MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Genggam Dunia, Kejarlah Akhirat

December 31, 2021

Kaya segan, miskin tak mahu... 

Itulah halangan yang ada dalam masyarakat Muslim di Malaysia bila bercakap tentang kekayaan.

Bila cakap tentang kekayaan, fikirnya ini semua ‘dunia’... Nanti lambat masuk Syurga!

Bila boss tak bagi bonus, marah! Boss menindas katanya...

Bila tak dapat kenaikan gaji yang bagus dari majikan, habis diumpatnya majikan! Orang atas dapat banyak, orang bawah dapat sikit katanya...

“Eh, bukan ke kalau kaya nanti lambat masuk Syurga?”

“Dapat gaji dan bonus sikit-sikit sudah la... Buat apa nak banyak-banyak kan?”

Itulah konflik dalam masyarakat kita...

More...

Jadi Hebat Kalau Nak Ke Syurga

Bila kita baca Quran dan Hadis, terlalu banyak seruan Allah dan Rasul supaya kita buat persiapan rapi, bina kekuatan diri, dan gunakan segala kekuatan dan kelebihan yang kita ada untuk mengejar keampunan dan Syurga!

Tuhan tak suruh kita bersikap lemah. Nabi tak pernah suruh kita jadi miskin...

Bahkan Tuhan suka orang mukmin yang kuat berbanding yang lemah.

Kuat fizikalnya, tinggi ilmunya, kukuh ekonominya... Itu semua apa yang Allah dan Rasul suka...

Nak masuk Syurga, kena jadi orang yang hebat. Di dunia lagi kena hebat.

Kekayaan Bukan Kemuliaan, Tapi Ujian

Sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang dijamin Syurga, semuanya hebat-hebat belaka. Majoriti mereka adalah orang kaya. Dan amalan mereka luar biasa!

Dan mereka faham, kekayaan itu bukanlah kemulian. Tapi itu adalah ujian. Ujian supaya bersyukur, dan memperbanyakkan lagi amalan mereka... 

Mereka kejar Akhirat, dan mereka tak lupa bahagian mereka di Dunia...

Semua kebaikan dan perhiasan dunia, Tuhan jadikan untuk kita nikmatinya (supaya kita bersyukur atas nikmatNya). Tapi bahagian di Akhirat, ia khusus untuk orang mukmin sahaja.

Apa yang kita perlu jelas, kaya lain, mewah pula lain.

Kaya Lain, Mewah Pula Lain

Orang kaya tak semestinya hidup mewah. Yang nampak mewah, belum tentu kaya... Kaya dan mewah itu tak sama...

Banyak orang kaya (sebenar) yang saya jumpa, hidupnya biasa-biasa sahaja. Tapi amalannya luar biasa...

Orang yang kata “kaya itu tak penting” tapi hakikatnya dialah yang tergila-gila nak memiliki itu dan ini, berbelanja sehabis mampu… Sampai simpanan pun tak ada!

Tapi banyak orang kaya yang saya kenal, mereka pilih hidup biasa-biasa sahaja walaupun dia boleh memiliki segalanya…

Malangnya, media sering sinonimkan kekayaan dengan perkara yang negatif.

Sedangkan kalau nak kaya, kita kena buat banyak kebaikan, dan berikan manfaat kepada lebih banyak manusia…

Nak Kaya, Kena Buat Banyak Kebaikan

Barulah kekayaan akan mengalir terus menerus kepada kita.

Nak kaya dengan bekerja makan gaji, jadilah pekerja yang rajin dan cemerlang. Berikan yang terbaik. Bos tak akan lokek untuk bayar gaji dan bonus lebih tinggi...

Nak kaya melalui bisnes, sediakan produk dan servis terbaik yang memudahkan hidup orang lain. Orang dengan senang hati menyerahkan duit mereka kepada kita...

Kekayaan itu sebenarnya penuh dengan kebaikan dan kemuliaan. Bukan keburukkan...

Kalau kaya itu memang sesuatu yang patut dihindari dan dijauhi, sudah tentunya para sahabat semuanya miskin dan papa kedana!

Miskin Lebih Cepat Masuk Syurga?

Nabi s.a.w dan para sahabat miskin?

Ya, betul. Tapi ia hanyalah ketika tahun awal-awal hijrah sahaja. Bukan sepanjang hidup mereka.

Masuk sahaja tahun ke-6 hijrah, mereka sudah keluar fasa kesempitan hidup.

Mereka mula nikmati limpahan harta, sehingga ada hadis yang Nabi s.a.w menyatakan kebimbingan harta-harta itu jangan sampai melalaikan mereka.

Mana mungkin Nabi s.a.w berpesan begitu kalau saat itu para sahabat sedang dalam kesempitan dan kebuluran...



Bahkan tak pernah ada tegahan dari Nabi s.a.w. daripada terus mencari harta...

Carilah harta dengan cara yang betul, dan belanjakannya dengan cara yang betul...

Lagi banyak harta yang kita cari dan belanjakan dengan cara yang betul, lebih banyak kemuliaan yang akan Tuhan berikan kepada kita... Dunia dan Akhirat, insyaAllah.

Sejarah Kegemilangan Umat Islam

Lihatlah sejarah bangkitnya tamadun Islam.

Bermula dari masyarakat kecil di Madinah, mana mungkin kerajaan Islam dapat mentadbir hampir 1/3 dunia (ketika zaman kegemilangan) kalau umat Islam memang diajar supaya hidup miskin, lemah dan papa kedana (untuk masuk Syurga?)...

Iman memang kena sentiasa diperkukuhkan. Dan dunia juga perlu kita genggam! Genggam dunia untuk untuk mendapat Akhirat...

Kerana dunia adalah ladang untuk kita menuai hasilnya di Akhirat...

“Dan carilah (pahala) negeri Akhirat dengan apa yang Allah telah anugerahkan kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia. Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas 28 : 77)

Zulkifli
Cyberjaya, Malaysia
30 Disember 2021
25 Jamadil Awwal 1443H

“Duit memang tak boleh bawa masuk kubur. Tapi macam mana kita mencari duit, mengurus dan membelanjakannya itu memberikan kesan besar di alam kubur. Carilah dengan cara halal, dan berbelanjalah untuk kebaikan. Itu akan dapat membantu kita.” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 4 November 2023

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>