Keluarga Bukan Pasukan Bisnes
Berjaya memimpin pasukan bisnes belum tentu berjaya memimpin ahli keluarga!
Bukan sedikit saya dengar pengalaman dari usahawan berjaya; memimpin isteri dan anak-anak tak sama dengan memimpin pasukan bisnes.
Dalam bisnes, arahan dan keputusan sangat straight foward.
Kita boleh buat keputusan yang betul dengan hati yang kering tentang apa yang betul untuk kemajuan bisnes kita.
Keputusan kita sangat objektif.
Tak ada makan hati, tak ada kecil hati, tak ada merajuk-rajuk...
Tapi dalam rumahtangga tak begitu.
Tuhan jadikan wanita itu dari tulang rusuk yang bengkok.
Kalau diluruskan, ia akan patah. Tapi kalau dibiarkan, ia kekal bengkok.
More...
Maksudnya nak bina rumahtangga bukan straight forward macam bisnes.
Kalau gunakan ilmu sama, rumahtangga kita boleh porak peranda!
Mungkin itulah antara punca banyak usahawan berjaya dalam bisnes, yang mampu memimpin satu pasukan bisnes yang besar, tapi gagal dalam rumahtangganya!
Sedangkan apa yang kita semua impikan, lagi bertambah kekayaan kita, lagi bahagia rumahtangga kita.
Rumahtangga kita adalah syurga kita...
Hikmah Dua Tahun Terpisah
Saya masih ingat masa 2 tahun dalam penjara, cuma satu sahaja harapan kenapa saya nak bebas segera; saya nak kembali ke pangkuan keluarga, isteri dan anak-anak saya.
Saya nak bebas sebab nak sempurnakan apa yang belum saya sempurnakan untuk keluarga saya.
Keluarga saya harapan saya. Keluarga saya syurga saya.
Sepanjang 2 tahun dipenjarakan, selain habiskan banyak masa mengaji dan mengkaji Al-Quran, saya juga habiskan banyak masa belajar tentang rumahtangga.
Saya baca buku-buku pasal rumahtangganya, khususnya rumahtangga Nabi s.a.w.
Nak tahu bagaimana dikatakan rumahtangga sebaik-baik manusia itu - Nabi s.a.w.
Saya pasang satu cita-cita, alang-alang kami terpisah tempoh yang lama, biarlah saya kembali ke pangkuan keluarga sebagai suami yang lebih baik, dan ayah yang lebih baik.
Barulah perpisahan tu berbaloi...
Membaiki 'Rumah' Yang Terbiar
Sebaik sahaja bebas, saya tak disambut dengan permaidani merah. Tapi Tuhan uji saya, benarkan nak jadi suami lebih baik dan ayah lebih baik?
Tahun pertama bebas, sungguh berat kerja-kerja yang saya kena galas dalam rumahtangga.
Emosi dan mental isteri saya dalam keadaan tak normal. Dia bukanlah yang saya kenal sebelum saya dipenjarakan.
Rumahtangga saya ibarat rumah yang dah 2 tahun terbiar tak didiami. Saya kena bersihkan, baiki yang mana rosak, kena siram dan suburkan balik.
Berdoa tak putus-putus... Moga Tuhan pelihara dan jaga rumahtangga dan keluarga kami.
Tahun pertama tak mudah... Sangat berat bagi saya. Nak bina balik bisnes yang dah 2 tahun saya tinggalkan. Dalam masa yang sama nak perbaiki balik rumahtangga saya yang dah 2 tahun terbiar...
Kunci Perubahan Bermula Dari Diri
Tapi lepas setahun, alhamdulillah saya dapat balik keluarga saya. Bahkan lebih baik dan makin baik.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Walaupun sekarang rumahtangga kami sudah masuk tahun ke-22, masih banyak yang kami perlu perbaiki.
Saya tak baiki isteri dan anak-anak saya. Tapi saya sentiasa baiki diri saya - untuk jadi suami yang lebih baik.
Syarat perubahan pada keluarga saya bukan pada isteri atau anak-anak saya, tapi pada diri saya sendiri.
Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas rumahtangga saya.
Supaya yang bengkok itu tak patah. Yang bengkok tu tak kekal bengkok... InsyaAllah...
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Berbuat baiklah kepada wanita, kerana sesungguhnya wanita diciptakan daripada tulang rusuk, dan bahagian yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu ialah bahagian atasnya. Jika kamu cuba meluruskannya, nescaya kamu akan mematahkannya. Tetapi jika kamu membiarkannya, ia akan tetap bengkok. Oleh itu, berbuat baiklah kepada wanita.”
(Hadis Riwayat Bukhari no. 3331)
#TabahHadapiMusibah #TipSuamiIsteri
Zulkifli
Cyberjaya
28 April 2026
10 Zulkaedah 1447H
Artikel berkaitan:
- Suami Beli Ikut List, Isteri Beli Ikut Hati. Tapi Tepat Pula Tu!
- Jangan Ajar Suami, Apatah Lagi Merendah-rendahkan Dia
- Pupuk Keserasian Suami Isteri Dengan Pujian dan Penghargaan
- Mabuk Cinta: Perpisahan Itu Bangkitkan Semula Rasa Cinta
- Keluar Berdua-duaan, Refresh Mood Cinta Suami Isteri
- Doa Ketika Ditimpa Musibah, Manisnya Saat Menadah Tangan...
- Guna Nikmat Dunia Untuk Kejar Nikmat Akhirat

