"Apa korang ingat ini hotel!?", balas warden.
Itulah jawapan yang sering saya dapat daripada warden penjara setiap kali kami minta sedikit keselesaan.
Walaupun mereka memang buat yang terbaik mengikut standard penjara, tapi saya kena terima hakikat, penjara memang tempat yang dibuat supaya para banduan rasa tak selesa.
Ia tempat hukuman, bukan tempat layanan istimewa!
Saya pernah ajukan kepada seorang pegawai penjara tentang 'hak asasi' sebagai banduan.
Beliau ingatkan saya, adakah saya akan minta pihak penjara layan dengan baik bagi penjenayah yang merompak harta saya, mencederakan saya, bahkan merogol ahli keluarga saya?
Tentu sekali "TIDAK"!
Penjara Tempat Seksaan
Saya benar-benar tersentak dengan jawapan balas pegawai tersebut.
Penjara bukan tempat layanan yang istimewa.
Sepanjang pemerhatian saya, asalkan banduan tersebut masih waras, boleh bergerak dan bernyawa, itu dikira sudah ok.
Nak selesa? Penjara bukan tempatnya...
Sepanjang di penjara, saya terpaksa menahan sakit gigi hanya dengan ubat tahan sakit sahaja. Sebatang gigi geraham saya pecah dan terbelah, maka gigi saya perlukan rawatan segera.
Derita Sakit Di Penjara
Rawatan sudah berkali-kali saya minta, tapi bukan mudah pihak penjara nak hantar tahanan SOSMA disebabkan SOP yang memerlukan pengiring yang bersenjata api. Permohonan untuk dapatkan rawatan sangat banyak, tapi anggota pengiring mereka tak cukup.
Doktor gigi pula jarang-jarang sekali masuk penjara. Dari bulan ke bulan ditangguhkan rawatan hinggalah akhirnya saya bebas!
Jadi sepanjang 2 tahun saya dalam penjara, saya cuma minta panadol atau ubat tahan sakit yang lebih kuat setiap kali datang sakit. Sekurang-kurangnya saya dapat tidur malam dan tenang di dalam sel.
Dan saya hanya mampu berdoa banyak-banyak supaya Allah berikan saya kekuatan untuk bertahan dan mengharapkan keajaiban supaya sembuh! Itu sahaja yang saya mampu lakukan.
Busuk, Kotor dan Tak Selesa
Bagi siapa yang nak tahu penjara itu bagaimana, saya boleh simpulkan begini;
Tempatnya sempit, ruang pengudaraan kurang baik, dan pencahayaannya malap.
Tempatnya busuk. Selain majoriti banduan tidak dibekalkan sabun untuk bersihkan diri dengan cukup hingga kita boleh kenal "bau banduan", nasib saya tak baik - saluran paip najis yang pecah betul-betul belakang sel saya ketika di Penjara Sg Buloh tak dibaiki!
Jadi berbulan-bulan hidup saya terganggu dengan bau najis manusia setiap hari!
Penjara tempat yang kotor. Banyak semut, lipas, nyamuk, dan tikus. Kadang-kadang keluar lipan, dan suasananya bising sepanjang hari (disebabkan banduan terlalu ramai dalam satu blok), kecuali lewat malam...
Bila Cuaca Sejuk atau Panas
Waktu sejuk memang sangat sejuk. Majoriti sel banduan tidak ada alas. Duduk atas lantai simen sahaja.
Siapa dapat selimut, tikar getah dan tilam nipis, itu kira sudah layanan VIP. Tahanan SOSMA seperti saya diberi kemudahan ini.
Bila cuaca panas, memang panas!
Tak pernah saya dengar mana-mana sel banduan yang ada kipas! Kalau yang ada kipas, maksudnya dia sudah dapat layanan VVIP dalam penjara.
Kalau panas, saya dan majoriti banduan terpaksa berseluar pendek di dalam sel (walaupun saya tidak pernah berseluar pendek di rumah sendiri), dan berkipaslah sepanjang hari pakai majalah ataupun buku.
Cabaran Dapatkan Tidur Yang Lena
Nak tidur malam... Hmmm... Selain bimbang tikus masuk ke dalam sel, yang selalu menyebabkan saya terkejut tengah tidur ialah banyak lipas-lipas besar yang keluar merayap-rayap... Terutama sekali ketika blackout!
Tengah tidur, tiba-tiba lipas besar merayap atas kepala atau atas badan! Terkejutlah saya... Cari selipar dan kejar lipas... Pastikan dapat ketuk sampai mati... Barulah saya boleh sambung tidur...
Bila terjaga tengah malam... Bukan senang nak lena tidur balik... Itulah waktunya saya akan teringat isteri dan anak-anak...
Saya tenung satu per satu foto isteri dan setiap anak-anak yang ada dalam simpanan saya. Saya bercakap seolah-olah mereka ada bersama saya bagi melepaskan rindu. Dan saya doakan moga Tuhan menjaga mereka semua...
Rasa rindu tu hanya Tuhan sahaja yang tahu...
Dari Neraka Melangkah Ke Syurga
Bila susah tidur, saya selalunya ambil peluang untuk solat sunat beberapa rakaat sebelum kembali tidur... Awal pagi itulah waktu terbaik untuk beribadah sebab waktu tu sangat sunyi... Semua banduan sedang tidur...
Waktu lain, selalunya sangat bising... Dengar orang menjerit, menyanyi dan tak kurang juga bergaduh! Macam itulah keadaan penjara yang sempit dan orang yang ramai...
Jadi bila saya bebas dari penjara, saya rasa macam sudah masuk Syurga!
Betapa besarnya nikmat dapat bergerak bebas, dan dapat lihat wajah ahli keluarga dan berhubung dengan mereka setiap hari.
Besarnya nikmat dapat pilih makanan yang saya suka setiap hari (dulu dapat cili hidup pun rasa nak menangis), dapat lihat langit biru yang terbentang luas (dalam penjara dulu hanya seminggu atau sebulan sekali sahaja), berpeluang pijak rumput dan hirup udara segar sepanjang hari...
Alhamdulillah...
Berat ujian tersebut untuk dilalui. Tapi saya rasa bersyukur sebab banyak nikmat Tuhan yang selama ini saya rasa ianya biasa-biasa sahaja, tapi terasa besarnya nikmat tersebut setelah bebas daripada penjara.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman 55 : 13)
Zulkifli
Cyberjaya
5 September 2022
8 Safar 1444H
- Berita FMT : Niat baik makan diri, penasihat kewangan meringkuk dalam penjara
- Berita FMT : Ibu 8 anak fobia menderma selepas suami dituduh bantu pengganas
- Tak mahu undang-undang aniaya orang tak bersalah - Sumberkini.my
- Saya dipenjarakan kerana sedekah RM200 - FB Najdah
- Saya dipenjarakan kerana sedekah RM200 - FB Saifudin Ibrahim
Artikel berkaitan:
- Saya Terperangkap Dengan Birokrasi Perundangan SOSMA, Ini Penjelasan Peguam
- Kerana Birokrasi SOSMA, Saya Terpaksa Mengaku Bersalah!
- SOSMA, Tahanan Tak Bersalah Tetap Dihukum
- Buat Majlis Ilmu Sendiri Di Rumah, Bukan Harapkan Ustaz atau Ustazah
- Emas Menyelamatkan Saya Ketika Akaun Bank Dibekukan
- Pengalaman Terpenjara Mengajar Saya Hargai Nikmat Kebebasan
- Kos Tanam Sebatang Gigi RM8,000! Bagaimana Nikmat Anggota Yang Lain?
- Bersenam, Cara Berkesan Elakkan Diri Dari Sakit Mental
Sungguh besar dugaan yang dilalui oleh En Zul. Kalau sayalah belum tentulah mempunyai kekuatan. Nikmat kebebasan yang kadang-kadang kita tidak syukur nikmatnya.
Betul En Azrin. Bila sesuatu nikmat tu hilang, barulah kita akan hargai nikmat tersebut. Tuhan bagi kita susah dan senang yang silih berganti untuk mendidik kita rasa bersyukur dan bersabar.