MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Tinggalkan Keselesaan Demi Keberkatan Ilmu

October 11, 2014

Bila tengok orang berjaya, jangan sekadar tengok apa yang mereka capai dan miliki. Tapi yang lebih penting ialah tengok cara mereka berfikir, sikap mereka, kerja keras mereka, dan kesabaran untuk mereka capai ke tahap itu. Rahsianya ada di situ.

Salah satu perkara yang saya selalu buat bila mula ada kesedaran untuk tingkatkan tahap kewangan dulu ialah baca success story. Saya suka datang ke rally-rally bisnes untuk dengar kisah kejayaan orang lain. Saya suka baca kisah-kisah kejayaan dalam majalah bisnes ataupun buku-buku yang boleh memberi inspirasi. Dari buku Chef Li yang kisahnya maju dengan roh beragama, hinggalah buku “My Story” yang menceritakan kisah kejayaan mendiang Lim Goh Tong, pemilik kasino dan Genting Highland. Ia benar-benar memberi inspirasi dan yang lebih penting, kita tahu kisah sebenar disebalik kejayaan mereka.

Mereka bukan duduk diam dapat duit! Mereka bayar kejayaan mereka dengan sebuah pengorbanan. Korban duit untuk belajar dan cari pengalaman, korban masa, korban waktu rehat, korban waktu tengok TV, dan korban keselesaan hidup walaupun mereka telahpun selesa berbanding kita.

Dan itu jugalah yang saya tiru. Saya masih buat perkara yang sama. Saya terus membayar ‘harga’ untuk berjaya.

Kemajuan Diri dan Perkembangan Ilmu

Salah satu pengorbanan besar yang saya buat sejak dulu ialah tinggalkan keselesaan hidup untuk mencari ilmu. Saya percaya, kita akan terus maju dalam apa bidang sekalipun selagi kita terus belajar (tambah ilmu). Bila berhenti belajar, kita akan sampai ke satu tahap kemajuan kita akan terhenti.

Masa kami mula-mula merangkak dalam bisnes dulu, saya banyak habis duit untuk cari ilmu. Pendek kata, di mana guru tu berada, saya sanggup bayar dan tinggalkan keselesaan untuk dapatkan ilmu tu. Boleh dikatakan hampir setiap minggu kami tinggalkan anak-anak di rumah pengasuh untuk pergi kelas dan seminar. Nak cari pengasuh pun bukan senang sebab kami ada anak kecil 4, 5 orang waktu tu. Siapa sanggup jaga anak orang sampai 4, 5 orang sekaligus! Kalau ada pun, bayarannya pun bukan murah.

Habis kelas lewat malam, kami terpaksa ambil anak di rumah pengasuh. Rumah apartment pulak tu! Anak semua dah tidur. Terpaksalah saya angkut seorang demi seorang naik turun tangga dari rumah pengasuh masuk kereta. Sampai apartment kami, angkat lagi seorang demi seorang naik turun tangga masuk rumah. Sampai rumah, badan dah penat. Esok pagi nak kena pergi kerja pulak. Itulah rutin kami hampir setiap minggu. Saya rasa, mungkin sebab kesanggupan kami berususah-susah begitulah Allah bagi keberkatan ilmu untuk kami amalkan dan ajarkan kepada orang lain.

Berkelana Mencari Ilmu di JB

Dua minggu lepas, saya hadir satu seminar kewangan di Johor Bharu. Seminar Bebas Hutang! Peserta tak ramai. Dalam 20 orang. Walaupun saya tak menangung sebarang hutang, saya tetap hadir juga seminar tu untuk dapatkan ilmu. Mungkin ada ilmu yang saya belum belajar tentang langsaikan hutang.

Seminar bermula 8.00 pagi. Saya dari KL. Ingat nak naik ‘kuda perang’ Scooter SYM saya tu dari Damansara Damai ke JB, tapi saya fikir masa saya terlalu berharga untuk dibuang kerana ‘travel’. Nak drive naik kereta, rasa sunyi pulak sorang-sorang. Akhir sekali saya cek tiket flight dari Subang ke Senai Airport. Tiket paling awal pun flight sampai sana jam 9.30 pagi! Sedangkan saya perlukan masa ‘spare’ at least 1 jam untuk bergerak dari airport ke tempat seminar yang akan bermula jam 8.00 pagi.

Akhir sekali saya decide, ambil flight malam sebelumnya. Flight terakhir sampai Senai Airport dalam jam 11.00 malam. Aduh, kat mana pulak nak menginap ni? Saya pergi gamble jer. Isteri saya tanya, “Abang tidur kat mana malam ni?”. Jawab saya, “kat mana mata Abang terpejam, kat situlah Abang tidur…”. Sampai Senai Airport, saya pun tak tahu mana nak dituju. Saya keluar jalan kaki kot-kot ada hotel murah sekitar airport. Tak nampak la pulak. Akhir sekali nampak menara masjid. Oh, rezeki saya tidur masjid lah nampaknya.

Tinggalkan Keselesaan Demi Keberkatan Ilmu

Saya jalan kaki ke masjid yang jaraknya sekitar 800 meter dengan berselipar. Rasa macam nak melecet kaki ni. Masuk masjid dah nak pukul 12.00 malam. Rasa risau pun ada, takut nanti orang tuduh masuk nak curi harta masjid. Sampai masjid, solat Isyak di bahagian beranda. Nak tidur ruang dalam masjid yang berkarpet tu tapi berkunci! Terpaksa tidur di beranda masjid yang berlantaikan marmar tu. Aduh… sejuknya lantai ni. Mesti masuk angin dalam badan ni. Nasib baik bawa tuala kecil. Saya jadikan alas. Boleh lah alas badan walaupun kaki terpaksa terjulur ke lantai.

Tidur di beranda masjid tu, setiap 30 minit dan sejam mesti terjaga. Sunyi, gelap, sejuk dan nyamuk yang sentiasa berbisik di telinga! Saya paksa juga diri untuk tidur supaya saya dapat fokus dalam kelas esok pagi. Begitulah tidur saya sepanjang malam sampai pukul 5.00 pagi. Pukul 5.15 pagi dah tak boleh tidur. Ya Allah, dah lama saya tak rasa ‘sedikit susah’ macam ni. Dalam hati saya cuma berdoa, “Ya Allah, Engkau berikanlah keberkatan ilmu atas sedikit keselesaan yang aku tinggalkan ni”.

Dalam pukul 7.00 pagi, saya jalan kaki ke Petronas tak jauh dari masjid untuk dapatkan teksi. Pukul 7.40 pagi saya dah sampai tempat seminar. Saya orang pertama sampai. Kaunter pendaftaran pun belum buka. Bila daftar, rupa-rupanya semua perserta adalah orang JB! Saya satu-satunya peserta yang datang dari luar JB. Maksudnya, saya orang paling jauh datang, paling banyak korbankan duit dan paling banyak korbankan masa untuk dapatkan ilmu tu. Jadi, semestinya saya lah orang yang paling menghargai ilmu tu.

Peluang Bertalaqqi Dengan Jutawan Hartanah

Alhamdulillah, sessi pagi, banyak ilmu baru yang saya dapat. Ilmu begitu mustahil untuk jumpa dalam buku-buku atau blog-blog kewangan. Ilmu yang kurang digemari oleh pihak bank. Seminar Bebas Hutang habis pukul 12.30 tengahari. Habis sessi pagi, saya dijemput ke group coaching untuk pemilik rumah sewa dengan tambahan bayaran RM89. Gurunya adalah pemilik rumah sewa dan mempunyai ratusan penyewa. Lagi teruja, beliau tak pernah ada masalah penyewa liat bayar sewa. Beberapa penyewa yang beliau ‘halau’ bukan sebab tak bayar sewa, tapi tak ikut peraturan yang beliau tetapkan untuk menghuni rumahnya.

Bila hadir coaching jam 2.30 petang, peserta berdaftar cuma 5 orang! Ia dibuat di ruang tamu sebuah rumah kecil. Rezeki saya, bukan sahaja dapat ‘bertalaqqi’ dengan guru jutawan hartanah, tapi yang turut hadir ialah anak-anak muridnya (yang bukan peserta) dalam 5, 6 orang lagi. Mereka juga ialah pemilik-pemilik hartanah berpengalaman di JB. Saya dapat ilmu yang mahal daripada pengalaman mereka juga.

Ilmu Yang Tak Diajar Dalam Buku

Saya berpeluang tanya apa sahaja persoalan tentang hartanah. Dan saya peserta paling banyak bertanya. Dari pukul 2.30 tenghari sampailah 6.00 petang, saya tak sempat cek dan reply mana-mana mesej di handphone. Sampai ada customer saya berkecil hati tak dapat apa-apa reply dari saya dari tengahari sampai maghrib. Masa tu sangat-sangat berharga. Bukan senang nak bertalaqqi begini. Ilmu yang saya belajar dalam tempoh singkat tu, mustahil saya boleh dapat dari buku-buku atau blog-blog tentang hartanah. Ini ilmu yang bank tak suka (“,). Pendek kata, kalau yuran RM500 pun saya sanggup bayar untuk sessi tersebut. InsyaAllah.

Habis kelas, saya bukan sahaja dapat ilmu, tapi saya dapat tambah kawan-kawan pemilik hartanah berpengalaman. Walaupun mereka pemilik banyak hartanah, mereka semua berkereta biasa-biasa jer. Ada yang datang dengan kereta buruk jer, tapi memiliki lebih 10 buah hartanah di JB. Ya Allah, sungguh humblenya mereka.

Pelaburan Saya Yang Paling Menguntungkan

Nak balik, salah seorang peserta hantarkan saya ke Senai Airport. Flight saya jam 9.45 malam. Delay ke 10.15 malam. Saya tak tahu apa nak cakap, tapi inilah hari yang saya rasa penuh kepuasan. Syukur sangat-sangat Allah berikan saya ilmu yang lebih banyak dari apa yang saya jangka. Mungkin inilah keberkatan yang Allah beri dalam doa saya sewaktu dibisik nyamuk malam tu.

Saya sampai rumah di Damansara Damai dalam pukul 12.00 malam. Isteri dan anak-anak semuanya dah tidur. 30 jam saya korban hujung minggu kami kerana ilmu. Dan pelaburan pada ilmu inilah yang memberikan keuntungan paling banyak kepada kami selama ini. Mudah-mudahan dengan ilmu ni, menjadikan kami sekeluarga orang yang lebih baik di sisi Tuhan di juga di sisi manusia, insyaAllah.

Apa yang boleh saya pesan untuk sahabat pembaca, teruslah belajar. Carilah gurunya, dan bayarlah ‘harga’nya. Ilmu-ilmu yang mahal tak datang bergolek kepada kita, tapi kitalah yang kena bersusah-payah keluar pergi cari ilmu. Kita lebih menghargai sesuatu ilmu bila kita terpaksa ‘bayar’ harganya. Mudah-mudahan kesusahan kita tu, Allah bagi keberkatan atas ilmu tersebut, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damasara Damai
11 Oktober 2014
16 Zulhijjah 1435

(Kredit foto : matslamber)

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Assalamualaikum tuan,

    Perkongsian yang hebat. Senang dan Tenang, itulah yang kita akan dapat kalau pandai mencari Ruang dan Peluang…

    • Puan Murni,

      Terlalu banyak input saya dapat dalam seminar tu. Semuanya berkisar pengurusan hutang, pelaburan hartanah dan pengurusan rumah sewa. Saya akan berkongsi tips-tips tu dalam artikel-artikel ada datang yang mana sesuai. InsyaAllah.

  • Salam tuan…
    mohon khidmat tuan bagaimana nak cari kursus-kursus ilmu atau seminar berkaitan kewangan di jb…saya duduk jb pun tak tahu kat mana ada…tk

    • Wslm En. Razip,

      Saya pun tak pasti. Seminar hari tu pun saya ternampak di facebook. Penganjur tu pun buka selalu buat seminar. Kalau buat pun secara kecil-kecilan untuk ‘kroni’ mereka jer. Entah macam mana Allah rezekikan saya dapat join seminar mereka, sedangkan saya bukan ‘kroni’ mereka.

      Pengalaman saya, guru-guru yang bagus ni mereka buat buat duit dengan seminar. Kalau buat seminar pun, biasanya mereka tak suka seminar besar-besaran. Mereka lebih suka seminar tertutup untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sebenar mereka berjaya.

  • Bila baca entry ni, baru saya teringat kenapa saya pilih untuk kerja di Sabah. Sebabnya saya terbaca catatan Imam Shafie malam sebelum isi spplication form : Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman.
    Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang.
    Merantaulan, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan.
    Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang

    Sebab nak buktikan diri berilmu & beradab, terus pilih tempat jauh 🙂

  • Alhamdulillah, perkongsian cerita Tuan ini telah membuka luas minda saya untuk belajar berkorban keselesaan hidup bagi mencari ilmu-ilmu yang mahal harganya..Insya-Allah sebagai permulaan saya cuba membeli buku-buku dan membaca blog-blog kewangan dan seterusnya menghadiri seminar.

    ‘What you give you get back’ =)

  • Kami suami isteri pun selalu begini. Tapi anak2 memang angkut sekali masuk program. Kami susah sikit percaya org lain utk jaga anak2.

    Kalau program x boleh bawa anak, salah seorang akan jaga anak. Atau kalau teknikal, sy minta suami je pergi.

    Tapi setiap program kalau luar kawasan kami, memang kami akan travel bersama.

    Biasanya kalau long distance travel 5-6 jam, kami tidur dalam kereta tepi highway. Masa tu takde bajet nak beli tiket flight.

    Ada juga bangun pagi dalam kereta, lepas subuh, terus ke majlis ilmu tanpa mandi.

    Alhamdulillah segalanya terbayar. Tapi tak rugi menuntut ilmu. Setiap majlis ilmu ada mutiara tersendiri.

  • Asslamua’laikum En Zul, Wahhh… kagum saya dengan semangat menuntut ilmu saudara… Saya yang membace rase berkobar kobar pulak ni nak ikut jejak langkah menuntut ilmu tu… Teruskan sebar kebaikan En Zul… Pasti berbayar di sana nt… InshaAllah….

    xsabar menunggu perkongsian seterusnya… =)

  • Alhamdulillah,, pengalaman yang sangat berharga tuan Zul..Niat tuan yang tulus dan ikhlas menimba ilmu pelaburan dari dulu hingga kini banyak memberi inspirasi dan membantu kak . Kak mmg pengikut setia blog tuan. Di sinilah banyak ilmu kak timba kerana kekangan masa nk bertalaqqi spt yang tuan lakukan . Kak sentiasa doakan kejayaan dan keberkatan dalam hidup tuan sekeluarga. Jazakallahu Khairal Jazak

    • Alhamdulillah. Terima kasih Kak Nor Azah yang selalu jenguk blog ni. Mudah-mudahan ianya bermanfaat, insyaAllah. Terima kasih juga atas doa akak. Saya doakan Allah merahmati akak sekeluarga juga. Amiin ya Allah.

  • Salam En.Zul,

    Pengkongsian yg sgt menyentuh jiwa. Sebenar2nya nak berjaya bukan mudah. Terlalu banyak pengorbanan yg perlu kita buat. InshaAllah saya juga ingin @ sedang mencontohi usaha En. Zul dlm menguruskan hal-hal kewangan.

    Alhamdulillah, skrg saya tidak ada ‘bad debt’, cuma ada satu pajakan ar-rahnu sbb ingin membantu ibu saya mengeluarkan barang kemas di kedai emas cina ( tinggi interestnya!)… Saya sekeluarga cuma ada hutang kereta, sudah ada rumah sendiri & 2 buah rumah sewa.

    Kini kami telah membuat keputusan suami saya akan berhenti kerja menguruskan 4 org anak yg mula bersekolah tahun hadapan & bergantung pada pendapatan saya seorg( InshaAllah cukup) kerana kami tak mahu nasib anak2 & pendidikan ditgn org lain.. sementara itu saya berazam menambah nilai ilmu dgn membaca buku, hadir seminar…doakan kami sekeluarga..

    • Wslm Pn. Nita,

      Alhamdulillah.

      MasyaAllah, saya rasa kewangan Pn. Nita sekeluarga dalam keadaan yang sihat. Memang ia memudahkan untuk berhenti kerja dan bina kehidupan dan pendapatan lebih baik. Saya doakan Allah memberkati usaha puan sekeluarga, amiin ya Allah.

  • sy amat kagum dgn kesungguhan tuan mencari Ilmu bagi memperbaiki tahap kualiti diri Tuan untuk ke arah yang lebih baik lagi.semoga Tuan berjaya Dunia &Akhirat,coretan cerita Tuan meberikan saya visi/matlamat utk berjaya mcm Tuan juga 1 hari nanti, insyaAllah

  • asssalamualaikum, alhamdulillah Allah rezekikan saya bertemu dengan blog tuan ini.seorang blogger yang islamik berkongsi ilmu dan pengalaman untuk mencari kecemerlangan dunia akhirat..saya ingin lagi singgah diblog ini untuk meniup inspirasi saya berusaha lagi mencari ilmu utk bebas dari hutang..buku mudahnya menjemput rezeki menyambungkan saya ke blog tuan yang sangat bermanfaat ini..bagi insan yang ingin mencari dunia untuk dimanfaat ke akhirat…

  • salam. tuan menjual PG bar? or agent PG? tuan islam muslim. support cina punya biz. tp hentam peniaga melayu lain secara halus dlm blog tuan. mcm mna yer tu? harap tuan boleh bg penjelasan secara profesional. dan jgn x publish or delete comment sy ni.. 🙂

    • Wslm En. Faisal,

      1. Betul, saya dealer Public Gold yang aktif. Boleh En. Faisal terangkan bahagian mana yang salah disisi agama bila jadi berurusniaga dengan syarikat non-muslim?

      2. Oh, mohon maaf En. Faisal. Saya tak akan support kalau syarikat tu hanya namanya Melayu. Yang penting ialah ikut syariat dan patuh dalam muamalat Islam. Kalau tuduh saya nak menjatuhkan Melayu, oh minta maaf. Itu fitnah. Saya Melayu Muslim yang komited. Saya juga orang yang ambil berat tentang hukum hakam agama dalam urusniaga.

      Saya rasa orang yang tuduh saya support Cina sebab jadi dealer Public Gold, cuba cek sejarah mereka. Biasanya mereka pun pernah jadi dealer Public Gold yang aktif sebelum ni. Tapi bila dah tinggalkan Public Gold, mereka hentam Public Gold menggunakan sentimen bangsa dan agama untuk cover kelemahan bisnes mereka.

      Wallahu a’lam.

      • Saya juga seperti Tuan Zulkifli, setuju dengan apa yang dikatakan oleh Tuan Zul. Tidak ada salahnya kita berurusniaga dengan non-muslim selagi ikut dan patuh syariah. Jika masih mendabik dada dengan perkataan bangsa Melayu, rasanya berapa ramai orang melayu yang telah ditipu hidup-hidup dengan orang melayu juga yang kononnya demi bangsa melayu. Kita ikut apa yang Rasulullah ajar. Sedangkan Rasulullah pon berurusniaga dengan yahudi.

        Maaf mungkin agak emosi sedikit, tetapi kebanyakan yang menghentam orang melayu yang menjadi dealer PG kononnya ‘barua’ cina adakah mereka yang melayu ni kerja dengan syarikat melayu? makan gaji dengan orang melayu? beli barang di kedai melayu? tiada langsung berkawan dengan orang lain selain melayu? Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkanlah. Jiran saya yang cina pon budi bahasa mereka lebih baik dari jiran melayu kita….siap ada kecemasan apa-apa, jiran cina ni yang hulurkan bantuan awal.

        Ini bukan sebab bangsa apa, tetapi bagaimana kita nak tunjukkan keindahan budi pekerti orang islam yang biasanya orang melayu tetapi sikap kita lebih teruk dari bangsa lain.

        Maaf Tuan Zul, tumpang lalu

  • Assalamualaikum wbkth Tn Zul..

    Alhamdulillah, blog Tn antara yg saya selalu kunjungi utk mencari input baru. Jujurnya saya sentiasa termotivasi dgn setiap artikel2 Tn Alhamdulillah.. Sejak membaca motivasi2 kewangan, dgn merujuk beberapa panduan saya sudah boleh mengurus hutang dgn baik wlu pun masih mempunyai beberapa bad debt dan menjadikan emas sbg simpanan. Saya masih berusaha utk melangsaikan bad debt yg sgt menyesakkan.. Mudah2an usaha saya itu akan berhasil (dpt dilangsaikan) dlm beberapa tahun lagi..

    Saya rasa xada salahnya menjalankan bisnes dgn org Cina. Malah sgt berbangga kpd master2 dealer Melayu PG yg suara mereka didengar dan boleh mengusulkan sesuatu yg patuh syariah di dalam PG seperti GAP 1 gram.. Tahniah Tn Zul dan Master2 dealer Melayu.. Saya rasa Tn FAIZAL masih belum kenal secara jelas tentang profile Public Gold dan jg Tn Mohd Zulkifli… Sekadar pandangan saya. Wallahu a’lam

  • Assalamualaikum Tuan Zulkifli,

    Artikel yang baik dan bermanafaat.
    Teruskan usaha ini semoga mendapat ganjaran kebaikan di sisi Allah.

    Wassalam.

  • Salam tuan Zul,
    Saya juga amat berminat mengenai pengurusan kewangan peribadi, tp setakat ini just follow blog tuan, AKPK dan belajar dari silap dan salah sendiri.
    Jika tuan tidak keberatan, bolehkan tuan kongsikan satu seminar utk saya hadiri utk tambah ilmu?

    Jazakallahu khairan jazak.

  • Salam tuan,
    Bagaimana tuan boleh tetap pendirian dalam membaca buku2 yg disebutkan? adakah tuan memperuntukkan masa setiap hari untuk membaca atau membaca ketika cuti hujung minggu? mohon kongsi tips. terima kasih.

    • Wslm En. Ariffin

      Saya jadikan membaca tu sebagai tabiat. Saya pergi mana-mana mesti bawa buku (walaupun selalunya tak sempat baca pun). Saya biasanya dapat ruang membaca bila waktu menunggu yang tak boleh buat apa-apa. Tengah tunggu flight, atas flight, tunggu kaunter bank dll. Itu waktu yang paling berkesan saya membaca. Waktu lain biasanya saya sibuk dengan urusan lain.

      Itu pengalaman saya tentang membaca.

  • Assalamualaikum, tuan Zul.
    Perkongsian yang sangat bermanfaat untuk tatapan pembaca. Saya dah follow hampir 3 tahun penulisan tuan dan sempat juga pergi keseminar tuan di kl . Alhamdulillah banyak yang saya belajar dan dapat praktikkan . Semoga tuan diberi kesihatan yang baik dan dapat terus berkongsi ilmu dengan masyarat lain diluar sana .

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >