Berapa Banyakkah Harta Perlu Dimiliki Untuk Mencapai Kebebasan Kewangan?

by on May 30, 2018

Post image for Berapa Banyakkah Harta Perlu Dimiliki Untuk Mencapai Kebebasan Kewangan?

“Tak kerja pun tapi ada duit”, status itu dinamakan “kebebasan kewangan” ataupun “financial freedom”. Semua orang yang bekerja pasti ada impian suatu hari nanti dia tidak lagi perlu bekerja, tetapi mempunyai pendapatan kukuh setiap bulan. Dan kita semua tahu, pasti satu hari nanti kita tak lagi mampu bekerja disebabkan faktor usia ataupun kesihatan. Jadi alangkah nikmatnya hidup kalaulah tak bekerja pun tetap ada duit (pendapatan) setiap bulan seperti orang pencen dari kerja kerajaan…

Walaupun ramai yang impikan pencen ketika usia pencen, tetapi hakikatnya, hanya segelintir sahaja yang benar-benar boleh ‘pencen’ ketika mencapai usia pencen. Bahkan ramai yang masih terpaksa bekerja atau mengharapkan bantuan anak-anak disebabkan kewangan yang belum lagi kukuh ketika usia pencen. Sebaliknya, kalau mempunyai kewangan kukuh di usia 30-an lagi, sebenarnya kita sudah boleh pencen. Iaitu pencen sebelum pencen! Tak bekerja pun tetap ada duit.

Jadi hakikat yang kita perlu tahu, pencen bukan tentang umur, tetapi tentang kedudukan kewangan.

Pendapatan Aktif vs Pendapatan Pasif

Persoalannya, kedudukan kewangan yang bagaimana yang membolehkan kita pencen?

Asasnya, kita boleh pencen sekitarnya mempunyai pendapatan pasif (seperti duit pencen kerajaan) melebihi kos sara hidup. Kalaulah kos sara hidup sekeluarga hanyalah RM4,500, maka dengan memiliki pendapatan pasif RM5,000 setiap bulan pun sudah membolehkan kita pencen.

Orang yang mencapai financial freedom tidak semestinya mempunyai pendapatan besar. Tetapi yang lebih penting pendapatan itu bersifat pasif, iaitu dia mendapat pendapatan itu tanpa perlu bekerja. Sebaliknya, orang yang berpendapatan sebesar RM50,000 (pendapatan aktif) sebulan pun tidak semestinya sudah mencapai kebebasan kewangan. Hari ini dia mendapat pendapatan sebesar itu, tetapi kalau tiba-tiba hilang pekerjaan ataupun hilang upaya untuk bekerja, semuanya akan kembali kepada KOSONG!

Sebab itu, seorang penasihat kewangan pernah memberitahu saya, nilai pendapatan pasif RM1,000 sebulan lebih besar berbanding gaji (pendapatan aktif) RM10,000 sebulan. Kenapa? RM1,000 sebulan itu terus akan kita dapat walaupun tidak lagi bekerja, sebaliknya pendapatan RM10,000 akan kembali kepada kosong kalau apa-apa terjadi!

Pendapatan pasif itu pendapatan kekal. Manakala pendapatan aktif itu hanya pendapatan sementara. Kita dapat menikmatinya sementara kita masih ada upaya untuk bekerja.

Jumlah Harta Yang Perlu Dimiliki

Andaikata pendapatan pasif RM5,000 sudah cukup untuk membolehkan pencen dengan kehidupan sederhana – tidak kaya dan tidak miskin – maka kita perlukan pendapatan pasif RM60,000 setahun (RM5,000 x 12 bulan).

Persoalan seterusnya, bagaimana mahu dapat sumber pendapatan RM60,000 tanpa perlu bekerja?

Ada banyak sumber, tetapi sumber yang ramai orang tahu seperti memiliki hartanah dah disewakan atau meletakkan duit dalam akaun seperti Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputra (ASB). Dengan sumber itu, kalau tak bekerja pun kita masih dapat pendapatan berbentuk sewaan setiap bulan atau dividen atas simpanan tersebut setiap tahun.

Kalau di Malaysia, saya boleh katakan, purata keuntungan daripada pelaburan itu sekitar 5% setahun. Ia pelaburan yang rendah risiko dan sesuai untuk ramai orang kurang mahir selok belok pelaburan. Maka dengan andaian keuntungan 5%, maka kita perlu memiliki jumlah harta bernilai RM1.2 juta (RM60,000 ÷ 5%)! Harta itu mestilah boleh menjana pendapatan seperti sewaan hartanah ataupun dividen atas simpanan. Simpan emas tidak termasuk.

Maka kalau pendapatan pasif RM5,000 sudah mencukupi untuk ‘pencen’, maka kenalah berkerja keras dari sekarang untuk mengumpul dan membina harta sehingga cukup RM1.2 juta. Tak kisah berapa pun umur, asalkan dapat mencapai harta bersih sebanyak RM1.2 juta, kita sudah boleh pencen. Sesiapa perlukan pendapatan pasif lebih besar, maksudnya dia perlukan harta lebih banyak.

Kalau ketika umur 30-an pun sudah memiliki harta sebanyak itu, maka kita sudahpun boleh pencen. Kita boleh pencen sebelum umur pencen. InsyaAllah.

Mulakan Menabung Hari Ini

Jadi perkara pertama untuk mencapainya ialah meletakkan target itu terlebih dahulu. Itulah yang saya buat ketika sedar tentang perkara ini walaupun ketika itu, pendapatan saya masih lagi di bawah paras kemiskinan sedangkan hutang-hutang saya pun masih belum habis di bayar. Saya tulis matlamat itu dan saya tampalnya di workstation pejabat, dan juga dalam bilik tidur saya.

Saya lihat target itu setiap hari sampai ianya masuk dalam sub-concious mind saya. Impian saya, saya mahu mencapai kebebasan kewangan, bukan sekadar dapat kenaikan gaji lebih besar. Maka apa sahaja yang menghalang saya untuk mencapai impian tersebut, saya tolak ketepi sahaja. Bahkan ada ketikanya, saya terpaksa tolak tawaran kerja baru dengan gaji lebih besar hanya disebabkan kerja baru itu boleh melambatkan usaha saya untuk mencapai impian itu!

Bila sudah meletakkan target yang jelas, seterusnya mulakan menabung sebahagian daripada pendapatan setiap bulan secara berdisiplin. Kena ingat, apa yang kita belanjakan, itu membuatkan orang lain lebih kaya. Sebaliknya apa yang kita simpan, itulah yang membuatkan kita bertambah kaya. Maka selagi tak dapat disiplinkan diri menyimpan setiap bulan, selagi itulah tak akan bertambah kaya! Apatah lagi nak mencapai kebebasan kewangan…

Walaupun menabung daripada duit gaji sahaja sebenarnya tidak cukup, tetapi itu perkara paling asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Bila dah dapat disiplinkan diri menyimpan setiap bulan, barulah cari jalan bagaimana nak mengembangkan lagi wang simpanan itu dengan lebih cepat. Sebaik-baiknya kembangkan duit simpanan itu melalui bisnes, bukan dengan pelaburan.

InsyaAllah.

“Siapa berjaya kumpul harta RM1 juta pertama, dia pasti dapat bina RM1 juta kedua dengan mudah sebab kekayaan itu bukan lagi pada duitnya, tetapi sudah ada DALAM DIRINYA sendiri.

Usaha membina kekayaan sebenarnya bukan sekadar membina poket, tetapi yang lebih penting ialah membina jati diri; ilmu, kemahiran, pengalaman, dan cara berfikir. Itulah sebenarnya yang membuatkan dia kaya.”

Zulkifli
Jakarta Pusat
30 Mei 2018
15 Ramadhan 1439H

{ 8 comments… read them below or add one }

1 Azri May 31, 2018 at 12:15 pm

Penerangan yg sgt terperinci. motivated utk terus myimpan.. #1bulan1gram

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie May 31, 2018 at 12:32 pm

Alhamdulillah.

Reply

3 rohaizah khamis June 3, 2018 at 5:43 pm

Assalamualaikum Encik Zulkifli ,

Benar.
Menyimpan akan membuatkan kita kaya pada masa akan datang , tidak meminta2.

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie June 20, 2018 at 6:33 am

Wslm. Betul Pn. Rohaizah.

Reply

5 azrai June 4, 2018 at 3:29 pm

Bagi saya berapa harta yang perlu ada tu titik tolaknya kita kena rasa qanaah.

Ini saya petik sikit tulisan HAMKA.

Qanaah itu mengandung lima perkara:

a) Menerima dengan rela akan apa yang ada.
b) Memohonkan kepada Tuhan tambahan yang pantas, dan berusaha
c) Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan.
d) Bertawakal kepada Tuhan.
e) Tidak tertarik oleh tipu daya dunia.

Rasulullah saw bersabda:

“Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta,, kekayaan ialah kekayaan jiwa”.

Ertinya: Diri yang kenyang dengan apa yang ada, tidak terlalu haloba dan cemburu, bukan orang yang meminta lebih terus terusan. Kerana kalau masih meminta tambah, tandanya masih miskin.

Rasulullah saw bersabda juga:

“Qanaah itu adalah harta yang tak akan hilang dan pura (simpanan) yang tidak akan lenyap”. (HR. Thabarai dari Jabir).

Orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain.

Barangsiapa yang telah beroleh rezeki, dan telah dapat yang akan dimakan sesuap pagi sesuap petang, hendaklah tenangkan hati, jangan merasa ragu dan sepi. Tuan tidak dilarang bekerja mencari penghasilan, tidak disuruh berpangku tangan dan malas lantaran harta telah ada, kerana yang demikian bukan qanaah, yang demikian adalah kemalasan. Bekerjalah, kerana manusia diutus ke dunia buat bekerja, tetapi tenangkan hati, yakinlah bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan menang. Jadi tuan bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi, tetapi bekerja lantaran orang hidup tak boleh menganggur.

Dalam masa yang sama perlu pastikan ketirisan/leakages dalam ekonomi keluarga tu minimum atau tiada langsung.

Reply

6 Mohd Zulkifli Shafie June 9, 2018 at 10:35 pm

Betul En. Azrai.

Itu dari sudut pengurusan hati. Itu satu perspektif yang lain.

Dari sudut kira-kira, itu juga perlu diambil kira.

Reply

7 Azhar June 8, 2018 at 10:06 pm

Simpanan ASB ,RM1.2 juta memang cara yg pelaburan yg mudah. Tapi perlu diingatkan inflasi yang akan mengurangkan nilai Wang setiap tahun. Jadi perlu tingkatkan pelaburan atau dapatkan kadar keuntungan yg lebih tinggi.

Reply

8 Mohd Zulkifli Shafie June 20, 2018 at 6:30 am

Tak perlu pening kepala fikir pasal inflasi. Siapa berjaya kumpul RM1 juta pertama, dia pasti dapat bina RM1 juga kedua dengan mudah sebab kekayaan itu bukan lagi pada duitnya, tetapi kekayaan tu sudah ada DALAM DIRINYA sendiri.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: