"Simpan emas tu jangan lupa bayar zakat!"
Itulah yang komen yang selalu saya dapat bila sarankan orang simpan emas.
Saya nak share sedikit; pengalaman saya membimbing lebih 5,000 penyimpan emas sejak 2010, saya boleh katakan penyimpan emas lebih cakna tentang zakat berbanding mereka yang tak simpan emas.
Orang simpan emas, baru beli 1 dinar (4.25 gram) emas pun sudah sibuk fikir dan tanya tentang zakat. Walhal, 85 gram (bersamaan 20 dinar) barulah diwajibkan zakat.
More...
Bukan Hanya Emas
Sedangkan orang simpan duit dalam akaun bank, kita boleh katakan lebih banyak yang lupa bayar zakat walaupun duit simpanan di bank pun sebenarnya kena zakat sama macam zakat emas juga.
Sepatutnya orang yang tak simpan emas pun kena selalu diingatkan, "simpan duit dalam bank tu jangan lupa bayar zakat!".
Tak gitu?
Ada juga sebahagian orang teragak-agak untuk beli emas sebab takut kena zakat.
Lagi satu tip penting saya nak share; zakat hanya dikenakan kepada orang kaya. Orang miskin tak dikenakan zakat.
Siapa takut bayar zakat, dia susah jadi kaya.
Dilapangkan Rezeki
Siapa pasang cita-cita nak bayar lebih banyak zakat, insyaAllah Tuhan akan lorongkan lebih banyak jalan kekayaan.
Pernah beberapa orang penyimpan emas share kepada saya, alang-alang beli emas, biarlah jumlah emas yang disimpan itu cukup untuk mewajibkan dia bayar zakat.
Dia sungguh senang hati untuk membayar zakat.
Dan memang benar, saya lihat, penyimpan emas tersebut tidak ada masalah kewangan walaupun saya kira pendapatannya tidaklah besar. Kehidupannya serba serbi cukup. Alhamdulillah.
Saya percaya, Tuhan berikannya keberkataan atas kesungguhannya mahu membayar zakat.
Ganjaran 700 Kali Ganda
Ingat, setiap bahagian harta yang kita keluarkan kerana Tuhan, Tuhan pastikan gantikannya sekurang-kurangnya 10 kali ganda daripada apa yang kita keluarkan. Bahkan hingga 700 kali ganda!
“Bandingan (sedekah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Baqarah, 2 : 261)
Itu janji Tuhan kepada kita.
Siapa lagi yang lebih menepati janji selain Tuhan, yang Dialah pemilik segala kekayaan di langit dan di bumi?
Allahu a'lam.
Zulkifli
Cyberjaya
5 Oktober 2018
24 Muharram 1440H
- Panduan Pengiraan Zakat Emas - PPZ MAIWP
- Panduan Pengiraan Zakat Wang Simpanan - PPZ MAIWP