Berbaloikah Isteri Keluar Bekerja?

by on October 11, 2016

Post image for Berbaloikah Isteri Keluar Bekerja?

Salah satu pertimbangan penting untuk isteri bekerja (atau patut terus bekerja) ialah gaji yang dia terima berbanding kenaikan kos sara hidup disebabkan dia bekerja.

Bila isteri bekerja, kos tambahan yang perlu dipertimbangkan ialah, (1) kos hantar anak ke nuseri, (2) kos pengangkutan isteri pergi kerja, (3) kos makan meningkat disebabkan tak sempat memasak, (4) kos bayaran van sekolah, dan (5) kos kenaikan gaya hidup! Dan lain-lain kos (sila tambah sendiri) termasuk MASA bersama anak-anak dan masa melayan suami yang lebih terhad.

Kalau ianya tak berbaloi berbanding gaji yang diterima, lebih baik isteri duduk di rumah dan belajar jana pendapatan dari rumah sahaja. Jangan sampai dia “pergi kerja untuk cari duit, tapi akhirnya duit habis untuk pergi kerja” sahaja. Back to square one!

Kerjaya Sebagai Suri Rumah

Bila isteri jadi suri rumah, bukan bermaksud isteri tak bekerja, tetapi kerja isteri ialah sebagai suri rumah. Cuba tanya wanita yang pernah bekerja pejabat, lepas itu berhenti kerja dan jadi suri rumah sepenuh masa, yang mana lebih penat samada kerja di pejabat atau di rumah? Saya jamin, jawapannya ialah kerja di rumah!

Maksudnya, jadi suri rumah bukan boleh “goyang kaki”, tapi tanggungjawab dan bebanan kerjanya lebih besar. Kalau isteri tak bekerja di rumah, kita terpaksa bayar orang lain untuk kerja-kerja itu i.e. nuseri, van sekolah, pembantu rumah, kedai makan dan lain-lain.

Kerja-kerja isteri yang itu sahaja sebenarnya sudah menjimatkan kewangan keluarga sekurang-kurangnya RM1,000 – RM2,500 sebulan. Bagi mereka yang ber-anak 8 orang macam kami, penjimatan itu mungkin mencecah sehingga RM4,000 sebulan.

Itu belum dikira faktor lain seperti dapat berikan lebih perhatian kepada anak-anak, dan juga kesannya kepada peningkatan prestasi suami dalam kerjaya disebabkan dapat berikan lebih fokus dalam kerjanya.

Kalaupun isteri belum dapat menjana pendapatan sambilan dari rumah, bukankah peranan itu sahaja sudah memberi sumbangan besar terhadap kewangan keluarga?

Isteri Jana Pendapatan Dari Rumah

Pada saya, walaupun seorang suri rumah, isteri perlu juga belajar menjana pendapatan secara sambilan dari rumah disamping menjaga rumahtangga dan anak-anak.

Di rumah kita itu sebenarnya penuh dengan alat yang boleh buat duit. Kita cuma perlu celik dan belajar sahaja;

Dari oven itu boleh keluar duit.

Dari kuali itu boleh keluar duit.

Dari UNIFI dan handphone itu pun sudah tentunya boleh keluar duit.

Dan banyak lagi barang yang ada di rumah itu memang boleh keluar duit.

Duit yang dapat itu nanti, boleh dijadikan sebagai tambahan “Duit Poket Isteri” ataupun boleh juga sebagai tambahan bajet keluarga. Dan lebih penting, jika kematian suami, isteri tak ada masalah untuk jana pendapatan sendiri walaupun dari rumah.

Bak kata Chef Li penulis buku “Jutawan Senyap”, jadikan keusahawanan sebagai BUDAYA dalam keluarga kita, insyaAllah.

Duit Poket Isteri

Akhir sekali tentang “Duit Poket Isteri”.

Saya perhati, ramai dikalangan wanita tetap mahu bekerja sebab nak ada duit sendiri. Dan bagi saya, kalau isteri bekerja sebagai suri rumah pun, suami kena bagi juga Duit Poket untuk isteri.

“Duit Poket” itu bukan duit belanja dapur, bukan duit keperluan rumahtangga dan bukan juga keperluan diri dia, tapi duit untuk dia beli apa yang dia suka. Mungkin untuk “reward” diri dia setelah penat di rumah (i.e. ingat, kerja di rumah lebih penat berbanding kerja di pejabat).

Kalau tiba-tiba isteri nak beli apa sahaja yang dikategori sebagai BUKAN KEPERLUAN, maka duit poket itu adalah hadnya. Belilah apa sahaja yang dia mahu…

Kalau kewangan terhad, berikan berapa sahaja jumlah yang kita (suami) mampu. Dalam masa sama, kita kena tunjuk contoh kepada isteri; kalau duit poket dia sedikit, duit poket kita juga sedikit. Itu baru dinamakan demokrasi terpimpin… ☺

Zulkifli
Damansara Damai
11 Oktober 2016
10 Muharram 1438

[Kredit foto : muslimvillage]

{ 26 comments… read them below or add one }

1 Shahrul Nizam Saharuddin October 11, 2016 at 11:07 pm

salam tuan..ada anggaran ke duit poket untuk isteri?10 % daripada gaji suami ke?

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie October 11, 2016 at 11:36 pm

Wslm En. Shahrul,

Itu terpulang kepada suami untuk gembirakan hati isteri sendiri. Isteri gembira, rumahtangga bahagia, insyaAllah. :)

Reply

3 shahrul nizam October 18, 2016 at 9:07 am

terima kasih atas pandangan

Reply

4 skyfun October 12, 2016 at 12:29 pm

good artikal,cuma nak tambah ada juga isteri sengaja ingin berkerja hanya kerana inginkan kebebasan dan tidak mahu di cop malas oleh rakan2 yg lain.
bukan kerana faktor kewangan

Reply

5 Abdul Nashar Bin Aminuddin October 12, 2016 at 6:13 pm

Pernah ada rakan tegur saya bila kata isteri tak bekerja,dia kata isteri kita bekerja suri rumah lebih besar pengorbanannya sebab tiada gaji tiada cuti.Suami sepatutnya menghargai dengan membawa mereka bercuti atau memberi sedikit saguhati samada wang,emas atau benda yang dia sukai.sekarang bila orang tanya ja isteri kerja apa saya menjawab suri rumah.

Reply

6 Mohd Zulkifli Shafie October 13, 2016 at 12:11 am

Betul En. Abdul Nashar.

Reply

7 azrai October 13, 2016 at 8:29 am

Orang sekarang majoriti isteri bekerja hanya untuk menampung hutang sebenarnya. Bayngkan hutang kereta dan rumah habis gaji suami. Jadi gaji isteri nak tampung perbelanjaan rumah. Itulah realiti hari ini sebenarnya. Yang kaya adalah bank.

Reply

8 Mohd Zulkifli Shafie October 14, 2016 at 11:32 am

Betul juga pandangan En. Azrai.

Reply

9 sham January 10, 2017 at 10:04 am

setuju sangat

Reply

10 shahrul October 13, 2016 at 8:45 am

Apa pendapat en.zul jika suami mencarum KWSP untuk isteri yang hanya surirumah sepenuh masa…?

atau ada cara lain…

Tq.

Reply

11 Mohd Zulkifli Shafie October 14, 2016 at 11:33 am

Saya tak pasti bagaimana caranya. Boleh juga, syaratnya husband tu ada bisnes. Daftarkan isteri sebagai salah seorang pekerja dan carum KWSP.

Reply

12 azrai October 14, 2016 at 11:47 am

Saya rasa tak perlu ada bisnes pun. Dapatkan nombor EPF untuk org rumah tu, lepas tu boleh carum. Sekarang banyak saluran, internet banking pun boleh buat. Kita sebenarnya boleh secara sendiri nak carum tambahan dalam akaun EPF kita sebenarnya bila-bila masa.

Reply

13 Mohd Zulkifli Shafie October 15, 2016 at 10:36 am

Ok. Terima kasih atas info En. Azrai.

Saya rasa daripada carum KWSP, lebih baik carum dalam Tabung Haji.

Reply

14 azrai October 17, 2016 at 10:07 am

Carum EPF boleh dikecualikan cukai (mks RM6k setahun) dan advantagenya kita tak usik duit kita selama 25-30 tahun.

Reply

15 Razak October 13, 2016 at 12:16 pm

Lebih berbaloi duduk dirumah. Mula – mula jer masalah timbul terutama kewangan tapi lama-lama insyallah semakin baik.Saya sendiri pun dekat – dekat 6 bulan juga untuk stabil.Tapi seronok tengok anak-anak depan mata kata isteri saya..Cuti pulak pack barang terus jalan.Tak perlu isteri nak adjust cuti dia kalau dia kerja. Cuma betul cakap tuan kena pandai cari pendapatan tambahan.Start jer dulu..adjust kemudian.
Penghargaan untuk isteri bagi saya kena bagi.Letih…jadi surirumah ni.Banyak dah berkorban untuk kita.

Reply

16 Mohd Zulkifli Shafie October 14, 2016 at 11:31 am

Betul En. Razak.

Pengalaman saya pun begitu. Mula-mula jer sempit. Lepas tu makin lama makin stabil, insyaAllah.

Reply

17 siti hazreen October 14, 2016 at 10:36 am

Betul tu tuan, mesti bg gaji…suri rumah pun bekerja jugak 😉

Reply

18 Mohd Zulkifli Shafie October 14, 2016 at 11:33 am

Kena bagi duit poket sebagai hadiah. :)

Reply

19 azrinros October 14, 2016 at 2:41 pm

Isteri saya tidak bekerja dan 100% menguruskan hal rumah tangga. Saya rasa lebih tenang isteri menguruskan anak-anak berbanding orang lain.

Reply

20 Mohd Zulkifli Shafie October 15, 2016 at 10:37 am

Alhamdulillah.

Reply

21 lie October 15, 2016 at 6:09 pm

memang bagus isteri jadi suri rumah.dengan syarat kita buat persiapan untuk isteri dan anak2.contoh insuran..duit saving dlm tbg haji atau asb..jika umur kita x pnjg insyallah isteri kita dpt la survive dgn anak2..pendapat sy jew..tq tuan zul

Reply

22 Mohd Zulkifli Shafie October 18, 2016 at 7:23 am

Betul.

Reply

23 Zamree October 17, 2016 at 7:59 am

Isteri saya start berhenti kerja tahun 2011. Mulanya memang fikir ‘macam’ tak cukup duit nanti tapi perancangan Allah Yang Maha Kaya Lagi Maha Mengetahui, Alhamdulillah kami mampu teruskan sehingga ke hari ini.

Yakin lah dengan Allah Yang Maha Kuasa.

Reply

24 Mohd Zulkifli Shafie October 18, 2016 at 6:46 am

Banyak pengalaman kenalan saya memang begitu. Alhamdulillah.

Reply

25 kak jah November 2, 2016 at 8:46 am

Saya sebagai seorang isteri yang bekerja lebih dari 20 tahun. Sehingga kini masih tidak mampu membuat simpanan tetapi hajat hati nak sangat jadi suri rumah sepenuh masa. Cuma kebimbangan saya, macamana nak selesaikan hutang-hutang rumah, kereta dan kad kredit sebab selama ini saya yang terpaksa menanggung semua komitmen ini. Semua hutang atas nama saya sebab suami tiada pekerjaan tetap. Jadi tak layak nak buat pinjaman. Pendapatan suami sekadar mampu tampung perbelanjaan bisnes dan makan kami sekeluarga. Setakat kemampuannya..kalau tak saya terpaksa top up. Apa pandangan saudara?

Reply

26 Mohd Zulkifli Shafie November 29, 2016 at 7:42 am

Salam Kak Jah.

Tak ada jalan lain, nak langsai ke semua hutang tu samada kena jual harta yang ada atau bayar menggunakan pendapatan masa depan (kena terus bekerja sampai hutang tu habis).

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: