Perlihara Iman dengan Usrah

by on October 14, 2010

“Carilah usrah, dan joinlah usrah. InsyaAllah kita akan selamat”
Nasihat saya pada adik bongsu, dan kedua bongsu saya (dan juga adik-beradik saya yang lain sebenarnya). Saya tak tahu, apa lagi mekanisma kawalan jauh untuk pastikan iman keluarga saya terjaga.
Sayang Tapi Tak Kesampaian
Saya sayangkan keluarga, tapi saya tak tahu macam mana keadaan keluarga saya yang masing-masing berjauhan. Kalau depan kita, boleh juga kita tengok-tengokkan. Tapi kalau masing-masing jauh, macam mana nak buat? Ada dekat Johor, ada dekat Sabah. Kalau ada sedara mara yang ada dekat dia, boleh juga tolong jenguk-jengukkan.
Saya risau, dengan macam-macam kes gejala kerosakan hari ni, takut juga Allah uji pada keluarga saya. Cuma mampu berdoa, dan bagi nasihat sikit-sikit ikut telefon. Itu sahaja. Macam mana dia dibelakang kita, hanya Allah saja yang tahu. Baik atau pun buruk, kita memang tak tahu.
Saya tahu, sesetengah universiti ‘mengharamkan’ usrah atas alasan ianya gerakan politik. Walaupun terhalang, gerakan usrah terus bergerak dalam rupa yang berbeza. Ia terus bergerak sepertimana arus air yang bergerak. Ia adalah gerakan iman, bukan politik. Kalau dihalang, ia akan tetap mengalir mengikut jalan lain. Allah tetap akan sempurnakan cahayaNya walaupun dibenci oleh orang yang fasiq ataupun munafiq (As-Soff).
Islam, Gerakan Usrah dan Politik
Islam dan politik memang tak dapat dipisahkan. Allah utuskan kenabian Muhammad S.A.W untuk menyuluh manusia dengan iman. Dan gerakan ‘usrah’ Nabi itu juga menggugat politik Abu Jahal dan penguasa kafir Quraisy. Ia menggugat politik yang tak mengikut telunjuk Allah dan Rasul.
Lepas kerajaan Islam Madinah, Islam mula hilang kuasa politik dan pemerintahan lepas jatuhnya Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Hassan Al-Banna mula menggerakkan usrah Ikhwanul Muslimin. Ia menggugat politik sosialis Mesir. Di Turki, walaupun Kamal Attartuk itu atas kertasnya adalah muslim, hakikatanya dia adalah munafiq. Jangan tengok agama atas IC dia, tapi apa yang dia buat pada agama dan pemerintahan. Itulah agamanya.
Usrah Sekolah, Universiti dan Masyarakat
Saya sertai usrah dan mengendalikan usrah sejak peringkat sekolah lagi. Usrah banyak beri impak pada iman dan keperibadian saya. Mungkin boleh saya katakan, selepas mama dan abah, Allah banyak mendidik saya melalui usrah dan sahabat-sahabat seusrah.
Saya adalah produk usrah di sekolah dan di universiti. Kalau tak melalui asbab usrah, mungkin saya tak seperti saya hari ini. Bukanlah baik sangat, tapi tak lah jahat, insyaAllah.
Usrah Adalah Keluarga Selepas Keluarga
Usrah seperti mana yang saya pernah tulis dalam banyak artikel dalam kategori “Diskusi Usrah” dan saya sentuh sedikit dalam kategori “Islah Diri” dan “Kampus”, adalah keluarga selepas keluarga. Selepas keluarga sedarah daging, anggota usrah adalah keluarga saya satu iman.
Dan saya ingatkan lagi sekali, usrah bukan satu majlis. Ia adalah talian persaudaraan antara anggota usrah. Mungkin persaudaraan sehidup dan semati. Perjumpaan usrah seminggu sekali hanyalah majlis bertemu mata antara anggota usrah, sebagaimana kita buat family gathering. Usrah sebenar bermula selepas tasbih kaffarah. Itulah dia usrah.
Usrah: Protection dari Gejala Buruk
Masa di universiti, memang kawan-kawan usrahlah yang tarik untuk buat benda-benda baik. Dan yang paling penting, usrah adalah “protection” dari terlibat dalam gejala-gejala tak baik. Macam mana kita segan nak bawa anak dara orang ke sana ke mari depan ibubapa, macam tu jugalah segannya depan kawan-kawan usrah yang selalu tengok-tengokkan kita di universiti atau mana-mana saja.
Kalau di Damansara Damai, kenalan paling saya percaya dan boleh diharap adalah kawan usrah. Mereka adalah keluarga saya di Damansara Damai. Saya kenal mereka. Mereka juga kenal saya. Saya kenal perangainya. Saya tahu sejauh mana mereka jaga solatnya. Saya tahu rajinnya mereka ke masjid, surau dan ke majlis-majlis ilmu. Dan yang penting, saya tahu sejauh mana amanahnya mereka.
Standard Anggota Usrah
Kalau mereka nampak kecacatan saya, kami boleh bincang secara open. Kalaupun ada perselisihan, itu perselihan cara adik-beradik. Terus berbaik, masing-masing tak ambik hati. Kalau nak tinggalkan anak-anak, kami akan cari isteri-isteri anggota usrah untuk jaga. Sebab saya tahu ‘standard’ amanahnya anggota usrah.
Kalaulah saya tahu keluarga saya berusrah seperti mana kami sekeluarga berusrah, sebahagian besar rasa risau saya hilang. Iman mereka akan selamat, insyaAllah.
Tapi kalau belum, saya masih risaukan mereka. Saya sayangkan mereka, tapi sayang saya mungkin tak kesampaian.
Moga Allah memelihara imanmu wahai keluargaku, adik-beradikku, dan juga sahabat-sahabatku.

“Allahumma ahyiina bil iimaaan… Wa amitna bil iimaan… Wa adkhilnal jannata ma’al iimaan… birohmatika yaa arhamarroohimiin…”

Ya Allah…. hidupkanlah kami dalam iman… matikanlah kami dalam iman… dan masukkanlah kami ke dalam SyuraMu dengan iman… dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Penyayang…

Zulkifli
Damansara Heights
15 Oktober 2010
7 Dzulkaedah 1431
Menjelang solat Jumaat

{ 2 comments… read them below or add one }

1 Nurul Haziqah June 11, 2017 at 12:47 pm

Alhamdulillah, jazakallah khair Tuan Zul atas sharing berkenaan usrah. Sungguh, usrah adalah medium tarbiyyah yang bukan sahaja memberi impak positif dalam hidup kita, malah ia menjadi satu titian untuk setiap individu menyebarkan kebaikkan. Ini sangat bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud – sebaik-baik kamu adalah yang bermanfaat bagi manusia lain. Wallahu a’lam =)

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie June 11, 2017 at 2:21 pm

Alhamdulillah.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: