MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Mencari Erti Pada Apa Yang Dicari

June 30, 2010

Kenal Pasti (1)

Sebelum buat sesuatu dalam hidup, kenalpasti apa yang dicari. Supaya hidup lebih bererti...

 

 

Hidup hanya sekali. Bukankah penting kita semua perlu tahu apa sebenarnya yang kita cari dalam hidup?

Ya. Sangat-sangat penting. Kata Stephen Covey, "begin with end in mind". Orang berjaya dalam hidup, dia benar-benar tahu apa yang dia cari. Dia tahu matlamat akhir atas setiap kerja yang dia buat.

Bermula Dengan Mengingati Matlamat Akhir

Persoalan sekarang, apakah yang kita cari sebenarnya? Senang? Tenang? Bahagia? Gembira? Senang? Berjaya?

Ya. Semua itu TEPAT sekali pada prinsip, tapi ia terlalu KABUR pada perlaksanaan. Sukar sekali untuk digambarkan, apatah lagi diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan.

Dan saya yakin, ramai rakan-rakan kita di luar sana tak pernah fikir pun tentang Impian Hidup – apa yang mereka cari dalam hidup. Yang mereka tahu hanyalah kerja, kerja, dan kerja. Kemudian rehat, makan dan minum. Itulah rutin harian, bulanan dan mingguan mereka. Semuanya berserah pada ‘nasib’. Membiarkan diri hanyut dalam arus kehidupan yang entah di mana hujungnya.

Dulu, Kini dan Esok Sama Sahaja?

Hidup mereka 5 tahun lalu dan hari ni, sama saja. Bahkan kita boleh jangkakan hidup mereka 5 tahun akan datang. Walaupun pendapatan mereka bertambah, rumah membesar (hutang besar), kereta membesar (hutang besar), anak-anak membesar, hidup tetap sama. Bahkan dari sudut mencari erti hidup, tak ada bezanya dulu, kini dan mungkin juga masa depan.

Kenapa begitu? Sebab mereka tak betul-betul tahu apa yang mereka cari dalam hidup!

Pernah satu kursus yang saya hadir, fasilitator bertanya pada setiap peserta, “apa perkara yang penting bagi anda?”. Dalam erti kata, fasilitator itu bermaksud, "apa yang penting dalam hidup anda". Rata-rata jawapannya adalah "kerja" (duit)! Aduh…

Apa Yang Penting Dalam Hidup?

Mungkin saya juga begitu suatu masa dulu. Saya tak pernah tahu apa itu impian dan wawasan hidup. Yang saya tahu hanyalah kerja, tunggu gaji, tunggu cuti, dan tunggu mati! Oh… sedihnya… hidup kosong dan bosan sekali…

Sehinggalah Allah mempertemukan saya dengan 'guru', dan rakan-rakan yang positif, buku-buku self-help yang sangat bermanfaat, membuatkan saya mula serius fikir tentang kehidupan dan apa yang saya cari dalam hidup. Bukan lagi sekadar pergi kerja, balik kerja.

Dan saya yakin, majoriti mereka yang bekerja sebenarnya bukan pergi kerja kerana sukakan kerja. Kalau tak, kenapa ramai yang muram dan suram setiap pagi Isnin (hari mula bekerja) dan riang ceria setiap hari Jumaat dan menjelang cuti-cuti umum?! Kita lebih suka cuti dari kerja betul tak? Kita kerja kerana kita perlukan duit untuk hidup. Kalau majikan tak bayar gaji, memang kita tak akan datang kerja secara sukarela, betul tak?

Suka Kerja Atau Suka Duit? Atau…

Adakah benar kita kerja untuk duit? Saya nak tanya anda, adakah anda suka kerja yang pendapatannya besar, tapi anda terpaksa bekerja 18 jam sehari, 7 hari seminggu? Tentu tidak bukan? Maksudnya, duit bukan segalanya. Ada sesuatu yang anda mahu disebalik duit. Duit hanyalah alat (keperluan) untuk realisasikan apa yang penting dalam hidup anda. Jadi, apa yang penting sebenarnya?

Ok, sekarang, cuba anda senaraikan kenapa anda mahukan duit? Untuk dapatkan kereta besar? Rumah besar? Hidup mewah? Makanan yang sedap dan lazat? Melancong seluruh dunia?

Lama juga saya memikirkan tentang persoalan ni. Akhirnya saya dapat jawapan, sebenarnya saya bukan mahukan kereta besar, rumah besar, melancong, makanan yang sedap dsb. Ada sesuatu yang lebih penting di sebalik rumah besar dan kereta besar itu?

Mahu Rumah Besar Untuk Apa? Kerana Siapa?

Bila saya fikir, saya mahukan rumah lebih besar kerana di situlah tempat menyuburkan kasih sayang kami sekeluarga. Disitulah tempat kami membesar dan mendidik anak-anak mengenal Tuhan. Disitulah tempat kami nak meraikan keluarga dan sahabat handai.

Menyuburkan kasih sayang, mendidik anak-anak, meraikan dan memuliakan tetamu itu kerana siapa? Tiada yang lain, semua kerana Tuhan. Itu semua adalah suruhan Tuhan. Kerana Tuhan.

Pokoknya, rumah hanyalah KEPERLUAN untuk realisasikan TUJUAN yang lebih penting di sebalik rumah besar itu. Rumah besar bukan untuk dibangga, tapi untuk MEMBERI manfaat kepada manusia di sekeliling saya – isteri, anak-anak, ahli keluarga dan sahabat handai. Di situlah bahagia yang saya cari.

Oh, baru saya sedar, rumah besar bukan untuk ‘saya’, tapi untuk isteri, anak-anak, dan semua orang di sekeliling saya! Kalau tak kerana mereka, saya tak perlukan rumah besar itu! Rumah yang Tuhan beri itu bukan diri sendiri, tapi untuk 'diberi' kepada mereka...

Memberi Pada Manusia, Kerana Tuhan

Memang benar apa yang selalu ditekankan oleh Ustaz Hasrizal, “erti hidup pada memberi”. Orang paling banyak memberi (kerana Tuhan), itulah orang yang paling bahagia. Dari situlah akan datangnya kasih sayang Tuhan pada mereka. Dari situlah Tuhan akan campakkan tenang, damai, bahagia, gembira yang dicari oleh seluruh ummat manusia!

Mulai saat sedar akan perkara ini, barulah saya fikir secara serius dan dokumentasikan apa yang saya cari dalam hidup. Semuanya saya tulis secara terperinci. Saya namakan lembaran itu sebagai “Impian Hidupku”. Saya tahu apa yang saya cari.

Dari lembaran itu, mudah saya merancang, apakah yang perlu buat untuk realisasikan semua itu. Semuanya jelas dan terang benderang. Dan saya bekerja keras ke arah itu. Setiap kali ada cabaran dan halangan, saya akan buka balik “Impian Hidupku” itu. Lembaran itu terus memberi motivasi, dan mendorong untuk terus bekerja, mencari apa yang saya cari dalam hidup. Kerana hidup hanya sekali.

Nasihat saya pada sahabat semua, tulislah impian anda. Sekarang juga!

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Heights
25 Jun 2010
13 Rejab 1431

Artikel berkaitan:

  1. Bahagia : Apa Sebenarnya Yang Kita Cari Dalam Hidup?
  2. Bongkar dan Tulis Impian Anda 

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>