Kawal Bajet Bila Ambil Takaful

by on February 16, 2016

Post image for Kawal Bajet Bila Ambil Takaful

Bila orang tanya saya pasal takaful, saya syorkan dia rujuk terus ejen takaful sebab ejen lebih pakar tentang PRODUK yang ada dalam market. Saya bukan pakar pasal insuran dan takaful tapi saya ada pengalaman 10 tahun audit dalam industri tersebut. Pengalaman itu sedikit sebanyak membantu saya bila nak ambil insuran (takaful) untuk diri sendiri.

Cuma pada saya, persoalan paling penting yang kita perlu tahu bila nak ambil insuran (takaful) untuk diri sendiri; (1) Apa jenis perlindungan yang kita perlu?, (2) Berapa jumlah perlindungan untuk setiap jenis?, dan (3) Berapa bayarannya?. Bila dah bersedia dengan jawapan untuk persoalan no. 1 dan no. 2, barulah minta ejen berikan quotation ikut KEPERLUAN kita sendiri, bukan ikut ‘keperluan’ ejen. Walaupun ejen selalu cadangkan bermacam-macam produk, tetapi saya akan tolak ke tepi produk yang bukan keperluan saya.

Fahami Polisi Sebelum Melanggan

Takaful tujuannya ialah PERLINDUNGAN, bukan SIMPANAN. Jadi bila ambil takaful, semak betul-betul apa yang dia cover, dan apa yang tak cover. Tak ada pelan takaful yang cover segala-galanya.

Kalau ejen cakap “TAK ADA LIMIT”, sila fahamkan apa yang dimaksudkan “tak ada limit” itu. Saya ulang lagi sekali, tak ada pelan takaful yang cover segala-galanya. Ia pasti ada LIMIT.

Kalau bayar sahaja tiap-tiap bulan tapi tak pernah semak pun polisi takaful yang kita bayar, itu membazir namanya. Bila berlaku musibah, barulah nak marah-marah ejen dan syarikat takaful sebab tak cover. Sedangkan kita sendiri tak pernah ambil CAKNA tentang polisi kita sendiri.

Untuk semak perlindungan takaful masing-masing, saya boleh syorkan contact terus rakan saya Tuan Afyan Mat Rawi. Beliau adalah penulis blog www.rahsiatakaful.com. Saya bukan ejen ataupun pelanggan beliau, tetapi saya percaya beliau boleh berikan nasihat yang betul tentang takaful, insyaAllah.

4 Jenis Perlindungan Takaful

Biasanya produk takaful ada empat (4) jenis perlindungan utama. Maklumat lanjut boleh baca di dalam artikel Tuan Afyan dalam Majalah Niaga bertajuk “Apakah Insuran Yang Perlu Saya Ambil?”. Tetapi secara ringkasnya:

#1 – Kemalangan Diri

Ia cover kes kematian & lumpuh kekal yang disebabkan kemalangan sahaja. Kalau bukan disebabkan kemalangan, ia tak cover. Ia perlindungan paling murah. Duit pampasan itu penting untuk ahli waris meneruskan hidup dan melangsaikan hutang kita (kalau ada) bila mereka hilang sumber kewangan dengan ketiadaan kita.

#2 – Medical Card

Ia cover bil hospital sahaja samada disebabkan jatuh sakit atau rawatan disebabkan kemalangan. Apa yang perlu kita tahu, kalau majikan dah cover tetapi kita masih ambil medical card, kita cuma boleh claim salah satu daripadanya sahaja. Kalau ada dua (2) medical card, yang boleh digunakan hanyalah satu sahaja untuk satu bil hospital yang kita terima.

#3 – Penyakit Kritikal

Pampasan akan dibayar terus kepada kita bila disahkan penyakit kritikal. Ia bukan untuk bayar bil hospital. Dengan duit itu kita boleh gunakan untuk rawatan, perbelanjaan hidup atau apa sahaja. Kalau kita ambil dua (2) polisi sekaligus, kita boleh claim dari kedua-duanya sekali.

#4 – Kematian & lumpuh kekal apa sahaja punca (termasuk kemalangan)

Tujuannya sama macam polisi kemalangan diri, cuma ia cover APA SAHAJA PUNCA kematian dan lumpuh kekal, samada disebabkan kemalangan atau disebabkan penyakit. Bezanya, polisi ini lebih mahal dari kemalangan diri.

Berapa Perlindungan Perlu Diambil?

Sebenarnya kita boleh ambil berapa besar perlindungan yang kita mahu, asalkan kita mampu bayar polisi tersebut. Lagi besar perlindungan, maka lagi mahal sumbangan yang kita perlu bayar setiap bulan. Tak ada istilah syarikat takaful A lebih murah dari takaful B. Murah atau mahal itu biasanya bergantung bagaimana syarikat itu desian produk mereka. Kalau syarikat yang masukkan serba serbi dalam satu polisi (seperti 3 dalam 1), maka duit yang perlu kita bayar setiap bulan lebih mahal, sedangkan perlindungannya kecil sahaja.

Sebab itu kita kena tahu, apa tujuan kita membayar takaful dan apa perlindungan yang kita mahu.

Dari sudut bajet peribadi, pada saya 5% daripada pendapatan perlu kita peruntukkan untuk bayar perlindungan takaful. Walaupun ejen selalu nasihatkan 10%, tapi bagi saya 5% sudah memadai. Dengan bajet 5% itu, gunakan sebaik mungkin untuk dapatkan polisi yang tepat supaya dalam maksimumkan perlindungan dan tidak membazir.

Masa pendapatan kecil, ambil polisi dengan perlindungan yang kecil dahulu. Bila pendapatan sudah membesar, tambah polisi lain untuk TOP-UP perlindungan sedia ada. Lagi awal, lagi bagus sebab bayaran bulanannya lebih rendah. Lagi lambat, lagi mahal sebab umur makin bertambah.

4 “Jangan” Sebelum Ambil Takaful

Untuk dapatkan nasihat tentang takaful, sila rujuk terus kepada ejen takaful masing-masing. Jadikan nasihat saya ini sebagai garis panduan supaya kita dapat buat keputusan yang betul demi ‘poket’ kita, bukan ‘poket’ ejen. Nasihat saya, sila pastikan 4 “JANGAN” sebab bajet kita agak terhad;

  1. Jangan ambil perlindungan yang kita tak perlu.
  2. Jangan cover berlebih-lebihan sebab nanti bayaran mahal dan membazir.
  3. Jangan terlalu rendah nilai perlindungan hingga tak membantu bila berlaku musibah.
  4. Jangan jadikan takaful sebagai platform untuk SIMPAN DUIT. Ia adalah perlindungan, bukan simpanan. Duit yang kita bayar tu, anggaplah ianya sedekah 100%.

Ini sahaja tips umum yang saya pakai tentang takaful. Selebihnya kena berbincang dengan ejen. Sahabat yang jadi ejen takaful, boleh tambah point saya pada bahagian ruangan komen di bawah ini sebagai panduan. Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk pembaca, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
16 Februari 2016
8 Jamadil Akhir 1437H

[Kredit foto : aerofed]

{ 23 comments… read them below or add one }

1 shahrul February 16, 2016 at 8:31 am

salam…kalau bekerja dalam sektor gomen,perlu amik takaful lagi ke?

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie February 16, 2016 at 10:33 am

Wslm En. Shahrul,

Saya rasa perlu.

Persoalan, kalau jatuh sakit terutamanya sakit kronik;

(1) mana sumber pendapatan untuk teruskan hidup? Tak silap saya, kerajaan cuma bayar gaji penuh untuk berehat dapatkan rawatan hanya 2 tahun. Itu berdasarkan kes arwah kakak ipar saya yang meninggal disebabkan kanser 2 tahun lepas.

(2) mana sumber kewangan untuk dapatkan rawatan? Mengharapkan hospital kerajaan bagi saya tak cukup. Arwah kakak ipar saya meninggal disebabkan kanser payu dara. Kos sampingan (selain dari hopital kerajaan) abang saya terpaksa berhabis sekitar RM5,000 sebulan. Pendek kata, duit gaji hanya habis untuk rawatan sahaja.

Jika meninggal dunia, apakah sumber kewangan untuk orang di bawah tanggungan kita untuk terus hidup (tanpa merempat dengan orang lain)?

Kalau dah cukup semua persediaan di atas, bagi saya takaful tak berapa penting. Ia mungkin perlu, sekadar untuk ‘protect’ duit saving dan harta kita daripada habis bila berlaku musibah.

Wallahu a’lam.

Reply

3 shahrul February 16, 2016 at 1:26 pm

terima kasih tuan atas jawapan dan ilmunya..

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie February 16, 2016 at 2:08 pm

Sama-sama En. Shahrul.

Reply

5 Azura February 21, 2016 at 2:55 pm

En. Shahrul/En. Zulkifli,

Kakitangan kerajaan mungkin boleh ambil Cuepacs Care untuk kes kecemasan. Bayaran minimum sekitar RM100+ dan ianya cover satu family untuk rawatan di hospital pakar.

Tentang 36 penyakit kritikal tu, saya tak berapa pasti. Boleh rujuk http://www.cuepacscare.my/ .

Tapi, biasalah ia ada pro dan kontranya. Cuma, untuk pendapatan yang sederhana paling tidak masih mempunyai perlindungan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Reply

6 Mohd Zulkifli Shafie February 21, 2016 at 3:31 pm

Terima kasih Pn. Azura atas maklumat ini.

Saya doakan Allah merahmati puan. Amiin.

Reply

7 Azura February 22, 2016 at 9:00 am

Terima kasih En. Zul atas doanya. Moga Allah juga merahmati En. Zul & keluarga.

Saya selalu membaca tulisan En. Zul. Mohon dihalalkan segala ilmu yang telah dikongsikan. Terima kasih.

Reply

8 FERNANDEZ JACOB February 17, 2016 at 11:46 am

tuan mohon pencerahan beza antara takaful dan insurans konvensional?tqvm

Reply

9 Mohd Zulkifli Shafie February 17, 2016 at 11:51 am

Ia berbeza konsep.

Kalau takaful, kita hanyalah peserta yang mencarum duit dalam satu tabung takaful. Katakanlah ada 100 peserta, maksudnya setiap peserta akan bayar caruman masuk dalam tabung tersebut. Bila mana-mana peserta yang terkena musibah, maka duit itu akan diambil dari tabung itu. Syarikat takaful hanyalah pengurus kepada tabung itu.

Kalau insuran, kita bayar duit kepada syarikat insuran. Dan bila berlaku musibah, syarikat insuran akan bayar pampasan kepada kita dari ‘poket’ dia sendiri.

Konsep dia berbeza.

Kalau dalam Islam, kaedah takaful itu halal. Kaedah insuran tu haram.

Reply

10 FERNANDEZ February 17, 2016 at 3:39 pm

ohh..kalu begitu biasanya mana lebih murah?dan yg non muslim bole ka ambil plan takaful ni?tq tuan atas pencerahan tadi

Reply

11 Mohd Zulkifli Shafie February 17, 2016 at 5:19 pm

Plan takaful sesiapa pun boleh ambil.

Mana-mana syarikat takaful pun ok. Yang penting, polisi itu sesuai dengan profile risiko dan bajet En. Fernandez.

Reply

12 Ain February 19, 2016 at 2:25 pm

Assalamualaikum Tuan Zul,
Saya terjebak dengan skim MLM dan berhutang lebih RM100k. Aset yang saya ada hanyalah sebuah rumah, itu pun masih ada hutang RM30k.
Pendapatan bulanan saya adalah negatif, hanya mampu untuk makan, petrol, bil utili dan zero simpanan.
Bolehkah saya cagarkan rumah untuk membayar semua hutang-hutang ini?
Mohon pencerahan dari Tuan Zul.

Buntu sangat-sangat ni.
Ain

Reply

13 Mohd Zulkifli Shafie February 19, 2016 at 10:04 pm

Wslm Pn. Nurul,

Mungkin jalan terakhir, jual rumah tu dan langsaikan semua hutang. Tinggal menyewa sahaja dulu. Bila kewangan dan pulih, beli semula rumah lain.

Reply

14 azrai February 22, 2016 at 9:25 am

Tuhan tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu diuji. kalau kita dah bersiap-sedia dengan takaful untuk ujian sakit, mesti Tuhan uji kita dengan sakit? Apa pandangan saudara Zul? Saya rasa macam ada kebenaran juga tu.

Reply

15 Mohd Zulkifli Shafie February 22, 2016 at 10:04 am

Saya tak pasti pasal itu En. Azrai.

Tapi Nabi s.a.w ada berpesan yang mafhumya, tinggalkan ahli waris dalam keadaan senang lebih baik daripada tinggalkan mereka dalam keadaan susah. Maksudnya, setiap kita mesti buat persedian terbaik untuk ahli waris sebelum kita meninggal dunia.

Saya percaya, takdir Allah dihujung ikhtiar kita. Jika kita buat yang terbaik, maka hasilnya juga akan terbaik. Kalau kita tak bersedia, maka kita terpaksa terima takdir itu seadanya sebab kita memilih begitu.

Wallahu a’lam.

Reply

16 Zuhair March 21, 2016 at 10:55 pm

Takaful sebagai persediaan dan untuk mengurangkan beban waris jika berlaku musibah, termasuklah kematian.

Mungkin seolah-olah bila ambil takaful, terus sakit. Tapi jangan dilupakan juga, ajal pun kita tak pasti akan datang menjemput.

Reply

17 Zuhair March 21, 2016 at 11:23 pm

*ajal pun kita tak pasti bila akan datang menjemput..

Reply

18 Zul February 25, 2016 at 2:18 pm

Salam tuan, baru2 ini saya didatangi oleh agen insuran dan telemarketer insuran dlm masa yg sama.agen memperkenal kan life insuran (menyeluruh) & telemarkete (personal accident). Setelah mengamati dan berfikir saya mengambil keputusan utk ambil personal accident dahulu buat masa ini, atas sbb berfikiran ,”alhamdulillah tak pernah masuk hospital atas sakit2 yg kronik lagi,mungkin accident lebih penting buat masa ni” & jumlah elaun/claim yg lebih tinggi drpd agent tersebut. Soalan saya,
– adakah tuntutan kemalangan dari telemarketer terlalu leceh utk dilakukan sekiranya kemalangan berlaku? kerana saya selalu dpt negatif feedback

Reply

19 Mohd Zulkifli Shafie February 28, 2016 at 12:25 am

Wslm En. Zul,

Untuk takaful, saya tak pernah ambil apa-apa polisi dari telemarketer sebab:

1. Kita tak berpeluang semak hitam putih plan mereka.
2. saya tak percaya bulat-bulat apa yang keluar dari mulut ejen.

Kalau kita cakap “setuju” di telefon, ia sama dengan kita meletakkan tandatangan di atas borang.

Saya hanya akan menilai sesuatu pelan takaful berdasarkan HITAM PUTIH yang dikeluarkan oleh SYARIKAT TAKAFUL itu sendiri, bukan sekadar brosur yang disediakan oleh ejen.

Segala dokumen hitam putih oleh syarikat takaful, ia tertakluk kepada pemantauan oleh BNM sendiri. Mereka tak boleh tulis lain, tetapi polisi sebenarnya adalah lain.

Reply

20 nas March 6, 2016 at 9:08 pm

salam. sy berpendapatan rm2000. kalau 5% drpd gaji so at most byrn rm100. tapi ad ke takaful yg cover utk kemalangan, medical card, penyakit kritikal & lumpuh untuk rm100? atau cover smua kcuali penyakit kritikal? sy umur 26 thun. dulu2 pernah ambil masa hampir habis belajar, takaful investment linked tp da stop sbb xmampu byr sbb agak mhl lagi2 investment linked mcm merepek je,

Reply

21 Mohd Zulkifli Shafie March 7, 2016 at 7:06 am

Wslm En. Nas,

1. Tak perlu cover semua. Ambil cover yang kecil je dulu. Kalau kemalangan diri, RM100 SETAHUN boleh dapat conver dalam RM100,000.

2. Medical card mahal.

3. Kalau penyakit kritikal, RM100 sebulan saya rasa masih boleh dapat dengan umur En. Nas, syaratnya, customize polisi tu supaya 100% protection. Jangan ada unsur-unsur lain dalam polisi tu seperti saving dan investment sebab ia membuatkan jumlah yang kita bayar lebih mahal.

Reply

22 sapiq March 14, 2016 at 2:15 am

salam tuan.. ambe keje gov gaji 3k lebih jer.. ambe ade ambik takaful nyawa dan personal accident (rm200 sbulan).. perlu atau tidak ambe ambik medical card? sebab ambe pernoh dengor ade ejen takaful bagitau kurang perlu keje gov ambik medical card sebab kerajaan tanggung dh kos hospital.. mohon pencerahan

Reply

23 Mohd Zulkifli Shafie March 16, 2016 at 5:00 am

Wslm En. Sapiq,

Saya setuju.

Reply

Leave a Comment

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: