Wednesday, April 28, 2010

Sukan PASTI Subang 2010

Aisyah, antara pemain utama mewakili PASTI An-Nur Damansara Damai. Kata cikgunya, Aisyah kecik, tapi dia pandai main. Mungkin ikut Atuknya (nenek) yang memang aktif Bola Jaring sejak zaman muda lagi.

Perlawanan pertama bertemu PASTI Little Muslim.

Gelanggang basah. Hujan lebat sejak jam 5 pagi.

Seronok tengok anak-anak PASTI bersukan.

Nabihah, goal shooter PASTI An-Nur. Memang hebat! Alhamdulillah...

Goal Shooter PASTI At-Tauhid paling hebat.

Perlawanan akhir antara PASTI An-Nur dan Little Muslim.

Kali pertama pasukan Bola Sepak An-Nur layak ke final.

Sukan 2010 adalah sukan ke-3 disertai An-Nur. Sempena tahun ketiga beroperasi.

Goal Shooter An-Nur memang hebat. Nabihah, class-matte Aisyah.

Penyampaian hadiah oleh En. Zainurin, Pengerusi PASTI Kawasan Subang.

PASTI At-Tauhid menjuarai Bola Jaring empat tahun berturut-turut.

Bola Sepak Naib Johan, Bola Jaring tempat ke-3. Rekod paling cemerlang PASTI An-Nur sejak 3 tahun penubuhan. Terima kasih dan tahniah pada guru-guru yang sangat gigih melatih anak-anak PASTI An-Nur.

Zulkifli
Damansara Damai
10 April 2010

Saturday, April 24, 2010

MLM: Awas Dengan Pemburu Kepala!

(Sambungan Artikel “MLM: Merubah Ayam Menjadi Helang?

Prof. Zain (bukan nama sebenar), adalah kawan kepada Cikgu Zainal. Prof. Zain yang tunjukkan pelan bisnes, dan Cikgu Zainal top-up mana yang kurang. Oh, silap sangkaan saya.Rupanya Cikgu Zainal adalah upline, manakala Prof. Zain adalah downline.

Kedua-dua mereka adalah orang akademik... Wah… saya gembira…. Saya boleh bercakap bahasa akademik dan bahasa penulis buku. Saya cukup selesa sekali sebab saya dah baca banyak buku tentang MLM samada yang ditulis orang MLM, mahupun sekadar pengkaji MLM seperti Robert T. Kiyosaki yang memberi pandangan secara bebas – tidak berpihak.

Diskusi bersama Prof. Zain dan Cikgu Zainal cukup panjang. Bermula dari jam 9.00 mlm hingga 12.00 mlm! Wah… 3 jam berbincang tentang bisnes.

Setelah hampir 45 minit mereka tunjukkan pelan, barulah bersuara menanyakan soalan. Seperti kebanyakkan MLM lain, saya cukup sangsi apabila terdapat dua perkara iaitu (1) Front-loading, dan (2) Head-hunting.

Awas Dengan Aktiviti "Front-Loading"

Pertamanya, front-loading.

Nak masuk, disyaratkan beli barang secara pukal (banyak) sekali gus. Supaya bisnes jalan cepat katanya. Kenapa perlu begitu? Dah ramai kumpulan MLM lain yang buat macam tu yang akhirnya produk tersadai di bawah katil. Ataupun dilelong secara murah pada kawan-kawan sebab nak bayar balik pinjaman. Mungkin itulah menyebabkan ramai orang fobia apabila disebut MLM.

Akhir-akhir ni, saya tengok, banyak kumpulan MLM yang galakkan buat pinjaman untuk memulakan bisnes. Kenapa tak bermula dengan modal yang kecil, mengerakkan produk seadanya, dan berkembang sikit demi sedikit? Lambat katanya...

Awas Dengan MLM Yang Tak Pentingkan Produk

Pada saya, adakah sebab lambat, atau sukar nak menggerakkan produk disebabkan produk tak berkualiti, ataupun terlalu tinggi berbanding nilai sebenarnya? Produk yang kita sendiri tak ada feel, mana mungkin kita boleh menggerakkakan produk. Kalau tak kerana sertai ‘skim’ MLM ini, mungkin mereka tak akan belipun produk tu. Maka nak mudah buat bisnes atas produk yang susah digerakkan, buat pinjaman, beli secara pukal!

Dah buat pinjaman, masuk skim MLM. Tak payah jual, tak payah pergi meeting (belajar), cari saja beberapa kepala masuk bawah kita. Kemudian, tunggu saja duit masuk dalam akaun! Oh, semudah itu… “See you at the beach of the world” sinis mentor kami kepada sesiapa yang suka cari jalan mudah!…

Saya cukup sedih dengan fenomena ni. Ada kenalan yang sanggup buat pinjaman berbelas dan berpuluh ribu untuk buat MLM katanya. Ada yang berhenti kerja kerajaan, pergi ke Sabah, tapi akhirnya bisnes tak jalan. Kemudian balik 'merempat' semula ke Semenanjung. Bukan sahaja hilang pekerjaan, bahkan terhutang pulak dengan Bank Rakyat gara-gara kerana MLM! Huh… sudah jatuh ditimpa tangga…

Awasi Dengan Aktiviti Head-hunting

Keduanya, head-hunting.

Head-hunting maksudnya, duit masuk sangat-sangat bergantung pada kepala yang masuk bawah network kita. Kalau tak ada orang baru masuk, maka tak ada pendapatan. Sebagai contohnya, nak dapat balik modal RM10,000, kena cari 5 kepala! Tak ada kepala baru, maka tak ada bisnes!

Kawan-kawan, sampai bila bisnes boleh bertahan kalau pendapatan berkadar terus dengan kepala baru yang masuk dalam network kita? MLM yang berpengalaman dan bertahan lama, selalunya bukan bergantung kepada kepala yang masuk, tapi pada produk berkualiti yang digerakkan yang dibeli dengan tujuan yang sebenar!

Produk Digerakkan Dengan Tujuan Sebenar

Kalaupun mereka cari kepala baru, hanyalah untuk melatih orang baru supaya boleh menggerakkan produk. Menggerakkan produk bukan hanya dikalangan ‘ahli’, tapi pelanggan-pelanggan di luar sana yang sentiasa mengalu-alukan produk mereka. Produk mereka berkualiti.

Kalau anda nak berbines MLM, pastikan anda sukakan produknya. Pendek kata, kalaupun anda tak jadi ahlinya, anda tetap akan beli produknya. Itulah bisnes MLM yang genuine (sebenar). MLM, hanyalah kaedah pemasaran untuk menggerakkan produk, bukan menggunakan produk sekadar ‘mengaburi’ undang-undang dan hukum syariah.

Ah… banyak perkara sebenarnya yang nak saya kongsikan pasal MLM ni. Tapi ruangan blog ni cukup terbatas. Sayang pada kawan-kawan yang terkena dan bakal terkena dengan MLM ni.
Pendek cerita, lihatlah bisnes MLM dari kaca mata seorang ahli perniagaan, bukan kaca mata seorang pekerja yang cuba-cuba nak berniaga dan selalu cari jalan senang untuk senang. Lihat profil syarikatnya. Semak track record syarikat. Baca Laporan Tahunannya yang telah diaudit. Cuba produknya. Selidiki kualiti produknya. Lihat organisasi pengedarnya. Apakah program pendidikan yang disediakannya. Tanya hati kecil anda, apakah orang yang datang benar-benar ingin membangunkan anda, atau sekadar nak 'selamatkan dirinya'?

Membongkar Mutiara Dalam MLM

Untuk kawan-kawan yang bercadang nak memulakan bisnes MLM, saya cadangkan beberapa buku yang bagus untuk dibaca sebelum buat apa-apa keputusan. Apatah lagi sekiranya MLM tu melibatkan kos yang besar hatta perlu buat pinjaman!

- Jutawan MLM: Multi-Level Marketing, Razzi Armansur
- The Business School for People Who Like Helping People, Robert T. Kiyosaki
- How Not to Get Ripped Off in Network Marketing, Dr. Wong Siew Fang
- Going The Distance in Network Marketing, Dr. K.Sow

Bisnes Untuk Orang Yang Jiwanya Suka Tolong Orang

Cuba fahami apakah mutiara yang anda boleh dapat dalam MLM. Dan apakah sepak terajang yang perlu anda berhati-hati. Penulis banyak sentuh sisi cerah dan sisi gelap tentang MLM. Dan kalau dihayati nilai-nilai sebenar yang SEPATUTNYA ada dalam MLM, bisnes MLM cukup mulia sehinggakan Kiyosaki menggelarkan ia “Perniagaan Untuk Sesiapa Yang Jiwanya Suka Tolong Orang”. Bukan sekadar tolong dapat duit, tapi membangunkan nilai-nilai dalaman yang merubah seluruh kehidupan seseorang. Benar-benar jadi orang yang dapat beri manfaat pada orang lain.

Kiyosaki ada mencadangkan MLM, tapi dengan syarat-syarat yang agak ketat. Dan bukan senang untuk ‘terpilih’ menyertai organisasi MLM sebagaimana dicadangkan beliau. Fokus beliau, tetap pada “Life-Changing Education System”, bukan pada organisasi MLM yang hanya fokus menjual pelan dan produk, yang tak sedikit pun membangukan kita menjadi seekor 'helang'!

Razzi Armansur Penulis MLM Yang Misteri

Bagi yang lebih selesa berbahasa Melayu, mungkin buku Razzi Armansur sangat-sangat membantu. Harganya cukup murah dan boleh beli dari banyak kedai-kedai buku. Bagi saya, Razzi Armansur adalah penulis misteri. Tulisannya sangat-sangat halus tentang MLM. Banyak persoalan dan permasalah yang bermain dalam hati dan fikiran kita dipandu secara tertib oleh beliau. Beliau banyak menulis tentang MLM dan buku-buku bisnes. Penulisan yang sangat hebat, tapi saya tak pernah kenal siapa penulisnya. Razzi Armansur hanyalah nama samaran, bukan nama sebenar beliau.

Mudah-mudahan, anda semua berjaya dalam bisnes MLM yang anda semua ceburi. Dunia dan akhirat, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Heights
19 April 2010
5 Jamadil Awal 1431

Thursday, April 22, 2010

Sesat di Saujana Putra

Rupa-rupanya, ada dua tempat namanya Saujana Putra. Agak mengelirukan...
Malam tadi pergi rumah kawan di Saujana Putra. Cek di Google Map, rumah no. 65, Jalan 6/5. Oklah, saya dah tahu sebab dah cek di internet.
Cuba Sampai On-Time
Solat maghrib di pejabat dan terus ke Saujana Putra. Janji nak sampai jam 8.30, tapi seperti biasa, untuk ke tempat yang saya tak biasa sampai, saya akan sampai awal. 8.15 saya dah sampai di Jalan 6/5. Tapi cari rumah 65 tak jumpa. Yang ada cuma 62, 64, 66, 68.
Ish... betul ke no. rumah ni. Atau mungkin kawan saya silap bagi no. jalan, ataupun silap no. rumah. Telefon kawan katanya dia pun sekarang di Jalan 6/5, tapi tak nampak pun ada kereta atau motor lalu kawasan tu.
Tengok saya berpusing-pusing area situ, datang guard Pakistan tanya saya nak ke mana. Saya tunjukkan sms kawan, dan dia cakap tak ada rumah no. 65 kat Jalan 6/5. Aiseyman... bila cek balik, ops... ini bukan Saujana Putra... ni Saujana Puchong... aduh... dah tersalah taman nampaknya... rasa macam dah betul dah masa search kat Google Map...
Nama Sama, Tempat Berbeza
Telefon kawan, katanya Saujana Putra tu kena ikut highway ke KLIA! Atas pada Putra Heights!... wah... melilau tanya orang dan telefon kawan-kawan. Mintak guide untuk ke Saujana Putra dari Saujana Puchong...
Last sekali, sampai juga di Saujana Putra, lebih kurang 9.20 malam. Uh... jauh perjalanan... mudah-mudahan luas pandangan... (",) Pagi ni, try cek balik kat Google Map... aiseyman.. ada dua rupanya Saujana Putra. Satu Bandar Saujana Putra, satu lagi Taman Saujana Putra bersebelahan Saujana Puchong... Selalu confius...
Nama-nama Mengelirukan
SAUJANA: Saujana Putra, Saujana Utama, Saujana Impian, Saujana Damansara dan bermacam-macam Saujana lagi... HEIGHTS: Putra Heights, Damansara Heights, Country Heights, Country Homes dan macam-macam lagi... TTDI... TTDI Jaya... PUTRA: Putra Heights, Putra Perdana, Saujana Putra, Putra Permai, Putra Damai dll... huh hu... memang confius... Yang paling confius adalah DAMANSARA: Damansara Damai, Bukit Damansara, Damansara Perdana, Sri Damansara, Prima Damansara, Kota Damansara, Mutiara Damansara, Damansara Height, dan Damansara Kuantan pun ada!...
Kalau orang baru sampai KL/ Selangor ni, kena berhati-hati... Semua nama hampir sama, tapi tempat tu jauh-jauh semuanya... Jangan fikir TTDI Jaya tu cuma sebelah TTDI... jaraknya sebenarnya lebih 30km! Berhati-hati... Jangan jadi macam saya semalam. Nak ke Bandar Saujana Putra, tapi sampai di Taman Saujana Putra... confius2x...
Saya bagi tau isteri, nanti kalau kita jadi developer, kita bubuh nama Damansara Tendong lah! Sempena nama kampung saya. Kampung Tendong, Pasir Mas! he3x (",).
Zulkifli
Damansara Heights
22 April 2010

Monday, April 19, 2010

MLM: Merubah Ayam Menjadi Helang?

Berubahlah dari seekor ayam daging yang diberi makan kepada helang yang bebas memilih makanan. Bukan sekadar cacing, bahkan kambing gunung pun boleh jadi rezeki seekor helang!

Satu Lagi Bisnes MLM

Semalam, saya di approach oleh rakan kepada rakan. Katanya nak tunjuk peluang bisnes. Saya memang agak open untuk melihat apa sahaja peluang bisnes. Kebetulan nak bawa anak-anak bermain di playground di McDonald Damansara Damai, so saya pun join sekali ke busines sharing tu.

Ikut pada yang dimaklumkan, bisnes yang nak dikongsikan ialah Skor A, tapi bila jumpa, bisnes lain yang dikongsikan. Oklah, at least satu lagi bisnes MLM yang sampai ke pengetahuan saya.

Agak impressive juga dua orang ‘presenter’ tu. Pakai smart, macam pergi office. Seorang bekas guru, seorang bekas professor universiti. Umur akhir 40an, rasanya. Datang dengan BMW5 Series. Terasa agak rendah diri juga sebab saya cuma berbaju t-shirt (walaupun berpakaian kemas). Langkah pertama, saya sudah ‘tewas’.

Jiwa Terganggu Dengan Bisnes Bermalas-Malas

Oklah, dengan rendah diri, saya mendengar presentation tu. Cuma bila keluar perkara di bawah, ah… jiwa saya terganggu:

  1. Bisnes ni senang, tak payah keluar duit. Cuma bagi salinan IC, salinan kad kredit (dan saya lupa lagi dokumennya), dah siap pinjaman RM10,000 dengan Hong Long Bank! Sekarang kami nak tolong anda dapatkan duit! (Dalam hati saya, “itu bukan duit aku, itu duit orang. Ish... aku cukup tak gemar dengan hutang!”)
  2. Lepas dapat pinjaman, guna RM6,000 untuk masuk bisnes ni, RM4,000 untuk cover overhead. Lepas tu, cari 5 orang kawan untuk dapat duit (buat loan) RM10,000 dan masuk bawah kita, kita akan dapat balik RM10,000 dan kita boleh settle balik loan kita. Tak susah, cari 5 orang jer! (Dalam hati saya menambah, “lepas dapat 5 orang, kita pun selamat… kemudian giliran 5 kawan kita tu pulak cari orang-orang dia kalau dia pun nak ‘selamat’”)
  3. Tak payah jual barang
    , tak payah pergi meeting. Kita cuma tolong kawan kita dapat duit. Very simple! (Dalam kepala saya, “mana ada bisnes tak jual barang atau perkhidmatan? Adakah bisnes ni benar-benar genuine kalau produk tak begitu penting? Sampai bila boleh bertahan? Mungkin selagi ada orang masuk dalam network kita!”)
  4. Dan macam-macam lagi ‘perhiasan’ yang disolek dengan nada Islamik. Berulang-ulang kali diperingatkan, bisnes ni kita tolong orang! Tolong orang! Tolong orang dapat duit! (Dalam kepala saya, "Ish, nak tolong orang, atau nak ambik kesempatan atas orang?"

Adoi… kawan-kawan, cuba belajar dan selidik kenapa orang kaya itu kaya, dan kenapa orang miskin itu miskin. Adakah orang kaya jadi kaya sebab dia banyak duit? Dan adakah orang miskin itu miskin sebab tak ada duit?

Kenapa Si Kaya Menjadi Kaya?

Inilah ramai yang orang tak faham. Kalau si miskin bermain loteri, dan dia dapat hadiah RM1,000,000, dia akan jatuh miskin! Duit dia memang banyak untuk seminggu dua, tapi dia akan tetap kembali miskin.

Kenapa? Sebab nilai dan cara dia berfikir masih lagi seorang miskin. Diri dia belum lagi dilengkapi dengan ilmu, kemahiran, nilai, dan cara berfikir seorang kaya. Ia persoalan dalaman, bukan sekadar duit dalam poket.

Merubah Diri Perlukan Masa

Menurut Cikgu Zainal (bukan nama sebenar), katanya “saya boleh jadi Diamond Director dalam masa sebulan! Dah dapat kereta BMW5 Series, income lebih kurang RM10,000 sebulan”

Adoi… kawan-kawan, duit memang boleh dapat, tapi adakah nak tingkatkan ilmu, kemahiran, nilai, dan cara kita berfikir, merubah mentaliti dari seorang pokai kepada orang kaya hanya makan masa satu bulan? Mustahil kawan-kawan.

Pendapatan Berkadar Terus Dengan Self-Image

Robert T. Kiyosaki cukup-cukup jelas tentang perkara ni.

Katanya dalam buku hasil kajiannya tentang MLM bertajuk The Business School For People Who Like Helping People, "untuk merubah dari seorang bermentaliti ‘pokai’ kepada seorang kaya sekurang-kurangnya memakan masa 2 – 5 tahun". Beliau tak bercakap tentang duit yang kita dapat dari MLM, tapi ilmu, kemahiran, nilai dan cara kita berfikir. Itulah yang penting bila nak jadi kaya.

Mentor kami selalu pesan, "Your income will not exceed your self-image". Pada mulanya saya tak berapa faham apakah dimaksudkan self-image. Apakah penampilan diri? Self-image bukan penampilan diri, tapi apakah nilai dalaman diri kita yang akhirnya terzahir ke luar. Self-image maksudnya "what do you think other people think of you". Apakah kita rasa orang lain fikir tentang kita.

Memang benar. Bisnes maksudnya kita berhubung dengan manusia. Apakah orang lain fikir tentang kita, memberi impak terus pada pendapatan kita. Bukan sahaja bisnes, dunia pekerjaan pun begitu. Sikap, akhlak, peribadi, ilmu, kemahiran, perkataan-perkataan yang keluar dari mulut kita, memberi impak terus pada pendapatan kita.

Kalau nak besar pendapatan, kerja keras yang perlu dibuat ialah tingkatkan self-image. Perbaiki hal-hal dalaman. Flush pemikiran yang negatif dan pesimis. Tanamkan tabiat-tabiat yang betul. Pertingkatkan diri dengan membaca, mendengar CD yang membina, dan bergaul dengan orang yang positif dan berjaya. InsyaAllah, lambat laun pendapatan akan meningkat, berkadar terus dengan self-image yang meningkat.

Dan baru saya faham, kenapa guru kepada mentor kami boleh mengagak, berapa pendapatan seseorang hanya setelah berbual selama 5 minit! Kerana beliau benar-benar mahir 'membaca' self-image seseorang individu.

Kaya Bukan Persoalan Poket

Kaya bagi Kiyosaki adalah merubah diri kita, bukan sekadar poket kita. Pendek kata, kalau kita tarik harta kekayaan pada orang kaya (yang beliau maksudkan), dia akan hilang kekayaan sekejap sahaja, dan tetap bangkit kembali menjadi seorang kaya! Dia benar-benar berjati diri seorang kaya!

Dari situ saya teringat huraian Ustaz Pahrol tentang ayat “Sesungguhnya Allah tak akan merubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka berubah DIRI mereka sendiri”. Menurut Ustaz, kita tak boleh ubah nasib, tapi kita boleh ubah diri kita. Ubah ilmu, kemahiran, nilai-nilai dalaman, dan cara kita berfikir, insyaAllah Tuhan akan ubah nasib kita.

Jadilah Seekor Helang

Kalau masih bermentaliti seorang 'pokai', masih pekat dengan nilai-nilai seorang pekerja dalam berbisnes, masih lagi mencari jalan senang untuk senang, masih belum dapat atasi rasa takut dengan cabaran, masih rimas berhadapan pelbagai kerenah manusia, lupakanlah untuk menjadi seorang kaya. Lupakanlah… dalaman kita belum lagi seorang kaya walaupun luaran kita berlagak seperti si kaya. Itu orang kaya yang miskin namanya.

Sabar kawan-kawan… Pertingkatkan diri... Jangan risau bab duit dan kekayaan. Ia akan datang bila kita sudah berubah. Walau apa pun bisnes yang anda buat, fokuslah pada mengubah diri, bukan sekadar poket. Berubah dari seekor ayam daging yang diberi makan kepada helang yang bebas memilih makanan. Bukan sekadar cacing, bahkan kambing gunung pun boleh jadi rezeki seekor helang!

Pointnya, ubahlah diri, bukan sekadar ubah poket! Kalau diri berubah, insyaAllah poket pun akan turut berubah…

(Bersambung.... diskusi bersama Prof. Zain dalam artikel "MLM: Awasi Pemburu Kepala")

Zulkifli
Damansara Heights
19 April 2010
5 Jamadil Awal 1431

Thursday, April 8, 2010

Kenapa Berkuda, Memanah dan Berenang?

Dah lama terfikir-fikir, kenapa Nabi S.A.W dalam hadis sohihnya suruh kita ajar anak-anak berkuda, memanah dan berenang. Kuliah Zohor tadi, Ustaz Faisal Abdul Hamid huraikan tentang permainan dan hiburan dari surut Islam. Katanya, permainan ni ada 3 faedah iaitu:
(1) Keseronokan
(2) Keseronokan + Tingkatkan Kemahiran
(3) Keseronokan + Tingkatkan Kemahiran + Faedah Peperangan.
Baru saya faham, permainan berkuda, memanah dan berenang (walaupun Nabi S.A.W tak pernah berenang) memberi manfaat tiga dalam satu. Disamping ianya aktiviti menyeronokkan, menyihatkan badan, mengasah kemahiran, ia juga penting untuk peperangan pada waktu itu.
Menurut ustaz, saranan Nabi supaya berkuda, memanah dan berenang tak boleh kita fahami dalam bentuk yang rigid. Dalam zaman sekarang, memanah mungkin boleh kita samakan dengan menembak, dan berkuda mungkin sama dengan belajar memandu dsb.
Tadi Ustaz ada bagi tahu, semua permainan dibenarkan dalam Islam kecuali jika terdapat 5 unsur di bawah: (1) Memudaratkan, (2) Judi, (3) Terdapat perkara yang haram secara qat'i, (4) Penghinaan dan menjatuhkan maruah (5) Melampau dan mengabaikan yang wajib.

Tuesday, April 6, 2010

Bongkar Potensi, Tingkatkan Nilai Diri


Bila gaji RM1,600 akan jadi RM1,610? Tunggu setahun!

Oh, itulah yang 'mengganggu' fikiran saya waktu awal bekerja dulu. Setahun bekerja, akhirnya dapatlah kenaikan gaji RM50.

Tag Harga Seorang Pekerja

Ish... apakah nilai peningkatan kualiti diri saya cuma RM50 setahun? Suka tak suka, saya perlu terima, sebab saya seorang pekerja. Nilai saya ditentukan oleh majikan saya. Tapi bila berseorangan, saya terfikir-fikir apakah benar potensi sebenar saya cuma RM50 - RM150 setahun?!

Ya, itulah nilai saya selagi mana saya bermentaliti seorang pekerja. Apa yang majikan bagi, itulah saya. Tak lebih, dan tak kurang.

Jiwa saya kekadang berperang kerana saya rasa nilai saya dikawal oleh orang lain. Isteri saya bekerja dua minggu sebagai 'salesgirl' sebuah syarikat pada tahun 2003, pendapatannya lebih RM1,000. Maksudnya, sebulan pendapatannya lebih RM2,000! Tapi saya cuma RM1,600. Wah... jauh lebih besar daripada saya. Dia cuma pemegang diploma, saya graduan ijazah!
Di mana bezanya antara beliau dan saya? Bezanya pada CARA mendapatkan pendapatan. Beliau dibayar atas POTENSI sebenar DIRInya, sebaliknya saya dibayar atas NILAI yang diletakkan oleh MAJIKAN saya!

Membongkar Potensi Diri

Saya rasa nilai saya bukan sebegitu. Setahun bekerja, dan kecewa dengan kenaikan harga yang diletakkan oleh bos kepada saya (bahkan hampir semua pekerja sebenarnya), saya mula membongkar potensi diri saya sebenar. Saya mulakan dengan membaca.

Saya bongkar kedai-kedai buku dengan buku tentang kewangan dan keusahawanan. Subhanallah, banyak benar 'wisdom' yang saya dapat daripada buku-buku. Bahkan banyak ilmu tentang kekayaan tak pernah saya belajar di sekolah, hatta dalam bidang perakaunan & kewangan di universiti!

Bergaul Dengan Usahawan

Daripada buku-buku, Tuhan tunjukkan jalan untuk realisasikan apa yang ada dalam buku kepada praktikal. Saya hadir kursus-kursus keusahawanan. Antaranya yang dikendalikan oleh Dato' Dr. Rusly Abdullah (Chef Li), penulis buku best-seller "Jutawan Senyap" dan "Orang Kaya Bertaqwa".

Banyak siri-siri kursus dan modul yang saya ikuti bersama Chef Li. Hinggakan saya dah familiar dengan anak beranak beliau. Isteri pertama, isteri kedua, dan anak-anak beliau yang turut sama kendalikan kursus bersama beliau.

Mengenali Keusahawanan Muslim

Saya kagum dengan keluarga Chef Li. Beliau jalankan bisnes bersama keluarga. Dan beliau berbisnes bukan lagi mencari duit, tetapi benar-benar untuk membantu ummat! Wawasan beliau untuk melahirkan seramai mungkin usahawan muslim, dan mengimpikan orang Melayu menjadikan keusahawanan sebagai budaya sebagai mana orang Cina!
Kata beliau, "Apa lagi yang saya nak? Duit cash RM100 ribu, RM500 ribu, RM3 - RM4 juta semua saya dah rasa"! Dari Chef Li, saya benar-benar belajar tentang keusahawanan muslim. Ribuan ringgit juga saya habis mengikuti modul-modul beliau. Dan saya rasa benar-benar berbaloi.

Daripada kursus Chef Li, saya berpeluang berkenalan dan bergaul dengan golongan usahawan dari pelbagai ceruk Malaysia. Ada yang datang dari Sabah dan Sarawak hanya untuk berkursus dengan Cef Li. Dan dari pergaulan, saya dapat mutiara yang sangat berharga, iaitu cara berfikir seorang usahawan!

Berbeza Cara Berfikir

Setelah bergaul, baru saya faham apa yang ditulis oleh Robert T.Kiyosaki dalam bukunya bertajuk "Cashflow Quadrant". Katanya, beza antara 4 jenis cara manusia dapat pendapatan (Makan Gaji, Bekerja Sendiri, Pemilik Perniagaan, dan Pelabur) adalah pada cara mereka berfikir. Mentaliti keempat-empat kuadrant sangat-sangat berbeza.

Beza antara golongan kaya dan golangan kebanyakkan adalah apa yang mereka FIKIR, dan apa yang mereka BUAT. Kalau kita nak jadi kaya, kita kena fikir macam mana orang kaya fikir, dan buat apa yang orang kaya buat!

Selagi kita fikir cara seorang pekerja berfikir, dan buat apa yang kita selalu buat, selama itulah kita akan dapat apa yang kita selalu dapat. Gaji mungkin bertambah dari tahun ke tahun, tapi kehidupan kita tetap sama. Sibuk semakin sibuk, seiring dengan bertambahnya gaji kita. Kehidupan sentiasa statik dan mendatar. Bahkan kita boleh jangkakan bagaimana kehidupan kita 5 tahun akan datang dengan apa yang kita buat sekarang!

Membaca: Keluarkan Dari Kebodohan

Bila saya fikir dalam-dalam, memang satu kebodohan jika saya terus buat apa yang selalu saya buat, tapi mengharapkan apa yang orang kaya dapat! Benar-benar satu kebodohon. Tapi itulah yang difikir orang kebanyakan.

Uh... buku-buku tulisan orang berjaya seperti Azizi Ali, Robert T. Kiyosaki, Chef Li dll benar-benar menyedarkan saya.

Buku Azizi Ali bertajuk "Pesara Jutawan" menyedarkan saya tentang kebodohan mengimpikan persaraan yang indah, sedangkan masih kekal buat apa yang saya selalu buat. Sesiapa yang baca tu pasti akan tersedar dari tidur bahawa persaraan tak seindah yang diimpikan. Bahkan ia perkara yang menakutkan bagi ramai orang kalau mereka benar-benar berfikir! Ya, cukup menakutkan!

Buku dan Pergaulan Mengubah Cara Berfikir

Apa yang boleh saya simpulkan, buku-buku yang saya baca, dan pergaulan saya dengan ramai usahawan telah mengubah cara saya berfikir. Berfikir seperti seorang usahawan merdeka. Nilai kita, kita sendiri yang tentukan.

Bukan bermakna berhenti kerja, tapi buat sesuatu di luar waktu kerja yang boleh meningkatkan NILAI diri kita. Kita boleh tukar masa lapang, masa tergolek di depan TV, masa membaca akhbar, masa bermain game, masa menonton wayang untuk membina masa depan.
Seorang usahawan, melihat masa sebagai duit.
Setiap saat, cukup-cukup bernilai. Nak dapat extra RM50 - RM150 setiap bulan tak perlu tunggu setahun. Bila masanya, kita yang 'tentukan'. Bukan lagi mengharap-harap dan berkeluh kesah dengan majikan, setiap kali bonus dan increment tahunan.

Saranan Mentor Jutawan

Saya akhiri perkongsian ini dengan mutiara penting yang saya dapat dari dua penulis;

(1) Chef Li - setiap orang mesti berbisnes dan terlibat dengan perniagaan. Nak berniaga apa? Berniagalah apa sahaja yang halal asalkan berniaga. Suatu hari nanti, anda akan jumpa apakah perniagaan paling serasi dengan anda.

(2) Azizi Ali - setiap orang mesti ada pendapatan kedua. Pendapatan kedua tak semestinya bekerja part-time, tapi apa sahaja jalan yang boleh dapat pendapatan selain daripada pendapatan bekerja. Ia penting untuk dana persaraan anda.

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat.

Zulkifli
Damansara Heights
6 April 2010
21 Rabiul Akhir 1431

Thursday, April 1, 2010

Bongkar & Tulis Impian Hidup, Sekarang!

Pergi kerja, balik kerja. Kekadang sampai terlupa kenapa kita berkerja. Tulislah di atas kertas, apa yang anda benar-benar mahukan dalam kerjaya, malah dalam sebuah kehidupan.

Kata Stephen Covey, "Begin with end in mind". Orang berjaya, mereka memulakan apa sahaja kerja mereka dengan dengan mengingati matlamat akhir... mereka tahu tujuan, dan mereka ada wawasan hidup yang selalu kita namakan sebagai "Impian".

Uh, memang benar. Nabi S.A.W mengajarkan kita supaya berimpian. Impian untuk masa depan kita, dan impian untuk masa depan ummah. Dan impian Nabi menjangkaui kehidupan dunia, Nabi nak bawa kita semua berjaya di Akhirat, negeri kekal untuk semua ummat manusia. Dan apa sahaja suruhan Tuhan yang dirasakan berat oleh manusia, Nabi S.A.W setiasa ingatkan impian kita, iaitu Syurga dan hari Akhirat.

Dan modal itu jugalah para sahabat 'memotivasikan' diri mereka. Pernah suatu ketika balik dari peperangan, para sahabat yang dalam keadaan lemah minta Nabi S.A.W "ceritakanlah kami tentang Syurga wahai Rasulullah". Impian dan wawasan hidup para sahabat sangat jelas dan itulah pemangkin untuk mereka terus 'bekerja', iaitu Syurga dan hari Akhirat.

Menulis dan Menyebut-nyebut Impian

Impian tak cukup sekadar terfikir-fikir dalam kepala. Impian hidup mukmin tertulis jelas dalam Al-Quran. Dan bukan itu saja, impian itu perlu disebut-sebut berulang-ulang kali, malah berpuluh-puluh kali setiap hari dalam solat, wirid, doa dan lain-lain ibadah. Mungkin begitulah mentor kami maksudkan "The Power of Spoken Words". Sentiasa bercakap-cakap apa yang kita mahukan, dan tulis apakah impian dan wawasan dalam hidup kita.

Dulu saya fikir, wawasan hidup tak perlu ditulis. Cukuplah sekadar terfikir-fikir dalam kepala. Tapi rupa-rupanya silap. Apabila ditulis, ia beri kesan yang cukup berbeza. Bila saya tuliskan atas kertas, tulis pada bilik tidur, dan baca setiap hari, oh, kesannya cukup berbeza. Saya jadi lebih serius tentang kehidupan. Dan sentiasa tak selesa untuk 'berehat-rehat' selagi ia belum jadi realiti!

Macam Mana Nak Kenali Impian?

Impian hidup sangat penting. Bila kita tahu apa yang kita cari, kita lebih mudah buat keputusan yang mana penting, dan yang mana segera. Tapi saya yakin, ramai rakan-rakan kita di luar sana tak pernah luangkan masa untuk fikir dengan serius tentang apa sebenarnya mereka cari dalam hidup. Sebab tu bila ditanya, apa yang penting dalam hidup mereka, ramai yang tak dapat bagi jawapan secara pasti!

Untuk mereka tak tak pasti, apa yang mereka cari dalam hidup, mungkin soalan di bawah ini yang perlu anda tanya diwaktu anda berseorangan.

(1) Kalau hidup anda cuma tinggal enam bulan lagi, apa yang anda perlu buat, perlu persiapkan, perlu lakukan sekarang?

(2) Kalau masa dan duit bukan halangan, bagaimanakah kehidupan anda sekeluarga sekarang?

Untuk cari jawapan di atas, jangan tanya mulut & fikiran, tapi tanyalah HATI KECIL anda. Hati kecil yang bersih selalunya memberi jawapan yang tepat tentang apa yang anda inginkan dalam hidup. Ikutlah hati kecil anda.

Impian Menghapuskan Cabaran

Bila impian besar, cabaran terasa terlalu kecil. Impian mesti lebih besar dari cabaran. Bila ada cabaran, besarkanlah impian anda. Pastinya anda akan lihat cabaran adalah sebahagian proses mencapai impian anda.

Kapal terbang boleh terbang kerana cabaran angin. Tayar boleh perputar dan menggerakkan kenderaan dengan laju kerana cabaran batu-batu jalan raya yang kasar. Kita pun begitu. Kita akan berjaya kerana adanya cabaran-cabaran. Cabaran untuk disiplinkan diri. Cabaran untuk didik diri supaya bersabar. Cabaran untuk jadi seorang yang boleh dididik (teachable). Cabaran untuk biasakan diri berkongsi kebaikan kepada orang lain. Cabaran untuk mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri. Cabaran untuk membuang rasa takut dan segan yang bukan pada tempatnya dsb.

Cabaran, sebahagian proses mencapai impian.

Elakkan Kekesalan Di Hari Tua

Dulu saya seorang yang 'penakut', mudah lemah semangat, dan tak yakin pada diri sendiri. Tapi, syukur pada Allah, semua masalah tersebut dapat dibuang apabila saya mula kenal pasti apa yang saya cari dalam hidup.

Saya ada terbaca sebuah buku yang sangat menarik bertajuk "5 Secrets You Must Discover Before You Die". Buku ni benar-benar fokus tentang kehidupan. Antara nasihat orang tua-tua yang ditemuramah oleh penulis katanya, "apabila usia anda seperti saya (70an), anda lebih kesal kerana tak berusaha atasi cabaran yang menghalang anda mencapai apa yang bermakna dalam hidup anda, berbanding anda telah mencubanya". Jadi, berbuatlah sesuatu sekarang.

Bongkar Impian Hidup Anda Sekarang!

Nasihat saya pada rakan-rakan, selidiki apa yang sebenarnya yang membuatkan hidup kalian benar-benar bermakna. Bongkar apa yang sebenarnya anda cari dalam hidup. Jangan rugikan hari-hari anda hanya dengan rutin harian dan kesibukan bekerja yang tiada kesudahan. Pergi kerja, balik kerja. Pergi kerja, balik kerja. Sedar-sedar, umur sudah tua dan diambang bersara. Pada ketika itu, hidup tinggal lagi saki-baki untuk mencari sedikit erti sebelum mati.

Ketika anda masih muda, masih bertenaga, berbuatlah sesuatu. Berusahalah ke arah menjadikan hidup anda lebih bermakna. Kerana hidup hanya sekali. Masa-masa yang akan berlalu tidak akan berulang lagi.

Kehidupan adalah satu perjalanan yang sehala. Kerana kita hidup untuk (menuju) mati...

Wallahu 'alam.

Zulkifli
Damansara Damai
22 Mac 2010
6 Rabiul Akhir 1431

Nasihat saya, tulis impian hidup anda sekarang. Saya yakin, anda akan lebih serius tentang kehidupan anda selepas ini.

Artikel berkaitan: Apa Di Cari Dalam Hidup?