Buku “Eat That Frog!” Jawapan Kepada Masalah Sibuk dan Tak Cukup Masa

by on March 19, 2019

Dulu saya fikir, bila saya dah berhenti kerja (makan gaji sebagai akauntan), pasti akan ada banyak masa lapang. Ketika itu, saya masih tinggal di Damansara Damai. Saya rasa jealous tengok kawan-kawan masjid dan surau yang ada masa lepak dan berbual-bual panjang lepas selesai solat berjemaah. Saya fikir, bila saya berhenti kerja nanti, pasti akan ada waktu yang cukup untuk lepak dengan kawan-kawan.

Tetapi realitinya tidak begitu. Setelah saya berhenti kerja dan ‘pencen’ pada usia 33 tahun, kehidupan saya masih sama. Saya masih rasa sibuk dan tak cukup masa. Saya tak ada masa untuk lepak dan bersembang lama-lama dengan kawan-kawan walaupun saya tak bekerja. Bahkan saya sentiasa tercari-cari formula yang membolehkan saya mempunyai masa yang cukup untuk buat segala perkara yang mahu saya buat.

Alhamdulillah, akhirnya formula dan panduan tentang pengurusan masa yang saya tercari-cari selama ini terbongkar hasil pembacaan buku bertajuk “Eat That Frog!”. Kalau diterjemah kepada Bahasa Melayu, tajuknya “Makan Katak Itu!”. Ketika saya beritahu tajuk buku ini kepada isteri saya untuk dicari di kedai buku, respond dia “Euwww….”. Sungguh pelik tajuknya. Apa kena mengena “katak” dengan pengurusan masa?

Setelah selesai baca bahagian “Introduction”, barulah saya faham. Penulis mengibaratkan tugas penting yang perlu kita laksanakan setiap hari seperti “makan katak”. Ia bukan kerja mudah, bahkan kita tidak gemar lakukannya. Walaupun begitu, samada suka ataupun tidak, kita tetap kena lakukannya juga sebab ‘katak’ itu penting untuk hidup kita, samada demi kerjaya, keluarga, ataupun makna hidup kita sendiri.

Kerja Sukar, Tetapi Sangat Bermakna

‘Makan Katak’ maksudnya tugas yang sukar, tetapi penting dan bermakna. Bahkan ia memberikan kegembiraan dan kepuasan sebenar apabila kita dapat menyelesaikan tugas tersebut. Tetapi malangnya, disebabkan ianya tidak mudah dan kita tidak gemar melakukannya, kita sentiasa bertangguh dan buat perkara lain yang kita rasa lebih mudah dan menyeronokkan (dalam jangka pendek). Akhirnya kita stress dengan hidup kita sendiri disebabkan ‘katak’ (tanggungjawab utama) belum lagi kita ‘makan’!.

Kita fikir, kita tak mempunyai masa yang cukup untuk “makan katak itu!”. Sedangkan pada hakikatnya, kita sendiri yang tidak kenalpasti yang manakah tugas yang boleh dianggap ‘katak’dan seterusnya fokus ‘memakannya’ terlebih dahulu setiap hari sebelum sibuk dengan perkara rutin yang lain. Kita fikir kesibukan kita dengan rutin harian menandakan kita sudah cukup kuat bekerja, walhal rutin itu tidak membawa kita ke mana-mana. Bahkan ramai yang berbangga menceritakan kesibukannya seperti kerja sampai lewat malam, sedangkan jauh di sudut hati, mereka sebenarnya kecewa dengan kesibukan tersebut.

Buku “Eat That Frog!” tulisan seorang guru bisnes berpengalaman bernama Brian Tracy ini benar-benar membuka minda saya tentang pengurusan masa. Buku ini saya beli di kedai buku Kinokuniya, Suria KLCC (Kuala Lumpur) sejak tahun 2017. Bulan Februari 2019 barulah saya habis baca. Sebenarnya kalau betul-betul fokus, seminggu je boleh habis baca sebab buku ini cuma 119 mukasurat. Nipis je. Harganya RM69.00 – mahal! Tetapi berbanding nilai ilmunya, harga buku ini boleh dianggap murah dan berbaloi dibeli.

Pengalaman 40 Tahun Pengurusan Masa

Buku ini ditulis berdasarkan lebih 40 tahun pengalaman beliau tentang pengurusan masa, dan telahpun membaca beratus-ratus buku tentang pengurusan masa. Akhirnya beliau rangkumkan ilmu dan pengalaman tersebut dalam buku yang ringkas dan mudah dihadam ini. Ia berbaloi dibeli dan dibaca bagi sesiapa yang rasa tak cukup masa.

Setelah habis baca buku ini (daripada kulit depan sampai ke kulit belakang), saya dapat faham kenapa hari ini kita rasa semakin sibuk, kerja semakin banyak, masa bergerak terlalu cepat, tak cukup masa, dan akhirnya kita stress dengan kehidupan kita. Kita rasa dunia bergerak semakin pantas, tetapi seolah-olah hidup kita semakin hilang punca. Kenapa?

Contoh paling mudah, suatu ketika dahulu, kerjaya sebagai seorang guru adalah kerjaya yang mempunyai banyak cuti dan masa lapang. Kerja cuma separuh hari, dan dapat nikmati cuti sekolah yang panjang. Tetapi pada hari ini, kerjaya guru dianggap kerjaya yang stress sebab terlalu banyak tugas (birokrasi pentadbiran) dilonggokkan ke atas bahu para guru untuk dilaksanakan. Hinggakan kita sering dengar rungutan guru lama yang dulunya minat mengajar, tetapi akhirnya hilang minat menjadi guru – kerana terlalu sibuk!. Bila ada pilihan, mereka pilih untuk bersara lebih awal. Bila baca buku ini, saya fikir, ini mungkin bahana tidak bijak pengurusan masa dan pengurusan keutamaan oleh pihak atasan, yang akhirnya para guru dan anak-anak kita menjadi mangsa. Bukan sahaja dunia pendidikan, masalah yang sama juga berlaku kepada majoriti daripada kita.

Bila saya renungkan apa yang disampaikan di dalam buku ini, saya simpulkan, punca kenapa kebanyakan daripada kita rasa tak cukup masa, adalah disebabkan tiga (3) faktor utama ini;

  1. Mempunyai impian yang besar dalam hidup, atau
  2. Bekerja dengan majikan yang mempunyai impian (visi) yang besar untuk dicapai, dan
  3. Hanyut dalam dunia internet, dan media sosial!

Disebabkan tiga (3) faktor ini, kita terasa masa terlalu pantas berlalu. Sedangkan banyak tugas penting (yang memberikan makna besar dalam hidup) belum lagi kita laksanakan. Pejam, celik, pejam, celik, sedar-sedar sudah masuk tahun baru. Pejam, celik, pejam, celik, sedar-sedar sudah masuk pertengahan tahun, sedangkan matlamat yang kita tetapkan pada tahun lalu belum lagi tercapai! Oh, pantasnya waktu berlalu…

Kunci Mempunyai Masa Yang Cukup

Dulu saya selalu kecewa sebab banyak ‘agenda’ yang saya nak buat tapi tak terbuat-buat. Ada yang tertangguh sampai bertahun-tahun lamanya. Bahkan banyak agenda yang hanya tersenarai dalam “To-do-list” (senarai perkara yang mahu dibuat) sahaja, tetapi tak pernah dimulakan pelaksanaannya. Ia mengecewakan saya. Dan saya fikir, puncanya sebab saya tak cukup masa.

Apa yang diajarkan dalam buku ini, hakikatnya yang perlu kita tahu (dan perlu terima), memang masa kita tak cukup!. Kita memang tak akan ada masa yang cukup untuk buat semua perkara. Tetapi sebenarnya, kita ada masa yang cukup untuk buat apa yang benar-benar penting dan bermakna untuk hidup kita. Maka untuk berjaya dan bahagia dalam hidup, kita kena kenalpasti apakah perkara yang benar-benar penting untuk dicapai, dan kemudian fokus segala masa dan usaha kita untuk mencapainya. Walaupun kita tak dapat lakukan semua perkara, tetapi selalunya tiga (3) perkara paling penting yang kita senaraikan itu sudahpun mewakili 90% apa yang membuatkan kita berjaya dan bahagia dalam hidup, insyaAllah.Perkara lain yang kurang penting, samada kita “delegate” (bahagikan tugas) kepada orang lain untuk melakukannya, atau tangguhkan dahulu, bahkan mungkin boleh diabaikan sahaja!

Terlalu banyak ti-tip pengurusan masa yang tak sempat saya senaraikan secara terperinci di sini. Saya sarankan kepada sesiapa yang rasa tak cukup masa, atau penat dengan rutin harian (yang sudah bertahun-tahun) yang tak membawa ke mana-mana, sila baca buku ini sampai khatam dan hadam. Saya fikir, ini salah satu panduan penting supaya kita tidak tergolong sebagai orang yang rugi sebagaimana yang Allah S.W.T sebutkan dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Demi masa. Sesungguhnya (semua) manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, serta saling menasihati untuk kebenaran, dan saling menasihati untuk kesabaran”. (Surah Al-Asr 103 : 1-3)

 

Mohd Zulkifli Shafie

12 Februari 2019

Selangor, Malaysia

{ 2 comments… read them below or add one }

1 Norhafizah Abdullah March 21, 2019 at 5:03 pm

Terima kasih atas peringatan pengurusan masa. Fiza still rasa masa selalu tak cukup, maybe sebab belum khatamkan lagi buku ini.

Asyik buat to do list, tapi tak buat2 sampai rasa malu dengan diri sendiri.

Lepas ni memang kena khatamkan dan jangan tangguh lagi baca buku Eat that Frog. tq en Zul..tq kak Najdah…tolong kejutkan saya dari tidur..

Reply

2 Najdah Mohammed Hussain April 7, 2019 at 2:54 pm

Sama-sama Fiza. Semoga dipermudahkan segala urusan insyaAllah…

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: