Beli rumah konon nak jadikan aset (harta). Tapi akhirnya rumah jadi beban (liabiliti).
Sebelum beli rumah, hidup tentang je - sebab tak ada hutang. Tapi gara-gara beli rumah, hidup terbeban... Rasa macam kena scam je!
Itulah luahan seorang lelaki umur 34 tahun.
Dah kerja 11 tahun.
Gaji RM4,400 sebulan.
Duit gaji kena tarah RM3,300 sebulan sebaik sahaja beli rumah!
Mana tak sesak...
Saya nak share point of view yang betul tentang kewangan, supaya kita tak ulangi kesilapan yang sama.
1. Rumah duduk sendiri bukan aset
Rumah duduk sendiri bukan aset, tapi beban (liabiliti).
Selagi duit terus keluar daripada poket kita (gara-gara rumah tu), itu bukan aset. Itu namanya beban (liabiliti).
Ia aset bagi bank (pembeli pinjaman). Tiap-tiap bulan kita kena kerja untuk pastikan duit masuk ke 'poket' bank, bukan poket kita.
Bila nak beli rumah (atau apa sahaja barang), kena tanya soalan keramat ni:
👉🏻 Adakah barang yang akan kita beli tu membuatkan duit masuk ke poket, ataupun duit keluar?
Duit masuk = aset (harta)
Duit keluar = liabiliti (beban)
2. Menyewa, kalau kos menyewa lebih murah
Nak beli rumah duduk sendiri, cuba compare dulu berapa kos keseluruhan kalau duduk menyewa.
Kos menyewa termasuklah;
👉🏻 kos sewa rumah,
👉🏻 kos transport pergi kerja (petrol, tol, maintenance),
👉🏻 kos hantar anak kepada penjaga, dan
👉🏻 kos masa / penat ulang balik ke tempat kerja
Cuba bandingkan pulak kos keseluruhan kalau beli rumah duduk sendiri.
Kalau kos sewa rumah lebih murah, tempat kerja pun lebih dekat, itu petanda jelas, menyewa lebih baik.
Duit penjimatan tu guna untuk tambah tabungan dan kumpul harta, bukan untuk berjoli.
3. Lambat beli rumah tak ada masalah, asalkan...
Lambat beli rumah duduk sendiri tak ada masalah. Tak perlu takut harga rumah makin mahal.
Yang penting;
👉🏻 tabungan sentiasa bertambah - setiap bulan,
👉🏻 harta yang ada cashflow terus bertambah - setiap tahun, dan
👉🏻 hutang makin lama makin berkurangan.
Selagi kekayaan makin bertambah, tak perlu risau merempat - gara-gara harga rumah mahal.
Yang perlu risau; kalau tak beli rumah, tapi duit habis gara-gara berjoli sakan, beli barang-barang yang sentiasa susut nilainya dari tahun ke tahun. Makin tahun makin miskin.
Daripada duit habis entah ke mana, beli rumah duduk sendiri tu lebih baik.
4. Tak perlu takut merempat, kalau...
Jangan terikut-ikut nasihat orang lain suruh cepat-cepat beli rumah, kononnya takut rumah makin mahal.
Nanti nak duduk dekat mana?
Jangan bimbang... Rumah cuma tempat berteduh sahaja.
Samada duduk rumah sewa atau duduk rumah sendiri (yang masih milik bank), ia cuma tempat berteduh sementara sahaja. Rumah mungkin masih masa, bezanya cuma komitmen kewangan sahaja.
👉🏻 Duduk rumah sewa, kalau tak ada duit nak bayar sewa - kena halau dengan tuan rumah!
👉🏻 Duduk rumah sendiri, kalau tak ada duit nak bayar loan - kena halau dengan bank!
Pendek kata, kalau tak ada duit, dua-dua pun akan merempat!...
5. Duduk rumah dekat tempat kerja
Kalau umur masih muda dan masih aktif bina kerjaya, duduk menyewa mungkin option lebih baik.
Orang menyewa hidupnya lebih fleksible. Kalau kena pindah demi kemajuan kerjaya, kita boleh pindah pada bila-bila masa.
Kalau duduk rumah sendiri, hidup terikat dengan rumah tu. Nak pindah... Takut nanti tak ada penyewa...
Kalau sewakan pun, hati nak tentang... Takut rumah tu jahanam dek penyewa dari neraka!
Akhir sekali terpaksa ulang alik pergi kerja sampai 1 - 2 jam sehala. Setiap hari habis masa 2 - 4 jam atas jalan... Kurang masa dengan keluarga... Kualiti hidup drop dan boleh jadi burnout!
Rumah tu kononnya nak hidup lebih bahagia, akhirnya jadi 'penjara'!
Pesan guru saya, "duduk tempat di mana kita bekerja, bukan bekerja di mana kita duduk".
Utamakan kerjaya dulu... Dan carilah tempat tinggal sesuai yang mendorong kemajuan kerja kita.
6. Hati-hati dapatkan nasihat kewangan
Kita selalu dengar nasihat; beli rumah cepat-cepat. Takut nanti harga rumah makin mahal.
Tapi nasihat saya, kalau sesiapa bagi nasihat tentang kewangan, sila hati-hati... Nasihat percuma harganya mahal - kesan buruk pada kewangan kita.
Semua nasihat kewangan adalah betul. Ia betul untuk kita capai status kewangan sama dengan pemberi nasihat.
Kalau dia pokai, hidup kais sebulan makan sebulan, kewangan kita pun nanti jadi macam dia. Kalau dia jutawan, kita sedang ikut jejak jutawan! InsyaAllah...
Untuk elak ulangi kesilapan orang lain dalam kewangan, kena bermula dengan ilmu.
Jangan beli rumah pertama selagi belum khatam beberapa buat buku pasal hartanah.
Cuba faham dulu 'sepak terajang' hartanah sebelum beli rumah pertama. Supaya kita tak ulangi kesilapan orang lain yang merugikan.
Tukar beban jadi harta
Kalaulah lelaki tu ada ilmu, mungkin ini keputusan yang dia buat;
- Menyewa sahaja dulu. Anggaran sewaan kondo sekitar RM1,300 sebulan.
- Dia ada duit lebihan RM2,000 (ansuran bank RM3,200 - sewa RM1,300) sebulan = RM24,000 setahun!
- Dengan RM24,000, dia boleh tambah tabungan - ASB, Tabung Haji ataupun emas setiap tahun.
- Dengan profile kewangan yang cantik dan tabungan yang cukup, dia boleh beli sebuah rumah sewa (pelaburan) bernilai RM300k - RM400k setiap 2 tahun!
- Dalam 10 tahun, dia memiliki sekurang-kurangnya 5 buah rumah sewa = bernilai RM1.5 - RM2.0 juta!
- Kalau sebuah rumah sewa dapat bagi cashflow bersih RM500 sebulan, lepas 10 tahun dia ada passive income RM2,500 setiap bulan = RM30,000 setahun. Tak kerja pun ada RM2,500, insyaAllah.
Sebab tu saya sentiasa ingatkan;
👉🏻 Dengan ilmu, duit yang banyak akan datang. Tanpa ilmu, gaji yang besar, duit yang banyak pun akan habis!
Zulkifli
Cyberjaya
23 September 2025
1 Rabiul Akhir 1447H
Artikel berkaitan:
- Rumah Duduk Sendiri Bukan Harta (Aset), Tapi Beban (Liabiliti)
- Anak Muda, Jangan Kelam-kabut Beli Rumah Duduk Sendiri
- Jual Rumah, Tutup Hutang, Hati Pun Tenang...
- Rumah Besar, Beban Nak Maintain Pun Besar Juga!
- Pengalaman Perit Pelaburan Hartanah Yang Ramai Tak Tahu
- Rumah Pelaburan : Pertimbangkan Dua Hal Ini Sebelum Letakkan Komitmen


