MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Pengalaman Terpenjara Mengajar Saya Hargai Nikmat Kebebasan

August 23, 2023

Menghitung hari. Inilah antara rutin harian saya ketika dua tahun dalam penjara dulu.

Setiap hari saya akan tick pada kalender ni. Dan kira berapa hari lagi berbaki untuk saya pulang ke pangkuan keluarga... Perkataan paling sedap didengar pada ketika itu ialah "BEBAS". 

Setiap kali tengok rakan-rakan yang bebas terlebih dahulu, saya sentiasa bercakap pada diri sendiri, satu hari nanti akan sampai giliran saya pula. Hari pembebasan itulah hari paling manis dan paling indah dalam hidup saya. 

More...

Kalau tak ada ahli keluarga sambut di luar pintu Penjara Tapah (Perak) ketika hari saya dibebaskan pun, saya sanggup balik jalan kaki dari Penjara Tapah ke Cyberjaya yang jaraknya 200 km!

Hari paling gembira dalam hidup

Rasa gembira tu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Saya tak pernah rasa betapa besarnya nikmat kebebasan hinggalah ketika saya terpenjara selama 2 tahun.

Saya tak pernah rasa betapa besarnya dapat tengok awan dan langit yang terbentang luas hinggalah ketika saya terpenjara.

Saya tak pernah rasa betapa nikmatnya dapat rasa panas matahari yang singgah ke kulit pada waktu pagi sehinggalah ketika saya terpenjara.

Dan saya tak pernah rasa nikmatnya dapat pijak rumput hinggalah ketika saya terpenjara.

Peluang keluar sebulan sekali

Ketika di penjara, peluang untuk keluar daripada blok bangunan di mana saya ditempatkan cuma sebulan sekali sahaja.

Itulah waktunya dapat tengok langit terbentang luas, rasa nikmat panas matahari yang singgah ke kulit, atau kalau ada rezeki, dapatlah rasa pijak rumput.

Kalau tak, tiap-tiap hari saya cuma berpeluang tengok burung yang bebas kutip makan atas rumput dan tengok sebahagian langit hanya melalui celah-celah palang besi dari sel (bilik) di mana saya di tempatkan.

Itupun saya terpaksa pergi ke bahagian tandas, berdiri sambil berjinjing supaya nampak bahagian luar.

Bila ternampak burung merpati dua sejoli sedangkutip makanan atas rumput, aduh... Rindunya pada isteri saya. Rindu untuk kembali hidup berdua macam merpati dua sejoli...

Kalau dulu, saya tengok burung dalam sangkar. Tapi ketika terpenjara, saya lempar lebihan roti kepada burung-burung dari dalam sangkar. Burung di luar, sebaliknya saya yang duduk dalam sangkar! 

Doa mengubat kesedihan

Sedih... Rindu... Bosan... Stress... Marah... Semua perasaan sentiasa bercampur baur...

Tiap-tiap hari, saya sentiasa ulang-ulang yang doa yang Nabi s.a.w ajarkan supaya Allah gantikan apa yang lebih baik atas apa yang hilang dari saya selama 2 tahun;

اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

"Ya Allah, berikanlah ganjaran pahala kepadaku dalam musibahku ini, dan gantikanlah kepadaku apa yang lebih baik dari itu"

Lepas saya bebas, saya sedar Allah telahpun gantikan saya dengan kebaikan yang sangat banyak, untuk dunia saya dan akhirat saya. Alhamdulillah...

Zulkifli
Cyberjaya
23 Ogos 2023
6 Safar 1445H

#TabahHadapiMusibah

Doa ketika musibah supaya Allah gantikan apa yang lebih baik untuk kita. Dari buku "Asam Garam 2 : Romantikanya  Rumah Tangga Nabi", cetakan pertama Mac 2019.

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>