Baru-baru ni saya terbaca satu posting di media sosial. Lebih kurang begini mesejnya:
“Kalau umur dah 40 tahun ke atas, tapi masih belum kaya, biarlah... Jangan kejar dunia, sebab akhirat lebih penting.”
Sekilas baca, memang ada betulnya. Jangan sampai terlampau kejar dunia sampai lupa bekal untuk akhirat.
Tapi kalau difahami secara literal, seolah-olah umur 40 ke atas ni stop lah bina kekayaan. Tak payah fikir langsung pasal rezeki dan harta. Cukuplah ulang alik ke masjid untuk ibadat semata-mata...
Persoalannya – adakah ini kehidupan yang Nabi s.a.w. ajarkan?
More...
Sahabat Nabi ramai yang kaya
Kalau kita rujuk sirah, ramai sahabat Nabi yang bukan sahaja kaya, malah jutawan pada zaman mereka.
- Abdurrahman bin Auf r.a. – hartawan besar, tapi dermawannya luar biasa.
- Uthman bin Affan r.a. – bilionair ketika zamannya, yang banyak menyumbang harta untuk perjuangan Islam.
- Abu Bakar r.a. - orang kaya yang berhijrah bersama Nabi.
Bahkan 9 daripada 10 sahabat Nabi yang dijamin Syurga itu adalah orang kaya-kaya belaka!
Menurut Dr Sufyan; ramainya orang kaya di kalangan sahabat Nabi sampai tak ada perbincangan pun perlu kaya ataupun tidak. Sebab kebanyakan mereka adalah orang kaya.
Nabi s.a.w. tak pernah larang mereka jadi kaya. Dengan keimanan mereka, kalau Nabi larang, tentunya tak ada lah sahabat Nabi yang kaya raya - khususnya setelah peristiwa hijrah.
Malah Baginda mendoakan keberkatan atas rezeki mereka.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Ya Allah! Kurniakanlah kepadanya harta dan anak-anak, serta berkatilah kehidupannya.”
- (Riwayat al-Bukhari, no. 1982 – doa Nabi untuk Anas bin Malik)
Maknanya, kaya bukan masalah. Yang jadi masalah kalau kaya buat kita lupa Tuhan.
Jangan ikat dunia di hati
Nabi s.a.w. pernah ingatkan para sahabat:
“Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku takutkan menimpa kamu, tapi aku takut kamu akan diberi kelapangan hidup sebagaimana umat-umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana mereka berlumba-lumba, akhirnya ia membinasakan kamu sebagaimana ia membinasakan mereka.”
- (Riwayat Bukhari, no. 3158; Muslim, no. 2961)
Jadi, yang bahaya bukanlah harta itu sendiri, tapi hati yang terikat dengan dunia.
Hati terikat sampai tak sempat ibadah, tak sempat bersedekah, tak sempat berbuat kebaikan kepada ahli keluarga, masyarakat dan ummah.
Kekayaan tu tak menambah apa-apa, kecuali kelalaian dengan dunia semata-mata.
Itulah kekayaan yang dibimbingi oleh Nabi s.a.w.
Umur 40 : matang, bukan berhenti
Betul, bila dah masuk umur 40, kita kena lebih matang dan banyak fikir tentang akhirat. Nabi sendiri mula terima wahyu pada usia 40 tahun.
Tapi itu bukan tanda berhenti cari rezeki.
Nabi s.a.w. dan para sahabat terus bekerja, memimpin, berniaga, berjuang – sampailah ke akhir hayat. Tak ada istilah 'berehat' dan fokus pada ibadah semata-mata.
Malah ibadah tu hanyalah 'pit-stop' harian bagi orang mukmin. Bukannya beribadah sepanjang hari dan tak berbuat apa-apa dalam hal dunia.
Kerana urusan Dunia kita sepatutnya jadi jambatan untuk bekalan Akhirat kita.
Allah berfirman:
"... dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia..."
Maknanya jangan fokus kita pada Akhirat sampai lupa nikmati apa yang Allah sediakan (nikmat yang baik-baik) di Dunia.
Nikmatilah dan syukurilah... Segala apa yang Allah sediakan di dunia ni memang untuk kita nikmati dan syukuri...
Kaya dunia, kaya akhirat
Sebenarnya, dunia ni boleh jadi jambatan ke akhirat. Harta boleh jadi ladang pahala.
- Duit yang kita cari dengan cara halal, belanjakan dengan cara halal, itu pahala.
- Duit yang kita zakatkan, cukai yang kita bayar, itu pahala.
- Harta kita yang bermanfaat kepada orang lain, itu pahala.
- Kerjaya kita yang bermanfaat untuk orang lain, itu pahala.
- Bisnes yang kita bangunkan boleh bagi manfaat kepada masyarakat, dan jadi periuk nasi mereka di bawah kita, itu pun pahala.
Pendek kata, apa sahaja yang kita usahakan dapat bagi manfaat kepada orang lain, semuanya dapat pahala. Termasuklah hasil tanaman kita yang makan burung, malah dicuri oleh orang lain pun dapat pahala!
Daripada Jabir r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidaklah seorang Muslim menanam sebatang pokok, melainkan baginya pahala sedekah pada setiap apa yang dimakan daripadanya. Apa yang dicuri daripadanya, apa yang dimakan oleh binatang buas, dan apa yang dimakan oleh burung – semuanya menjadi sedekah untuknya. (Pendek kata) tidaklah sesuatu daripadanya hilang melainkan ia menjadi sedekah bagi pihaknya.”
- (Riwayat Muslim, no. 1552; Bukhari, no. 2320)
Nah... Kalau tahu bertapa banyaknya pahala atas kerja-kerja 'dunia' kita, nescaya kita tak akan berhenti bekerja - cari kekayaan.
Tunggang Ferrari untuk akhirat
Bila umur masuk 40, 50, 60 – bukan masa untuk berhenti cari rezeki. Tapi masa untuk lebih bijak gunakan rezeki dunia sebagai bekalan untuk akhirat.
Kaya tu tak salah. Malah boleh jadi bekalan ke syurga - kalau kita bersyukur dan gunakan untuk kebaikan.
Ia bukan soal dunia lawan akhirat. Tapi bagaimana kita seimbangkan kedua-duanya.
Kaya di dunia untuk jadi lebih kaya di Akhirat nanti.
Kalau suka kereta Ferrari, pakailah kalau benar-benar mampu. Yang penting bersyukur... Gunakan Ferrari tu untuk buat lebih banyak kebaikan.
Kalau dengan Ferrari lebih ligat kita bergerak sana sini sebarkan kebaikan, bukankah ia jadi 'kenderaan' untuk Akhirat kita?
Walaupun saya dah hilang minat kereta sport, tapi saya bangga bila murid-murid saya yang pakai kereta sport lincah bergerak ke sana sini sebarkan kebaikan. Alhamdulillah...
Zulkifli
Cyberjaya
23 September 2025
30 Rabiul Awwal 1445H
Artikel berkaitan:
- Kaya Bukan Dosa, Tapi Peluang Untuk Masuk Syurga!
- Kaya Segan, Miskin Tak Mahu: Kekayaan Tak Datang Kalau Ragu
- Comfort Zone : Di Sebalik Rasa Selesa, Itu Sebenarnya Selfish!
- Hidup Bermakna - Bila Kerja Dunia Jadi Bekalan Akhirat
- Kewangan Peribadi Dah Kukuh, Sekarang Masanya Fikir Tentang Negara!
- Kemiskinan Bukan Hak Peribadi, Tapi Bebanan Buat Orang Lain

