MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Inilah Kisah Membuatkan Saya Tekad Simpan Emas

September 7, 2016

Ketika sedang berbual di sebuah kedai makan di Kota Bharu, entah macam mana kami terbuka topik tentang emas. Kata sahabat saya, “Dulu aku beli 1 dinar harganya sekitar RM300 sebagai maskahwin. Sekarang (tahun 2010) harganya mencecah RM500!”. Owh, saya pun terus ambil handphone dan buat kira-kira, kenaikan harga emas sekitar 18% setahun. Bukankah ini lebih baik berbanding saya simpan duit dalam Tabung Haji?

Perbualan ringkas itu membuatkan saya ingin tahu lebih mendalam tentang emas.

Saya teringat semula tahun 2006 ketika saya mula-mula berniat membeli syiling 1 Dinar, saya pergi ke Ar-Rahn PKB di Kota Bharu dan tanya harga 1 Dinar Kelantan (syiling emas seberat 4.25 gram, ketulenan 91.6%). Ketika itu harganya sekitar RM300. Saya terkejut, kenapa barang sekecil itu harganya sampai RM300? “Mahal!” kata saya. Saya tak jadi beli… Sehinggalah perbualan dengan sahabat saya pada tahun 2010.

Kesilapan Pertama Membeli Emas

Hari ini bila saya fikir balik, sebenarnya harga emas memang sentiasa mahal. Berapa pun harganya, tetap orang akan kata ianya “mahal”. Ia memang barang yang dianggap mahal sejak zaman berzaman. Tak pernah ada satu zaman pun orang anggap harga emas itu barang murah.

Maksudnya kesilapan pertama bila nak beli emas ialah tunggu harga emas murah. Harga emas memang tak akan murah selagi tak mulakan dengan belian pertama. Mahal atau murah, ia bergantung kepada benchmark kita sendiri. Ada ketikanya, harga RM170 segram dianggap sangat mahal. Tetapi ketika harga emas meningkat sehingga RM190 segram, ketika itu orang anggap RM170 sangat murah. Walaupun harga RM170 dianggap mura, ia tidak lagi berguna sebab harga itu telahpun menjadi sejarah.

Jadi cara yang betul membeli emas ialah beli dulu walaupun sekadar 1 gram. Mulakan dengan bajet kecil dahulu. Jangan tunggu harga rendah. Lepas belian pertama barulah pantau harga. Bila dah mula membeli, kita sudah ada “benchmark” harga tersendiri. Kita akan tahu berapa harga yang dianggap mahal, dan berapa harga yang dianggap murah untuk sesuatu tempoh masa. Tak perlu lagi kita tanya orang lain, terutamanya dealer (ejen) emas.

Polemik Matawang Syariah

Berbalik kepada cerita saya tadi, lepas sedar kesilapan saya tidak mula membeli emas pada tahun 2006, saya tekad untuk mendalami ilmu emas pada tahun 2010. Apa yang menariknya, tahun 2010 Kerajaan Negeri Kelantan melancarkan Dinar Kelantan versi ke-2. Ianya lebih cantik, ia ditempah dari World Islamic Mint (WIM), Dubai. Dalam pelancaran tersebut, Kerajaan Kelantan mengisytiharkan ianya sebagai “Matawang Syariah” dengan hasrat mengembalikan fungsi emas sebagai medium transaksi sebagaimana zaman Nabi Muhammad s.a.w dan zaman-zaman kerajaan Islam dahulu.

Apabila ia diisytiharkan sebagai “matawang”, maka ia menjadi kontroveri dengan Kerajaan Persekutuan hingga diugut untuk diambil tindakan undang-undang disebabkan “matawang” adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Ia adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Dalam polemik “matawang syariah” itu, saya terbaca satu artikel tulisan YB Husam Musa, iaitu Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang menjadi tulang belakang kepada usaha mewujudkan Dinar Kelantan. Antara yang menarik perhatian saya ialah cerita bapa mentua beliau seperti di bawah;

Kisah Dua Kali Miskin

“Saya teringat Gemulah ayah mertua saya, dia pernah menceritakan kepada saya yang ketika Jepun mendarat di Sabak, dia berumur 14 tahun. Dia sudah tidak bersekolah, kerana dia tak naik-naik kelas, terpaksa mengulangi kelas satu untuk 3 tahun berturut-turut. Dia meminta modal dari emaknya untuk memulakan perniagaan, emaknya telah memberi dia sekeping emas pound duit Amerika yang sudah diikat menjadi kancing baju. Dia jual kancing baju itu dan memulakan perniagaan menggunakan perahu di sungai Kelantan.

Dia mula-mulanya berniaga budu. Perniagaannya berkembang, di akhir pemerentahan Jepun dia sudah berniaga macam-macam termasuklah atap dan balak di sepanjang Sungai Kelantan. Di waktu pemerentahan Jepun ini, antara teman yang ditemui di Kota Bharu ialah Almarhum Raja Perlis, baginda ketika itu berniaga manisan (gula melaka) menggunakan basikal.

Apabila Jepun menyerah kalah, dia memiliki berguni-guni duit gambar pohon pisang yang dikeluarkan oleh pihak Jepun di sini. Duit itu sudah tidak laku lagi. Hanya layak dibuang di umbi pisang. Dia jatuh miskin sekali lagi.

Ayah mertua saya sempat mengalami dua kali kejatuhan pemerintahan, iaitu pemerintah British dan Jepun. Walaupun kuasa barat kalah di Semenajung, tetapi duit pound Amerika tetap laku, kerana ianya emas. Kali kedua duit Jepun tidak laku langsung selepas kejatuhan Jepun; kerana ianya kertas.” – YB Husam Musa

duit matawang pisang“Matawang Pisang” yang digunakan pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Asalkan Duit Jadi Emas

Lepas baca artikel ini, saya rasa tidak selamat jika kekayaan saya disimpan dalam bentuk duit kertas. Jadi saya bulatkan tekad untuk tukarkan sebahagian besar duit simpanan saya kepada emas. Saya tak kisah berapa harganya, asalkan duit jadi emas!

“Kisah dua kali miskin” yang diceritakan oleh YB Husam Musa itu membuka masa saya tentang risiko disebalik menyimpan wang kertas. Wang kertas yang kita gunakan hari ini tidak mampu menyimpan nilai. Walaupun duit kertas itu berada di tangan kita, hakikatnya kekayaan itu tiada di tangan kita.

Ini disebabkan nilai wang kertas bukan terletak pada kertasnya. Ia terletak pada jaminan kerajaan. Pada kertas itu sendiri sebenarnya tiada nilai sebenar. Ia tiada nilai intrinsik (melekat). Ia hanya bernilai disebabkan nilai yang dipaksa ke atasnya. Sebab itu, kerajaan terpaksa tulis “Wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai…”. Itu jaminan kerajaan.

Ia bernilai selagi kerajaan sahkan ia bernilai. Jika kerajaan isytihar ianya tidak lagi bernilai sebagai duit syiling $1, duit kertas $500 dan duit kertas $100 suatu ketika dahulu, nilainya terus hilang begitu sahaja. Ia hanya bernilai selagi ia digunakan di dalam negara, tetapi ia tidak bernilai jika dibawa ke luar negara. Ia bernilai selagi kondisi duit kertas itu masih baik, tetapi ia tidak lagi bernilai jika ianya rosak, dimakan anai-anai ataupun ianya diconteng! Itu adalah pra-syarat jaminan kerajaan.

Nilai Duit Bukan Pada Kertasnya

Dan jaminan kerajaan itu hanyalah terjamin jika ekonomi dan politik negara stabil. Jika berlaku apa-apa gangguan terhad ekonomi dan politik, jaminan itu tidak lagi terpakai dan nilainya boleh terus hilang begitu sahaja! Contoh paling mudah, lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara-negara timur tengah yang sedang bergolak. Duit mereka tidak lagi bernilai!

Ia berbeza dengan emas. Menurut pakar kewangan Azizi Ali, emas adalah satu-satunya aset kewangan yang berdiri dengan sendiri. Ia tak perlu jaminan sesiapa. Ia tak berkait dengan sesiapa. Ia tak perlu geran atau surat pemilikan. Nilainya terletak pada berat dan ketulenannya sendiri. Ia laku di mana sahaja dan pada bila-bila masa sekalipun.

Satu fakta yang kita perlu tahu, emas (dan perak) telahpun digunakan sebagai alat penyimpan nilai paling ampuh dalam sejarah manusia disebabkan sifatnya yang tidak boleh dicipta, tidak binasa dan tidak boleh dibinasakan menggunakan apa cara sekalipun. Kalau Tuhan ditakdirkan dalam bumi cuma ada 100,000 tan emas tertanam dalam perut bumi, maka jumlah itu sahaja yang wujud dan bertukar tangan antara manusia. Disebabkan faktor ini, ia adalah satu-satunya aset kewangan yang tidak sekali-kali boleh jatuh nilainya menjadi KOSONG. Ia dianggap duit sebenar sejak zaman berzaman.

Lagi Jatuh, Lagi Orang Beli

Bila saya faham hakikat ini, saya tak risau tentang turun naik harga emas. Harga naik, saya “happy” sebab saya boleh menjualnya pada harga lebih tinggi kalau nak pakai duit. Bahkan bila harga turun, saya lebih “happy” sebab saya berpeluang beli aset yang mahal (i.e. emas) pada harga yang lebih murah.

Cuba perhati, apakah yang berlaku kepada permintaan emas bila harganya turun?

Orang akan serbu beli emas sebagaimana yang berlaku di negara China pada tahun 2013. Ada kedai emas sampai kehabisan stok! Bahkan di Malaysia pun sama, jualan kedai emas seminggu dikatakan bersamaan dengan sebulan jualan pada waktu-waktu biasa! Maksudnya, lagi harganya jatuh, lagi orang berebut-rebut membelinya.

Satu perkara penting yang kita perlu ingat, emas kalau harganya jatuh, ia adalah emas (dan tetap bernilai). Duit kertas yang kita pakai, kalau nilainya jatuh, ia adalah kertas! Lagi jatuh nilainya, lagi orang ‘lari’. Tak ada dalam sejarah orang berebut-rebut beli duit kertas bila harganya jatuh. Bahkan sejarah membuktikan, kesemua wang begitu akan berakhir dengan nilai intrinsiknya yang sebenar iaitu KOSONG!

Kalau takut beli emas kerana risiko harganya jatuh, membiarkan kekayaan kita disimpan dalam bentuk wang kertas sebenarnya lebih menakutkan!

Zulkifli
Damansara Damai
9 September 2016
5 Zulhijjah 1437H

[Kredit foto : resources3]

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Blog tuan telah membuka hati saya utk beli emas sbg aset. Sejak itulah sy mengenal potensi emas dan public gold.

    Emas ini penyimpan nilai yg ampuh. 1kg emas pun memegang nilai kira-kira Rm181ribu>…

    Emas adalah lebih stabil utk jangka panjang.

    ??

  • As Salam tuan,

    Saya mengikuti penulisan tuan samada di dalam Fb ataupun blog semenjak awal tahun ini dan saya amat tertarik dengan penulisan tuan yang mana dapat membuka minda saya.
    Masalahnya saya masih lagi berbelah bahagi samada perlu membeli emas dahulu ataupun melangsaikan hutang dahulu ataupun melakukan kedua-duanya dengan serentak.
    Mungkin tuan boleh memberi nasihat serba sedikit permasalahan saya ini. Terima kasih.

    • Wslm En. Hazman.

      Alhamdulillah.

      Mudah-mudahan tulisan saya bermanfaat.

      Saya syorkan mulakan dulu beli emas dengan modal kecil sebagai motivasi simpan emas dan supaya lebih cepat faham tentang emas. Lepas tu fokus langsaikan hutang dulu.

  • Saya pun baru je start beli emas 2 sept hari tu bermula dengan 1g syiling emas 999.9karat.
    Saya selalu simpan duit dlm bank dlm rm400.. Bila pikir2 balik bagus saya gunakan rm400 tu utk saya beli 2keping duit dinar…. Atau pon 1g syiling/goldbar..

    Bila melibatkan bank yg mulai tup cawangan dah mcm cendawan kulat, maka saya rasa saya patot beli sebelum duit kertas tu x de nilai…

    P. S: kne bertindak walaupon.0.5gm sebulan..

  • Semenjak mengenali & membaca blog tuan,banyak memberi manfaat kepada pengurusan kewangan saya.Alhamdulillah sekarang sudah mula meyimpan dinar & goldbar emas sebagai kesedaran untuk simpanan masa hadapan.

  • assalamualaikum Encik Zul,
    byk dpt ilmu hari ini di seminar. terima kasih byk2. hari ini duit raya anak3 sebanyak Rm1200 sudah jadi emas.. lega hati!

  • Assalamualaikum

    En Zul, apa yang perlu saya buat yea .. cukupkan simpanan 3bulan gaji @ terus fokus pada simpan emas ?? lagi lagi dengan keadaan ekonomi sekarang ni

  • Assalammualaikum… tuan,

    artikel ini memberikan inspirasi untuk saya berjinak2 dengan emas… moga ada kelebihan yang boleh digunakan dimasa2 terdesak , @ kesempitan wang nanti. Tak rugi ! boleh cuba nanti…

    mselim3

  • Gara-gara saya tertengok video oleh Mike Maloney, saya terus mencari info tentang emas dalam Google.

    Akhirnya, saya ketemu blog Tuan. Info amat menarik dan user-friendly. Senang hati untuk dibaca.

    Terima kasih Tuan atas pengkongsian ilmu dari Tuan.

  • Saya pernah terbaca dalam sebuah buku mengatakan jika berlaku krisis kegawatan ekonomi di masa itu syarikat insuran pun tak dapat membantu..
    Jika kira pekara itu berlaku duit yg kita laburkan pada syarikat tersebut selama ini lenyap..
    Apa pendapat tuan.. Terima kasih

  • Mohd Zulkifli Shafie, Terima kasih bagi maklumat lebih detail ini,
    dapat membantu golongan muda celik emas.

    dan sejak Covid-19 ni, harga emas dari januari hingga sekarang melonjak,
    baru ramai yg menyesal tak membeli awal.

  • Simpan emas memang terbaik, emas boleh dijadikan pelbagai kegunaan selain dari menjadi WANG. Itulah kelebihan ianya boleh menyimpan nilai

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >