Siapa ditahan dan didakwa, dia pasti dihukum.
Salah atau tak salah, dihukum penjara dulu, bicara kemudian!
Walaupun hanya sekecil-kecil kesalahan atau kesilapan.
More...
Pastikan Ia Tidak Disalahgunakan
Memang keras undang-undang SOSMA ni.
Itulah kenapa mangsa dan keluarga yang terkena akan trauma, terkilan, sedih dan marah...
Jadi salah satu yang pihak kerajaan kena ambil perhatian ialah tentang apakah garis yang memisahkan antara kesalahan yang patut ditahan di bawah #SOSMA, atau tidak.
Dan mekanisma perlu diwujudkan supaya undang-undang yang keras ini tidak disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya untuk memudahkan kerja penahanan dan pendakwaan.
Kerana siapa yang ditahan dan didakwa, dia pasti dihukum. Walaupun dia tidak bersalah.
Tahanan Terpaksa Mengaku Bersalah
Dihukum sebelum dibicarakan.
Dihukum sepanjang proses dibicarakan.
Bahkan kalau sekadar menang di Mahkamah Tinggi, dia masih tetap dihukum sementara menunggu naik ke Mahkamah Rayuan yang tempohnya boleh menjangkau lagi 2 tahun.
Kalau menang di Mahkamah Rayuan, dia masih terus dihukum sementara tunggu Mahkamah Persekutuan yang mana tarikhnya boleh ditangguhkan berkali-kali yang boleh makan lagi setahun dua!
Tempoh keseluruhan proses berbicaraan itu boleh memakan masa sampai 4 tahun!
Sedangkan tertuduh sudah hilang sumber pendapatan untuk kehidupan sekeluarga.
Ahli keluarganya makan dan minum pun belum tentu ada, apakah mereka terdaya lagi untuk membela diri dan mendapatkan keadilan yang menelan kos yang besar?
Dua Pilihan, Tapi Sama Pengakhiran
Itulah sebab kenapa lebih 90% yang didakwa terus mengangkat tangan mengaku bersalah...
Kerana di hadapannya cuma ada dua pilihan sahaja. Iaitu jalan yang pendek atau jalan yang panjang.
Tapi pengakhirannya tetap sama iaitu dia tetap dihukum!...
Itulah realiti terjadi kepada tahanan SOSMA terrorisme sedangkan lebih 90% adalah mereka yang bersih dari sebarang rekod jenayah lampau...
Tapi terpaksa hadapi birokrasi perundangan sekeras ini lebih daripada mereka yang mencuri, merompak atau menjual dadah!
Itu antara perkara yang saya dan pihak NGO highlight kepada Timbalan Menteri Undang-undang, YB Ramkarpal Singh dalam meeting di Parlimen siang tadi.
Mudah-mudahan kerajaan ambil perhatian serius untuk membuat pembetulan bagi menjadikan negara kita ini lebih baik. InsyaAllah.