MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Beri Hutang: Bukan Jalan Membuat Untung

September 23, 2008

“Ustaz, hari ni bagi pinjam RM3,000, dibayar 3 tahun akan datang. Kalau dia bayar RM3,000 juga, bukan ker nilai RM3,000 hari ini tak sama RM3,000 tiga tahun akan datang. Tambah pulak harga barang hari ini sentiasa meletup-letup.

Jadi, saya nak mintak pendapat Ustaz, aqad (pinjaman) macam mana yang lebih adil untuk kedua-dua pihak – si peminjam dan yang memberi pinjam”

Soalan itu saya ajukan kepada Ustaz Zaharudin Mohamad, seorang penyelidik syariah di Bank Negara ketika seminar “Pengaruh Riba Dalam Muamalat Moden”. Seminar ringkas pada Ahad, 24 Ogos 2008 itu dianjurkan oleh GAGASAN dengan kerjasama Masjid Al-Muhtadin Damansara Damai.

Risau Untung Rugi

Persoalan untung rugi selalu bermain difikiran saya setiap kali memberi hutang. Kalau hutang nilainya seratus dua mungkin tak berapa kisah, tapi nilainya mencecah 4 angka. RM3,000 dipinjamkan hari ini, tak sama nilainya RM3,000 yang dibayar 2 atau 3 tahun akan datang.

Persoalan ini dah lama benar bermain difikiran. Bantu orang dalam kesusahan memang ‘wajib’. Masalahnya, saya terpaksa tanggung ‘kerugian’. Jadi, apakah cara yang lebih adil supaya kedua-dua pihak dapat untung?

Tiada Konsep Untung Dalam Memberi Hutang

Jawab Ustaz;

“Dalam Islam, tak ada konsep mendapat untung dalam memberi hutang. Memberi hutang mestilah atas dasar ta’awun, iaitu tolong menolong. Bila nak tolong, kita kena bersedia untuk rugi. Memang tak ada pulangan apa-apa kecuali pulangan dari Allah S.W.T”

Oh, begitu. Saya faham maksud Ustaz, tapi kenapa bank-bank Islam boleh buat untung dengan beri pinjaman?

Tukar Bentuk Hutang


Ustaz menyambung lagi;

“Kalau takut rugi senang jer, tak payah bagi hutang, habis cerita. Bagi sedekah sajalah setakat yang kita mampu”

“Ataupun, buat aqad jual beli. Contohnya, kawan kita perlukan duit untuk beli motosikal misalnya. Guna duit RM3,000 untuk beli motor yang dia nak. Lepas tu, jual balik dengan harga RM3,300 dan dia bayar dalam masa 2 atau 3 tahun ikut pada persetujuan. Itulah cara yang diamalkan oleh perbankan Islam.”

“Atau satu lagi, buat perjanjian mudharabah/ musyarakah iaitu perkongsian untung rugi kalau dia nak buat bisnes (dengan pinjaman itu). Buatlah penetapan sebagai contohnya, hutang RM3,000 yang kita pinjamkan itu dikira modal perniagaan. Sebagai pemodal, kita diberi saham 10% atas untung/ rugi perniagaan mengikut persetujuan. Pulangan 10% itu nanti dikira mengikut keuntungan perniagaan semasa, bukan nilaian tetap atas modal yang kita beri”

Idea Baru

Alhamdulillah, ini idea baru yang saya dapat pada seminar itu. Hutang pada bentuk asalnya, boleh diubah bentuknya supaya ianya lebih ‘adil’ untuk kedua-dua pihak. Ia boleh jadi aqad jual beli, dan boleh juga diubah kepada bentuk modal perniagaan.

Kekusutan saya terlerai. Kaedah yang mudah itu tak pula terlintas difikiran saya sebelum ini.

Menurut Ustaz, sebenarnya kedua-dua pihak masih boleh mendapat ‘untung’ tanpa menggunakan kaedah itu. Kerana sebenarnya, Allah dan Rasul telahpun mengajar kita tentang akhlak dalam memberi dan membayar hutang.

Bagaimana caranya? InsyaAllah akan saya kongsikan dalam artikel akan datang iaitu “Langsaikan Hutang Cara Nabi”. Si miskin jangan meminta, si kaya jangan lokek untuk memberi. Itulah ajaran Nabi S.A.W kepada kita semua.

Wallahu ‘alam.

Zulkifli
Damansara Damai
12 September 2008, 6.50 pagi

Artikel lepas: “Beri Hutang: Antara Gagal dan Berjaya

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Assalamualaikum en.Zul,

    Saya tak faham dengan ‘tukar bentuk hutang kepada akad jual beli’….dalam jawapan ust. Zaharuddin di atas, “Ataupun, buat aqad jual beli. Contohnya, kawan kita perlukan duit untuk beli motosikal misalnya. Guna duit RM3,000 untuk beli motor yang dia nak. Lepas tu, jual balik dengan harga RM3,300 dan dia bayar dalam masa 2 atau 3 tahun ikut pada persetujuan. Itulah cara yang diamalkan oleh perbankan Islam.”

    Dalam contoh di atas, apakah BARANG yang dijual oleh si ‘pemberi pinjam’ (penjual) kepada ‘peminjam’ (pembeli) pada awalnya? ‘peminjam’ (pembeli) perlukan duit rm3000, ‘pemberi pinjam’ jual kepadanya rm3000…tapi ‘pemberi pinjam’ tu jual apa sebenarnya?

    Sama dengan saya buat ‘pinjaman’ (pembiayaan) dari bank (islamic)…. pegawai bank menerangkan ‘pinjaman’ ni utk menjadikannya patuh syariah, ia menggunakan akad jual beli….bank menjual aset kepada saya sekian harga, saya kemudian menjual balik kepada bank dengan sekian harga…. tapi apakah aset tu? kita tak nampak aset tu….adakah ia mematuhi rukun jual beli?

    banyaknya kekeliruan, harap En.Zul dapat mejelaskan kepada saya… jazakallah khairal jaza’

    -mas-

    • Wslm Pn. Mas,

      Katakan A nak beli motosikal berharga RM3,000 dari kedai motor, tapi si A tak cukup duit. B ada duit RM3,000. Maka B belikan motosikal berharga RM3,000 dari kedai secara TUNAI.

      Lepas beli, dia jual balik kepada B dengan harga RM3,300 tapi dengan BAYARAN ANSURAN, RM330 sebulan x 10 bulan = RM3,300. Maka aqad B dengan A adalah aqad jual beli, bukan akak pinjaman. Ianya patuh syariah.

      Pasal Islamic Financing di bank, kita serahkan kepada Syariah Committee sesuatu bank. Setiap Islamic bank perlu ada Syariah Committee masing-masing untuk pastikan ia patuh syariah. Kalau dia luluskan sesuai produk yang tak patuh syariah, maka dosa tu ditanggung oleh mereka, bukan pengguna.

      Wallahu a’lam.

  • Assalamualaikum en.Zul,

    Apakah komen en.Zul berkenaan dengan soal jawab bersama Sheikh Imran Nazar Hosein ini?

    http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=_kGeEumQdUM

    “Bolehkah kamu jelaskan samaada perbankan Islam yang menawarkan pinjaman untuk membeli rumah adalah halal?

    Apa yang bank Islam lakukan adalah meminjamkan wang kepada kamu dengan bunga/faedah untuk membeli rumah tetapi mengaburinya sebagai jual beli padahal ianya adalah pinjaman dengan bunga/faedah. Ianya adalah riba, ianya adalah haram. Ianya bukan riba ikut pintu depan, tetapi riba ikut pintu belakang dan ia sungguh busuk.”

    p/s: kenyataan ini menyebabkan saya confuse kembali dan menakutkan….sedangkan saya dah buat pinjaman…

    -mas-

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >