MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Perbaiki Mulut, Perbaiki Masa Depan

March 15, 2010

“Ada tak sesiapa tak ada kerja sekarang ni?”

Aduh, aku tersalah cakap, hati saya berbisik.

Saya nak minta mana-mana junior staff yang berkelapangan untuk tolong kerja yang saya tengah buat. Tak sepatutnya saya tanya macam tu. Soalan saya tu menggambarkan mereka bukan staff yang baik, sebab “tak ada kerja”.

Sepatutnya saya kena tanya macam ni;

“Ada tak sesiapa free sekarang ni? Saya nak mintak tolong bantu saya sekejap”

Perbaiki Mulut Untuk Berjaya

Soalan kedua tu saya rasa lebih baik. Ia tak menggambarkan apa-apa yang buruk pada mereka yang free (berkelapangan). Maksud tetap sama, tapi ia mendatangkan dua perasaan berbeza.

Saya teringat pesan mentor katanya, untuk berjaya, kerja-kerja awal yang kena buat ialah “fix your mouth!”. Perbetulkan mulut – percakapan. Bercakaplah dengan nada yang positif. Pastikan setiap perkataan yang keluar dari mulut kita selesa di dengar oleh orang lain.

Ubah kebiasaan bercakap perkara negatif atau bercakap dengan nada yang negatif.

Mulut kita kekadang boleh 'membunuh' (motivasi) orang. Dan memang benar, ramai yang telah ‘membunuh’ orang lain hanya dengan mulut mereka.

‘Membunuh’ Orang Lain Dengan Mulut

Ada orang membunuh impian dan harapan orang lain hanya dengan mulut mereka. Ada orang membunuh usaha-usaha yang baik disebabkan mulut mereka. Ada orang merosakkan ukhuwwah dan silaturrahim dengan mulut mereka.

Mulut mereka cukup merbahaya. Bahkan ada ibubapa dan para pemimpin yang membunuh kejayaan anak dan anak buah mereka dengan mulut mereka sendiri!

Oh, cukup berbisanya mulut. Mungkin itulah maksud pepatah Melayu, “kerana mulut badan binasa”.

Itulah yang membuatkan saya bimbang. Saya sedang bekerja keras untuk perbaiki mulut (percakapan) saya. Cuba bercakap tentang kebaikan orang lain. Cuba bercakap hanya yang positif dan dengan nada yang positif.

Semoga setiap percakapan saya, orang lain berasa selesa, terasa diri mereka penting dan dihargai walaupun sekecil mana pun usaha baik mereka. 

Perbaiki Mulut, Perbaiki Masa Depan

Moga setiap patah perkataan yang keluar, akan ‘menghidupkan’ orang lain – membuatkan orang lain jadi lebih baik, lebih maju, lebih bermotivasi, membangun dan berjaya! InsyaAllah...

Saya mesti perbaiki mulut saya, moga Allah perbaiki masa depan saya. Dan memang itulah pesan Nabi pada kita semua;

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia bercakap baik (yang baik, dengan cara terbaik), ataupun diam sahaja” (Muttafaqun 'Alaih). [Riyadus Solihin, Karya Bestari, cetakan 1 - 2017, halaman 919]

Memang besar hikmahnya...

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Heights
9 Mac 2010
12 Rabiul Awal 1431

Daripada Abu Musa r.a. dia berkata, aku bertanya, "Wahai Rasululullah, siapakah muslim yang paling utama?". Baginda menjawab, "Sesiapa yang orang muslim yang lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya" (Muttafaqun 'Alaih). [Riyadus Solihin, Karya Bestari, cetakan 1 - 2017, halaman 919]
Daripada Ummu Salamah r.a., Rasulullah bersabda, "... Janganlah kalian mengucapkan sesuatu ke atas diri kalian melainkan ucapan yang baik. Sesungguhnya para malaikat mengaminkan apa yang kalian ucapkan)..." (HR Muslim). [Riyadhus Shalihin, Telaga Biru, cetakan Julai 2020, halaman 109]
'Aishah (Semoga Allah redha ke atasnya) berkata: Nabi (ﷺ) bersabda, "Tidak sepatutnya antara kamu mengatakan: 'aku sangat buruk'. Akan tetapi (lebih baik) dia berkata: 'aku ada kekurangan'." (Hadis direkodkan oleh Bukhari & Muslim) [Rujukan - Riyadus Solihin Karya Bestari, 1739, Cetakan 1 - 2017, halaman 1048]

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Ya Allah…sukanya saya baca blog ni..
    bnyak persoalan selama ini terjawab…
    teruskan penulisan perkongsian Tuan..semoga menambah nilai untuk orang lain..
    InsyaALLAH…
    Saya doakan Tuan sekeluarga diberkati & dirahmati yang Maha Pencipta.
    Amin.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >