MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Berapa Harta Perlu Dimiliki Untuk Mencapai Kebebasan Kewangan?

Pencen bukan soal umur. Tapi soal kedudukan kewangan. Kalau kewangan sudah kukuh, kita boleh pencen bila-bila masa. Tak perlu tunggu umur pencen baru boleh pencen. 

Sebaliknya, kalau dah capai umur pencen sekalipun, sedangkan jumlah tabungan dan harta belum cukup, bahkan hutang masih banyak, dia tetap tak boleh pencen. 

Dia kena terus bekerja untuk teruskan hidup... 

Itulah yang kita kena faham bila bercakap soal pencen. 

Dalam istilah kewangan, itu dipanggil "financial freedom" (kebebasan kewangan); tak kerja pun ada duit.

Impian tak kerja ada duit

Semua yang bekerja pasti ada impian; suatu hari nanti tak perlu lagi bekerja, tapi ada pendapatan kukuh setiap bulan.

Bahkan pasti akan tiba satu hari nanti, kita tak lagi mampu bekerja... Mungkin disebabkan faktor usia, faktor kesihatan, bahkan mungkin musibah yang terjadi dalam hidup kita. 

Tapi selagi kita dan ahli keluarga kita masih hidup, kita perlukan pendapatan.

Jadi setiap kita kena bekerja kuat, cukupkan jumlah tabungan dan harta, supaya harta-harta kita tu dapat jana pendapatan pasif; dapat pendapatan tanpa perlu bekerja...

Wah... Alangkah nikmatnya hidup kalaulah tak bekerja pun tetap ada duit (pendapatan)... Tiap-tiap bulan hidup macam orang pencen dar kerja kerajaan... Bahkan lebih baik, insyaAllah... 

Hakikat pencen di usia pencen

Kebanyakan dari kita impikan pencen ketika usia pencen... Hidup bebas, tapi ada pendapatan tiap-tiap bulan...

Tapi hakikatnya, hanya segelintir jer yang benar-benar boleh ‘pencen’ bila dah capai umur pencen. Ramai yang kena terus bekerja (atau harapkan bantuan anak-anak) disebabkan kewangan yang belum lagi kukuh ketika umur pencen.

Yang kerja kerajaan, duit pencen bersih cuma 1/3 dari jumlah gaji akhir (termasuk elaun). Yang kerja swasta dah mula tarah duit KWSP.

Tabungan dan harta tak cukup... Bahkan hutang pun masih banyak yang belum habis bayar.  

Umur pencen pun tak boleh pencen... Kena terus cari kerja walaupun kudrat dah tak berapa ada...

Pencen bukan soal umur

Sebaliknya, siapa yang kewangan dia dah kukuh, tabungan dan harta dah cukup, jumlah hutang pun dah habis bayar, dia tak perlu tunggu umur 50-an atau 60 tahun...

Umur 30-an atau 40-an pun dah boleh pencen.

Dengan kata lain, dia boleh pencen sebelum umur pencen!... Tak bekerja pun tetap ada duit...

Jadi hakikat yang kita perlu tahu, pencen bukan tentang umur, tetapi tentang kedudukan kewangan

Kalau kita bekerja kuat dengan ilmu yang betul, sebenarnya 10 - 15 tahun dah cukup untuk pencen dengan selesa. Bila jumlah tabungan dan harta dah cukup, tak perlu harapkan skim pencen pun kita boleh pencen, insyaAllah...

Pendapatan aktif vs pasif

Persoalannya, kedudukan kewangan yang macam mana membolehkan kita pencen?

Asasnya, kita boleh pencen kalau kita ada pendapatan pasif (macam duit pencen kerajaan) melebihi kos sara hidup.

Apa contoh pendapatan pasif?

Antaranya;

  1. Sewaan rumah - yang dapat disewakan dengan sewaan berbaloi.
  2. Hasil dari tanah yang kita miliki - kebun getah, kebun kelapa, kebun sawit dsb.
  3. Dividen dari simpanan ASB atau Tabung Haji.
  4. Royalti dari penulisan buku .
  5. Keuntungan bisnes yang berjalan dengan sendiri - bisnes bersistem, dan ada team yang running bisnes - bisnes tanpa melekat di badan kita.

Ini antara contoh sumber pendapatan pasif - tak kerja pun ada duit. 

Pendapatan pasif dan kos sara hidup

Siapa yang ada pendapatan pasif RM5,000 sebulan, sedangkan kos sara hidup cuma RM4,500, maka dia dah boleh pencen (capai financial freedom). 

Pencen ni tak semestinya kena ada pendapatan besar. 

Kalau pendapatan pasif besar, kos sara hidup lagi besar (dari pendapatan pasif), dia masih belum boleh pencen.

Yang paling penting, pendapatan pasif kena cukup untuk cover kos sara hidup.

Lagi rendah kos sara hidup, lagi cepatlah dia boleh pencen... InsyaAllah...

Sebaliknya, siapa yang pendapatan besar, dan kos sara hidup dia juga besar, lagi lambatlah dia boleh pencen. 

Kalau pendapatan RM20,000 sebulan, tapi kos sara hidup dan gaya hidup mewah dia habis sampai RM20,000, di tambah lagi dengan hutang yang banyak, dia bukan sahaja lambat pencen, tapi kewangan dia dalam bahaya. 

Bukan tentang pendapatan besar 

Mereka yang gajinya cuma RM2,000 sebulan, kalau hilang pekerjaan, atau hilang upaya untuk bekerja, dia mudah untuk bangkit. 

Tapi yang bergaji RM20,000, kalau hilang pekerjaan atau apa-apa terjadi kepada dia, dia akan jatuh terduduk!... 

Dia boleh hilang segala-galanya hanya dalam masa 3 - 6 bulan hilang pekerjaan!... Semua back to ZERO!...

Dia akan mati sebelum mati... (Moga Allah lindungi kita semua)

Itulah sebab kenapa Mr David Lee, seorang penasihat kewangan pernah beritahu saya; nilai pendapatan pasif RM1,000 sebulan lebih besar berbanding gaji (pendapatan aktif) RM10,000 sebulan.

Kenapa? 

RM1,000 sebulan tu terus masuk ke poket kita walaupun tak mampu lagi bekerja. Sebaliknya pendapatan RM10,000 akan kembali kosong kalau apa-apa terjadi!

Pendapatan pasif, itu pendapatan kekal.

Manakala pendapatan aktif, itu pendapatan sementara (kita masih ada upaya untuk bekerja). 

Benchmark keuntungan pelaburan

Seterusnya, berapa jumlah harta yang dianggap cukup?  

Pertama, kita dulu berapa keuntungan yang boleh kita dapat dari pelaburan. Secara puratanya sekitar 5% setahun. Ambil ASB dan Tabung Haji sebagai benchmark.

Lepas tu kira jumlah harta bersih (jumlah harta - hutang) darab 5% (anggaran keuntungan tahunan dari pelaburan).

Contohnya, kalau ada duit dalam ASB RM1 juta, darab dividen 5% = RM50,000 setahun.

Dapatlah pendapatan pasif RM50,000 setahun = RM4,166 sebulan (RM50,000 / 12 bulan). 

Kalau nak kira berapa jumlah harta yang kena ada, kena terbaliknya formula tu. 

Jumlah harta dianggap cukup? 

Contohnya, kalau RM5,000 sebulan dah cukup untuk pencen, maksudnya kena dapat pendapatan RM60,000 setahun (RM5,000 x 12 bulan).

Kita terbalikkan formula, jumlah pendapatan tahunan RM60,000 ➗ dividen 5% = RM1.2 juta!

Siapa nak pencen dengan RM5,000 sebulan, dia kena kumpul harta sampai cukup RM1.2 juta!

Siapa nak pencen dengan RM10,000 sebulan, dia kena kumpul harta sampai cukup RM2.4 juta!

Semua harta-harta tu mestilah dalam bentuk harta produktif, iaitu harta yang boleh jana pendapatan, macam ASB, Tabung Haji, atau rumah sewa yang boleh disewakan dengan sewaan yang berbaloi.

Bukan dalam bentuk emas. 

Bukan dalam bentuk emas

Simpan emas sampai 6 - 12 bulan pendapatan (atau 1 kilogram 1 keluarga) dah memadai.

Selebihnya tukarkan kepada harta yang boleh jana cashflow (pendapatan masuk)...

Beli rumah yang boleh dapat sewaan berbaloi... Beli tanah yang mendatangkan hasil...

Atau sebahagian boleh letak dalam ASB dan Tabung Haji bagi siapa yang tak ada ilmu untuk melabur di tempat lain.

Walaupun saya secara peribadi tak prefer ASB dan Tabung Haji untuk jangka panjang. Tapi ia jauh lebih baik dari letak duit dalam pelaburan yang kita tak tahu hujung pangkalnya...

Syukur alhamdulillah... Dengan limpah kurniaan Tuhan, saya dapat pencen pada usia 33 tahun (tahun 2013), iaitu lepas 11 tahun kerja keras bina kekayaan.

Sejak 2013 sampai sekarang, saya tak lagi bekerja, dan tak lagi terima duit gaji.

Berjaya pencen pada umur 30-an

Saya hidup hasil daripada harta-harta yang saya miliki, khususnya dari hartanah dan bisnes.

Selama 11 tahun tu, inilah yang saya buat;

  1. Bermula cari ilmu, dan sentiasa tambah ilmu-ilmu tentang kewangan, bisnes, dan pelaburan. Baca buku, dan datang seminar.
  2. Dari seminar dan kelas-kelas yang saya hadir, saya ambil peluang berkawan dengan mereka yang ada misi yang sama, dan yang dah capai apa yang sana nak capai. Join circle yang betul.
  3. Fokus tambah tabungan setiap bulan, khususnya setiap kali dapat gaji atau hasil bisnes.
  4. Buat side-income di luar waktu kerja untuk tingkatkan pendapatan supaya dapat tambah tabungan. Nak harap kenaikan gaji, lambat. Kenaikan gaji tak seberapa. Cara paling cepat, buat side income. Hasil bisnes, saya laburkan semula untuk kembangkan bisnes dan tambah tabungan. Saya tak sentuh hasil bisnes untuk belanja bulanan. Nak hidup bulan-bulan, saya pakai duit gaji dan hidup seadanya sahaja dulu.
  5. Berpada-pada dengan hutang. Hidup biasa-biasa, tapi hutang sangat minimum, bahkan saya bebaskan dari hutang sejak umur saya 27 tahun lagi. Alhamdulillah. Bila hutang tak banyak, kita dapat menabung lebih banyak setiap bulan. InsyaAllah.
  6. Serius membina bisnes network marketing, yang memberikan ownership, dan jaminan pendapatan yang boleh diwarisi. Bisnes-bisnes ini memberikan saya pendapatan residual dan pasif. Saya bermula dengan Amway, dan saya bina kejayaan besar bersama Public Gold. Alhamdulillah...
  7. Mula melabur dalam hartanah bila tabungan dah lebih 12 bulan gaji (dan khatam sekurang-kurangnya 10 buah buku pasal pelaburan hartanah (rumah sewa)), dan dah dapat pendapatan pasif kukuh dari bisnes. Melabur guna duit lebihan, bukan duit tabungan.

Kembangkan dengan hartanah

Selepas bisnes, cara tercepat untuk kembangkan kekayaan ialah melabur dalam hartanah. Itulah yang orang kaya-kaya di dunia buat.

Lepas bisnes mereka dah established (berkembang maju), dan berjaya buat duit banyak dalam bisnes, orang kaya-kaya di dunia park (simpan) duit mereka dalam hartanah. 

Kelebihan hartanah, kita boleh kembangkan kekayaan guna duit orang lain - duit bank. 

Kita boleh labur gunakan pinjaman (pembiayaan) bank.

Bahkan hartanah adalah satu-satu pelaburan yang sesuai gunakan duit pinjaman - menurut pakar kewangan Tuan Azizi Ali. Katanya, tidak ada mana-mana pakar kewangan sarankan melabur menggunakan duit pinjaman, kecuali hartanah. 

Nak beli rumah, kita cuma perlukan modal sekitar 10% - 15% sahaja. Kalau ada ilmu dan network pelabur hartanah, modalnya lebih kecil.

Saya pernah beli sebuah hartanah bernilai RM700,000 dengan modal tak sampai pun RM20,000!

Itulah kelebihan hartanah.

Peluang besar, risiko juga besar

Nak kembangkan harta sampai RM1 juta pertama, kembangkanlah dengan hartanah.

Yang paling penting, mulakan dengan ilmu. Pastikan khatam sekurang-kurangnya 10 buah buku pelaburan hartanah sebelum beli hartanah yang pertama.

Walaupun peluang besar kembangkan kekayaan dengan cepat, hartanah juga peluang besar untuk terbuat kesilapan yang besar dalam kewangan.

Kalau tersalah beli rumah, kita akan tanggung hutang yang besar dalam tempoh yang sangat panjang! 

Ada yang jumpa saya, dia tanggung hutang rumah sampai RM5,000 sebulan untuk beberapa hartanah yang dia beli, tapi jumlah sewaan sangat tak berbaloi.

Nasihat saya kepada dia cuma satu, lepaskan rumah tu cepat-cepat.

Itu bukan harta, tapi beban...

Kalau tak beli hartanah-hartanah tu, dia dapat tambah tabungan RM5,000 sebulan, atau RM60,000 setahun! Boleh menabung lebih 100 gram emas setiap tahun!...

Bermula dengan ingat matlamat akhir

Bagi yang baru nak nak bermula, saya sarankan, bermula dengan letak impian dan matlamat.

Kalau nak pencen dengan RM5,000 sebulan, letak target cukupkan harta RM1.2 juta dalam masa 10 tahun. 

Walaupun jalan masih kabur, tapi letak dulu target - nak capai RM1.2 juta pertama.

Pada tahun 2005, walaupun pendapatan saya masih di bawah paras kemiskinan, hutang pun masih banyak, saya dah letakkan target nak ada harta RM1.2 juta dalam masa 10 tahun.

Lepas dah baca beberapa buku kewangan, saya tulis matlamat tu dan saya tampal matlamat tu di workstation pejabat, dan dalam bilik tidur saya. Hari-hari saya tengok matlamat tu...

Dalam tak sedar, target tu masuk dalam sub-concious mind (mind separa sedar) saya. Fikiran dan tindakan saya secara tak sedar sentiasa bekerja nak capai RM1.2 juta pertama.

Apa sahaja yang menghalang, saya tolak ke tepi...

Pernah saya tolak tawaran kerja baru dengan gaji yang lebih besar, sebab kerja baru tu bakal mengganggu dan melambatkan saya capai matlamat saya.

Mulakan dengan menabung 

Bila matlamat dah jelas, seterusnya mulakan dengan menabung sebahagian daripada gaji setiap bulan. 

Saya mulakan tabungan pertama cuma RM20 sebulan, buat potongan gaji masuk ke Tabung Haji.

Menabung bukan tentang berapa jumlahnya. Tapi tentang membentuk TABIAT mengumpul harta.

Apa yang kita belanjakan, itu membuatkan orang lain lebih kaya. Sebaliknya apa yang kita tabungkan, itulah yang membuatkan kita bertambah kaya. Selagi tak dapat disiplinkan diri menabung setiap bulan, selagi itulah tak akan kaya! 

Jauh sekali nak mencapai financial freedom (kebebasan kewangan)...

Walaupun menabung daripada duit gaji sebenarnya tidak cukup, tapi itu perkara paling asas yang kena selesaikan dulu.

Bila dah dapat disiplinkan diri menabung setiap bulan, barulah cari jalan nak kembangkan lagi tabungan tersebut dengan lebih cepat.

Iaitu melalui bisnes dulu. Selebihnya barulah dalam pelaburan.

Allahu a'lam...

Zulkifli
Jakarta Pusat
30 Mei 2018
15 Ramadhan 1439H

“Siapa ada ilmu kewangan, kerja keras selama 10 - 15 tahun dah cukup untuk pencen selesa. Tak perlu tunggu umur pencen, dan tak perlu ambil skim pencen pun. Pencen bukan soal umur, tapi kedudukan kewangan. Bila harta dah cukup, boleh pencen bila-bila masa.” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 31 Januari 2024

“Siapa berjaya kumpul harta RM1 juta pertama, dia pasti dapat bina RM1 juta kedua dengan mudah. Kekayaan bukan lagi pada duitnya, tapi sudah ada DALAM DIRINYA.

Usaha membina kekayaan sebenarnya bukan sekadar membina poket, tapi yang lebih penting ialah membina jati diri; memperbetulkan cara berfikir, tambah ilmu, tingkatkan kemahiran, membentuk disiplin dan tabiat yang betul, dan juga dapatkan pengalaman berharga. Itulah sebenarnya yang membuatkan dia kaya.” 
- Mohd Zulkifli Shafie

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Assalamualaikum Encik Zulkifli ,

    Benar.
    Menyimpan akan membuatkan kita kaya pada masa akan datang , tidak meminta2.

  • Bagi saya berapa harta yang perlu ada tu titik tolaknya kita kena rasa qanaah.

    Ini saya petik sikit tulisan HAMKA.

    Qanaah itu mengandung lima perkara:

    a) Menerima dengan rela akan apa yang ada.
    b) Memohonkan kepada Tuhan tambahan yang pantas, dan berusaha
    c) Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan.
    d) Bertawakal kepada Tuhan.
    e) Tidak tertarik oleh tipu daya dunia.

    Rasulullah saw bersabda:

    “Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta,, kekayaan ialah kekayaan jiwa”.

    Ertinya: Diri yang kenyang dengan apa yang ada, tidak terlalu haloba dan cemburu, bukan orang yang meminta lebih terus terusan. Kerana kalau masih meminta tambah, tandanya masih miskin.

    Rasulullah saw bersabda juga:

    “Qanaah itu adalah harta yang tak akan hilang dan pura (simpanan) yang tidak akan lenyap”. (HR. Thabarai dari Jabir).

    Orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain.

    Barangsiapa yang telah beroleh rezeki, dan telah dapat yang akan dimakan sesuap pagi sesuap petang, hendaklah tenangkan hati, jangan merasa ragu dan sepi. Tuan tidak dilarang bekerja mencari penghasilan, tidak disuruh berpangku tangan dan malas lantaran harta telah ada, kerana yang demikian bukan qanaah, yang demikian adalah kemalasan. Bekerjalah, kerana manusia diutus ke dunia buat bekerja, tetapi tenangkan hati, yakinlah bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan menang. Jadi tuan bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi, tetapi bekerja lantaran orang hidup tak boleh menganggur.

    Dalam masa yang sama perlu pastikan ketirisan/leakages dalam ekonomi keluarga tu minimum atau tiada langsung.

  • Simpanan ASB ,RM1.2 juta memang cara yg pelaburan yg mudah. Tapi perlu diingatkan inflasi yang akan mengurangkan nilai Wang setiap tahun. Jadi perlu tingkatkan pelaburan atau dapatkan kadar keuntungan yg lebih tinggi.

    • Tak perlu pening kepala fikir pasal inflasi. Siapa berjaya kumpul RM1 juta pertama, dia pasti dapat bina RM1 juga kedua dengan mudah sebab kekayaan itu bukan lagi pada duitnya, tetapi kekayaan tu sudah ada DALAM DIRINYA sendiri.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >