Saya tak bercadang nak berhenti jalankan bisnes semata-mata nak fokus amalan untuk "Akhirat".
Sebaliknya saya harap; bisnes yang saya usahakan sekarang jadi sebahagian daripada bekalan "Akhirat" saya...
Itulah jawapan bila salah seorang peserta #WorkshopKayaDenganEmas tanya; adakah satu hari nanti saya akan stop buat bisnes untuk fokus pada Akhirat...
More...
Apa sebenarnya maksud fokus pada Akhirat?
Saya tanya balik supaya peserta sama-sama berfikir, kalau dikatakan fokus pada Akhirat tu maksudnya macam mana?
Adakah dengan habiskan lebih banyak masa solat dan berzikir atas tikar sejadah?
Duduk di masjid sepanjang masa?
Banyakkan masa sampaikan sedekah kepada orang miskin?
Ataupun beruzlah dalam hutan, jauhkan diri daripada bergelumang dengan masyarakat yang berbagai masalah?
Jujurnya, kalau ikutkan hati, saya pun teringin nak lari duduk dalam hutan!
Duduk jauh daripada orang... Sepanjang hari fokus ibadah dan baca Quran saja! Habiskan masa baca buku dan menulis buku...
Bila jauh daripada manusia, rasa macam kurang peluang nak berbuat dosa, khususnya dosa sesama manusia...
Itulah kalau ikutkan hati...
Adakah itu jalan yang Nabi tunjukkan?
Tapi bila saya fikir dalam-dalam, adakah itu jalan yang Nabi s.a.w. tunjukkan?
Tidak...
Nabi s.a.w. sendiri hidup bermasyarakat, berdepan dengan macam-macam masalah manusia dan memimpin mereka mengikut jalan Tuhan...
Baginda tak asingkan diri daripada masyarakat, semata-mata nak fokus pada ibadah peribadi...
Sebenarnya bukan kita saja yang pernah terfikir nak "fokus Akhirat" dengan perbanyakkan ibadah. Sahabat Nabi s.a.w. pun pernah ada fikiran yang sama.
Kisah tiga sahabat yang mahu fokus beribadah
Saya teringat akan satu hadis Nabi s.a.w;
Daripada Anas bin Malik r.a., beliau berkata:
Tiga orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi ﷺ untuk bertanyakan tentang ibadah Baginda.
Apabila mereka diberitahu tentang ibadah Rasulullah ﷺ, mereka seolah-olah menganggap ibadah tersebut sedikit.
Lalu mereka berkata:
"Di manakah kedudukan kita berbanding Nabi ﷺ? Sedangkan Baginda telah diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang."
Kemudian salah seorang daripada mereka berkata:
"Aku akan solat malam selama-lamanya dan tidak akan tidur."
Yang kedua berkata:
"Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka."
Yang ketiga pula berkata:
"Aku akan menjauhkan diri daripada wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya."
Kemudian Rasulullah ﷺ datang kepada mereka dan bersabda:
"Wahai kalian yang berkata demikian dan demikian!
Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya dalam kalangan kalian.
Namun, aku berpuasa dan aku juga berbuka.
Aku solat malam dan aku juga tidur.
Dan aku juga berkahwin dengan wanita.
Maka sesiapa yang tidak menyukai sunnahku, dia bukan daripada golonganku."
— (Riwayat al-Bukhari, no. 5063; Muslim, no. 1401)
Urusan dunia juga boleh jadi bekalan Akhirat
Hadis ni banyak membetulkan kefahaman saya tentang hidup beragama.
Rupa-rupanya, untuk fokus pada Akhirat, tak perlu pun tinggalkan urusan dunia. Malah seluruh kehidupan dunia kita boleh jadi peluang kumpul pahala untuk Akhirat kita.
Kerjaya kita, sepatutnya jadi ladang pahala untuk Akhirat kita.
Kehidupan kita dalam berkeluarga, sepatutnya jadi ladang pahala kita.
Usaha kita membanting tulang cari nafkah buat isteri anak-anak, itu juga boleh jadi pahala sedekah kita.
Apatah lagi bisnes kita yang selesaikan masalah, berikan manfaat dan kebaikan kepada banyak pihak... Ia boleh jadi peluang besar untuk kumpul bekalan Akhirat kita.
Asalkan kita sentiasa luruskan niat, cari rezeki dengan cara yang halal, dan sentiasa ingat Tuhan banyak-banyak sepanjang usaha kita, semua tu peluang pahala buat kita.
Tak perlu tinggalkan urusan dunia untuk fokus Akhirat
Tak perlu tinggalkan semua tu hanya semata-mata nak fokus pada ibadah.
Ibadah kita... solat kita... itu macam RnR untuk kita... Itu waktu kita berhenti sekejap daripada kesibukan dunia, untuk menghadap Tuhan dan merawat jiwa kita.
Lepas selesai solat, bertebaranlah di muka bumi, dan carilah kurniaan yang Tuhan sediakan untuk kita.
Tak ada istilah tinggalkan urusan dunia hanya semata-mata nak fokus Akhirat.
Apa yang paling penting, bagaimana kita jadikan setiap urusan dunia kita tu sebagai bekalan untuk Akhirat kita...
Bayangkan kalau semua orang beribadah dalam urusan bisnes dan kerjaya
Saya fikir, kalaulah semua orang "beribadah" dalam setiap urusan bisnes dan kerjaya dia, maka dunia ni akan jauh lebih baik... Kehidupan masyarakat jauh lebih sejahtera...
Tak ada penipuan...
Tak ada lagi pecah amanah...
Tak ada yang ambil kesempatan...
Sebab masing-masing sedang sibuk kumpul pahala dalam urusan bisnes dan kerjaya masing-masing...
MasyaAllah...
"Maka apabila telah selesai solat, bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kejayaan."
#IslahDiri
#KayaItuMuliaBagiSiapaYangBersyukur
Zulkifli
Cyberjaya
5 November 2026
24 Jamadil Awwal 1448H
Artikel berkaitan:
- Berbisnes Mencari Akhirat
- Nak Senang di Dunia, Kena Banyak Duit. Akhirat, Kena Banyak Pahala
- Hidup Bermakna - Bila Kerja Dunia Jadi Bekalan Akhirat
- Kewangan Peribadi Dah Kukuh, Sekarang Masanya Fikir Tentang Negara!
- Bisnes, Peluang Menjadi VVIP Di Syurga
- Berehat Seperti Pengantin, Nikmat Kematian Bagi Orang Mukmin

