MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Pilih Komisyen atau Gaji Tetap?

April 12, 2016

[Kemaskini 29 Januari 2024]

Masa saya tunggu isteri beli barang, ada seorang ejen UNIFI minta saya tolong snap foto dia di booth UNIFI yang dia baru buka, betul-betul depan kedai tu.

Salesgirl berumur sekitar awal 20-an tu nak hantar foto kepada boss dia sebagai bukti yang dia dah masuk bertugas - buka booth.

Lepas snap foto, saya terus tanya dia; dia dibayar gaji tetap ataupun komisyen?

Jawabnya "gaji tetap", RM1,000 sebulan katanya. Ada sales atau tak ada sales, tetap RM1,000 hanya dengan jaga booth. 

Potensi pendapatan ejen UNIFI

Saya pun terus congak-congak potensi pendapatan dia sebagai ejen UNIFI...

Suatu masa dulu, saya pun pernah jadi ejen UNIFI secara part-time. Kalau tak silap saya, komisyen sekitar 150%.

Kalau customer sign-up pakej data internet RM150 sebulan, ejen dibayar komisyen sekitar RM200 lebih. Jadi kalau setakat nak dapat gaji RM1,000 sebulan, ejen cuma perlu dapatkan 5 customer baru sahaja sebulan!

Mudah kan?...

Saya fikir, sebulan bekerja, takkan tak boleh dapat 5 customer baru? Kalau kerja kuat sikit dan dapatkan 10 customer, boleh dapat komisyen lebih RM2,000 sebulan.

Nah, mana lebih baik, gaji tetap RM1,000 sebulan atau komisyen yang potensi lebih besar?

Pada saya, pilih komisyen lebih baik... 

Komisyen atau makan gaji?

Saya perhati, apa yang bagusnya bila makan komisyen; kita terpaksa upgrade diri kita sendiri. Kita tak akan tunggu gaji tetap jatuh ke riba, sebaliknya kita akan bekerja lebih kuat.

Motivasi kerja akan jadi lebih tinggi, dan kita terpaksa asah kemahiran supaya lebih pandai menjual lebih banyak. Maka produktiviti akan jadi lebih tinggi, insyaAllah... 

Sebab kita tahu kita tak boleh duduk selesa. Kita kena kerja lebih kuat, dan cari 1001 jalan untuk tingkatkan pendapatan.

Otak kita tak akan berhenti berfikir untuk survive dan cari pendapatan lebih banyak lagi...

Saya teringat waktu tahun pertama saya bekerja...

Dengan segulung IJAZAH, gaji yang dibayar kepada saya cuma RM1,600 sebulan.

Tapi isteri saya yang cuma bekerja sebagai salesgirl jalanan menjual pin Aman Malaysia (ketika zaman perang di Iraq), pendapatan dia lebih RM100 sehari! 

Kalau dia bekerja 20 hari sebulan, komisyen dia lebih RM2,000 (RM100 x 20 hari)! Dan dia cuma pemegang DIPLOMA... 

Jangan hadkan potensi diri

Tiap-tiap pagi sebelum memulakan kerja, dia dilatih oleh supervisor dalam sessi perhimpunan pagi. Dia diajarkan tip-tip penting menjual untuk dia praktikkan sewaktu keluar menjual (secara jalanan) nanti...

Bila tengok potensi pendapatan isteri, waktu tu baru saya sedar; saya telahpun MENGHADKAN POTENSI diri sendiri dengan hanya menunggu gaji tetap setiap bulan tanpa serius berfikir untuk bangunkan diri sendiri. 

Sedangkan isteri saya dapat jana pendapatan lebih besar dengan cara MEMAKSIMUMKAN POTENSI DIRI.

Dan akhirnya dia dapat hasil yang lebih banyak berbanding gaji saya - walaupun kelulusan akademiknya lebih rendah dari saya...

Berbalik kepada cerita adik salesgirl UNIFI tu tadi, pilih KOMISYEN sebenarnya lebih baik kalau dia serius nak bina masa depan dia berbanding pilih untuk dapat GAJI TETAP.

Pesan Tuan Azizi Ali (Pakar Kewangan), orang yang pandai menjual, mereka boleh ‘survive’ dalam apa juga keadaan ekonomi sekalipun.

Potensi kekayaan dengan skill menjual

Bila kita pandai menjual, banyak lagi ruang-ruang menjana pendapatan yang boleh kita explore pada masa depan, InsyaAllah...

Skill menjual sebenarnya skill yang sangat bernilai tinggi. Yang akan membuatkan duit sentiasa mengalir masuk ke poket kita tanpa henti...

Masa saya belajar di universiti dulu, saya pandang rendah pada kerjaya sebagai jurujual.

Saya anggap ‘jurujual jalanan’ sebagai kerjaya untuk mereka yang tak ada masa depan, yang belajar tak tinggi...

Tapi pesanan seorang pakcik jutawan membuatkan saya terfikir-fikir. Katanya, kerjaya ‘jurujual jalanan’ sebenarnya satu latihan kerjaya yang hebat.

Kerjaya jurujual tu dapat melatih keyakinan diri, dan mendorong motivasi diri yang membuatkan kita berjaya pada masa depan.

Bukan senang nak buat kerja-kerja tu. Saya pernah mencubanya, tetapi saya belum pernah berjaya (ketika saya menulis artikel ini)! ☺ 

Banyak guru-guru bisnes dan multimillionaire hari ni sebenarnya mulakan kerjayanya sebagai jurujual. Antaranya Brian Tracy, dan Grant Cardone.

Dari salesman kepada pemilik bisnes

Saya kenal seorang pemuda Cina bernama Jeff, berumur 28 tahun, duduk di kediaman mewah sejak 3 – 4 tahun lepas.

Kawasan kediaman tu, kalau orang yang pendapatan biasa-biasa, memang tak mampu duduk di situ. Tapi Jeff dah bina kerjayanya sendiri; bermula dengan jadi ‘jurujual jalanan’ pada umur dia belasan tahun lagi.

Tapi sekarang dia dah ada dua buah bisnes yang diurus oleh team staff dia sendiri. Dia cuma turun jenguk-jenguk bisnesnya sesekali sahaja.

Pada usia dia yang belum lagi mencecah 30 tahun, dia bukan sahaja berduit, tetapi dia ada masa yang fleksible.

Bermula dengan pengalaman sebagai salesaman sejak di usia remaja, dia capai financial freedom dan time freedom sebelum usianya 30 tahun lagi!

Di waktu kawan-kawan seusia dia sedang berkuli di syarikat-syarikat koperat dari 9.00 pagi – 5.00 petang dan tunggu nasib kenaikan gaji setiap tahun, Jeff dah menikmati kebebasan masanya sendiri.

Kata dia, dia nak hidup bebas! Dan ‘empire’ bisnes dia sekarang semuanya bermula dengan latihan jadi ‘jurujual jalanan’ masa usianya di alam remaja lagi...

Fokus dapatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman

Apa yang boleh saya simpulkan, dari sudut membina kerjaya, jangan fokus pendapatan yang kita dapat hari ini, tapi fokus kepada potensi masa depan.

Fokus dapatkan ILMU, KEMAHIRAN DAN PENGALAMAN yang kita dapat hari ni untuk bina masa depan lebih baik. 

Ketika usia muda dan di awal memulakan kerjaya, jangan cari kerja yang gaji paling tinggi. Tapi carilah kerjaya yang boleh berikan ilmu, kemahiran dan pengalaman bernilai tinggi, yang boleh membangunkan potensi diri. 

Satu ketika, banyak rakyat Malaysia pergi ke Australia katanya boleh dapat upah yang tinggi dengan hanya bekerja sebagai pengutip buah di ladang-ladang epal.

Walaupun upahnya tinggi, tapi pengalaman apa yang dia dapat kalau bertahun-tahun bekerja sebagai pengutip buah?

Tak jauh bezanya pengalaman pengutip epal yang baru setahun jagung dengan pengutip epal yang sudah 10 tahun. Tak ada beza... Tak ada orang sanggup bayar upah lebih tinggi hanya sebab pengalaman dia mengutip epal selama 10 tahun!

Dengan kata lain, dia kerugian masa 10 tahun dari sudut membangunkan potensi diri!

Dari jualan RM100,000 kepada RM10 juta!

Berbeza dengan salesman yang baru setahun jagung dengan yang dah 10 tahun. 

Kemahiran 10 tahun tu membolehkan dia menjual dengan lebih banyak, lebih berkesan, dan mendapat jualan yang lebih bertahan lama (sustainable).

Bahkan dengan pengalaman 10 tahun tu, dia boleh bangunkan team jualan dia sendiri.

Kalau dulu dia dapat menjual RM100,000 sebulan, dengan membangunkan team 100 orang jurujual di bawah dia, dia mampu membawa jualan RM10 juta sebulan (RM100,000 x 100 jurujual)!

Pengalaman mahal dia tu diperlukan oleh banyak syarikat - yang kebanyakannya ada team sales mereka sendiri. Dan pendapatan dia sudah tentunya akan berlipat kali ganda!

Jadi cuba tengok balik apalah nilai pengalaman yang kita boleh kutip dari kerjaya kita sekarang? 

Cara mudah melihat masa depan

Kalau bidang kerja kita sekarang tak dapat bagi ilmu dan pengalaman yang kita perlukan untuk masa depan, itu alasan kukuh untuk tukar kerjaya lain.

Yang kedua, untuk tengok masa depan kita mudah sahaja... Tengoklah boss atau senior kita sendiri yang dah lebih 5 - 10 tahun bekerja di situ.

Boss atau senior kita itulah sebenarnya masa depan kita.

Kalau suka dengan apa yang senior kita dapat, maka belajar dari mereka dan fokus.

Kalau tak suka dengan apa yang mereka dapat, maka carilah mentor di lapangan lain yang kita nak jadi macam mereka.

Bila dah dapat mentor atau senior yang betul, follow mereka rapat-rapat.

Belajarlah buat apa yang mereka buat, dan buatlah apa yang mereka buat bersungguh-sungguh sampai jadi sebahagian daripada kita kita, pasti satu hari nanti kita pun akan dapat apa yang dia dapat, insyaAllah...

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
12 April 2016
5 Rejab 1437H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Terbaik tuan Mohd Zulkiflie. Artikel mi sangat bermotivasi dan berinspirasi. Saya cuma ikut laluan yang Tuan dah sediakan . Insha Allah kami sekeluarga akan sampai ke tahap tuan sekeluarga. Insha Allah. DOakan kami ya Tuan

  • Artikel yang sangat berguna pada kita…dari ‘jurujual jalanan’ kita sendiri boleh tahu dimana tahap pencapaian diri kita dan juga potensi kita.. 🙂

  • Aslm En.Zul…saja nk tnya. pnh ke en zul bt bisnes mcm tepi jalan buka payung. dlm bnyk2 bisnes yang mana bisnes yg en zul serasi.

    • Wslm EN. Hairum,

      Saya tak pernah buat bisnes buka payung tepi jalan sebab kehidupan saya agak sibuk sehinggalah saya bebas dari pekerjaan. Kebanyakkan bisnes yang saya buat; bisnes yang boleh dijalankan di waktu-waktu sibuk. Tapi saya bersedia untuk bisnes-bisnes yang begitu.

  • Assalamualikum Tuan.
    Saya ialah salah seorang yang meng’kuli’kan diri dari 8 pagi hingga ke 5 petang. Kadang-kadang sampai ke malam. Manusia mana tak berhasrat bebas kewangan seperti tuan? Manusia, seperti saya, mudah lupa. Sehari bersemangat berusaha keluar dari kitaran gaji, hari yang lain pula terjelepuk berputus asa.

    Motivasi ialah sesuatu yang cepat basi. Mendegar atau membaca perkara yang memberi semangat, esok lusa kembali layu. Sebab itu orang seperti saya perlukan motivasi hari-hari. Blog tuan ialah salah satu tempat saya mencari semangat.

    Saya berharap tuan terus dapat berkongsi anekdot kehidupan dari kacamata tuan, sebagai cerita motivasi, pembakar semangat dan panduan kepada kami.

    Terima Kasih.

    • Wslm En. Azwan,

      Penyelesaian kepada motivasi yang selalu basi ialah kenalpasti dan menulis impian hidup sendiri. Andaikan En. Azwan ada masa untuk hidup hanya 6 bulan lagi, apa sebenarnya yang En. Azwan nak capai dalam hidup? Tulis dan senaraikan impian-impian tersebut dengan andaian, DUIT DAN MASA bukan halangan. Itulah sebenarnya perkara paling penting dan paling bermakna yang ingin di capai dalam hidup. Fokuskan kepada impian itu, hinggalah En. Azwan rasa tak senang hati selagi impian itu tidak tercapai. Impian itu akan memotivasikan diri tanpa perlu dimotivasikan oleh orang lain, insyaAllah.

  • Setuju dengan apa yang disampaikan dalam artikel ni..
    Jurujual, agen takaful adalah antara pekerjaan yang kerap dipandang sinis oleh orang ramai tetapi sebenarnya banyak mengajar diri dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding orang yang makan gaji..

    Mungkin budaya masyarakat kita ni lebih memandang gaji tetap, kurang mengambil risiko, malas nak berubah, selalu berasa di zon selesa menyebabkan ramai yang berpandangan sedemikian..

    Sekadar pendapat saya..

  • Salam tuan. Saya duduk asrama dan umur saya 17. Apa yg saya boleh buat untk dpt duit selain jual makanan dan tlng orang jual barang dia. Harap bantu

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >