Saya terbaca komen Dr Mohammad Agus Yusof tentang kekecewaan beliau terhadap PAS, satu-satunya parti politik yang menggunakan nama "Islam" di Malaysia. Dulu lain, sekarang lain katanya.
Sebenarnya saya kurang bimbang kalau ianya hanya sekadar politik. Tetapi yang saya bimbang bila ianya melibatkan agama, yang menentukan nasib kita di Akhirat sana.
Walaupun masih berpegang pada dalil agama yang sama... Tapi kenapa dulu lain, sekarang lain?
More...
Islam dan Orang Melayu
Saya bimbang kalau-kalau perubahan itu sebenarnya bukan kerana Tuhan, tapi kerana selera nafsu (kepentingan politik) sesuatu puak. Yang akhirnya kita orang awam terjerat dalam permainan yang digunakan atas nama agama.
Orang Melayu dan agama Islam tak boleh dipisahkan.
Setahu saya, satu-satunya bangsa di dunia yang syaratnya kena Islam hanyalah Melayu (alhamdulillah).
Cuma bila guna slogan agama, orang kita mudah tertipu. Baik ditipu oleh orang agama atau orang bisnes yang menunggang agama.
Sedangkan "orang agama" dan "orang beragama" tu berbeza.
Orang agama belum tentu benar-benar beragama.
Bukankah terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang Allah mencela orang agama (ahlil kitab Yahudi dan Nasrani) yang menunggang agama untuk kepentingan diri, sampai sanggup tolak kebenaran?
Maksudnya, orang agama tak sentiasa betul. Orang agama juga akan menyimpang dan tersesat.
Orang Agama Tak Sentiasa Betul
Sedangkan orang awam yang tak ada ilmu akan lihat apa sahaja yang disampaikan (dan yang dibuat) oleh orang agama adalah ajaran agama. Walaupun mereka sebenarnya menyimpang dari agama menggunakan nama agama.
Pengalaman saya dipenjarakan di bawah SOSMA selama 2 tahun, dan ditempatkan dengan mereka yang didakwa atas kesalahan "terrorisme", benar-benar membuka mata saya bahawa mereka yang sesat dan ekstrim juga menggunakan dalil agama yang sama!
Menggunakan dalil Quran yang sama. Menggunakan dalil hadis yang sama.
Tapi kenapa pendirian agama mereka berbeza?
Jawabnya kerana tafsiran mereka pada dalil agama itu yang berbeza. Berbeza samada disebabkan tak cukup kefahaman tentang agama, atau boleh jadi kerana kepentingan diri mereka untuk habuan dunia mereka.
Jadi macam mana kita (sebagai orang awam) nak selamatkan diri daripada terikut-ikut dengan kesalahan dan kesesatan orang agama?
Jawabnya kembalilah kepada Allah dan Rasul.
Kembali Kepada Sumber Agama
Kembalilah kepada sumber asal agama, iaitu apa yang Tuhan cakap (Al-Quran), dan apa yang Nabi s.a.w. cakap (Hadis). [Surah An-Nisa 4, ayat ke 59]
Supaya kita nampak apa yang benar itu benar, yang salah itu salah. Dan tak mudah diambil kesempatan oleh sesiapa sahaja atas nama agama.
Perbanyakkan baca Al-Quran dan terjemahannya. Pastikan khatam sampai berkali-kali terjemahan tersebut.
Dan baca banyak hadis-hadis Nabi.
Sekarang kita boleh baca terjemahan hadis-hadis Nabi dari kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, dan lain-lain seperti Kitab Riyadhus Solihin (karangan Imam Nawawi).
Baca juga kitab-kitab sirah Nabi supaya kita faham hadis Nabi dalam konteks makro (lebih luas).
InsyaAllah kita tak mudah tertipu dengan sesiapa pun yang menunggang agama.
Keliru Melihat Orang Agama
Apa yang setiap kita kena sedar, tak semua orang agama tu sebenarnya benar-benar beragama. Itulah yang Tuhan ingatkan kita dalam Al-Quran.
Bukan sahaja kita akan keliru. Bahkan sahabat yang hidup di zaman Nabi s.a.w juga keliru.
Dalam satu peperangan, ada orang yang para sahabat Nabi anggap dia mati syahid (sebab dia mati ketika berperang bersama Nabi) pun, Nabi sebut "aku lihat dia di neraka". Maka apalah jaminan kalau kita sekadar bersama "parti Islam"?...
Kalau disesatkan oleh orang politik, itu bahaya. Tapi kalau disesatkan oleh orang agama, itulah sebenar-benar bahaya...
Sebab agama itu akan menentukan nasib kita samada ke Syurga atau ke Neraka... Pada hari Akhirat yang selama-lamanya...
Mudah-mudahan Allah pelihara kita semua dari kesesatan. Amiin ya Rabbal Alamiin...
Zulkifli
Cyberjaya
26 April 2023
5 Syawal 1444H
Apa yang kita semua kena sedar, semua kitab-kitab agama tu ditulis oleh ulama. Baca kitab itu pun maksudnya rujuk ulama. Dan sentiasa cross-check dengan ulama yang bebas dan mungkin berbeza pendapat daripada mereka.
Dan kita perlu ingat, bila ulama yang bersama umarak (pemerintah), itu bahaya... Ulama tu cenderung untuk tidak telus dalam keluarkan pandangan. Macam mana dia boleh keluarkan pandangan yang bebas kalau "periuk nasi" dia pun di tangan pemerintah atau sesuatu kumpulan?
Imam Malik dulu, pemerintah takut dengan dia. Imam Malik bukan sahaja seorang ulama yang tinggi ilmunya, tapi dia kaya raya dan dia tak takut dengan pemerintah.
Sebenarnya membaca tu pun dikira mengaji dan berguru juga. Kalau nak tunggu kena belaga lutut dengan guru baru namanya "mengaji", kita selama-lamanya akan jahil.
Banyak yang tak sedar, zaman sekarang sudah berbeza dengan 30 tahun dulu.
Dulu nak faham sepatah ayat Quran pun nak kena tanya Ustaz. Nak jumpa Quran terjemahan punyalah susah. Apatah lagi tafsir dan hadis...
Tapi sekarang kitab terjemahan dan tafsir sudah berlambak-lambak. Quran terjemahan sekarang sudah dimasukan sekali hadis, asbun nuzul dan tafsir berkaitan dengan sesuatu ayat supaya kita faham konteks ayat tersebut.
Kita cuma perlu banyak membaca dan sentiasa cross-chek dengan guru beza (dari kitab-kitab yang mereka tulis) supaya kita dapat kefahaman yang lurus.
Asalkan kita sentiasa rendah diri dan tidak bersikap keras kepala terhadap ilmu, insyaAllah Allah akan jaga kita dari kesesatan.
Memang betul... Kita bimbang orang yang membaca tanpa mengadap face to face dengan guru itu sesat.
Tapi yang tak membaca tentunya akan jauh lebih sesat.
Jadi kembalilah kepada agama dengan cara membaca.... Iqra'..