepada imun sistem kita.
  5. Minum air bersih di masak 2 - 3 liter sehari.
  6. Untuk anak-anak, SCOTT EMULSION tu mungkin boleh membantu. Harganya sangat murah, tapi sejauh mana keberkesanannya saya pun tak pasti. Kami bagi pada anak-anak bermula minggu lepas. Masa pergi beli last week kat satu Guardian tu, habis stok!!! Wah... semua orang panik sekarang ni.

Itu dulu setakat ni untuk perkongsian isu H1N1. Moga ia bermanfaat untuk kita semua. Selamat amalkan, insya Allah.

Zulkifli
Damansara Damai
11 Ogos 2009

Wednesday, August 5, 2009

Apa Di Cari Dalam Hidup?


Semua orang cari BAHAGIA.
Mereka mengaji tinggi, dapat kelulusan tinggi sebab nak BAHAGIA.
Mereka kerja keras, mendaki puncak kerjaya dengan harapan di pucak sana ada BAHAGIA.
Mereka kumpul harta, nakkan rumah besar, kereta mewah dengan harapan harta dapat bagi dia BAHAGIA.
Mereka jaga body, nakkan rupa paras yang cantik moga dengan cantik mereka dapat BAHAGIA.
Mereka tergila-gila nak jadi artis, kejar populariti, nak glamour dengan harapan di sana ada BAHAGIA.
Mereka nakkan kuasa, kerana mereka fikir kuasa dapat beri mereka BAHAGIA.
Tapi, di mana sebenarnya bahagia?
Bahagia Tak Kunjung Tiba?
Ramai manusia cari sampai hujung dunia, tapi tak juga BAHAGIA. Harta banyak, kereta mewah, rumah besar, tapi rumahtangga tak bahagia. Rupa paras cantik, tapi tak dapat cinta sejati (true love). Dah dapat tampuk kuasa, tapi sentiasa risau kehilangan kuasa. Mengaji dah dapat PhD, tapi isteri dan anak-anak tak menjadi. Dah jadi selebriti, tapi tak sunyi dari gosip-gosip dan fitnah setiap hari.
Ish... di mana bahagia sebenarnya?
Jawapannya mungkin sahabat boleh dapatkan dari artikel tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Joui bertajuk "
Apakah Itu Bahagia?"
Pencarian Saya Tentang Bahagia
Lama benar saya cari jawapan kepada persolan asas ni. Di mana bahagia? Apa nak cari dalam hidup? Macam mana hidup ini perlu diisi supaya dapat bahagia? Banyak orang bagi jawapan tapi kebanyakkannya berbentuk umum dan kabur perlaksanaannya.
Hidup ini untuk beribadah.
Yer betul, untuk beribadah. Jawapan tu memang tepat (dari sudut prinsipnya), tapi kabur (dari sudut perlaksanaannya) untuk kebanyakkan orang. Apa kaitan kebahagiaan hidup yang kita cari dengan ibadah secara konklusif? Macam mana hubungkaitnya dengan aktiviti harian kita? Apa kaitannya dengan kerja? Apa kaitannya dengan harta? Dan semua aspek kehidupan kita?
Kekusutan Saya Terungkai
Persoalan-persoalan asas tu sentiasa bermain difikiran saya. Dan segala kekusutan saya tentang persoalan ni banyak terungkai lepas ikuti Kursus Mukmin Profesional bersama Fitrah Perkasa yang dikendalikan oleh Ustaz Pahrol Mohamad Joui dan Ustaz Hashim Ahmad. Lepas pada kursus tu, saya terus buat sedikit 'working' untuk 'define' (perincikan) jawapan yang saya cari selama ini.
Apa yang dicari (diimpikan) dalam hidup? Di mana bahagia yang dicari? Bagaimana hidup ini perlu diisi? Alhamdulillah... Allah S.W.T leraikan kekusutan saya tentang itu. Jawapannya, perinciannya, telah saya buat dan azam itu telah saya tandatangani pada 18 Mei 2006. Puji-pujian bagi Allah...
Impian Hidup Saya
Mulai tarikh tersebut, dah jelas pada saya apa yang saya cari dalam hidup, di mana bahagia yang saya cari, dan bagaimana hidup yang Tuhan beri ini perlu diisi. Semuanya saya tulis dalam satu lembaran yang saya namakan "Impian Hidup".
Ia jadi kayu ukur untuk menilai aktiviti saya dengan apa yang saya cari. Supaya apa yang saya buat dan usahakan, sentiasa ke arah mencapai apa yang saya cari, Insya Allah. Ia membuatkan saya lebih yakin untuk terus 'mengisi' kehidupan.
Nasihat Saya
Jadi, nasihat saya untuk sahabat semua;
1. Pertama, carilah jawapan kepada tiga persolan ini secara pasti; (1) Apa sebenarnya yang dicari dalam hidup?, (2) Apakah yang dicari tu benar-benar memberi bahagia dalam hidup?, dan akhirnya (3) Bagaimana hidup ini perlu diisi supaya dapat apa yang dicari?
Saya yakin, ramai orang di luar sana tak dapat jawab persoalan ini secara pasti.
2. Kedua, tulislah jawapan kepada persoalan di atas. Impian dan matlamat tak boleh disimpan dalam fikiran. Tapi mesti ditulis, supaya kita boleh semak samada aktiviti kita selari ataupun tidak dengan apa yang kita cari. Dah dapat ataupun belum apa yang dicari. Dan supaya kita mudah menilai apa yang penting dan tak penting dalam hidup.
Moga Allah kurniakan kebahagian kepada kita semua. Hasanah di dunia, hasanah di Akhirat, insyaAllah.
Zulkifli
Damansara Damai
13 Julai 2009