Apabila Benih ‘Malaikat’ Disuburkan

by on December 19, 2008

Alhamdulillah, malam tadi sempat ke Forum Perdana bertajuk “Islam Penyelesai Masalah Masyarakat” di padang Council Homes, Apartment Sri Cempaka, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi. Ahli panelnya ialah:

  1. YB Dr. Shafie Abu Bakar, ADUN Bangi
  2. YB Ustaz Taib Azamudden Md. Taib, Ahli Parlimen Baling dan Mantan Imam Besar Masjid Negara
  3. Ustaz Syuib Sulaiman, Pakar Motivasi Global Ikhwan

Saya ke sana bersama 3 sahabat (Anuar, Azfar, dan Aslah) sempena Halaqah Pemuda kami kali ke-7. Program bermula jam 9.30 malam, tamat 11.30 malam. Ia turut diserikan dengan persembahan nasyid remaja, dan sajak yang cukup terkesan.

Beberapa mutiara yang sempat saya kutip daripada forum tersebut saya kongsikan di sini:

Masalah Yang Bukan Masalah

Apabila disebut masalah masyarakat, ia adalah berpunca daripada manusia sendiri. Masalah sebenar manusia hanya satu ialah masalah dengan Tuhan. Masalah lain, bukanlah sebenar-benar masalah. Kerana masalah yang Tuhan beri adalah ujian supaya kita menjadi lebih baik, dan sebagai jalan membentuk diri menjadi orang bertaqwa.

Benih Malaikat, Haiwan dan Syaitan

Dalam diri manusia ada 3 benih iaitu benih malaikat, haiwan dan syaitan. Jika benih ‘malaikat’ disuburkan dalam diri setiap individu dalam masyarakat, maka masyarakat itu akan hidup aman dan damai.

Jika benih haiwan, dan syaitan disuburkan, maka porak-perandalah hidup manusia samada peringkat individu, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Kalau ibu dan bapa adalah ‘malaikat’, insyaAllah ahli keluarga itu akan ikut jadi malaikat. Kalau benih haiwan ataupun syaitan disuburkan, porak-perandalah keluarga. Damai yang dicari tak akan kunjung tiba.

Begitu jugalah dengan negara. Kalau PM, MB, ahli parlimen, Ketua-ketua Jabatan itu malaikat, insyaAllah negara kita aman dan damai. Masyarakatnya akan hidup bahagia, dan saling menghormati dan berkasih sayang. Kalau sebaliknya, tengoklah apa yang berlaku hari ini…

Bangunkan Masyarakat dengan Taqwa

Untuk selesaikan masalah masyarakat, tak boleh tidak melainkan dengan cara menyuburkan benih ‘malaikat’ dalam diri. Itulah dia taqwa. Supaya manusia tunduk dan surrender kepada Sang Pencipta.

Dalam Quran, Allah S.W.T menjanjikan sekurang-kurangnya 15 kelebihan dan bantuan untuk orang bertaqwa. Antaranya, diangkat daripada bala dan bencana, urusan dipermudahkan, diberi rezeki dari jalan yang tak disangka-sangka dan macam-macam lagi.

Menyemai Benih Taqwa

Saya tertarik dengan kaedah yang dikongsikan oleh Ustaz Syuib Sulaiman tentang kejayaan syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd. Sebuah syarikat yang dibangunkan tanpa bermodalkan pinjam dan bantuan daripada kerajaan ataupun bank walaupun satu sen.

Menurut beliau, perkerja-pekerja syarikat diwajibkan 5 perkara iaitu:

  1. Bangun malam (Qiamullai) – kerana ia sumber mengundang bantuan Allah.
  2. Menebus dosa dengan banyak berbuat kebaikan dan kebajikan.
  3. Tidak meninggalkan sedekah setiap hari walaupun sedikit.
  4. Sentiasa berkasih sayang – kerana ia juga sumber mengundang bantuan daripada Allah.
  5. Menghabiskan wirid harian tertentu – supaya tak terputus hubungan dengan Tuhan.

Apabila Bertaqwa kepada Allah

Semua tips di atas adalah jalan membentuk taqwa dan taqwa itulah jalan mengundang bantuan daripada Allah S.W.T.

Menurut beliau, pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, masyhur dengan tak ada orang yang layak menerima zakat. Sebenarnya, bukan tak layak, tapi RASA tak layak. Sebab dia rasa serba cukup dengan apa yang ada.

Orang bertaqwa, Tuhan bagi sikit, tapi dia RASA banyak. Hati mereka senang dan terasa lapang. Rasa-rasa itu timbul hasil daripada taqwa. Tapi kalau orang yang jauh dengan Tuhan, yang banyak pun teRASA sikit. Sebab itulah dia lokek untuk bersedekah. ‘Dunia’ yang dia cari tak pernah terRASA puas. Itulah balanya jika tak bertaqwa.

Koreksi Diri

Alhamdulillah, forum malam tadi sangat bermanfaat. Walaupun tiba di Damansara Damai sekitar 12.40 malam, tapi saya rasa berbaloi. Mudah-mudahan mutiara yang saya kutip malam tadi sedikit sebanyak dapat meningkatkan ketaqwaan diri dan ahli keluarga, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Heights
19 Disember 2008

(Diolah daripada catatan asal bertarikh 18 Disember 2008)

{ 1 comment… read it below or add one }

1 Tolhah December 23, 2008 at 9:05 am

Hmm..menarik, panel PAS dan ex-arqam (Global Ikhwan) berganding bahu…setahu ana pengalaman bersama sahabat-sahabat Rufaqa dulu, diaorg pun tak menyokong PAS atas beberapa alasan….alhamdulillah, mudah-mudahan Global Ikhwan kali ini bersama-sama Pakatan Rakyat dalam menjatuhkan kerajaan zalim BN.

N12 Pengkalan Pasir

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: