MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Baru Sedar, Betapa Mewahnya Aku…

January 25, 2010

Malam tadi, saya (selaku Exco Kebajikan), Abg Suhaimi (Setiausaha) dan Azizul (Exco Keselamatan & Kecerian) mewakili AJK Masjid Damansara Damai pergi ziarah salah satu keluarga yang dapat bantuan masjid - Pn. Syafiqah. Kami berjumpa dengan Pn. Syafiqah di rumah Pak Mat, salah seorang AJK Masjid.

Malam tadi benar-benar menginsafkan saya. Baru saya sedar betapa banyaknya nikmat yang Tuhan beri pada kami sekeluarga berbanding Pn. Syafiqah dan anak-anak. Melihat pada Pn. Syafiqah dan 4 anaknya yang sebaya dengan anak-anak kami, saya membayangkan isteri dan 4 anak kami yang hidup tanpa saya.

Isteri dan 4 Anak Kecil Tanpa Bapa

Pn. Syafiqah, dialah ibu, dan dia jugalah ayah. Tempuhi hidup bersama anak-anak tanpa pembelaan daripada suami (tak bertanggungjawab). Anak sulung darjah 1, anak ke-4 berumur 3 bulan. Berasal dari Sawarak, dan memeluk Islam lebih kurang 8 tahun yang lalu. Menyewa bilik 'stor' sebuah apartment yang sempit untuk berteduh bersama 4 anak-anak yang belum kenal erti kehidupan.

Bekerja di Petronas Damansara Damai sebagai cashier dengan gaji asas RM700 (bulan lepas dipotong gaji RM300 sebab duit 'short' - mungkin ada tangan hantu yang kebas duit sewaktu dia berehat).

Anak Kecil Tinggal Sendirian

Kerja 11 jam sehari, dari 7 pagi hingga 6 petang. Sepanjang waktu kerja, anak ke-4 berumur 3 bulan ditinggalkan kepada isteri Pak Mat (salah seorang AJK masjid) tanpa apa-apa bayaran - tak mampu. Tiga lagi anaknya tinggal sendirian di rumah! Pandai-pandailah nak hidup...

Oh... ini yang membuatkan dada saya terasa sebak. Saya membayangkan Aisyah, Amal, dan Anis tinggal 3 beradik di rumah tanpa kami selama 11 jam! Pandai-pandai lah nak makan minum sepanjang ibu bekerja. Padahal kami nak tinggal mereka bertiga setengah jam pun kami rasa risau. Apatah lagi ditinggalkan 11 jam...

Abang Suhaimi mengetuai rombongan masjid.

Lepas ziarah Pn. Syafiqah, saya terus balik ke rumah sebab lepas tu nak bawa anak-anak ke Tesco. Fikiran saya masih meletakkan diri saya di posisi Pn. Syafiqah.

Pn. Syafiqah dan empat anak yang belum kenal erti kehidupan.

Baru Tersedar, Betapa Mewahnya Aku...

Melangkah masuk di pintu rumah, saya rasa macam melangkah masuk ke sebuah condo mewah! Lepas anak-anak bersiap, terus dukung Anis masuk ke kereta Nissan Sunny tahun 1994 kami. Oh, terasa seperti masuk dalam Mercedes Benz C200 Kompressor!

Sampai di Tesco, kami membeli belah. Si Anis aktif berlari ke sana ke mari dengan riang ria tanpa berkasut. Oh, beruntungnya anak-anak aku. Dapat juga mereka rasa nikmat bershopping. Seperti bershopping di oversea rasanya!

Hikmah Berziarah Orang Susah

Mungkin sebab itulah Nabi suruh kita sentiasa ziarah orang miskin, orang sakit dan orang mati. Terlalu banyak hikmah disebaliknya. Nikmat Tuhan yang dulunya dianggap kecil, barulah terasa ianya terlalu besar dan berharga. Barulah timbulnya rasa syukur pada Tuhan yang melimpahkan nikmat.

Lepas ziarah, terus hilang rasa rendah diri saya dengan rakan-rakan yang statusnya lebih tinggi dari saya. Mereka berumah teres, saya cuma berumah apartment sederhana. Mereka berkereta baru dan ada status, saya cuma kereta buruk! Perasaan itu terus hilang...

Yang timbul hanya rasa syukur, syukur, dan syukur padaMu wahai Tuhan yang melimpahkan nikmat pada kami sekeluarga. Puji-pujian bagiMu wahai Tuhan...

Zulkifli
Damansara Damai
25 Januari 2010 

P/s - Mana-mana sahabat yang nak hulurkan sumbangan ataupun zakat kepada Pn. Syafiqah, boleh hubungi saya. InsyaAllah kami tolong sampaikan. Moga Allah menggandakan nikmatNya atas sumbangan tersebut, amiin...

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • salam saudara zul,saya nak bertanya adakah pn syafiqah masih berkerja di petronas damansara damai lg,jika masih berkerja ada pihak yg ingin sedekah pakaian terpakai buat mereka sekian terima kasih

  • Setelah hampir lima tahun, apa agaknya perkembangan keluarga puan syafiqh ni ye tuan zul..semoga mereka mendapat rahmat Allah selalu.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >