MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Solat dan Puasa: Yang Mana Dulu?

September 19, 2008

Solat dan Puasa

Orang yang berpuasa tak semestinya bersolat, tetapi orang yang jaga solatnya, insyaAllah dia akan jaga puasanya 

Melatih Anak Kecil Berpuasa

Semasa mesyuarat AJK PASTI An-Nur yang lalu, timbul persoalan samaada perlu disediakan makanan ataupun tidak untuk pelajar PASTI sepanjang Ramadhan kerana sebahagian pelajar 5 dan 6 tahun berpuasa. Alhamdulillah, sangat bagus inisiatif ibubapa yang melatih anak-anak mereka berpuasa. Tapi, rasa kesian kepada anak-anak kecil yang berpuasa tengok rakan-rakan mereka menjamah makanan.

Saya teringatkan nasihat Ustaz Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz ketika ceramahnya di syarikat saya beberapa tahun lalu katanya:

“Ramai ibubapa betul-betul ambil berat melatih anak-anak berpuasa sedangkan kurang kesungguhan melatih anak-anak mereka bersolat. Orang yang berpuasa tak semestinya bersolat, tetapi orang yang jaga solatnya, insyaAllah dia akan jaga puasanya”

Antara Solat dan Puasa

Memang benar nasihat Ustaz. Kita boleh tengok, ramai yang berpuasa tapi tak solat. Sedangkan kita hampir tak jumpa orang yang menjaga solatnya, tapi tak berpuasa. Itulah betapa penting solat ditekankan kepada diri kita mahupun dalam mendidik anak-anak.

Semasa belajar di Kolej Islam Klang (Kolej Islam Sultan Alam Shah) dulu, rakan sebilik saya, seorang yang datang dari keluarga Jemaah Tabligh pernah juga berkongsi isu ini. Katanya, ayahnya cuma tekankan solat saja. Benar-benar menjaga solat dan sentiasa pastikan adik-beradiknya berjemaah di masjid. Katanya lagi, kalau solat kita ‘selesai’, insyaAllah yang lain semuanya akan ‘selesai’ dan ‘mudah’.

Apabila Runtuhnya Tiang Seri Agama

Dulu saya agak ragu-ragu dengan nasihat beliau. Rasanya seperti tak ‘lengkap’. Ada lagi yang perlu ditambah rasanya. Tapi bila direnungkan balik, ada benarnya nasihat beliau. Allah S.W.T ada nyatakan bahawa solat (yang didirikan dengan maksud sebenar) boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar [Al-Ankabuut 29: 45].

Nabi S.A.W pun pernah berpesan bahawa Solat adalah tiang seri agama. Runtuhnya tiang seri ini, maka runtuhlah segala-galanya. Jadi memang tak pelik, orang yang hadir ke majlis-majlis berbuka puasa, tapi mereka seronok berbuka sampai terlepas waktu maghrib!

Setelah berbincang, akhirnya mesyuarat menetapkan untuk meraikan semua ibubapa. Makanan tetap akan disediakan, tetapi pelajar yang berpuasa dan tak berpuasa akan diasingkan ketika waktu makan. Dan bajet makanan kami pada bulan Ramadhan juga dikurangkan.

Sekadar berkongsi. Wallahu ‘alam.

Zulkifli
Damansara Damai 

20 September 2008, 7.30 pagi

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>