MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Aktiviti Marhaban di Bulan Syawal

October 14, 2008

marhaban apartment indah rumah lapang 2009

Budaya Marhaban di Muar, Johor

Setiap kali marhaban, saya terkenangkan budaya masyarakat Johor. Zaman kanak-kanak dulu, kami sekeluarga pasti pulang ke rumah nenek di Kg. Sungai Pulai, Muar, Johor. Saya sempat sekali ikuti aktiviti marhaban. Semua rumah satu kampung akan diziarahi. Itulah kali terakhir kami beraya di Johor, kerana tahun berikutnya, nenek dan Allahuyarham datuk berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut anak-anak.

Aktiviti Marhaban di Apartment Indah

Setelah meninggalkan Johor, saya tak berpeluang lagi ikuti marhaban hinggalah saya berpindah ke Apartment Indah, Damansara Damai. Alhamdulillah, dah menjadi aktiviti rutin penduduk di apartment ini bermarhaban setiap kali menjelang Syawal. Setiap malam, dua buah rumah akan diziarahi sebaik sahaja selesai solat isya’ berjemaah di surau kami. Lepas berselawat dan berdoa, tuan rumah akan menjamu para tetamu dengan hidangan seadanya. Ikut pada kemampuan masing-masing.

Marhaban Untuk Berziarah

Aktiviti marhaban ini sedikit sebanyak mengukuhkan silaturrahim sesama penduduk. Kalau tak kerana marhaban, memang penduduk tak berziarah sesama sendiri. Sekadar bertegur sapa ketika berselisih di waktu keluar atau pulang dari kerja. Ataupun berjumpa ketika berjemaah Magrib ataupun Isya’. Itupun kalau ada bilal yang melaungkan azan di surau kami.

Ramadhan dan Syawal adalah bulan merecharge persaudaraan bagi penduduk di sini. Ramadhan dengan terawih dan morehnya yang tak pernah terputus, dan Syawal dengan aktiviti marhaban dan jamuan Idul Fitri anjuran penduduk apartment.

Hari ini, malam kedua aktiviti marhaban tahun ini. Malam ini, giliran rumah saya dan En. Aziz, pengerusi surau kami. Aktiviti ini dijadualkan berterusan selama dua minggu, insyaAllah.

Wallahu a’lam. Sekadar berkongsi keseronoknya hidup bermasyarakat…

Zulkifli
Damansara Damai

14 Oktober 2008, 11.01 mlm

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >