Baru-baru ni Dato’ Aliff Syukri ada share pengalaman dia pasal rumah besar yang dia duduk sekarang.
Memang cantik, gah, orang tengok pun terpegun.
Tapi realitinya, duduk rumah besar bukan semua indah belaka. Banyak benda kena fikir, terutamanya kos nak maintain.
Dari sharing jujur beliau, ada sesuatu yang kita patut belajar. Terutamanya siapa yang ada cita-cita nak buat rumah besar.
More...
1. Rumah besar = kos maintain pun besar
Masa tengah berangan nak buat rumah, kita fikir seronok je.
“Best la ada rumah besar, boleh buat jamuan, ada bilik tetamu banyak.”
Tapi bila dah duduk, baru rasa... Kos nak jaga rumah tu lain macam. Kalau tak keluarkan kos, nanti lama-lama rumah tu mereput...
Kata Dato’ Aliff, tiap-tiap tahun kena peruntukkan ratusan ribu ringgit hanya untuk maintain - kos repair, cat, tukar itu ini.
Belum masuk bil api air, tukang kebun, tukang kemas, semua sekali.
2. Banyak ruang tak guna pun
Dato’ Aliff cerita, 70% ruang rumah besar dia tak guna pun.
Rumah terlalu besar, sampai nak panggil orang dalam rumah pun susah dengar.
Sebenarnya untuk hidup dengan keluarga dia, 30% ruang rumah sederhana pun dah cukup. Yang lebih-lebih tu cuma jadi kosong – tapi tetap kena maintain.
Jadi kalau nak buat rumah, buat rumah yang sederhana, tapi cukup untuk kita sekeluarga.
Rumah yang terlalu besar bukan sahaja membebankan, tapi juga satu pembaziran.
3. Biar beli rumah yang ringan dibayar
Kalau nak buat rumah untuk duduk sendiri, ukur kemampuan dulu.
Jangan sampai loan bank dan kos maintenance tu buat kita terpaksa kerja siang malam hanya semata-mata nak bayar rumah je.
Takut nanti yang selesa duduk rumah tu cuma bibik sahaja. Tuan rumah kena keluar rumah untuk pastikan bibik tinggal selesa di rumah besar tu!
Ada rumah besar tapi kepala pening tiap bulan pun tak ada maknanya. Jangan sampai rumah tu jadi macam penjara - yang membuatkan hidup kita tak bebas!
4. Rumah duduk sendiri bukan aset, tapi liabiliti
Ramai orang silap anggap rumah yang kita duduk tu aset. Sebenarnya bukan...
Sebab rumah tu tak membuatkan duit masuk ke dalam poket kita. Duit asyik keluar je setiap bulan.
Rumah tu hanya jadi harta untuk waris bila kita dah tak ada nantu. Itu pun kalau ada takaful yang cover.
Kalau tak, rumah tu boleh jadi beban pula bagi ahli waris.
5. Bila makin berumur, rumah besar jadi beban
Pengalaman ramai orang, bila dah masuk usia senja, rumah besar jadi beban. Kita tak larat nak uruskan semua.
Rumah ada banyak bilik, tapi yang guna cuma satu bilik bawah - yang paling dekat dengan dapur. Bilik-bilik lain semua jadi tempat jin bertendang!
Guna jarang-jarang bila anak balik raya setahun sekali dua.
Waktu tu baru sedar, kita lebih selesa duduk rumah sederhana – kecil, simple, senang jaga.
Tapi malangnya, kita dah berhabis duit yang banyak dan buat hutang yang besar untuk rumah yang under-utilised tu.
6. Rumah besar, hutang pun besar!
Ramai orang sanggup ikat hutang paling besar sepanjang hidup semata-mata nak rumah besar. Akhirnya bila dah tua baru sedar... rumah tu jadi beban.
Bila dah uzur, terpaksa tinggalkan rumah besar di kampung tu untuk ikut duduk dengan anak-anak.
Bila mati, anak-anak pun tak nak duduk rumah besar tu.
Nak jual pun tak laku - sebab rumah dah lama, dah banyak rosak sana sini, dan design pun dah ketinggalan zaman. Tak ada orang yang minat pada rumah tu kecuali harga tanahnya sahaja.
Akhir sekali rumah tu kena roboh - macam kisah rumah Allayarhamah Dato' Sharifah Aini.
Kesimpulan
Kalau nak buat rumah sendiri, jangan ikut nafsu... Kalau ikutkan nafsu, kita nak semuanya ada di rumah kita;
Nak rumah besar, nak ada swimming pool, nak ada fountain (air pancut), nak ada kolam ikan, nak ada 'taman bunga' dan macam-macam.
Tapi akhir sekali semuanya membebankan kita. Habis duit, habis masa dan tak larat nak jaga...
Buat rumah, biarlah sederhana... Tak besar, tak kecil... Yang penting kita mampu tanggung tanpa susahkan hidup kita sendiri.
Paling baik, carilah rumah yang mudah dijual bila kita dah tak perlukan suatu hari nanti – jadi exit plan.
Kadang-kadang, bahagia bukan pada luasnya rumah. Tapi pada hati yang tenang, anak isteri tersenyum, dan hidup yang tak terbeban.
Rumah tak besar dan tak kecil, tapi serba cukup untuk keperluan kita sekeluarga... InsyaAllah...
Zulkifli
Cyberjaya
11 September 2025
18 Rabiul Awwal 1447H
Artikel berkaitan:
- Rumah Impian Akhirnya Kena Jual Bila Ia Jadi Beban
- Anak Muda, Jangan Kelam-kabut Beli Rumah Duduk Sendiri
- Gopoh Beli Kereta dan Rumah, Punca Kewangan Tercekik di Usia Muda
- Rumah Pelaburan : Pertimbangkan Dua Hal Ini Sebelum Letakkan Komitmen
- Settle Loan Rumah Hasil Tabungan Emas. Ini Kisah En Azlan
- Pengalaman Perit Pelaburan Hartanah Yang Ramai Tak Tahu




