Baru Sedar, Betapa Mewahnya Aku…

by on January 25, 2010

Pn. Syafiqah dan empat anak yang belum kenal erti kehidupan.

Malam tadi, saya (selaku Exco Kebajikan), Abg Suhaimi (Setiausaha) dan Azizul (Exco Keselamatan & Kecerian) mewakili AJK Masjid Damansara Damai pergi ziarah salah satu keluarga yang dapat bantuan masjid – Pn. Syafiqah. Kami berjumpa dengan Pn. Syafiqah di rumah Pak Mat, salah seorang AJK Masjid.
Malam tadi benar-benar menginsafkan saya. Baru saya sedar betapa banyaknya nikmat yang Tuhan beri pada kami sekeluarga berbanding Pn. Syafiqah dan anak-anak. Melihat pada Pn. Syafiqah dan 4 anaknya yang sebaya dengan anak-anak kami, saya membayangkan isteri dan 4 anak kami yang hidup tanpa saya.
Isteri dan 4 Anak Kecil Tanpa Bapa
Pn. Syafiqah, dialah ibu, dan dia jugalah ayah. Tempuhi hidup bersama anak-anak tanpa pembelaan daripada suami (tak bertanggungjawab). Anak sulung darjah 1, anak ke-4 berumur 3 bulan. Berasal dari Sawarak, dan memeluk Islam lebih kurang 8 tahun yang lalu. Menyewa bilik ‘stor’ sebuah apartment yang sempit untuk berteduh bersama 4 anak-anak yang belum kenal erti kehidupan.
Bekerja di Petronas Damansara Damai sebagai cashier dengan gaji asas RM700 (bulan lepas dipotong gaji RM300 sebab duit ‘short’ – mungkin ada tangan hantu yang kebas duit sewaktu dia berehat).
Anak Kecil Tinggal Sendirian
Kerja 11 jam sehari, dari 7 pagi hingga 6 petang. Sepanjang waktu kerja, anak ke-4 berumur 3 bulan ditinggalkan kepada isteri Pak Mat (salah seorang AJK masjid) tanpa apa-apa bayaran – tak mampu. Tiga lagi anaknya tinggal sendirian di rumah! Pandai-pandailah nak hidup…
Oh… ini yang membuatkan dada saya terasa sebak. Saya membayangkan Aisyah, Amal, dan Anis tinggal 3 beradik di rumah tanpa kami selama 11 jam! Pandai-pandai lah nak makan minum sepanjang ibu bekerja. Padahal kami nak tinggal mereka bertiga setengah jam pun kami rasa risau. Apatah lagi ditinggalkan 11 jam…

Abang Suhaimi mengetuai rombongan masjid.
Lepas ziarah Pn. Syafiqah, saya terus balik ke rumah sebab lepas tu nak bawa anak-anak ke Tesco. Fikiran saya masih meletakkan diri saya di posisi Pn. Syafiqah.
Baru Tersedar, Betapa Mewahnya Aku…
Melangkah masuk di pintu rumah, saya rasa macam melangkah masuk ke sebuah condo mewah! Lepas anak-anak bersiap, terus dukung Anis masuk ke kereta Nissan Sunny tahun 1994 kami. Oh, terasa seperti masuk dalam Mercedes Benz C200 Kompressor!
Sampai di Tesco, kami membeli belah. Si Anis aktif berlari ke sana ke mari dengan riang ria tanpa berkasut. Oh, beruntungnya anak-anak aku. Dapat juga mereka rasa nikmat bershopping. Seperti bershopping di oversea rasanya!
Hikmah Berziarah Orang Susah
Mungkin sebab itulah Nabi suruh kita sentiasa ziarah orang miskin, orang sakit dan orang mati. Terlalu banyak hikmah disebaliknya. Nikmat Tuhan yang dulunya dianggap kecil, barulah terasa ianya terlalu besar dan berharga. Barulah timbulnya rasa syukur pada Tuhan yang melimpahkan nikmat.
Lepas ziarah, terus hilang rasa rendah diri saya dengan rakan-rakan yang statusnya lebih tinggi dari saya. Mereka berumah teres, saya cuma berumah apartment sederhana. Mereka berkereta baru dan ada status, saya cuma kereta buruk! Perasaan itu terus hilang…
Yang timbul hanya rasa syukur, syukur, dan syukur padaMu wahai Tuhan yang melimpahkan nikmat pada kami sekeluarga. Puji-pujian bagiMu wahai Tuhan…
Zulkifli
Damansara Damai
25 Januari 2010
P/s- Mana-mana sahabat yang nak hulurkan sumbangan ataupun zakat kepada Pn. Syafiqah, boleh hubungi saya. InsyaAllah kami tolong sampaikan. Moga Allah menggandakan nikmatNya atas sumbangan tersebut, amiin..

{ 6 comments… read them below or add one }

1 aspirez February 9, 2010 at 4:34 am

Tahniah, pemerhatian yang baik dan perkongsian yang menarik. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan.

Reply

2 Mohd Zulkifli February 9, 2010 at 8:40 am

Alhamdulillah.. mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah..

Reply

3 mat indera December 10, 2011 at 1:43 pm

salam saudara zul,saya nak bertanya adakah pn syafiqah masih berkerja di petronas damansara damai lg,jika masih berkerja ada pihak yg ingin sedekah pakaian terpakai buat mereka sekian terima kasih

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie December 13, 2011 at 11:29 pm

Wslm Mat Indera,

Saya tak pasti Pn. Syafiqah masih di Damansara Damai ke tak sebab hari tu kami contact dia tak dapat. Kami pun ada juga nak bagi bantuan pada dia.

Reply

5 hasanjr August 2, 2014 at 7:42 pm

Setelah hampir lima tahun, apa agaknya perkembangan keluarga puan syafiqh ni ye tuan zul..semoga mereka mendapat rahmat Allah selalu.

Reply

6 Mohd Zulkifli Shafie August 2, 2014 at 9:08 pm

Saya pun tak tahu apa perkembangan beliau sekarang. Setahun lepas tu memang kami dah tak dapat contact beliau.

Reply

Leave a Comment

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: