"Nanti dah kaya raya, bolehlah pencen. Berehat... Fokus pada akhirat pulak."
Itu yang ramai orang fikir.
Saya sendiri pun pernah fikir begitu. Kononnya bila dah cukup duit, saya nak balik kampung, hidup tenang-tenang bersama keluarga. Tak nak sibuk-sibuk lagi dengan masalah masyarakat.
More...
Tapi bila Allah izinkan saya ‘pencen awal’ pada umur 33 tahun, saya cuba hidup macam tu. Enjoy masa bersama keluarga, bebas masa dan bebas kewangan.
Hasilnya? Dua tahun pertama memang rasa seronok... Tapi lama-lama hidup rasa kosong.
Saya mula rasa bosan. Rasa hidup tak berguna...
Hidup bermakna bila berbakti
Sejak saya mulakan Misi Ubah Hidup 100 Keluarga (dan sekarang berkembang jadi #MisiUbahHidup1000Keluarga), barulah saya rasa hidup ni kembali bermakna.
Saya sedar... Hidup ni bukan tentang duit semata-mata.
Ia tentang apa yang akan jadi bekal di hari kematian, dan kehidupan kita di akhirat nanti.
Iaitu kehidupan yang lebih kekal dan lebih baik (daripada kehidupan dunia).
Baru saya faham — tak ada istilah “nak berhenti kerja supaya fokus akhirat.”
Melainkan kerja yang kita buat tu memang tak ada kena mengena langsung dengan (pahala) akhirat. Hanya untuk keuntungan dunia semata-mata.
Semua kerja patut ada nilai akhirat
Hakikatnya, apa pun kerjaya atau bisnes kita, sepatutnya ada hubung kait dengan akhirat.
Kerjaya kita, tak kisah apa bidang sekali pun, sepatutnya tentang berikan kebaikan kepada sesama manusia - yang akhirnya untuk akhirat kita.
- Kalau jadi guru, kita didik anak bangsa. Ilmu yang kita ajar, jadi pahala berterusan sampai mati. Bahkan lepas mati pun pahala tak berhenti.
- Kalau jadi ejen produk, sepatutnya produk-produk yang kita jual tu betul-betul bagi manfaat kepada customer. Hidup mereka jadi lebih baik asbab guna produk yang kita jual tu. Jual produk yang betul, kepada orang yang betul-betul memerlukan, itu sepatutnya jadi pahala buat kita.
- Kalau buat bisnes besar, semakin luas bisnes tu berkembang, semakin luas juga manfaatnya pada orang lain.
Duit dapat, pahala pun dapat.
Hidup jadi bermakna bila apa yang kita buat berikan kesan baik untuk orang lain, dan dapat pahala untuk akhirat kita.
Dunia + akhirat sekali jalan
Allah janji, kalau kita bekerja dengan niat akhirat, kita akan dapat dua-dua — dunia dan akhirat.
Kalau boleh dapat dua-dua sekali (dunia dan akhirat), kenapa nak pilih satu (dunia saja)?
Ini foto #PGMDConference ke-8 yang berlangsung di MITEC, KL pada 23 & 24 Ogos 2025. Lebih 2,600 penyimpan emas dari seluruh Asia Tenggara hadir.
Bagi saya, itu bukan sekadar angka. Itu 2,600 harapan yang kami galas. 2,600 keluarga yang nak ubah hidup bersama-sama kami.
Ia bukan tentang duit, tapi tentang amanah dan tanggungjawab yang perlu kami sempurnakan - buat mereka yang mempercayai kami, untuk akhirat kami...
"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya (dunia dan akhirat);
dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak."