Bantu Customer Bukan Dengan Harga Murah

by on September 11, 2014

Post image for Bantu Customer Bukan Dengan Harga Murah

Salah satu cabaran orang baru nak berniaga ialah rasa tak tergamak nak ‘caj’ customer. Kalau modal produk RM80, nak jual pada harga RM100 pun rasa tak patut. Rasa macam ambil kesempatan atas customer jer. Mungkin kalau jual harga RM85 jer baru rasa tergamak. Yang lebih-lebih tu rasa bersalah sedangkan duit minyak nak pergi ambil barang tu pun dah RM10! Itulah juga konflik saya masa mula-mula berniaga dulu.

Tapi bila dah lama berniaga, saya rasa tak patut bagi harga murah. Peniaga mesti caj harga patut, bukan harga murah. Jual produk pada harga murah sebenarnya merosakkan diri sendiri, merosakkan pasaran (dan peniaga lain), dan akhir sekali menyusahkan customer juga!

Salah satu cara nak buang rasa ‘tak tergamak’ caj customer, kita mesti tahu NILAI sebenar produk (atau servis) yang kita jual. Bila kita bagi NILAI lebih mahal dari HARGA yang customer bayar, kita sebenarnya telah membantu customer. Bila kita rasa kita membantu orang lain, insyaAllah kita akan ada ‘harga diri’. Kita tak segan untuk caj harga patut, dan kita tak gelabah dengan “harga murah” ditawarkan oleh pesaing.

Beri Nilai Lebih Dari Harga

Apakah maksud “harga” dan apakah maksud “nilai”?

“Harga” ialah apa yang customer bayar. “Nilai” ialah apa yang customer dapat dari kita. Contohnya, kenapa kalau harga mee goreng RM4.00 sebungkus di pasar malam kita rasa mahal, sedangkan harga RM4.00 mee goreng di restoran kita rasa ok? Mee goreng pasar malam tu mee goreng kosong, tapi mee goreng di restoran cukup dengan ayam, udang dan sotong. Walaupun kita bayar harga yang sama, tapi mee goreng pasar malam kita rasa mahal dan mee goreng restoran kita rasa ok. Itulah bezanya anda “nilai” dan “harga”.

Sama juga bila kita berniaga. Bila berniaga, lebih baik kita caj harga patut dengan NILAI yang terbaik, berbanding harga murah tapi nilai yang kita beri tu teruk. Jangan bersaing dengan harga, tapi bersainglah dengan NILAI yang kita tawarkan. Salah satu risiko bersaing harga ialah merosakkan pasaran dan membunuh peniaga kecil.

Bersaing Pada Nilai, Bukan Harga

Orang Melayu bila berniaga suka bersaing harga, tapi akhir sekali semua tak boleh cari makan. Yang boleh survive cuma mereka yang modal besar. Kalau kita perhati masyarakat Cina berniaga, susah kita jumpa mereka bersaing harga. Mereka boleh berniaga sebaris, tapi semua maju. Kalau pergi Low Yat (tempat jual barang IT), pergilah kedai mana sekalipun harganya semuanya sama. Kalau harga murah sikit, biasanya sebab mereka exclude (keluarkan) aksesori.

Mereka boleh niaga sama-sama dan semua boleh untung. Mereka tetap bersaing, tapi bukan bersaing harga, tapi bersaing “nilai”. Bersaing pada “nilai” maksudnya, mereka bersaing customer service, after sales service, layout kedai yang lebih selesa dsb. Jadi kalau nak maju dalam bisnes, jangan bagi harga murah. Bila untung tak berbaloi, kita akan “give-up”.

Peniaga Harga Murah Akan Give-up!

Dalam bisnes emas, tahun 2010 – 2012 dulu ramai orang excited berniaga emas Public Gold. Saya perhati memang ramai yang jenis ‘lelong’ harga di facebook 3% lebih rendah dari harga web Public Gold sedangkan komisyen dealer hanyalah 1% – 2% jer. Mungkin mereka masih untung sebab dulu mereka beli pada harga rendah, tapi akhir sekali, saya boleh katakan semua yang jenis lelong harga murah dah tinggalkan bisnes Public Gold! Bila peniaga tinggalkan bisnes, pembeli juga yang susah. Ramai pembeli emas lama terpaksa cari dealer macam saya untuk urusan jual beli emas sebab dealer-dealer mereka dah tinggalkan bisnes katanya.

Sebab tu salah satu etika berniaga ialah caj harta patut. Kalau kita ejen, bila syarikat dah tetapkan harga, kita kena follow harga tu. Jangan bagi diskaun, tapi bagilah servis yang terbaik. Kita bersaing pada servis, bukan pada harga. Sejak dari dulu lagi, saya tak bagi harga diskaun walaupun seringgit bila jadi ejen. Bisnes adalah bisnes. Daripada bagi diskaun seringgit, saya lebih sanggup belanja RM20! Saya tak bagi diskaun walaupun seringgit, tapi masa jumpa saya, saya belanja makan habis RM20! Ok tak?…

Strategi Salah Membantutkan Bisnes

Kenapa saya lebih sanggup belanja makan RM20 berbanding bagi diskaun RM1? Sebab diskaun akan beri kesan jangka panjang. Ia akan menyusahkan kita dan membantutkan bisnes kita untuk berkembang. Masa kita ada 10 customer, mungkin kita boleh layan, tapi macam mana kalau 100 customer datang nak ‘runding’ harga? Kalau 100 customer kita dah pening, macam mana bisnes kita nak berkembang menjadi 1,000 customer? Itulah sebab peniaga yang suka main harga akhir sekali akan give-up. Mereka tak boleh cari makan.

Mungkin sahabat tanya, apakah NILAI yang kita boleh bersaing?

Bila berniaga, lebih baik bersaing dengan servis yang kita beri. Contohnya sebagai dealer emas, nilai yang paling mahal yang mereka perlukan daripada dealer ialah:

  • Nasihat pelaburan yang jujur dan betul, sesuai dengan kedudukan kewangan pembeli emas. Fikirkan kepentingan pembeli emas, bukan poket kita sebagai dealer. Bukan emas yang membuatkan kita kaya, tapi ilmu tentang emas itulah yang membezakannya.
  • Bantu permudahkan urusan juga beli terutamanya bila melibatkan apa-apa urusan yang perlu follow-up dengan Public Gold.
  • Terus kekal bertahan lama dalam bisnes! Inilah after sales service yang mahal.

Peniaga Baru Perlukan Fast Cash

Saya nampak, strategi lawan harga ni banyak sangat berlaku dikalangan orang berniaga direct selling. Bagi sahabat yang nak berniaga lama, jangan sesekali main harga apatah lagi jual “harga ahli” kepada yang “bukan ahli”. Daripada bagi diskaun, lebih baik tawarkan hadiah kepada customer. Memang betul, selain dari untung runcit 20% – 25%, syarikat akan bayar bonus tapi bonus tu tak berbaloi bagi orang yang baru bermula.

Untung runcit adalah “fast cash” yang boleh memotivasikan orang baru untuk bina bisnes. Bila ada order dari customer, ejen sebenarnya terpaksa keluarkan kos. At least kos petrol pergi ambil barang tu di cawangan terdekat, kos bil telefon untuk consult customer dan kos habis masa ke sana ke mari. Bagi leader yang dah ada network yang besar, mereka mungkin tak kisah dengan untung runcit. Tapi kalau ramai peniaga baru tak boleh survive sebab susah dapat fast cash dari untung runcit, akhir sekali leader pun turun sama akan jatuh!

Peniaga Mesti Berprinsip

Penyelesaiannya, kalau orang minta diskaun, jangan bagi diskaun tapi offer hadiah sebagai alternatif. Kalau ada customer yang bukan ahli, jangan sesekali bagi harga ahli. Kalau customer nak beli harga ahli juga, suruh dia register sebagai ejen. Kalau tak nak register ejen juga, suruh dia cari peniaga lain! Jangan rasa rugi untuk lepaskan pembeli yang ‘memeras ugut’ hak kita sebagai peniaga. Kita mesti berprinsip dan ada harga diri. Saya percaya, peniaga yang main harga akhir sekali ada give-up dan akhir sekali customer terpaksa cari peniaga yang ada harga diri macam kita juga. InsyaAllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
11 September 2014
16 Zulkaedah 1435

{ 34 comments… read them below or add one }

1 Nana Yusoff September 11, 2014 at 10:43 am

Assalamualaikum

Artikel yang sangat bagus Encik Zul. An eye opener .. Terima kasih

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 8:28 am

Wslm Pn. Nana,

Alhamdulillah. Mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah.

Reply

3 nashar September 11, 2014 at 12:22 pm

Alhamdulilah artikel Tuan menjawab persoalan saya uan dakenapa produk saya perlu dijual dengan harga yang mahal kerana nilai.Izin saya berkongsi artikel Tuan dalan fb saya.

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 8:29 am

Alhamdulillah. Silakan En. Nashar. Mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah.

Reply

5 skyfun September 11, 2014 at 12:22 pm

sy berniaga dodol,sy letakkan harga tinggi lebih awal dari persaing sy sebab takut akan dtg supplier akan up harga bahan mentah yg tidak menentu.bermakna jika supplier naikkan harga baru..sy tidak risau lagi dan yg lebih penting custumer sy akan rasa harga sy tidak naik,walaupon pasaran sudah naik..waktu itu pesaing sy akan naikkan harganya dan custumer akan mengeluh…hehe

Reply

6 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 8:30 am

Bagus strategi tu. Alhamdulillah. :)

Reply

7 peniaga baru belajar September 11, 2014 at 11:18 pm

Ada tak artikel tentang penjual yg berhadapan dengan mereka yg suka berhutang walaupun dah bagi harga patut pada customer.. Customer yg nak berhutang pula adalah di kalangan rakan2 sekerja..

Reply

8 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 7:02 am

Sebagai peniaga kecil, jangan buat urusniaga hutang. Kalau nak bisnes berkembang besar, berniaga secara tunai. Kalau orang nak hutang juga, minta dia beli dengan orang lain. Bila kita bagi hutang, kita akan penting kepala nak kena jadi “ceti” tiap-tiap bulan. Nanti habis masa kutip hutang berbanding fokus kembangkan bisnes.

Reply

9 Roziee September 12, 2014 at 10:21 am

Assalamualaikum… Pencerahan yang sungguh ‘cerah’. Saya merupakan seorang peniaga yang suka memberikan diskaun – sebab mudah kesian. Bila membaca article ini, ia membuka mata saya tentang NILAI.

Reply

10 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 10:45 am

Wslm Pn. Roziee,

Alhamdulillah. Mudah-mudahan prinsip ni boleh perbetulkan semula perjalanan bisnes puan, insyaAllah.

Reply

11 Azlina September 12, 2014 at 2:56 pm

Saya suka artikel ini!

Namun tak dapat sangkal, lebih suka dapat jual dengan harga patut, dan dapat beli dengan harga murah.

Reply

12 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 3:05 pm

Alhamdulillah. Mudah-mudahan artikel ni bermanfaat, insyaAllah.

Reply

13 Huraizah September 12, 2014 at 3:04 pm

Terima kasih atas penulisan ini. Kurang rasa bersalah saya kerana memberikan harga runcit pada pelanggan. Pertimbangan saya tidak salah rupanya. Pengalaman saya bersaing harga memang meletihkan, yang mengakibatkan ianya tidak sustainable.
Saya juga yakin, pelanggan yang ditakdirkan untuk saya adalah yang mampu sahaja, dari pelbagai segi.

Reply

14 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 3:05 pm

Alhamdulillah. Mudah-mudahan artikel ni bermanfaat, insyaAllah.

Reply

15 Nor Azah Ahmad September 12, 2014 at 8:25 pm

Semua yang Tuan Zul paparkan dalam tulisan ini merupakan pengalaman yang sedang kak lalui.. memang ada cstmr yang sangat meletihkan dengan pujukan supaya dikurangkan harga item emas yg hendak dibeli…puas juga kak terangkan kos2 yang terpaksa kita tanggung sepanjang urusan kita berniaga … apapun t.kasih byk krn tulisan ini memberi motivasi utk terus maju kehadapan … Jazakallah khairan

Reply

16 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 8:29 pm

Betul kak. Kalau runding harga ni memang penat. Terutamanya dealer Public Gold yang komisyen cuma 1% – 2% jer. Susah berkembang bisnes kalau benarkan runding harga sebab harga Public Gold memang dah rendah dalam RM15 – RM20 per gram berbanding kedai emas.

Reply

17 maizul.com September 12, 2014 at 10:14 pm

Terima kasih Tuan Zul. Baru saya faham bagaimana mereka bersaing dan perbandingan antara harga & nilai.

Reply

18 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2014 at 10:57 pm

Sama2 En. Maizul. Alhamdulillah. Mudah-mudahan artikel ni bermanfaat, insyaAllah.

Reply

19 akram September 13, 2014 at 7:11 am

Terima kasih en Zul artikel ilmu yg Susah saya nak cari ttg yg INI…sy pn bru berniaga Dan mmg terdapat pesaing lain yg letak harga jauh lebih murah….daripd jual murah lebih baik fikirkan strategi lain…bgmna pndpat en. Zul?

Reply

20 Mohd Zulkifli Shafie September 13, 2014 at 10:34 am

Betul En. Akram.

Reply

21 wan September 28, 2014 at 3:23 pm

Salam tuan.

Saya selalu bagi diskaun kpd pembeli. En suami kata, daripada barang kita lama dalam stok tak bergerak, lebih baik beri diskaun. kadang-kadang rasa tak berbaloi pun tp puas hati barang jalan dan kadang-kadang niat untuk bersedekahlah lebih kurang. Saya baru 6 bulan berniaga kedai pakaian. Apa pandangan tuan??

Reply

22 Mohd Zulkifli Shafie September 29, 2014 at 8:15 am

Wslm Pn. Wan,

Dalam konteks puan tu berbeza. Kalau puan berniaga pakaian, puan kena cek berapa harga pasaran. Puan kena jual mengikut harga pasaran ataupun mengikut harga peniaga-peniaga lain yang jual dalam pasaran yang sama. Bagi diskaun tu boleh, tapi puan kena tahu harga lantai tu berapa. Jangan sampai terlalu rendah sampai merosakkan pasaran.

Nak bersedekah bagi saya bukan cara bagi harga murah. Kalau puan rasa bagi harga murah tu dianggap bersedekah, saya rasa lebih baik jual pada kosnya semuanya. Beli RM10, jualpun RM10. Tapi kaedah macam tu akan mematikan bisnes kita dan akhirnya menyusahkan pengguna juga. Cara yang lebih baik ialah jual pada harga patut.

Wallahu a’lam.

Reply

23 mud October 12, 2014 at 10:23 am

Terima Kasih tuan…saya juga bru mncburkn diri…betul untung runcit la yg memotivasikan diri kpda pniaga baru …

Reply

24 Mohd Zulkifli Shafie October 12, 2014 at 11:05 am

Sama2 tuan.

Reply

25 Maizura December 5, 2014 at 8:28 pm

Assalamualaikum.

Saya juga antara peniaga yang mudah kesian. Perniagaan saya berusia baru 2 tahun. Adakah masih ada peluang untuk saya perbetulkan keadaan walaupun ada regular customer yang biasa membeli pada harga rendah.

Reply

26 Mohd Zulkifli Shafie December 7, 2014 at 6:28 am

Wslm Pn. Maizura,

Bagi saya masih ada masa. Mulai sekarang, bagi regular customer, puan boleh bagi “free gift” sebagai ganti. Free gift tu mungkin sama dengan yang diskaun yang puan pernah beri sebelum ni. Kaedah tu saya percaya boleh ‘tenangkan’ pembeli sedia ada. InsyaAllah.

Reply

27 AMD TARMIZI October 7, 2015 at 10:25 am

en zulkifli patut jadikan tulisan diblog ini sebuah buku. banyak manfaat

Reply

28 Mohd Zulkifli Shafie October 7, 2015 at 10:29 am

InsyaAllah… Mudah-mudahan dapat dibukukan suatu hari nanti. Terima kasih atas cadangan Tuan Tarmizi.

Reply

29 EzA January 25, 2016 at 2:51 pm

As salam..letih sebenarnye dengan mainan harga pesaing ni…saya sebenarnya baru membuka sebuah kedai jamu di suatu kawasan..kebetulan pula selepas sebulan berniaga..sebuah kedai lagi dibuka selang satu blok..mula-mula datang menyamar ke kedai saya untuk survey harga…tanya pula siapa supplier saya..aish…peniaga di situ juga memberikan harga borong untuk semua barangan yang dibeli walaupun satu…mainan harga sehingga menjatuhkan pasaran…maklumlah dia pun kedai pemborong..bolehla dapat harga murah2 lagi dari saya yang baru jah nak berniaga..rasa kebosanan berniaga macam ni..takkan nak jual untung tak sampai 5 ringgit 1 barang..kos lagi..agak2 tuan strategi apa terbaik dalam keadaan macam ni?…

Reply

30 Mohd Zulkifli Shafie January 26, 2016 at 10:51 am

Wslm Pn Eza,

Memang permainan harga akan merosakkan pasaran.

Saya tak mahir dengan bisnes jamu tu. Tapi saya rasa kena cari jalan untuk keluar dari persaingan harga. Mungkin puan boleh explore pasaran online atau tempat lain atau pasaran tanpa perlu ada kedai.

Wallahu a’lam.

Reply

31 lisa March 4, 2016 at 9:15 pm

Assalam encik zulkifli..saya sangat gembira dapat jumpa website ni.. segala panduan perniagaan yang saya cari selama ini saya telah temukan di sini..terima kasih banyak2 :)

Reply

32 Mohd Zulkifli Shafie March 5, 2016 at 12:01 am

Wslm Pn Lisa,

MasyaAllah. Alhamdulillah…

Reply

33 Nurul February 23, 2017 at 2:42 pm

Salam, Saya mohon copy artikel ni boleh? nak berkongsi pada rakan2 peniaga kecil-kecilan di facebook, Terima kasih

Reply

34 Mohd Zulkifli Shafie February 24, 2017 at 7:37 am

Wslm.

Silakan Pn. Nurul. Mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: