MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Positive Expection : Bila Bersedih, Cepat-cepatlah Move On!

January 31, 2024

"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan bersedih. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar" (Surah Yunus 10 : 62 - 64)

Tersentak saya bila merenung ayat ni dalam-dalam (masa tengah bersedih dalam penjara). 

Siapa tak rasa bimbang, dan tak rasa sedih, maksudnya dialah orang yang bahagia. Apa pun terjadi dalam hidup, hati dia tak rasa apa-apa. Tak bimbang, tak sedih. Semuanya baik-baik belaka. 

More...

Apa pun terjadi, semuanya baik-baik belaka

Macam tangan bila terluka, kena air pun dah rasa pedih. Tapi kalau baik (tak terluka), kena titik air limau pun tak rasa apa-apa.

Itulah mereka yang (hatinya) dekat dengan Allah (wali Allah). Mereka itulah orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa kepada Allah.

Nak bahagia, bukanlah kena ada harta berjuta. Dan bukanlah kena memiliki segalanya.

Tapi kena kuatkan iman kepada Allah, dan sentiasa bertaqwa - buat apa yang Tuhan suruh, tinggalkan apa yang Dia larang (samada ketika senang mahupun susah). Nescaya hidup akan bahagia...

Tak ada rasa bimbang, tak ada rasa sedih...

Orang beriman, hati dia kuat bergantung kepada Tuhan. Tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Bijaksana, lagi Maha Penyayang... Tuhan yang memiliki segala apa yang ada di langit dan bumi. Yang mengetahui segala apa yang zahir mahupun tersembunyi...

Apa pun terjadi, dia sentiasa bersangka baik kepada Tuhan. Apa pun terjadi, semuanya baik-baik belaka bagi dia. Tak ada rasa bimbang... Dan tak pula bersedih hati...

Melayan dukacita, atau berbaik sangka

Rasa sedih tetap akan ada... Nabi Yakub a.s. menangis dan bersedih sampai buta matanya kenangkan anaknya Yusuf a.s. (yang hilang sejak kecil) [Surah Yusuf 12 : 84]. Nabi Muhammad s.a.w. pun menangis kehilangan orang yang baginda sayangi [Riyadhus Solihin (29)].

Sedih tetaplah sedih... Sebab kita semua manusia biasa...

Tapi sedih orang beriman tak berlebih-lebihan... Sebab dia tahu, apa sahaja terjadi, semuanya takdir Allah. Tiada apa pun terjadi, melainkan semuanya dengan izin Allah... Allah-lah yang mengkehendaki setiap sesuatu itu terjadi...

Bila ditimpa kesusahan, kita boleh pilih samada:

(1) melayan rasa dukacita berpanjangan yang akhirnya memudaratkan kita, atau membuatkan kemajuan kita terbantut. Atau pilih,

(2) bersabar dan berbaik sangka kepada Tuhan; setiap kesusahan dan cabaran, pasti ada kebaikan (tersembunyi di sebaliknya). Kalau tak dapat apa yang kita suka, sebenarnya Tuhan ada perancangan lebih baik untuk kita. 

Cuma kita belum nampak hikmah di sebaliknya...

Jangan sampai rugi dua kali

Apa yang terjadi sudah pun terjadi... Kita tak mampu undurkan masa untuk ubah masa lalu.

Tapi kita mampu ubah masa depan kita. Berusaha untuk mencorakkan masa depan kita yang lebih baik.

Yang terjadi sudah pun terjadi. Yang akan membezakannya cuma cara kita RESPON atas apa yang terjadi.

Kalau pilih untuk berdukacita, hidup kita dilanda kekecewaan, kesedihan berpanjangan, memudaratkan diri, bahkan mungkin sakit hati disebabkan dendam yang tak berbalas.

Terpaksa tanggung dua kali kesakitan. Pertama ketika melaluinya. Kedua, ketika mengenangkannya... 

Beban berat atas peristiwa lalu, akhirnya memudaratkan kita, membantutkan kemajuan, dan merugikan masa depan kita sendiri. Dua kali rugi...

Kalau pilih yang kedua (berbaik sangka), hidup kita lebih bahagia, insyaAllah... 

Kita akan bersabar tunggu “berita baik” yang Tuhan ‘simpan’ untuk kita pada masa depan. Sikap optimis tu akan memotivasikan kita untuk terus maju, insyaAllah...

Kitalah yang kawal layar hidup kita

Orang mukmin, dia pilih yang kedua. Dia fokus apa yang dia mampu ubah, dan meletakkan kemuncak harapan pada Tuhan yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.

Dia rawat kesedihan lalu, memaafkan semua, dan melepaskan beban (atas peristiwa lalu) supaya dia dapat cipta kebahagiaan baru. Cepat-cepat move-on... 

Nak bahagia, kita kena sentiasa fokus apa yang kita mampu ubah. Fokus apa yang di bawah kawalan kita. Bukan berkeluh kesah pada apa yang tak mampu ubah...

Macam berlayar di lautan luas... Walau ke mana sekali pun arah angin (bertiup), dialah yang kawal layar untuk sampai ke destinasi yang dia impikan. Ia bukan tentang arah angin, tapi tentang layar dalam hidup kita.

Macam tu jugalah dengan kebahagiaan. Kebahagiaan bukanlah apa yang terjadi kepada kita. Bukan... Tapi macam mana kita RESPON atas apa yang terjadi...

Jangkakan yang baik-baik

Orang mukmin hidupnya sentiasa bahagia. Bila dia dapat kesenangan, dia bersyukur. Bila dia ditimpa kesusahan, dia bersabar.

Apa sahaja musibah yang terjadi, dia tahu “Allah simpan apa yang lebih baik untuk dia”.

Dia tak bimbang (tentang masa depan), dan dia tak bersedih hati (berlebih-lebihan) atas apa yang terjadi pada masa lalu... 

Sentiasalah fikir yang baik-baik. Dan expect yang baik-baik tentang masa depan kita. Jangan sesekali berputus asa...

Kerana kita adalah apa yang kita fikir. Tuhan itu di sisi sangkaan kita terhadap-Nya.

Allahu a'lam.

Zulkifli
Cyberjaya
16 November 2023
3 Jamadil Awwal 1445H

Abu Hurairah (Semoga Allah meredhai beliau) melaporkan: Rasulullah (ﷺ) bersabda,

"Allah berfirman: 'Aku menurut sangkaan hamba-Ku ketika dia mengingati-Ku.' 

Demi Allah! Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya daripada salah seorang dari kamu yang tiba-tiba menemui unta yang hilangnya di padang pasir.

'Sesiapa mendekati-Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta; dan sesiapa mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sejauh langkah. Dan jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku mendatanginya dengan berlari'."

(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim) [Riyadhus Solihin (440), Sahih Bukhari (7405), Sahih Muslim (2675)]

Abu Yahya Suhaib bin Sinan (Semoga Allah meredhai beliau) melaporkan bahawa Rasulullah (ﷺ) bersabda:

"Betapa menakjubkan keadaan seorang mukmin; kerana apa pun terjadi semuanya baik baginya, dan hal ini tidak terjadi kecuali hanya pada seorang mukmin (sahaja). Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur kepada Allah, dan itu baik baginya; dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, dan itu (juga) baik baginya."

(Direkodkan oleh Muslim) [Riyadhus Solihin (27), Sahih Muslim (2999)]

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>