“Pakai kereta second hand, kita jimat menanggung susut nilai yang banyak”
Itulah prinsip saya bila nak beli kereta suatu ketika dahulu.
Dari sudut kos keseluruhan, memang ia lebih menjimatkan - kalau kita beli kereta yang betul. Cuma, bila pakai kereta second hand, kita kena bersedia menanggung risiko yang besar kalau tersalah beli kereta yang bermasalah.
Risiko Habis Duit dan Masa
Samada tertipu waktu nak beli - terbeli kereta yang bermasalah. Atau tertipu waktu nak repair bila kereta tu rosak - disebabkan usianya sudah lama.
Akibatnya kita akan habis duit dan masa yang banyak. Bahkan ia akan mengganggu banyak urusan kehidupan kita gara-gara kereta bermasalah.
Saya pernah ada pengalaman suatu ketika dulu; kami sekeluarga balik ke kampung, rumah mentua saya di Kuala Terengganu. Kami jarang-karang balik. Tapi kali itu, kami balik 5 hari.
Malangnya, daripada 5 hari tu, 3 hari saya habiskan masa hanya untuk repair kereta!
Air-cond kereta bermasalah.
Masalah Tak Sudah-sudah
Hari pertama saya habis masa cari workshop yang boleh repair kereta tu dan boleh dapatkan spare part.
Hari kedua habis masa menunggu di workshop, nak tengok sendiri pomen buat kerja repair. Tapi lepas siap repair, dan baru sahaja pakai kereta tu, rupanya tak settle lagi...
Ada masalah lain pulak! Aduh..
Sudahlah habis duit, waktu-waktu berharga untuk bersama keluarga di kampung pun terbazir gara-gara kereta meragam.
Lama-kelamaan, saya fikir tak berbaloi lagi saya habiskan waktu untuk jaga kereta... Sebabnya ia sudah terbalik.
Sepatutnya kereta itu yang jaga (memudahkan hidup) saya. Bukannya saya habis masa untuk jaga kereta tu.
Waktu Lebih Berharga Berbanding Duit
Setiap kita pasti akan sampai satu titik kehidupan di mana waktu kita lebih berharga berbanding duit.
Orang kaya-kaya gajikan driver, gajikan pembantu, bukan sebab mereka tak boleh buat sendiri. Bukan.
Tapi waktu yang ada tu, lebih baik mereka buat perkara yang lebih bernilai tinggi. Yang boleh berikan manfaat yang lebih besar.
Saya juga begitu.
Waktu yang ada sebenarnya lebih berharga berbanding duit yang kononnya saya boleh jimatkan bila pakai kereta second hand.
Dan kadang-kadang tak jimat mana pun sebagaimana yang saya fikir.
Banyak juga kes saya sudah habiskan kos repair kereta sampai beribu-ribu ringgit dalam setahun, tapi masalah kereta tak selesai-selesai juga.
Walaupun sudah repair, kereta itu pun saya rasa tak yakin bagi isteri saya pakai atau digunakan untuk perjalanan yang jauh.
Kereta Second Hand Ok, Syaratnya..
Jadi setelah berbelas tahun pakai kereta second hand, dan sudah terlalu banyak insiden aktiviti saya terkandas disebabkan kereta meragam, saya tak lagi recommend sesiapa pakai kereta second hand.
Kecuali bagi siapa yang tahu pasal selok belok kereta. Sekurang-kurangnya kalau dia bawa kereta ke workshop, pomen tak boleh tipu samada part kereta itu rosak ataupun tidak.
Kalau kita sendiri memang tak kenal yang mana satu namanya “radiator”, “drive shaft”, “alternator”, “compressor” dan sebagainya, pada saya beli kereta baharu sahaja lebih baik.
Beli kereta fokus bayar bulan-bulan dan hantar ke service center bila cukup masa. Tak perlu sibuk lagi dengan hal-hal nak repair kereta.
Lepas pakai cukup 5 tahun dan warranty pun sudah habis, tukar sahaja kereta baharu!
Yang paling penting, gunakan waktu-waktu yang berharga tu untuk buat duit lebih banyak dan tingkatkan kualiti hidup.
Itu lebih berbaloi, insyaAllah.
Tip Beli Kereta Terpakai
Kalau nak beli juga kereta terpakai, ini tipnya:
- Pastikan mileage masih rendah, tak lebih 150,000 km. Kereta terpakai yang masih bebaloi di beli mileage sekitar 30,000 - 150,000 km. Lebih 150,000, kos baik pulih akan jadi terlalu tinggi. Tak berbaloi. Lagi tinggi mileage, maka kos yang bakal kita keluarkan akan semakin tinggi.
- Upahlah mekanik yang dipercayai untuk bantu sahkan kereta itu masih berbaloi dibeli, dan buat anggaran kos untuk baik pulih setelah beli untuk pastikan kereta dalam keadaan yang memuaskan sebelum digunakan. Dan paling penting, supaya kita tak tertipu beli kereta yang bermasalah.
Sudah banyak kes yang saya jumpa mereka yang terbeli kereta bermasalah, yang akhirnya kalau dia beli kereta baharu, ia jauh lebih berbaloi dan menjimatkan!
Allahu a'lam.
Terima kasih tuan atas sharing ini, saya baru berkira2 mencari kereta terpakai untuk kegunaan kerana kereta sedia ada dah lebih 12 tahun guna. Dah mula ada masalah kebelakangan ini.
Alhamdulillah.
Mudah-mudahan artikel ni bermanfaat untuk tuan.