MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Kenapa Banyak Jutawan Tak Beli Rumah Untuk Duduk Sendiri?

February 5, 2024

Hanya dalam beberapa minit, jualan Khairulaming mencecah RM1 juta!

Duit banyak, dan pandai cari duit. Tapi kenapa jutawan macam Khairulaming tak beli rumah untuk duduk sendiri? 

Banyak orang tak boleh brain dan tak boleh terima hakikat; banyak jutawan zaman sekarang (macam Khairulaming) tak beli rumah hanya untuk duduk sendiri. Mereka duduk menyewa sahaja... 

Kumpul harta dulu

Mereka fokus bina HARTA, dan berpada-pada dalam mengumpul BEBAN. 

Bila cakap "beban", sebahagian kita fikir; beli rumah tu membebankan kewangan mereka (jutawan). 

Sebenarnya bukan... Mereka mampu beli rumah sama macam orang lain juga. 

Mereka tak beli bukan sebab tak mampu, tapi mereka faham beza antara harta (aset) dan beban (liabiliti).

Mereka faham apa yang patut mereka kumpul, dan apa yang patut mereka kurangkan, atau ambil dalam 'dos' yang berpada-pada. 

Mereka amalkan prinsip delayed gratification - tangguhkan kepuasaan dulu - sementara mereka tengah kumpul dan kembangkan kekayaan.

Rumah yang jadi beban

Orang kaya fokus bina dan kumpul harta. Harta maksudnya apa yang membuatkan duit masuk ke poket kita. 

Walaupun jutawan tak beli rumah duduk sendiri, tapi mereka beli kilang, laburkan duit dalam membangunkan bisnes, beli rumah yang boleh dapat sewaan berbaloi, atau beli tanah-tanah yang mendatangkan hasil. 

Harta-harta tu semua memberikan cashflow (pendapatan) kepada mereka - tanpa perlu mereka bekerja.

Ia membuatkan duit mengalir masuk ke poket mereka - pendapatan pasif. 

Jutawan-jutawan ni tahu, rumah duduk sendiri bukanlah harta mereka. Ia harta bank - selagi tak habis bayar. 

Dengan beli rumah duduk sendiri, sudahlah tak mendatangkan hasil, bahkan kita menjana cashlow (pendapatan) untuk bank. Setiap bulan kita kena cari duit, dan tarah sebahagian pendapatan untuk diserahkan kepada bank. 

Kalau loan 30 tahun, 30 tahunlah kita jadi 'hamba' bank. 

Itu bukan harta kita. Sebaliknya harta untuk bank, dan jadi 'beban' bagi kewangan kita.

Rumah  yang jadi harta 

Berbeza dengan beli rumah untuk disewakan (dengan sewaan berbaloi).

Dengan beli rumah tu, tiap-tiap bulan duit masuk ke poket kita. Kita tak perlu tarah gaji kita untuk bayar rumah tu. 

Sebaliknya, guna duit hasil sewaan untuk bayar ansuran pinjaman bank setiap buan. Selebihnya masuk poket kita...

Kalau bayar bank RM1,000 sebulan, hasil sewaan RM1,300 sebulan, kita masih ada cashflow RM300 (RM1,300 - RM1,000). Lepas tolak segala kos berkaitan, mungkin tinggal cuma RM100.

Walaupun cuma RM100, ia tetap berikan kita cashflow (pendapatan bersih) masuk ke poket kita setiap bulan - pendapatan pasif.

Itulah baru dinamakan HARTA (aset).

Rumah duduk sendiri adalah hartanah terakhir yang mereka akan beli. Bahkah dengan strategi kewangan yang baik, mereka boleh dapat rumah untuk duduk sendiri free sahaja. Tak perlu tarah income atau harta mereka pun. 

Dan faktor penting juga kenapa banyak jutawan zaman sekarang tak beli rumah untuk duduk sendiri, mereka pilih tinggal di tempat di mana mereka bekerja (atau menjalankan bisnes). 

Terpaksa berpindah kerana bisnes

Kalau tempat kerja mereka kena berpindah, mereka pun akan turut sama berpindah.

Dunia bisnes sangat cepat berubah. 

Untuk catch-up dengan perubahan dunia bisnes, kita kena cepat adapt dengan perubahan. Samada kita berubah, atau keadaan akan mengubah kita! 

Dulu saya duduk di Damansara Damai, Petaling Jaya. Berbelas tahun duduk di Damansara Damai. Anak-anak pun dah bersekolah, dan saya pun dah ada komuniti sendiri.

Tapi bila nak kembangkan bisnes, tiap-tiap minggu saya terpaksa fly ke seluruh Malaysia dan Indonesia. Ambil flight dari KLIA (Kuala Lumpur International Airport) untuk sampaikan seminar.

Disebabkan perjalanan dari Damansara Damai ambil masa kira-kira sejam (belum lagi risiko tersangkut dalam jem), saya buat keputusan untuk berpindah ke Cyberjaya, kira-kira 20 minit ke KLIA. 

Banyak jutawan selesa menyewa

Sebenarnya saya kenal banyak jutawan yang duduk menyewa dan selesa duduk menyewa. 

Walaupun mereka ada banyak hartanah pelaburan, tapi mereka lebih selesa duduk menyewa. Ia lebih fleksible untuk mereka. 

Dan apa yang banyak orang tak tahu, sebenarnya rumah-rumah mahal tak banyak persiangan untuk menyewa! Kita ada banyak pilihan rumah yang orang kebanyakan orang rasa tak berbaloi untuk menyewa.

Tapi bagi jutawan, kos menyewa jauh lebih murah daripada beli kalau semata-mata nak duduk sendiri!... 

Kalau nak beli, mereka kena bayar 2 kali ganda kos bulanan. Itu belum lagi kira komitmen jangka panjang. 

Tapi bila menyewa, mereka cuma bayar pay-per-use sahaja. Bayar setakat nak guna sahaja, macam check-in di hotel. Itu lebih fleksible...

Mereka menyewa sahaja di mana mereka suka. Bila selera berubah, keadaan hidup juga berubah, mereka boleh pindah ke rumah lain di tempat baru, rumah lebih baru, dengan mood yang baru!

Beli rumah atau terus menyewa?

Walaupun begitu, bukanlah saya sarankan supaya jangan beli rumah duduk sendiri. Bukan...

Apa yang paling penting, kita kena tahu apa yang kita buat. Kena ada ilmu, dan kena tahu strategi membina kekayaan kita sendiri. Jangan ikut-ikut orang tanpa faham apa yang mereka buat.

Bagi siapa yang tak tahu apa yang dia buat, beli rumah untuk duduk sendiri itu lebih baik dari duit dihabiskan pada perkara yang tak menambah kekayaan. 

Sekurang-kurangnya kalau mati, rumah tu jadi harta untuk ahli keluarga .

Syaratnya, beli rumah kena pastikan ada pelindungan takaful yang cukup. Supaya kalau mati, ahli waris boleh claim duit dari takaful untuk tutup semua pinjaman perumahan yang masih berbaki tu...

Allahu a'lam.

Zulkifli
Cyberjaya
5 Februari 2024
25 Rejab 1445H


“Banyak orang tak boleh brain dan tak boleh terima hakikat banyak jutawan zaman sekarang (macam KA) tak beli rumah hanya untuk duduk sendiri. Mereka duduk menyewa sahaja. Mereka fokus bina harta (aset), dan berpada-pada dalam mengumpul beban (liabiliti).” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 4 Februari 2024

“Ada rumah yang dibeli itu jadi HARTA. Bahkan banyak rumah yang dibeli itu jadi BEBAN. Kalau beli rumah tapi terpaksa tarah CASHFLOW dan NET WORTH kita, itu bukan harta. Tapi beban (LIABILITY)!” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 25 Disember 2022

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>