Seronok Kerja, Baru Seronok Hidup…

by on July 6, 2010

“Oh, this is the right thing to do!”

Dengan penuh kepuasaan hati kecil berkata.

Kalau itulah yang diungkapkan oleh hati kecil anda setiap kali menjelang hujung minggu, mungkin itulah petanda anda bahagia dengan kerjaya anda sekarang, kata mentor saya.

Beliau bercakap tentang bagaimana orang berjaya di dunia berjaya dalam kerjayanya. Salah satu elemen penting ialah mereka mendapat kepuasan hidup daripada kerjayanya. Mereka bekerja bukan kerana duit, tapi ada yang lebih penting dari duit iaitu kepuasan.

Carilah Kerjaya Yang Benar-benar Anda Suka

Memang benar pesan Pn. Norhayati, pensyarah saya di universiti dulu. Katanya “Kalau awak nak cari kerja nanti, carilah kerja yang awak benar-benar minat. Walaupun gaji tak begitu besar buat permulaan, anda tetap akan berjaya”.

Masa beliau cakap begitu, saya cuma dengar-dengar sahaja. Tak begitu ambik serius. Hati kecil saya sedikit degil dan membalas, “Aku tetap nak cari kerja yang boleh bagi pendapatan paling besar!”. Ketika itu, saya fikir, kepuasan kerjaya adalah pada pendapatan yang besar! Rupa-rupanya, itu kesilapan besar…

Majoriti mereka yang berjaya dalam kerjaya, mereka mendapat kepuasan semasa bekerja, bukan hanya pada hari gaji. Kepuasan mereka adalah pada keseluruhan proses kerja. Dari awal hingga mendapat hasilnya. Bak kata Azizi Ali, kalaupun tak dibayar sekalipun, dia akan tetap buat kerja itu! Secara sukarela. Wah… bukan senang nak cari kerja begitu.

Seronok Sehari, ‘Derita’ 22 Hari?…

Cuba anda bayangkan, apa akan jadi kalau keseronokkan hanya pada hari gaji, bukan pada waktu bekerja? 22 hari bekerja sebulan, yang seronok hanya sehari hari gaji (dan hari cuti)! Oh… orang begitu tak seronok dalam hidup kata Ustaz Pahrol.

Saya masih ingat kata-kata Ustaz Pahrol masa kursus Mukmin Profesional dulu katanya, “Orang yang tak seronok kerja, dia tak seronok hidup!”. Wah… ekstrim benar bunyinya. Tak seronok kerja maksudnya tak seronok hidup. Tapi bila saya fikir betul-betul, memang benar apa yang Ustaz pesan tu.

Cuba anda kira betul-betul, berapa peratus kehidupan anda luangkan untuk kerja, berbanding dengan yang lain. Sekurang-kurangnya 1/3 (8/24 jam) hidup anda adalah untuk bekerja betul tak? Itu belum kira waktu siap-siap nak pergi kerja, waktu cooling-down waktu balik kerja, terpaksa korbankan waktu PRIME TIME bersama keluarga tersayang, semata-mata kerana kerja! Wah… waktu cergas (prime time) untuk kerja, waktu penat dan tak bermaya adalah untuk keluarga! Oh, benar-benar extreme kalau difikirkan…

Itu belum kira yang outstation, terpaksa berjauhan dengan anak-isteri, dan jadi weekend husband/ wife. Oh… apa lagi makna hidup kalau kerja adalah sesuatu yang menyiksakan, dan tak mendapat apa-apa kepuasan. Hidup cukup menyiksakan bukan? Dan berita lebih malang, anda terpaksa buat perkara yang anda tak suka selama 30 tahun (hingga umur pencen)! Fuh…

Kerjaya Sepanjang Hayat

Saya tanya mentor saya, kenapa beliau masih aktif berbisnes, sedangkan beliau dah tak perlu lagi bekerja sejak 25 tahun yang lalu? Sejak 25 tahun yang lalu, beliau telah pun masuk kategori orang yang “financially free”. Orang yang tak perlu lagi fikir tentang duit. Beliau tanya saya, “Perlu ke saya berhenti buat apa yang saya suka?”. Oh, saya tersentak. Beliau berbisnes kerana seronok, bukan lagi kerana duit seperti saya.

Memang benar. Saya pernah terbaca tentang seorang businessman yang sangat berjaya, bila wartawan tanya soalan, kenapa dia tak bersara walaupun dia dah sedia kaya raya? Dia tanya balik pada wartawan, “Apa yang anda faham tentang bersara?”.

Bersara bagi beliau ialah buat apa sahaja yang dia suka, dan salah satu yang dia suka ialah menjalankan bisnes (kerja) beliau! Aduh… lain benar cara berfikir orang makan gaji macam saya berbanding businessman berjaya.

Bagi saya dan mungkin kebanyakkan orang, kerja adalah sesuatu yang ‘MENYIKSAKAN’, tetapi bagi orang berjaya, kerja mereka adalah sesuatu yang MENYERONOKKAN! Oh… jauh bezanya saya dengan mereka…

Kenalpasti Kerjaya Terbaik

Lepas saya sedar tentang perkara ni, lama juga saya memikirkan apakah kerjaya terbaik bagi saya. Saya senaraikan apa sahaja yang saya suka buat. Kalaupun tak dibayar, saya tetap akan buat dengan penuh kepuasan.

Ya, memang banyak, tapi malangnya, cuma sebahagian kecil sahaja apa yang saya buat ada pada kerjaya saya ketika itu. Kerjaya saya ketika itu sebahagian besarnya kerana duit! Sebahagian kecil sahaja kerana kepuasan.

Oh, aku kena cari kerjaya yang lebih baik nampaknya, saya bercakap sendirian. Saya tanya seorang sahabat yang agak rapat dengan saya, “Ada tak kerja dakwah, tapi kita boleh buat duit…” Serba salah rasaya soalan saya. Dakwah kerja akhirat, duit untuk dunia. Aaahh…. Sahabat saya tu pun tak berapa pasti nak jawab.

Kenapa saya tanya begitu?

Kepuasan Hidup Pada Memberi

Sebab antara kepuasan hidup saya adalah pada kerja dakwah, kerja amal dan kebajikan. Cukup puas rasanya. Dan saya tak pernah jangkakan apa-apa ganjaran dunia dari kerja itu. Jadi AJK masjid dan surau, menguruskan Tadika Islam PASTI untuk melihat anak-anak dididik cara Islam, menjadi naqib usrah, menyelaras program-progam usrah. Itu semua saya buat untuk dapat kepuasan hidup, tanpa mengharap apapun ganjaran dunia walaupun satu sen. Bahkan saya keluar duit saya sendiri hanya kerana itu.

Lepas sesuatu kerja, badan penat, tapi kepenatan tu termasuk dikategorikan sebagai “good tired”. Letih, tapi penuh kepuasan, jauh sekali dari kekecewaan.

Jadi, untuk dapat kepuasan dalam hidup, saya mesti cari kerjaya yang saya seronok buat, dan saya akan tetap buat sepanjang hayat! Tiada lagi istilah bersara. Bersara hanya apabila Tuhan mengambil nyawa!

Tiada Istilah “Bersara”

Menurut Warrent Buffet (orang ketiga paling kaya di dunia) katanya Life is like a snowball. The important thing is finding wet snow and a really long hill.

Kehidupan bagi beliau seperti bola salji. Apa yang penting ialah cari salji (kerjaya yang kita suka) dan bukit yang tinggi supaya bola salji itu terus bergolek, membesar dan membesar – boleh terus dilakukan sepanjang hayat! Maksud mudahnya, kenal pasti kerjaya yang benar-benar kita suka, dan kerja itu akan terus dan boleh kita lakukan sepanjang hayat! InsyaAllah, kita akan dapat kepuasan dan kejayaan atas apa yang kita kerjakan.

Kalau anda seorang akauntan, adakah anda akan terus SERONOK membuat akaun di hujung usia nanti? Kalau anda seorang engineer, adakah anda SERONOK berurusan dengan mesin dan jentera pada umur anda mencecah 65 tahun (umur mentor saya)?

Menilai Semula Kerjaya Saya

Dan tanyalah apa sahaja kerjaya anda, adakah anda akan terus buat kerja yang anda buat sekarang ini ketika anda sudah bercucu-cicit nanti? Kalau jawapannya “tidak”, anda perlu menilai semula kerjaya anda, dan mencari kerjaya ‘alternatif’ yang anda akan kerjakan selepas waktu kerja. Kerja anda sekarang memang bagus, tapi anda belum dapat kepuasan sebenar dalam kerjaya anda. Hidup yang anda lalui setiap hari adalah satu penyiksaan, bukan keseronokkan. Kerana anda masih bekerja kerana duit semata-mata, menurut mentor saya.

Jadi, apakah kerjaya “snow ball” itu? Saya akan sambung dilain rancangan, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Heights
1 Julai 2010

19 Rejab 1431

{ 4 comments… read them below or add one }

1 nik May 9, 2015 at 12:55 pm

Alhamdulillah di atas perkongsian ilmu dr en.zul..saya mendpt tahu tentg blog en.zul setelh membc 1 buku kecil M.M.R…yg telh diterima sms kenduri kenalan…
Tahniah di ucapkan kpd en.zul..semoga usaha ini menjd platform dahwah utk ummah seluruhnya..aamiin..tq

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie May 10, 2015 at 7:03 am

Alhamdulillah. Mudah-mudahan artikel ini bermanfaat, insyaAllah.

Reply

3 syauqi August 12, 2015 at 6:18 pm

Terima kasih atas perkongsian ilmu.

Semua coretan En. Zul menjadi sumber inspirasi buat saya untuk capai bebas kewangan satu hari nanti, insya Allah.

Boleh bagi link untuk “apakah kerjaya “snow ball” itu?”

Terima Kasih.

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie August 13, 2015 at 4:22 am

Alhamdulillah.. :)

Reply

Leave a Comment

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: