Anak-anak muda... Jangan kelam-kabut beli rumah duduk sendiri. Fokus penuhkan tabungan, tingkat pendapatan, bina harta dulu.
Duduk menyewa dulu pun tak apa. Yang penting kumpul banyak-banyak rumah sewa.
Bila jumlah harta dah cukup untuk jana passive income yang cukup nanti, boleh duduk di rumah sendiri free sahaja. Tak payah sentuh duit gaji pun. Biar orang lain tolong 'bayarkan'. InsyaAllah.
More...
Nasihat separuh betul
Saya nasihatkan anak-anak muda, supaya tak ulangi kesilapan orang lain.
Nasihat saya ni memang melawan arus masyarakat. Rata-ratanya akan nasihatkan supaya cepat-cepat beli rumah (untuk duduk sendiri) bila dapat kerja. Takut rumah makin mahal...
Nasihat tu separuh betul. Tapi nasihat itulah sebenarnya membuatkan ramai yang tercekik kewangan mereka pada usia muda.
Gara-gara beli rumah, hilang kemampuan menabung setiap bulan. Gara-gara beli rumah duduk sendiri, dia dah tak ada duit berbaki untuk dilaburkan (dikembangkan).
Sudahlah tabungan kecemasan 3 - 6 bulan gaji pun belum cukup.
Lebih buruk lagi, lepas beli, dia terpaksa berpindah kerja di tempat lain. Samada dipindahkan, atau terpaksa pindah ikut pasangan lepas berkahwin.
Jadi rumah yang dah beli tu nak buat apa?
Subsidikan orang lain untuk duduk
Nak sewakan, sayang... Kalau sewakan, tak berbaloi... Nak dapatkan sewaan separuh (50%) daripada bayaran ansuran bank pun tak lepas.
Maka terpaksa 'subsidikan' orang lain untuk duduk rumah tu.
Kalau tak disewakan, nanti tercekik duit nak hidup bulan-bulan.
Situasi paling buruk, sudahlah tercekik tak cukup duit nak hidup bulan-bulan, dapat pulak penyewa dari neraka!
Seolah-olah subsidikan orang lain (penyewa) jahannamkan rumah sendiri!
Akhir sekali, lebih rela rumah tu terbiar kosong. Sekurang-kurangnya taklah sakit hati dan serabut kepada nak handle penyewa.
Itulah situasa yang banyak berlaku...
Nasihat percuma harganya mahal
Nasihat "beli rumah seawal usia" akhirnya jadi nasihat kewangan paling buruk yang pernah dia dapat.
Nasihat saya, abaikanlah nasihat-nasihat percuma tu. Dengarlah nasihat pakar - mereka yang dah terbukti kaya.
Pada usia muda, fokus penuhkan tabungan sebanyak mungkin, tingkatkan kerjaya, tambah pendapatan, dan binalah harta dulu.
Beli rumah-rumah untuk pelaburan dulu - rumah yang boleh disewakan dengan sewaan berbaloi.
Pastikan setiap rumah yang dibeli tu, dapat tambah tabungan (hasil sewaan) bulan-bulan, ataupun dapat "cashback" ketika membeli.
Setiap rumah yang dibeli, pastikan beli rumah di bawah harga pasaran - supaya jumlah harta bersih bertambah sebaik sahaja membeli.
Terus 'untung' ketika membeli lagi. InsyaAllah.
Mulakan dengan ilmu
Saranan saya nampak terlalu ideal bagi orang kebanyakkan. Sebab rumah-rumah yang untung begitu agak mustahil untuk dapatkan dari showroom atau dari ejen-ejen hartanah.
Kecuali kalau ada ilmu, dan ada 'circle' pelabur hartanah kita sendiri.
Rumah yang dibeli di showroom, memanglah kita mudah jatuh hati. Interior design-nya sangat cantik. Tapi akhir sekali menjerat kewangan kita sendiri.
Supaya kita tak buat silap macam orang lain, mulakanlah dengan ilmu. Khatamkan dulu buku-buku pasal pelaburan hartanah sebelum beli rumah pertama.
Kita tetap akan buat silap, tapi bila ada ilmu, kesilapan kita taklah sampai parah macam orang lain. InsyaAllah...
Zulkifli
Cyberjaya
24 Mac 2024
13 Ramadhan 1445H
Artikel berkaitan:
- Perbaiki Kewangan Dulu, Jangan Kelam-kabut Beli Rumah
- Kenapa Banyak Jutawan Tak Beli Rumah Untuk Duduk Sendiri?
- Duduk Menyewa Demi Tambah Simpanan RM1,000 Sebulan
- Rumah Pelaburan : Pertimbangkan Dua Hal Ini Sebelum Letakkan Komitmen
- Berjaya Bina Rumah Sewa Secara Tunai. Ini Kisah En Bashir
- 2 Kerugian Beli Rumah Paling Mampu