MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Beli Satu Kereta, Terlepas Harta RM200,000!

December 18, 2022

“Sebaik sahaja beli satu kereta, kita hilang kemampuan menyimpan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan” 

Itu perkara pertama yang setiap kita kena ingat sebelum buat keputusan beli kereta baharu. 

Orang biasa hanya nampak RM1,000 sebulan hanya pada “RM1,000”. Tapi orang yang celik kewangan, mereka nampak lebih jauh daripada itu.

More...

Terlepas Hartanah Bernilai RM200,000

RM1,000 sebulan maksudnya RM12,000 setahun. Dan RM60,000 untuk 5 tahun.

Kalau hilang cashflow RM1,000 sebulan, maksudnya kita terlepas peluang memiliki hartanah bernilai sekurang-kurang RM200,000.

[RM1,000 sebulan tersebut adalah anggaran ansuran pinjaman bank untuk memiliki hartanah bernilai RM200,000 dengan tempoh pinjaman 30 - 35 tahun]

Kalau ada ilmu, dengan cashflow yang sama kita boleh manfaatkan untuk memiliki hartanah yang nilainya lebih mahal.

Potensi RM1 Juta Yang Disia-siakan

Kalau hartanah itu mampu meningkat nilainya menjadi RM300,000 dalam masa 5 tahun, maksudnya kita bakal kehilangan wang tunai lebih RM100,000 gara-gara membeli kereta!

Bahkan kalau siapa tahu pusing duit tersebut, cashflow RM1,000 sebulan sebenarnya boleh ‘dipusing’ bagi menggandakan kekayaan kita menjadi RM1 juta dalam tempoh 10 - 15 tahun!

Itulah nilai RM1,000 bagi siapa yang tahu.

Jadi jangan terlalu gopoh buat keputusan untuk beli kereta. Tak pernah ada orang menyesal sebab lambat beli kereta.

Yang banyak yang menyesal ialah yang terlalu cepat beli kereta.

Lepas beli barulah menyesal!

Pertimbangkan Keperluan Sebenar

Sebelum beli, pertimbangkan dulu sejauh mana keperluan untuk beli kereta baharu.

Kalau tersilap buat keputusan, ia akan melambatkan kita membina kekayaan RM1 juta yang pertama (dan seterusnya).

Kena ingat... Bila beli kereta, kosnya bukan hanya duit deposit dan bayaran ansuran bulanan. Selain daripada kos beli, kita terpaksa keluarkan kos untuk ‘bela’.

Walaupun bayaran ansuran pinjaman bank hanyalah sekitar RM600 - RM800 sebulan, tapi bila diambil kira kos bayaran road tax dan insuran, kos maintenance dan kos repair, kos bayaran parking, kos petrol dan tol, dan kos saman kesalahan trafik, paling tidak kita akan habis RM1,000 sebulan untuk kereta yang sederhana.

Belum lagi kira kereta yang agak mewah.

Pertimbangkan Alternatif Menjimatkan

Jadi ambillah waktu untuk betul-betul pertimbangkan sejauh mana keperluan memiliki kereta (atau beli kereta baharu).

Apakah alternatif lain yang lebih menjimatkan dalam jangka panjang?

Antaranya mungkin naik Grab, guna public transport, naik motorsikal, car pool (berkongsi kereta), pindah rumah ke tempat yang lebih dekat dengan tempat kerja, atau cukup sekadar sewa sahaja kereta kalau keperluan yang cuma bersifat bermusim seperti untuk balik kampung, dan balik raya.

Daripada beli kereta mahal-mahal tapi keperluan hanya sesekali sahaja, ianya satu kerugian yang melambatkan kita capai matlamat kewangan yang kita impikan.

Formula Terbaik Beli Kereta

Jujurnya saya tak berhabis dulu untuk membeli kereta.

Saya pakai kereta biasa-biasa sahaja sejak dulu sampai sekarang.

Kalau buat loan beli kereta, saya pastikan harga kereta tersebut tak lebih dari jumlah setahun gaji. Ansuran bulanan tak lebih 15% daripada gaji saya. Dan tempoh pinjaman tak lebih 5 tahun.

Dan saya pastikan selepas beli kereta, saya masih mampu menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan setiap bulan.

Kekal Hidup Di Bawah Kemampuan

Walaupun pendapatan saya sudah jauh meningkat, saya tak berbelanja lebih besar hanya untuk kereta.

Kerana pada saya, kereta hanyalah alat untuk bergerak daripada point A ke point B dengan selamat dan agak selesa.

Kita beli sebab kita perlukannya untuk aktiviti harian kita. Bukan sebab nak tunjuk kepada jiran sebelah.

Itulah prinsip kewangan yang saya pegang sejak berbelas tahun dulu, yang saya belajar dari orang kaya-kaya.

Prinsip “hidup di bawah kemampuan” itu memberikan kita ruang untuk kita bernafas lega dan seterusnya melonjakkan kekayaan kita dalam jangka panjang, insyaAllah.

Allahu a'lam.

Zulkifli
Cyberjaya
18 Disember 2022
23 Jamadil Awwal 1443H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>