MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Perelokkan Adab Dalam Berguru

November 16, 2016

“En Zul, saya nak tanya tentang syariah dalam jual beli emas bla… bla… bla…”. Saya jawab sepatah, dia balas 3, 4 patah. Saya terangkan lagi, tetapi belum habis saya beri penerangan, dia sudah potong dengan cerita dan hujjah dia bla bla bla sehingga saya terpaksa beritahu, “diam dulu, biar saya habiskan penerangan saya dulu”.

Saya berikan rujukan Parameter Pelaburan Emas Majlis Fatwa Kebangsaan (23 perenggan kesemuanya) supaya dia baca terlebih dulu, lepas itu baru tanya saya dan sambung perbincangan, tetapi dia suruh saya huraikan melalui telefon on the spot! Sudah diberi betis, dia mahu paha! Saya rasa macam nak bagi “siku” sahaja!

Diberi Betis, Dia Nak Peha!

Saya beritahu dia lagi, saya tak nak sambung penjelasan saya lagi sehinggalah dia dia habis baca Parameter tersebut sebab biasanya saya dan Ustaz Khairul Anuar Basri ambil masa sekurang-kurangnya 2 jam untuk seminarkan Parameter itu sahaja, sebaliknya dia ‘tazkirahkan’ saya panjang lebar dan saya terpaksa dengar ceramah dia. Aduh, saya banyak kerja nak diuruskan daripada mendengar ‘ceramah’ dia.

Hati saya makin panas… Dia ini nak belajar atau nak mengajar?

Ringkas cerita, saya terus letakkan telefon! Kalau diteruskan pun, ia tak ada manfaat apa-apa. Pastinya akan jadi lebih tegang dan dia juga tak akan dapat ilmu itu. Lebih baik dia pergi belajar daripada orang lain, itupun kalau ada yang sanggup nak kongsikan ilmu. Tetapi dengan akhlaknya yang begitu, mana-mana guru pun rasanya tak sanggup nak mengajar. Dia perlu belajar tentang adab terlebih dahulu sebelum belajar sesuatu ilmu…

Apa yang berlaku itu, itulah krisis yang banyak berlaku. Di zaman yang serba canggih dengan gajet yang membolehkan kita mendapat informasi dengan cepat, tetapi informasi segera itu kekadang berbahaya seperti makanan segera! Ia sedap, tetapi memudaratkan kesihatan.

Pengalaman Saya Berguru

Saya nak cerita sedikit pengalaman saya berguru. Saya pernah belajar dengan seseorang guru hartanah yang berpengalaman mengendalikan beratus-ratus penyewa dalam satu masa. Guru itu, kalau di Facebook, beliau dilihat sedikit “garang”, tetapi apa yang saya kenal beliau lepas beberapa kali berjumpa dengan; beliau seorang yang sangat baik hati dan tak lokek ilmu. Kalau belajar dengan dia, tak larat nak tadah ilmu itu.

Cuma saya selalu nampak beliau menjawab secara acuh tak acuh bila orang bertanya di Facebook, bahkan beliau ‘troll’kan balik persoalan itu. Saya tahu kenapa beliau bersikap begitu, jawabnya orang bertanya itu ‘malas’ dan kurang beradab bila bertanya. Mereka tanya soalan macam tanya di Kuanter Pertanyaan! Sudahlah peluang bertanya itu percuma, orang yang bertanya itu langsung tak ada sikap merendah diri dengan guru.

Adab Dalam Berguru

Guru saya pesan, ILMU tak sama dengan PENGETAHUAN. Ia bukan lambakan fakta. Ia ibarat air yang mengalir, dan ia tak akan memanjat gunung, sebaliknya ia mengalir ke kawasan lembah. Hanya orang yang merendah diri dan beradab dalam berguru sahaja akan mendapat keberkatan ilmu itu.

Pesan Nabi s.a.w. yang direkodkan oleh at-Tabrani daripada Abu Hurairah r.a. bermaksud, “Pelajarilah ilmu, pelajarilah ketenangan dan kesopanan, dan rendahkan dirimu terhadap orang yang kamu ambil ilmunya (guru)”

Jadi nasihat saya:

Pertama, belajar adab berguru terlebih dahulu sebelum belajar sesuatu ilmu. Barulah ilmu itu ‘sampai’ dan bermanfaat kepada kita.

Kedua, bila datang belajar, tutup mulut dan buka telinga. Fokus mendengar apa yang guru nak sampaikan. Jangan bercakap kecuali untuk bertanya dan mengesahkan kefahaman sahaja, bukan kita yang banyak bercakap berbanding guru. Itu merugikan!

Ketiga dan terakhir, guru bukanlah “Kaunter Pertanyaan”. Jadi merendah dirilah dan perelokkan adab bila bertanya, barulah guru tak lokek untuk sampaikan ilmu itu, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
16 November 2016
16 Safar 1438H

[Kredit foto : fecdn-fractalenlighten]

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • hehehe tu bukan nak belajar tu en. zul, tu nak berdebat je sebab dari ayat en. zul, saya boleh agak dia seorangyang nak tunjuk pandai dan nak brainwash otak en.zul. Dia nak beritahu yang pelaburan emas ni haram, entah ilmu mana ntah dia belajar emas ni haram, kalau emas haram yang asb hukum harus je tu macam mana? malas nak hurai tepuk dada tanya selera

  • Betul, saya setuju. Walau bukan untuk berGuru pun, kita memang perlu ada adab jika ingin bertanya pada seseorang. Cuba kene dekat batang hidung sendiri, mau menyalak .. hihi

  • Sebenarnya orang tu bukan nak belajar tetapi nak tegakkan pendapat dia aje. Mesti bersemangat betul dia cakap dengan en. zul kan?. Memang ada kelemahan dalam sistem tetapi boleh diperbaiki.

    1. Harap sistem GAP public gold tidak menjadi sejarah seperti bermulanya wang kertas. Pajak gadai simpan slip, slip bersandarkan emas dipajak gadai, bayar hutang guna slip antara satu sama lain, tamak menguasai diri, cetak slip banyak-banyak sedangkan emas tidak wujud. Saya masih tak mahir dengan GAP ini, tetapi cadangan saya
    a. Emas yang disimpan hendaklah ada dan disimpan di safety box, nombor safety box dan dimana boleh diambil kalau nak ambil.
    b.Tiadanya unsur penangguhan pengambilan emas, kalau emas itu disimpan di penang. Ambik dipenang dimana disimpan safety box tersebut nombor berapa, nombor siri berapa. Dalam penulisan tuan mungkin untuk memudahkan pembeli menuntut emas mereka tetapi itu telah menjadi ketidaktentuan (gharar) namun tidaklah menjadi haram. Ini dapat mengelakkan kekeliruan emas yang dibeli nombor rujukan siri berapa dan orang itu dapat emas dia kembali. Ini semua bergantung kepada kejujuran antara penjual dan pembeli.

    Bai bithaman ajil satu sistem islam tetapi masih bermasalah. Katakan beli rumah 250,000, dalam pembinaan, bank bayar 30,000, tiba-tiba projek terbengkalai, sipeminjam terpaksa membayar nilai keseluruhan pembiayaan dan keuntungan sekali. Sekarang kita dah ada musyarakah mutanaqisah yang lebih baik dari bai bithaman ajil. Jadi ada penambahbaikkan disitu. Mungkin satu hari nanti sistem GAP boleh jadi yang patuh syariah dan yang pertama didunia.

  • itulah asam garam bila berhadapan dgn customer.sy pon pernah hadapinya.
    itu adalah ujian dan ujian itu untuk membuatkan kita lebih pandai.
    disinilah lahirnya kretiviti sendiri dan skill bagaimana hendak atasi customer2 begini.customer begini biasanya dia tidak akan membeli tetapi jika terkena caranya dialah yg paling banyak memborong

  • Ilmu saya kurang, banyak kali buat istikharah nak berkecimpung dengan GAP ni. Setelah membuat perbagai research peribadi, saya merasakan lebih baik untuk tidak berkecimpung dengannya dan meneruskan dengan usaha penyimpanan secara physical walaupun sedikit menyusahkan.

    Saya sokong dengan pendapat amd trmz.

    • GAP patuh syariah, syaratnya mesti beli dalam gandaan 1 gram atau 1/2 dinar. Public Gold sudah lantik panel syariahnya tersendiri, iaitu Dato’ Dr. Mohd Daud Bakar (Chairman Shariah Council Bank Negara Malaysia). Dijangka akan dapat certification pada Januari 2017, insyaAllah.

  • ASSALAMUALAIKUM TUAN ZUL,

    ADAB BERGURU… tajuk WAJIB saya ajar dan fahamkan betul-betul kepada pelajar saya apabila mulakan pengajaran. ini(tak beradab) sebenarnya punca utama LAHIR generasi yang nak segera dan buat2 tak tau adab atas alasan “zaman sekarang”

    semoga usaha dan prinsip yang tuan lakukan ini membantu mereka yang masih diulit mimpi “zaman moden” kembali kepada cara yang betul dalam menuntut ilmu agar hasilnya nanti akan membuahkan keberkatan.

    TAHNIAH TUAN 🙂

  • Salam En.Zul,
    Pesanan guru saya sebelum memulakan pengajaran. Amalkan sikap ‘Gelas Kosong’. Risau nanti banyak sangat sampai melimpah ruah dan bercampur aduk.. akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir.
    Perkongsian yang bagus, TQ En.Zul.

  • Sy sokong en. zul. Sebab itu kita tidak boleh mengeluarkan pengharaman sesuatu perkara itu secara membuta tuli. Sebagaimana kes sistem pinjaman bai bithaman ajil ini sebagai contoh. Memang pada mulanya GAP ada kelemahan dan kelemahan itu diperbaiki sedikit demi sedikit. Sebelum ini pun en. zul pernah nasihat tunggu dahulu pasal program GAP ini. Syabas public gold

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >