Tiada Istilah Terlambat Untuk Bermula

by on May 21, 2018

Post image for Tiada Istilah Terlambat Untuk Bermula

Dengan perlantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 ketika usianya 93 tahun pada 10 Mei 2018 (setelah Pilihanraya Umum ke-14), ia memberikan satu motivasi penting untuk saya. Pertama, tidak ada istilah TERLAMBAT untuk memulakan sesuatu usaha yang baik. Kedua, tidak ada istilah BEREHAT dalam hidup ini bagi seorang pejuang sebuah kebaikan.

Dulu saya fikir, umur 50 atau 60 tahun dah dikira terlambat untuk memulakan usaha yang kita percaya ianya baik. Samada nak memulakan bisnes, nak perbetulkan tahap kewangan, nak mempertingkatkan diri sendiri dengan ilmu dan kemahiran yang baharu, atau apa sahaja usaha yang baik. Tetapi sekarang, saya melihat umur 60 tahun itu masih muda. Apatah lagi umur saya yang masih lagi 30-an. Ia terlalu muda untuk berputus asa ataupun berehat dalam hidup!

Umur 60 Tahun Masih Muda

Melihat kepada kesanggupan Tun Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi ketika usianya melangkau 90-an, maka saya fikir umur 60 tahun masih muda dianggap muda. Kalau jaga kesihatan dengan baik, kita masih ada masa 30 tahun untuk menikmati hasil usaha itu, insyaAllah.

Dengan pencapaian Tun Dr Mahathir, saya teringat kata-kata bijak pandai yang maksudnya lebih kurang begini, “berusahalah seperti kita akan hidup lagi 1,000 tahun, dan beramal-lah seperti kita akan mati pada esok hari”.

Saya pernah terbaca kisah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w iaitu Abu Ayyub al-Ansari. Beliau mengikut peperangan ketika usianya sudah mencecah 80 tahun atas semangat mengingati pesanan Nabi s.a.w bahawa Constantinople (sekarang ini dikenali sebagai Istanbul) akan dibuka oleh sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera. Abu Ayyub al-Ansari mengikuti peperangan itu dan meninggal dunia disebabkan sakit dan jenazah beliau dikebumikan tidak jauh dari kubu Constantinople itu.

Rehat Sebenar Menjelang Kematian

Motivasi kedua yang saya dapat dari perlantikan Tun Dr Mahathir ialah, tidak ada istilah BEREHAT dalam hidup ini.

Walaupun kita percaya, Tun sudah memiliki segalanya yang ramai orang cita-citakan dalam hidup, dan beliau boleh pilih untuk berehat. Tetapi beliau memilih untuk bekerja keras membuat kebaikan ketika usianya sudah 90-an demi melihat Malaysia “hebat kembali” seperti zaman beliau menjadi Perdana Menteri kali pertama dulu.

Ketika itu, nama Malaysia sangat harum di mata dunia! Kita rakyat Malaysia bangga untuk mengaku kita adalah rakyat Malaysia! Jadi beliau pilih untuk kembali bekerja untuk pulihkan semula nama negara kita yang tercinta ini.

Bagi saya, Tun adalah seorang pejuang. Ideologi politiknya mungkin berbeza dengan kita, tapi beliau berjuang untuk merialisasikan apa yang beliau percaya ianya betul. Rehat bagi seorang yang berjuang hanyalah sebuah kematian.

Hari ini, Tun dicatatkan sebagai pemimpin tertua di dunia. Ia bukan sahaja menjadi catatan sejarah baru bagi Malaysia, tetapi ia juga sejarah baru bagi dunia!

Dari perjalanan hidup Tun itu, maka saya fikir kita semua patut berjuang dalam kerangka apa yang kita percaya. Kalau Tun yang umurnya sudah 90-an itu pun bekerja keras, apatah lagi kita sebagai orang yang masih muda. Berjuanglah untuk berbuat sebanyak mungkin kebaikan dan amal soleh selagi umur masih ada. Disaat kematian nanti, itulah saatnya kita berehat. Berehat-rehatlah di taman Syurga yang Tuhan sediakan untuk mereka yang sibukkan hidupnya dengan beramal soleh.

Amiin ya Allah.

Zulkifli
Cyberjaya
21 Mei 2018
6 Ramadhan 1439H

{ 2 comments… read them below or add one }

1 rohaizah khamis May 21, 2018 at 4:41 pm

Assalamualaikum Encik Zulkifli,

Saya pernah juga fikir saya seperti sudah terlambat untuk ubah kehidupan saya berbanding mereka yang masih muda .
Tapi sentiasa fikir ajal maut itu tidak mengira usia, saya bangkit sebaiknya walaupun sekarang saya berdepan dengan beberapa masalah tak diduga tapi saya terus bergerak laju, sesekali perlahan, sesekali bersemangat, sesekali lemah tapi putus asa , TIDAK!

Menjadikan pasti ada hikmah Tun M dipanjangkan usia sehingga sekarang , saya yakin segalanya bersebab dan ada kejayaan di sebalik seandainya diusahakan sebaiknya .

Memang tiada istilah berehat pada mereka yang penuh ilmu di dada dan pengalaman dalam bidang yang diceburi dan disukai.

Saya petik kata2 arwah Wira Abang Bomba Abu Zarin yang mahir kendalikan ular : Dia hanya akan berhenti main ular apabila dia meninggal dunia dan ternyata beliau meninggal dunia kerana ular juga.

Berehat itu pasti, berehat selepas puas membeli kehidupan di dunia untuk beramal soleh sebagai bekal bagi kehidupan di SANA

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie May 21, 2018 at 10:10 pm

Wslm Pn. Rohaizah.

Betul.

Terima kasih atas perkongsian.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: