Bahagiakan Diri Dengan Apa Yang Ada

by on June 28, 2016

Post image for Bahagiakan Diri Dengan Apa Yang Ada

Tuhan tak bagi semua benda pada semua orang. Dia bagi kita satu kelebihan, Dia datangkan bersamanya kekurangan pada yang lain. Jadi kita akan sentiasa rasa susah hati kalau hanya tengok apa yang orang ada, sedangkan orang itu pun susah hati dengan apa yang dia tiada.

Orang baru bekerja rasa susah hati bila tengok senior gaji lebih besar. Tetapi yang senior pun rasa susah hati bila tengok pekerja junior ada banyak masa, tak pening kepala. Cukup waktu bekerja, boleh terus balik sedangkan yang senior sampai balik rumah pun masih fikir tentang kerja! Dan bukan sedikit pekerja senior yang terjejas kesihatan!

Dalam Kelebihan Ada Kekurangan

Orang tak ada anak rasa susah hati bila tengok orang lain ada anak, sedangkan orang ada anak rasa susah hati bila tengok orang tak ada anak senangnya berjalan melancong ke sana ke mari, dan banyak masa!

Orang biasa macam kita rasa susah hati bila tengok orang kaya dapat makan sedap-sedap, tetapi orang kaya rasa susah bila tengok orang macam kita boleh ‘belasah’ segala jenis makanan, sedangkan hakikatnya dia nak makan pun tak ada nikmat sebab ada penyakit.

Kita rasa susah hati bila tengok orang boleh pakai kereta besar, sedangkan orang itu pun susah hati memikirkan tentang beban hutang. Dia lagi susah hati bila tengok kita pakai kereta biasa tak perlu menanggung hutang, kita senang singgah makan tepi jalan pun orang tak pandang, kereta kita setakat tercalar dan tergesel sikit pun apa nak heran!

Bahagia Ada Di Dalam Diri

Jadi itulah kehidupan. Jangan dikejar sangat pada kesempurnaan. Orang yang bahagia bukanlah orang yang memiliki segalanya, tapi dia tahu menghargai apa yang dia ada, dan bersabar dengan apa yang dia belum ada.

Bersyukurlah dan bersabarlah wahai diri sebab akhirnya kita tetap kembali kepada Tuhan. Dunia yang kita nikmati hari ini sifatnya hanya “pakai dan buang”! Pakai sementara dalam kehidupan, dan kita terpaksa ‘buangnya’ untuk kembali kepada Tuhan! Itulah hakikat satu kepastian…

Wallahu a’lam.

Zulkifli Damansara Damai 28 Jun 2016 23 Ramadhan 1436H

[Kredit foto : remodelerplatform]

{ 11 comments… read them below or add one }

1 azrai June 30, 2016 at 7:51 am

KANGAR – Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan umat Islam agar jujur dalam mencari rezeki untuk mendapat keberkatan dengan menggunakan sumber wang yang halal.

Mohd Asri berkata, penggunaan wang yang halal hasil titik peluh ketika bekerja sudah pasti digunakan untuk keperluan harian anggota keluarga termasuk soal pemakanan.

“Jangan sesekali lupa bahawa pemakanan halal amat penting bagi setiap umat Islam kerana Allah hanya akan memakbulkan doa dari mereka yang makan makanan dibeli dari hasil wang atau rezeki yang halal,” katanya.

Mohd Asri menyampaikan tazkirah zohor sempena program Raudhatul Iktikaf di sepuluh terakhir Ramadan anjuran Jabatan Mufti Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini, hari ini.

Mufti Perlis menarik perhatian dengan memberi contoh mereka yang terlibat dalam penipuan pengendalian pakej umrah dengan menjanjikan jemaah tempat tinggal istimewa di tanah suci Mekah dan Madinah.

“Ada yang menawarkan pakej yang memberi keselesaan kononnya kerana dekat dengan masjid, tetapi hakikat sebenar jaraknya jauh.

“Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan bersuara dan menuntut apa-apa hak atas alasan perlu bersabar dan reda dengan pelbagai ujian di tanah suci,” katanya.

Katanya, tidak kurang juga bentuk penipuan lain terutamanya oleh peniaga.

“Makanan yang dimasak atau ikan yang disimpan beberapa hari tetapi peniaga memaklumkan kepada pembeli makanan itu disediakan menggunakan ikan segar.

“Doa mereka ini (peniaga) tidak akan diterima oleh Allah walaupun selalunya pada akhir sepuluh Ramadan Allah memperkenankan doa setiap umatNya,” katanya.

Malah perbuatan seperti ini akan menjadi punca terjadinya segala masalah hati dan sahsiah manusia yang akhirnya mempengaruhi serta merosakkan komuniti sesebuah masyarakat, kata Mohd Asri. – Bernama

Reply

2 Haniza June 30, 2016 at 11:17 am

Saya selalu membaca article En. Zul. Sangat bermotivasi dan bermanfaat. Terima kasih tuan dan terus menulis…

Reply

3 Mohd Zulkifli Shafie June 30, 2016 at 10:28 pm

Alhamdulillah.

Terima kasih Pn. Haniza kerana berziarah ke blog ini. Mudah-mudahan ia terus bermanfaat, insyaAllah.

Reply

4 yeop June 30, 2016 at 12:16 pm

Saya pun sebenarnye rasa susah hati bila tengok En Zulkifli dah dapat kebebasan kewangan dan telah bekerja sendiri.. tapi saya banyak lagi hutang nih, keja pun makan gaji lagi.. heheh.. gurau aje tuan..

Website tuan memang best.. kalo bukak internet.. memang website nih antara yang saya akan buka dulu..

Teruskan memberi inspirasi kepada kami semua..

Selamat berpose yang tinggal berapa hari lagi nih.. dan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.. Doakan kami semua mendapat kebebasan kewangan seperti tuan juga… Tq

Reply

5 Mohd Zulkifli Shafie June 30, 2016 at 10:30 pm

Alhamdulillah… :)

Terima kasih juga kerana berziarah ke blog ini. Mudah-mudahan terus bermanfaat.

Saya doakan Allah berikan kelapangan rezeki kepada En. Yeop. Amiin ya Allah. Salam ramadhan dan salam aidilfitri.

Reply

6 azrinros June 30, 2016 at 12:34 pm

Sifat manusia tidak puas dengan apa yang ada. Perlu juga limitkan nafsu kita ini seperti yang disarankan.

Reply

7 Mohd Zulkifli Shafie June 30, 2016 at 10:31 pm

Betul Tuan Azrin Ros. Nasfu perlu dididik…

Reply

8 Nik amin July 7, 2016 at 10:46 am

Terima kasih atas perkongisan yg bermanfaat. Byk saya belajar . Semoga terus memberi manfaat kepada pembaca

Salam idul fitri

Reply

9 Mohd Zulkifli Shafie July 7, 2016 at 8:05 pm

Alhamdulillah.

Sama-sama En. Nik Amin.

Salam aidilfitri.

Reply

10 fauziah July 13, 2016 at 9:06 am

Terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat dan bermotivasi ini.

Reply

11 Mohd Zulkifli Shafie July 14, 2016 at 10:12 pm

Alhamdulillah. Mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: