MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Kaya Segan, Miskin Tak Mahu

December 12, 2014

"Kaya segan, miskin tak mahu". Itulah antara sebab kenapa Melayu susah kaya; kita ada satu konflik besar dalam pemikiran kita tentang kekayaan kata Tan Sri Ali Hashim (tokoh usahawan muslim). Itu “mind block” yang menyebabkan kita rasa teragak-agak untuk kaya. 

Nak kaya, tapi rasa was-was antara kaya atau miskin, yang mana lebih baik?

Was-was Nak Jadi Orang Kaya

Bila cari kekayaan, kita rasa kita kejar dunia dan lupa akhirat. Tapi kalau kerja, kita nak gaji lebih besar. Kalau bonus, kita nak bonus lebih banyak.

Lagi konflik bila kita dengar cerita dari ustaz-ustaz katanya, Rasulullah s.a.w itu miskin, hingga Rasulullah s.a.w terpaksa ikut perut dengan batu kerana lapar.

Bukan setakat Rasulullah, para sahabat pun turut sama miskin bila kita dengar cerita Saidina Umar pun turut sama ikat perut mengadu lapar kepada Rasulullah s.a.w. Sahabat yang kaya raya cuma seorang sahaja yang kita dengar iaitu Abdul Rahman Bin Auf r.a. Yang lain semuanya miskin!

Salah Faham Tentang Kekayaan

Lama juga saya mengkaji tentang konflik ni. Saya cari buku-buku tentang Rasulullah s.a.w. berniaga waktu mudanya. Dari pembacaan, saya rasa ada yang tak kena dengan kefahaman masyarakat kita tentang kekayaan.

Bila saya dengar beberapa siri kuliah dari Ustaz Dr Ahmad Faisal (UM), Ustaz Zulkifli Ahmad dan mendapat input dari Pn. Ainon hasil daripada team pengkaji hadis beliau, maka saya boleh buat kesimpulan, kefahaman kita terhadap Rasulullah s.a.w dan para sahabat tentang kekayaan adalah salah.

Baginda bukan sebagaimana yang kita fikir. Agama tak pernah suruh kita jadi miskin. Kemiskinan bukan sesuatu yang digalakkan oleh agama, bahkan agama menggalakkan kita jadi kaya!

Saya masih mengkaji dan berusaha dapatkan input-input berdasarkan nas yang sahih tentang perkara ini.

Buka Al-Quran, Semak Hadis

Bila kita belek-belak Al-Quran, Allah s.w.t berulang-ulang kali sebut bahawa orang mukmin itu sedekahkan apa yang Allah rezekikan kepada mereka. 

Perintah sedekah tentunya untuk mereka yang kaya, at least mempunyai lebih dari keperluan asas untuk hidup. Rukun Islam ke-4 (Zakat) dan ke-5 (Haji) disyariatkan untuk orang kaya, bukan untuk orang miskin.

Dan setakat input yang saya dapat, rupa-rupanya 9 dari 10 sahabat yang dijamin Syurga itu adalah orang kaya.

Bahkan Rasulullah s.a.w sebelum kerasulannya juga adalah orang kaya. Baginda adalah seorang JUTAWAN sebelum berumahtangga, hingga diriwayatkan maskahwin baginda dengan Khadijah a.s ialah 20 ekor unta!

Rasulullah s.a.w Seorang Jutawan

Sekarang ni, kalau 20 ekor lembu pun nilainya dah mencecah RM60,000 (RM3,000 x 20 ekor). Kalau unta?

Unta yang Rasulullah jadikan maskahwin ialah UNTA MERAH yang digunakan sebagai TRELER DAGANGAN waktu itu. Dan bukan setakat unta, tapi maskahwinnya penuh dengan barang dagangan untuk setiap unta.

Seekor unta nilai barang dagangan yang dibawa dianggarkan sekitar RM25,000 kalau mengikut nilai hari ni.

Nah, cuba kira berapa agaknya nilai 20 buah treler zaman sekarang? Mana nak cari anak muda dari kampung yang mampu berikan maskahwin sebanyak itu ketika umurnya baru 25 tahun?!

Baginda Capai Financial Freedom

Yang kedua, adalah mustahil seorang anak muda itu akan serahkan segala harta kekayaannya hanya untuk maskahwin. Tentunya tidak. Maskahwin hanya sebahagian dari kekayaan sahaja.

Maksudnya, kekayaan baginda s.a.w lebih banyak dari itu.

Berdasarkan pembacaan saya dari buku “Beginilah Rasulullah Berniaga”, sewaktu Baginda berkahwin, Baginda telahpun capai status “financialy free” (bebas kewangan). Kekayaan baginda cukup untuk hidup sepanjang hayat tanpa perlu bekerja lagi.

Rasulullah Berniaga Diusia Muda

Hasil input daripada team pengkaji hadis Pn Ainon, Rasulullah memulakan bisnesnya sendiri pada usia 18 tahun. Dan berpartner dengan Khadijah a.s. sebagai pemodalnya yang berusia 33 tahun waktu itu.

Sebelum berpartner dengan Khadijah a.s, baginda bermentor dengan pakciknya Abu Talib selama 6 tahun. Ketika umurnya 25 (gen Y), baginda telahpun menjadi seorang jutawan, iaitu hanya lepas 7 tahun berniaga dan berpartner dengan Khadijah a.s.

Baginda berdagang, bukan pengeluar. Baginda jadi pengedar, bukan mengeluarkan produk sendiri. Baginda tak ada produk sendiri, dan baginda tak ada kedai sendiri.

Antara barang dagangan Baginda ialah kain dari Yaman, iaitu komoditi paling hot waktu itu.

Berhabis Harta Kerana Agama

Lepas kerasulan, baginda hidup bersederhana.

Harta baginda dan isterinya dihabiskan ke jalan dakwah hinggakan Khadijah a.s diriwayatkan pernah berkata “Ambillah tulang belulangku, ambillah tulang belulangku. Aku sudah tidak ada apa lagi ya Rasulullah. Hanya yang ada tulang belulang ini. Ambillah ia setelah aku wafat. Jadikan ia jambatan untuk sahabatmu pergi berjihad”.

Maksudnya, Nabi s.a.w dan isterinya yang kaya raya jadi ‘papa kedana’ kerana dakwah dan perjuangan, bukan kerana malas berusaha!

Kalau nak ikut Nabi, kita kena kaya dan papa kedana kerana perjuangan juga!

Jangan sesekali samakan kemiskinan kita dengan Nabi. Ia jauh sama sekali dengan orang yang hidup papa kedana kerana tak ada wawasan dalam hidup!

Nabi s.a.w Bukanlah Miskin

Kata Ustaz Zulkifli Ahmad, kisah-kisah Rasulullah dan para sahabat yang hidup susah hanya berlaku hanya ketika awal-awal hijrah sahaja. Abdul Rahman bin Auf yang kaya raya di Mekah terpaksa papa kedana kerana agama ketika berhijrah.

Tapi bermula tahun ke-6 hijrah, para sahabat Nabi dah mula hidup senang. Waktu itu barulah Nabi s.a.w. hantar utusan kepada kerajaan lain supaya menerima Islam.

Oh, jangan lupa, zaman dulu hantar utusan bersama dengan wakil yang menghantar utusannya sekali, bukan pakai poslaju! Kalau sahabat Nabi dan kuda-kuda pun dalam kelaparan, mana mungkin Baginda menghantar utusan?!

Dunia Dalam Genggaman Para Sahabat

Lepas tahun ke-6 hijrah, barulah banyak hadis-hadis Nabi tentang “berhati-hati dengan dunia” sebab “kekayan dunia” mula berada dalam gengaman para sahabat.

Ketika zaman susah, Nabi ingatkan tentang fadhilat faqir. Bila dah senang, Nabi ingatkan berhati-hati dengan dunia.

Kata Ustaz Zulkifli Ahmad, kesilapan kita ialah kita ingatkan “berhati-hati dengan dunia” kepada orang ‘miskin’ tak ada harta! Seolah-olah seluruh hidup Nabi dan para sahabat dalam keadaan kemiskinan.

Ini boleh melemahkan motivasi ummat Islam untuk jadi kaya.

Pesanan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin ini saya petik dari buku bertajuk “Sirah Rasulullah”, iaitu sebuah buku yang menghimpunkan ucapan beliau mengenai Rasulullah s.a.w.

Dikelilingi Sahabat Kaya Raya

Dan satu fakta yang kita selalu lupa, walaupun baginda hidup bersederhana selepas kerasulan, baginda dikelilingi oleh para sahabat yang kaya raya. Kalau tak, masakan 17 peperangan yang Rasulullah sertai, kosnya hanya dibiayaai oleh ‘duit’ para sahabat!

Dalam sejarah manusia, kos terbesar bagi sesebuah kerajaan ialah kos peperangan!

Kalau kita baca sirah Nabi s.a.w, tahun ke-9 hijrah, Abdul Rahman bin Auf menginfaqkan 1,500 ekor unta dan 500 ekor kuda untuk Perang Tabuk. Usman r.a. menginfaqkan 500 ekor unta untuk Perang Tabuk, bahkan dalam hidup Usman r.a. pernah dua (2) kali bergolok-gadai hartanya kerana agama! Itulah kekayaan bagi sahabat Baginda.

Kaya Dunia, Kaya Akhirat

Kalau nak dianggarkan, kekayaan kedua-dua sahabat baginda ini sahaja kita dah boleh katakan, mereka ialah MULTI-MILLIONNAIRE. Mereka bukan setakat kaya, ahli Syurga pulak tu! Oh, betapa jauh bezanya kita dengan para sahabat...

Kita kononnya meninggalkan kekayaan atas nama agama sedangkan sahabat Nabi “menggengam dunia” kerana agama.

Jadi dalam konteks membina kekayaan, pertama sekali mesti ada dalam kepala kita “kaya itu mulia”. Jadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai idola dan motivasi untuk kita jadi kaya. Dan kita kena tahu, ke mana nak dibawa kekayaan kita itu, barulah kita yakin untuk usahakan kekayaan.

Bagi yang berniaga, bongkarlah rahsia usahawan Muslim tersohor di zaman Nabi, iaitu Abdul Rahman bin Auf. Beliau bukan sahaja MULTI-MILLIONNAIRE, tapi beliau juga ialah AHLI SYURGA!

Kesimpulan

Apa yang boleh saya simpulkan;

#1 – Untuk jadi kaya, mesti ada dalam fikiran kita “kaya itu mulia”. Perbetulkan mindset dulu, barulah senang kita mencari kekayaan dengan bersungguh-sungguh.

#2 – Carilah dunia sebanyak mungkin, tapi kita mesti tahu ke mana nak di bawa kekayaan itu. Ia tak lain tak bukan, kekayaan yang kita cari demi sempurnakan tanggungjawab yang Allah beri, bukan untuk bermewah-mewah yang bersifat sementara.

#3 – Salah satu cara memastikan dunia tak melalaikan kita ialah disiplinkan diri dengan bersedekah. Setiap harta yang Allah beri, tetapkan portionnya untuk bersedekah. Bersedekahlah dari sekarang walaupun sedikit. Jangan tunggu kaya baru nak besedekah.

Mudah-mudahan coretan ini memberi kefahaman kepada kita, “kaya itu mulia”…

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
12 Disember 2014
19 Safar 1436

“Duit memang tak boleh bawa masuk kubur. Tapi macam mana kita mencari duit, mengurus dan membelanjakannya itu memberikan kesan besar di alam kubur. Carilah dengan cara halal, dan berbelanjalah untuk kebaikan. Itu akan dapat membantu kita.” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 4 November 2023

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Alhamdulillah,

    Penerangan yang saya cari-cari selama ini, selalu juga menghadapi konflik kaya segan miskin tak mahu ini.

    Terima Kasih Tuan.

  • Subhanallah
    Fakta yang patut disebarkan dan diberi kefahaman meluas kepada generasi muda hari ini. Maruah orang Islam di dunia akan terpelihara jika ada ramai jutawan muslim yang soleh , bertakwa yang menjadikan harta alat untuk bahagia di dunia dan kekal di Syurga..

  • Alhamdulillah…acap kali saya terdetik dalam hati isu Perlu Kaya tapi TAkut Kejar dunia,,,,,artikel ni dah menjawab persoalan tu…Syukur. Terima kasih Tuan Mohd Zulkiflie

  • Alhamdulillah,
    Makin jelas matlamat untuk kaya,
    yang penting tahu untuk apa kita kaya
    dan ke mana kita nak salurkan kekayaan
    tersebut.

    Teringat sebuah kata2 kalau tak silap lebih kurang macam ini bunyi nya
    “kefakiran menghampiri kekufuran”

    Saya doakan En. Zul dan semua pembaca blog agar
    semakin dimurahkan rezeki yang berkat dan
    sama-sama menjadi ‘orang kaya yang bertaqwa’

    🙂

  • BETUL….MEMANG KONFLIK…TAPI BILA PIKIR BALIK PERJUANGAN RASULULLAH SAW BANYAK DIBANTU OLEH KEKAYAAN SITI KHADIJAH….SAYA RASA DILEMA INI PERLU DIHAPUSKAN…En. Zulkifli, betulkan saya kalau saya salah..

  • Assalamualaikum

    Terima Kasih tuan zul, konsep kekayaan sebenar dalam islam yg perlu difahami….ramai yg masih faham zuhud itu seperti berjubah lusuh dan hidup dalam keadaan susah, tak pentingkan dunia. Sedangkan istilah zuhud itu sendiri membawa maksud hanya meletakkan dunia di tangan bkn di hati dan tidak bermakna langsung tidak mencari kaya dunia. Semoga kita semua beroleh kekayaan yg diredai kan menjadi penyumbang kepada dakwah islam…InsyaAllah

  • Baru sya tahu kaya bukannya kaya harta semata2 tp akhirat tujuan utama . Kekayaan sebagai jambaran menuju syurga. Lantaran syurga adalah dunia pegangan utk ke syurga melalui sedekah sampai bila2. Tq tuan atas perkongsian ilmu ni

  • kalau geng MLM/skim cepat kaya datang bawak ayat perniagaan adalah 9 jalan untuk cari rezeki..

    boleh tanya balik kat dia, Rasulullah berniaga macam mana dsb ;D

  • Article yang sangat bagus dan motivated. Membuatkan saya menanam azam untuk jadi kaya juga supaya saya bole memberi dengan lebih banyak. Insya Allah. 🙂

  • Orang kita fikir tak mahu kaya kerana cuma memikirkan diri sendiri. Mereka tidak memikirkan mencari rezeki untuk dijadikan bahagian umat Islam yang lain. Kita perlu berubah. Kafir sekarang lebih halus. Menggunakan kekayaan untuk “memukau” umat2 Islam yang goyah imannya.. Sangat menyedihkan..

  • Salah tak salah bergantung pada ke mana dan dari mana duit duit diperoleh. Dapat elok, belanja elok tak jadi masalah.

    Macam beli pisau, boleh guna untuk baik dan buruk.

    Tapi Rasullah memang role model untuk semua perkara. Dalam bisnes, baginda memang terbaik.

  • salam Encik,
    saya mahu terus menjadikan rezeki utk dikongsi sebagai salah 1 aktiviti biasa saya selagi sy hidup. insha allah. amin.

  • Benar ada sesetengah umat islam berkaadaan selekeh nampak tak hebat di pandangan mata org lain…Ana Zuhud katanya .(ZUHUD = sikap menjauhi semua persoalan keduniaan..)
    sedangkan Nabi dahulu kenderaan kudanya adalah kuda yg terbaik..kalau mengikut tamadun sekarang kereta Mercedes/Volvo lah gamaknya.
    Mereka leka mencari pahala..sedangkan bil api air tidak dapat di bayar dgn pahala..tetapi sebaliknya dengan wang kita boleh mencari pahala.
    Dah Tuhan beri rezeki takan nak Tuhan suap ke mulut pula ye.tak.usahalah

    Al kisah……

    Ketika ‘Umar r.a. melihat beberapa orang berdiam diri di masjid setelah solat Jumaat, dia bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu?” Mereka menjawab, “Kami adalah orang yang bertawakkal kepada Allah.” Lalu ‘Umar r.a. berkata, “Sesungguhnya kamu adalah orang pasrah yang tidak mahu berusaha untuk mencari rezeki dan hanya berdoa: “Ya Allah berilah kami rezeki.” Padahal mereka tahu bahawa langit tidak menurunkan hujan emas atau perak, tetapi Allah S.W.T. yang memberikan rezeki kepada manusia. Apakah kamu tidak pernah mendengar firman Allah: Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi?” Setelah berkata demikian, ‘Umar r.a. segera mengusir mereka dari masjid…

    Takbirrrr…

  • subhanaAllah puashati saya membaca penerangan en zul. inilah persoalan yang sering bermain dalam minda saya sehingga saya rasa bersalah kerana mempunyai fikiran nak jadi jutawan. ALLahuakhbar.

  • Adanya orang kaya karena adanya orang miskin dan sebaliknya. Miskin atau kaya adalah ujian dari Allah SWT. Banyak orang yang peras keringat [keringat diperas-peras], banting tulang [tulang dibanting-banting], kepala jadi kaki [kaki jadi kepala] berusaha untuk kaya tapi tak juga kaya. Banyak juga orang yang sedikit usaha jadi kaya raya [kaya turunan]. Semuanya sudah ditakdirkan oleh Allah SWT sesuai dengan pembawaan manusia itu sendiri. Setelah harta didapatkan baik sedikit atau banyak dengan bekerja keras, berhati-hatilah membagi harta sesuai dengan porsinya antara KEPERLUAN dunia yang sedikit dan KEPENTINGAN akhirat yang selama-lamanya. [Dunia dijinjing dan AKHIRAT DIJUNJUNG jangan terbalik].

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >